Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 January, 2010

Jangan jual surat pengesahan hakmilik tanah - Harden


Caption: IKTIRAF...Harden (kiri) menyampaikan surat pengesahan hakmilik tanah kepada wakil peserta (kanan) sambil disaksikan oleh Masir (tiga kiri) dan tetamu undangan khas yang lain pada majlis itu.

PANTU, Sabtu (30 Jan) – Peserta projek penanaman sawit secara komersial dinasihat agar tidak menjual surat pengesahan hakmilik tanah yang bakal mereka terima daripada pemaju terutamanya PELITA selepas ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Katanya surat pengesahan hakmilik tanah yang bakal diberikan oleh PELITA pada tahun ini adalah merupakan satu inisiatif oleh pihak berkenaan untuk mengiktiraf hakmilik tanah peserta yang menyertai skim penanaman sawit dan tidak harus dieksploitasi untuk tujuan keuntungan semata-mata.

“Jangan jual surat pengesahan hakmilik tanah anda sebaik sahaja menerima dokumen itu. Ini kerana surat terbabit amat penting untuk membuktikan hakmilik tanah milik peserta itu sendiri sehinggalah ke keturunan anak cucu mereka di masa akan datang.

“Jika dijual maka kesannya akan diterima oleh keturunan masing-masing. Justeru adalah amat penting bagi peserta yang menerima surat ini berfikir semasak-masaknya sebelum mahu bertindak demikian,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Wang Insentif Kepada Peserta Projek Pembangunan Tanah NCR Tetangga Akrab PELITA (Pantu) Sdn Bhd Kranggas Blog-MG Mawang dan Sungai Tenggang Blog di Dewan Sekolah Chung Hua, Pantu, Sri Aman hari ini.

Selain itu penyertaan penduduk dalam projek pembangunan tanah yang dilaksana secara usahasama antara kerajaan dan pemaju menurut beliau secara tidak langsung membolehkan tanah mereka didokumentasikan selepas ini.

“Inilah kelebihan penduduk yang menyertai projek penanaman sawit. Surat pengesahan hakmilik tanah milik peserta misalannya akan mencatatkan saiz tanah, lokasi, nombor lot, peta dan nama pemiliknya itu sendiri,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk, Pengurus PELITA wilayah Selatan, Samuel Batok, para wakil pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk dalam kawasan Pantu.

Harden pada majlis itu telah menyampaikan wang insentif yang mencatatkan nilai keseluruhan bernilai RM114,042 kepada 331 orang peserta projek penanaman sawit dari blok Keranggas dan Sungai Tenggang pada majlis itu.

Sehingga kini sejumlah 10,700 hektar tanah milik 500 orang peserta dari kedua-dua blok berkenaan telah dibangunkan menerusi projek penanaman sawit bermula dari tahun 2006 hingga tahun 2009.

Tamat.


No comments:

Post a Comment