Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 January, 2010

Pantu dilanda banjir

PANTU, Khamis (7 jan) – Sekitar 40 buah keluarga dari kawasan Pengkalan Pantu, Sri Aman kini ditempatkan buat sementara waktu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu ekoran kejadian banjir yang berlaku di situ semenjak malam Selasa lepas.

Utusan Sarawak ketika dimaklumkan oleh sumber dari tempat kejadian hari ini melaporkan bahawa kesemua penduduk dari kawasan Pengkalan Pantu mula ditempatkan di sekolah terbabit kelmarin apabila air banjir naik mencecah paras dua kaki pada malam hari sebelumnya.

“Faktor hujan lebat yang bermula pada awal minggu ini telah menyebabkan air Sungai Pantu melimpah keluar dan menyebabkan banjir setinggi dua kaki di kawasan Pengkalan Pantu bermula malam Selasa lalu.

“Keadaan terbabit menyebabkan semua mangsa dipindahkan ke sekolah berkenaan kelmarin dan masih lagi ditempatkan di situ kerana bimbang banjir melanda semula kawasan Pengkalan Pantu selepas ini,” kata sumber.

Bagaimanapun banjir di kawasan Pengkalan Pantu kata sumber telah pun menurun hingga ke paras satu kaki pada hari ini ekoran cuaca baik di kawasan berkenaan bermula hari kelmarin.

Namun begitu mangsa yang menginap buat sementara waktu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu masih belum lagi pulang ke rumah masing-masing sehingga air banjir surut sepenuhnya selepas ini.

“Jika hujan lebat melanda semula di Pantu maka nescaya kawasan penempatan mangsa akan dinaiki semula air banjir selepas ini.

“Akibat banjir ini amat membimbangkan. Dijangka semua tanaman padi yang diusahakan oleh penduduk di kawasan Pengkalan Pantu sebelum ini akan musnah diakibatkan oleh kejadian terbabit,” katanya.

Kawasan Pekan Pantu bagaimanapun dilaporkan tidak terjejas ekoran kejadian banjir terbabit semenjak hari Selasa lalu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment