Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 January, 2010

DAP guna isu kebajikan raih sokongan politik - Snowdan


Caption: MANFAATKAN...Snowdan (kanan) sedang menyampaikan cek MRP kepada seorang penerima (kiri) sambil disaksikan oleh Masir (tengah) dan (dari kiri sekali) Penghulu Entika, Edward dan Hearold Ernest pada majlis itu.

PANTU, Sabtu (9 Jan) – Tindakan pihak pembangkang mengeksploitasi sebuah keluarga miskin dari Balai Ringin, Serian untuk tujuan kepentingan politik mereka baru-baru ini amatlah dikesalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan mendedahkan perkara ini ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Hearold Ernest, Selantik Ili, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman kelmarin.

Menurut beliau, kumpulan pembangkang tersebut iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah menemui keluarga miskin berkenaan dan seterusnya menyuarakan rasa prihatin serta keinginan mereka untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit menerusi hebahan media cetak selepas itu.

“Kumpulan pembangkang ini telah mengunakan media cetak iaitu akhbar untuk meraih sokongan politik daripada rakyat dengan mengeksploitasikan isu kebajikan keluarga terbabit bagi tujuan itu.

“Bagaimanapun niat mereka bagi tujuan berkenaan amat dicurigai apabila buku akaun simpanan bank milik keluarga miskin tersebut dipegang oleh mereka dengan alasan bahawa segala sumbangan wang oleh orang ramai terhadap keluarga itu akan diuruskan oleh mereka selepas ini,” katanya.

Lagipun kumpulan pembangkang terbabit menurut Snowdan tidak sewajarnya memegang buku akaun simpanan bank milik keluarga miskin tersebut sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu membantu keluarga berkenaan.

Atas sebab itu beliau telah meminta pihak tertentu untuk segera membekukan buku akaun simpanan bank milik keluarga miskin terbabit bagi mengelakkannya terus disalahguna oleh kumpulan berkenaan selepas ini.

“Justeru rakyat khususnya dalam kawasan DUN Balai Ringin diminta untuk lebih berhati-hati berhubung taktik politik terbaru pihak pembangkang terbabit selepas ini,” katanya sambil mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM2,000 untuk Biro Wanita Kampung Selantik Ili pada majlis itu.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk, wakil Tuai Rumah Zon C Balai Ringin, Tr Johnny Lumi, Pembantu Ahli Parlimen Sri Aman, Abah Unggie dan Pengerusi JKKK Selantik Ili, Tr Hearold Ernest.

Snowdan juga turut menyampaikan cek MRP bagi tahun 2009 yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM142,000 kepada 35 buah JKKK dan persatuan pada majlis berkenaan.

Tamat.


No comments:

Post a Comment