Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 January, 2010

Penduduk Balai Ringin bijak memilih parti - Snowdan


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

SRI AMAN, Jumaat (22 Jan) – Penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin bijak memilih parti politik yang mampu memberikan pembangunan dalam kawasan mereka selepas ini.

Atas sebab itu wakil rakyatnya iaitu Snowdan anak Donald tidak gentar dengan pihak Parti KeAdilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini telah membayangkan bahawa mereka bakal menghantar Ibi Uding untuk bertanding di kerusi DUN Balai Ringin menjelang pilihanraya negeri akan datang.

“Penduduk dalam kawasan DUN Balai Ringin sudah tahu membezakan ‘yang mana intan dan yang mana kaca’ dari segi sumbangan pihak Barisan Nasional (BN) atau pihak pembangkang terhadap pembangunan taraf hidup mereka selama ini.

“Jika PKR menghantar calon maka penduduk sudah tahu mereka itu dari pihak parti pembangkang. Begitu juga dengan tanggapan penduduk terhadap calon dari Parti Demokratik Rakyat (DAP) atau Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) mahu berbuat demikian pada pilihanraya negeri kelak,” katanya.

Justeru beliau tidak kisah sekiranya pembangkang mahu menghantar calon mereka untuk bertanding di DUN Balai Ringin pada pilihanraya negeri kelak memandangkan penduduk sudah tahu bahawa hanya BN yang mampu melaksanakan pembangunan di kawasan mereka selama ini.

“Lagipun ia merupakan satu proses demokrasi. Semua orang mempunyai hak untuk bertanding bukan sahaja di kawasan saya malah di semua kawasan kerusi DUN yang ada dalam negara ini,” tambah beliau.

Selain itu Snowdan juga mahu penduduk dalam kawasan DUN Balai Ringin untuk melihat kesemua projek pembangunan bernilai jutaan ringgit yang telah disalurkan oleh kerajaan BN terhadap mereka selama ini.

Kesemua projek pembangunan terbabit terutamanya Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) menurut beliau adalah merupakan satu ‘hadiah’ terhadap penduduk DUN Balai Ringin yang setia menyokong BN selama ini.

“Penduduk dalam kawasan Balai Ringin terutamanya dari rumah panjang sudah mempunyai pemikiran yang bijak untuk memilih pemimpin mereka berbanding 30 atau 40 tahun yang lepas.

“Mereka tahu membezakan sumbangan BN dan pembangkang dalam pembangunan kehidupan masing-masing selama ini,” katanya.

Terdahulu Ketua Biro Politik Negeri, Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Baharuddin Dato Mokhsen sebelum ini berkata pihaknya akan menampilkan beberapa muka baru yang bakal bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

Muka-muka baru dari PKR yang dibayangkan bakal bertanding pada pilihan raya negeri akan datang ialah Ibi Uding (Balai Ringin), Richard Lias (Kanowit), Jemat Panjang (Lambir), Angela Labing (Engkilili) dan Frankie Bedindang (Hulu Rajang).

Tamat.


No comments:

Post a Comment