Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 January, 2010

Penduduk Kampung Mumong, Simunjan minta kerajaan atasi banjir


Caption: MASALAH...Sebuah kenderaan sedang meredah banjir yang mulai surut di Kampung Batu Mumong baru-baru ini.

SIMUNJAN, Sabtu (23 Jan) – Penduduk dari Kampung Batu Mumong, Simunjan meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan untuk menaiktaraf jalan dan sistem peparitan yang terdapat bermula dari kawasan penempatan mereka hingga ke Pejabat Daerah Simunjan selepas ini.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan di sini memberitahu bahawa rayuan ini dikemukakan berhubung kejadian banjir yang berlaku di kawasan penempatan mereka pada beberapa hari lepas.

“Kawasan penempatan kami dinaiki air banjir sehingga mencecah setengah meter baru-baru ini ekoran kejadian banjir yang disebabkan oleh faktor hujan lebat tanpa henti beberapa hari lepas.

“Ia disebabkan oleh sistem peparitan yang tidak berupaya menampung jumlah takungan air hujan disamping paras jalan raya yang lebih rendah dari paras peparitan itu sendiri,” katanya.

Kejadian banjir di Kampung Batu Mumong katanya menyebabkan kenderaan yang berulang-alik dari Pekan Simunjan terkandas disebabkan oleh faktor kedalaman air banjir tersebut.

Justeru beliau berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin dengan mengubahsuai sistem peparitan dan jalan raya yang terdapat di kawasan perkampungan berkenaan.

“Kami percaya masalah banjir di Kampung Batu Mumong akan dapat diatasi sekirang pihak berkuasa tempatan bertindak segera untuk mengubahsuai sistem peparitan yang baru selepas ini,” katanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment