Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 January, 2010

Kampung Baru Betong alami banjir




Caption: SIBUK...Gambar menunjukkan para penduduk sedang menyelamatkan harta benda dalam rumah masing-masing ketika berlakunya banjir itu.

BETONG, Isnin (4 Jan) – Penduduk dari Kampung Baru Betong ‘berpesta’ air setelah perkampungan mereka dinaiki air sedalam satu hingga dua kaki pada malam hari Sabtu lepas.

Banjir berkenaan dipercayai berlaku setelah hujan lebat turun serentak dengan berlakunya fenomena air pasang di sungai yang terletak berdekatan Kampung Baru Betong bermula jam 7 malam.

“Faktor hujan lebat dan fenomena air pasang menyebabkan air sungai di kampung kami melimpah dan seterusnya menyebabkan kebanyakkan kediaman terutamanya dalam kawasan tanah rendah dinaiki air sehingga paras lutut.

“Kejadian ini yang bermula seawal jam 7 malam menyebabkan penduduk bertungkus-lumus menyelamatkan harta benda masing-masing terutamanya perkakas elektronik dan dokumen penting,” kata salah seorang mangsa banjir dari kampung berkenaan.

Bagaimanapun penduduk Kampung Baru Betong katanya mula menarik nafas lega menjelang jam 11 malam apabila air banjir yang melimpah dari sungai berkenaan mulai surut pada waktu itu.

Walaupun kejadian banjir terbabit tidak mendatangkan ancaman keselamatan terhadap penduduk namun mangsa yang enggan namanya disiarkan di sini meminta semua pihak untuk mengenalpasti langkah bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Baru Betong selepas ini.

“Mungkin pihak berkuasa boleh mengatasi masalah ini dengan membina sistem peparitan yang lebih luas bagi menampung limpahan air sungai dari kawasan kampung kami di masa akan datang,” katanya.

Pihak polis dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dilaporkan telah turun padang bagi membantu penduduk Kampung Baru Betong yang terbahagi kepada dua blok iaitu Kampung Baru Hilir dan Hulu ini untuk memindahkan barang kepunyaan masing-masing ke tempat lebih selamat.

Ketua Kampung Baru Hulu Betong, Wan Ahmad Wan Chee Dan bersama pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung terbabit iaitu Wan Boehana Haji Wan Omar turut serta membantu penduduk dalam memindahkan barangan masing-masing.

Tamat.



No comments:

Post a Comment