Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 January, 2020

PGA Batalion 10 tumpas jenayah rokok seludup di Bandar Simanggang

SIMANGGANG: Pihak Kompeni C Sri Aman, Batalion 10, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya melumpuhkan kegiatan penyeludupan rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tanpa cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini pada pagi Selasa lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion (BN) 10 PGA, Superitenden Sanudin Md Isa berkata kesemua rokok berkenaan dirampas menerusi serbuan pada jam 9 pagi di sebuah stor tidak bernombor dalam kawasan Jalan Kampung STC di sini.

"Pihak Cawangan Risik Kompeni C Sri Aman BN 10 PGA yang diketuai oleh Inspektor Mohd Shaiful Nizar Mohd Yusoff telah berjaya merampas sejumlah 2,329 katon rokok bernilai RM538,910 termasuk cukai menerusi serbuan berkenaan.

"Bagaimanapun pihak kita tidak membuat sebarang tangkapan memandangkan tiada pemilik yang datang untuk menuntut barangan tersebut ketika serbuan berkenaan dijalankan di stor itu," kata beliau.

Sanudin berkata demikian ketika berlangsungnya sidang media kejayaan Op Libas di Sri Aman (kejayaan kedua kontraban bagi tahun 2020) bertempat di bilik mesyuarat Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman di sini semalam.

Beliau pada sidang media itu memberitahu modus operasi penyeludup adalah menjadikan stor dan rumah kosong yang terbiar sebagai tempat penyimpanan barangan tanpa cukai seperti rokok, bir dan mercun sebelum ia diedar ke sekitar Bandar Simanggang.

"Kesemua rampasan tersebut telah ditahan di bawah kesalahan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang mana boleh membawa kepada hukuman denda sebanyak RM10,000@minimum sepuluh kali nilai barang yang mana lagi tinggi@penjara minimum enam bulan dan maksium tidak lebih tiga tahun @ kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

"Kesemua barang rampasan hasil serbuan berkenaan telah pun kita serahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sri Aman untuk tujuan tindakan dan siasatan lanjut," kata Sanudin.

Terdahulu, Batalion 10 PGA Sibu telah meraih kejayaan Op Libas yang pertama pada tahun ini setelah berjaya merampas sejumlah 4,220 katon rokok dengan anggaran nilai sebanyak RM1,009,000 termasuk cukai pada 2 Januari lepas di , Sarikei.

Operasi serbuan berkenaan telah dilaksana oleh pihak cawangan risik Batalion 10 PGA Sibu yang diketuai oleh Inspektor Salman Zulfitri Sheekandar terhadap sebuah rumah kosong dalam kawasan Jalan Getah di situ.

Kejayaan Op Libas di Sarikei dan Simanggang ini telah menjadikan jumlah nilai keseluruhan barang rampasan mencecah RM1,547,910 yang mencakupi sejumlah 6,549 katon rokok.

8 JANUARI 2020. UTUSAN SARAWAK

No comments:

Post a Comment