Caption: SERIUS...Jusoh (tengah) sedang memberikan perhatian ketika berlangsungnya sesi dialog bersama wakil rumah ibadah di IPD Sri Aman hari ini.
SRI AMAN, Selasa (12 Jan) – Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad melahirkan rasa bimbang terhadap ‘orang luar’ atau remaja dalam bandar ini sekiranya mereka cuba mengekploitasikan isu penggunaan Khalimah Allah yang masih hangat diperkatakan pada masa sekarang.
“Saya paling risau sekiranya ada orang luar yang dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Sri Aman membuat kacau dengan melontar sesuatu benda (bom api, batu) terhadap rumah ibadah (gereja) yang terdapat di sepanjang jalan dalam Bahagian Sri Aman ini.
“Kehadiran golongan remaja nakal juga amat dibimbangkan. Golongan semacam itu sememangnya sengaja melakukan perbuatan khianat demi mensensasikan keadaan yang sedang berlaku pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialoq Ops Damai Bersama Wakil Rumah Ibadah bertempat di Bilik Gerakan, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman di sini hari ini.
Selain itu kata Jusoh pihaknya sehingga sekarang masih belum menerima sebarang laporan daripada pihak pengurusan IPD dan individu tertentu berhubung terdapatnya sebarang rancangan untuk melakukan perbuatan khianat terhadap rumah ibadah dalam Bahagian Sri Aman.
“Kita akan melaksanakan siasatan terperinci sekiranya pihak polis ada menerima laporan berhubung percubaan aktiviti khianat yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu terhadap rumah ibadah dalam Bahagian Sri Aman.
“Bagaimanapun saya percaya penduduk di Bahagian Sri Aman tidak akan sesekali cuba melakukan perbuatan khianat seumpama itu,” katanya sambil menambah bahawa pihak polis telah pun diarah untuk memantau setiap rumah ibadah dalam Bahagian Sri Aman ini bagi tujuan keselamatan sepanjang masa.
Justeru atas sebab ini Jusoh meminta semua pihak lembaga pengurusan rumah ibadah termasuk gereja, masjid dan surau di Bahagian Sri Aman untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi menangani isu terbabit selepas ini.
Terdahulu terdapat sejumlah 24 buah gereja, surau dan masjid dalam kawasan Bahagian Sri Aman. Semua rumah ibadah ini terdapat dalam kawasan daerah Sri Aman, Pantu, Skrang dan Lingga.
Tamat.
No comments:
Post a Comment