Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 August, 2010

63 penduduk libatkan diri dalam Seminar Agrofest 2010



Caption:

1.FOKUS...Antara peserta yang hadir bagi mendengar ceramah menerusi Seminar Agrofest 2010 hari ini.

2. KONGSI PENDAPAT...Dr Anthony (tengah), Kaya (kanan) dan Hajah Kalsom (kiri) ketika mengendalikan sesi ceramah pada seminar berkenaan.

BETONG, Ahad (1 Ogos) - Seramai 63 orang peladang, penternak, wakil jabatan kerajaan dan agensi bukan kerajaan dari sekitar kawasan Betong menghadiri Seminar Agrofest 2010 yang berlangsung di tingkat bawah, Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri Bahagian Betong hari ini.

Seminar Agrofest 2010 anjuran Kementerian Permodenan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) itu telah berlangsung di kompleks berkenaan bermula dari jam 7 pagi hingga jam 4 petang.

Ketua Unit Pembangunan Komuniti Azam, Edwin Rabong ketika ditemui memberitahu Seminar Agrofest 2010 ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman mengenai cabaran dan hala tuju sektor pertanian di Sarawak dikalangan para penternak dan peladang dari kawasan Betong.

"Seminar Agrofest 2010 ini juga bertujuan untuk berkongsi maklumat terkini mengenai potensi dan peluang perniagaan, bantuan kewangan, khidmat sokongan serta teknologi terkini dalam sektor pertanian khasnya di bawah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE)," katanya.

Untuk menjayakan program ini katanya pihak penganjur telah mengadakan tiga sesi ceramah untuk para peserta bagi seminar yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak 2010 ini.

Ceramah pertama dalam seminar ini yang berjudul 'Mentransformasikan Sektor Pertanian di Sarawak Ke Arah Pendapatan Tinggi: Hala Tuju dan Cabaranm Semasa' telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Permodenan Pertanian iaitu Dr Ngenang Janggu.

Manakala itu ceramah bagi pembentangan kedua kata Edwin iaitu Taklimat Sektor Pertanian telah dikendalikan oleh Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Kanan, Kementerian Permodenan Pertanian iaitu Churchill Lawi.

"Timbalan Residen (Sosial) Betong, Dr Anthony Valentine Liseh pula telah mempengerusikan ceramah sesi ke-3 berjudul Perkongsian Pengalaman / Rahsia Kejayaan sambil dibantu oleh Kaya anak Baul dan Haji Kalsom binti Abang Haji Karim.

"Justeru pihak kami berharap agar para peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang mereka perolehi menerusi Seminar Agrofest 2010 ini di masa akan datang," menurut beliau.

Majlis Penutupan Seminar Agrofest 2010 ini telah berakhir sekitar jam 4.40 petang berkenaan telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Betong iaitu Datu Romie Sigan anak Daniel.

Tamat.

Bantu bangunkan SK Saint Luke - Harden


Caption: SELAMAT DATANG...Harden ketika bersalam dengan penduduk pada majlis itu.

SRI AMAN, Ahad (1 Ogos) – Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke Sri Aman disaran agar bersama-sama membantu dan memajukan sekolah berstatus ‘Mission School’ berkenaan selepas ini.

Saranan ini diumumkan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Ke-147 Tahun SK Saint Luke Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

“SK Saint Luke telah melahirkan ramai golongan individu yang berjaya dalam bidang ekonomi dan politik semenjak ia dibuka semenjak 147 tahun yang lepas di bandar Sri Aman.

“Justeru saya mengajak semua bekas pelajar SK Saint Luke untuk turun padang bagi mencari dana kewangan bagi menaiktaraf serta memajukan sekolah berkenaan selepas ini,” katanya yang juga merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan sebelum ini.

Harden menambah bahawa kerajaan telah memperuntuk sebanyak RM100,000 untuk menaiktaraf bangunan SK Saint Luke Luke. Beliau turut mengumumkan peruntukkan RM10,000 kepada sekolah itu bagi membeli mesin fotostat.

Selain itu katanya kegagalan ibubapa dan guru dalam hal kerjasama boleh dilihat dari beberapa buah segi isu berbangkit sejak akhir-akhir ini dan seterusnya mendorong kepada kemerosotan tahap kecemerlangan akademik sesebuah sekolah.

Oleh itu Harden berharap agar kedua-dua pihak mewujudkan satu bentuk pemikiran baru dengan melaksanakan pelbagai usaha bagi mempertingkatkan tahap kecemerlangan pendidikan dikalangan anak-anak demi kebaikan bersama.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Perlajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SK ST, Luke Edmeade Rujis, kakitangan-kakitangan kerajaan dan ketua-ketua masyarakat sekitar Sri Aman.

Tamat....

Bersenandika Sejenak bersama William Chan

BERSENANDIKA SEJENAK

WILLIAM CHAN

william_chan@utusansarawak.com.my

MANTAPKAN INDUSTRI MAKANAN DI SARAWAK

KEPADA para peladang, penternak dan nelayan di Sarawak: Selamat menjalankan usaha anda sekalian. Sesungguhnya sumbangan anda untuk negara, negeri dan masyarakat amat besar signifikannya. Atas sebab itulah saban tahun, sejak 1984 lagi anda semua telah diiktiraf dalam peristiwa yang dinamakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan. Sejak itu, tidak pernah tidak, setiap tahun, anda semua diraikan secara bergilir-gilir di Kota Samarahan, Saratok, Mukah, Kuching, Betong, Lawas, Pusa, Sarikei, Bintulu, Bekenu, Lundu, Simunjan, Kanowit, Marudi, Miri, Kapit dan Sri Aman.

Kalau anda amati lokasi perayaan diadakan melibatkan tempat-tempat yang relevan dengan anda. Kesemua tempat yang dipilih itu ada ladang masing-masing, ada hasil mahsul bumi dan laut. Malahan, di mana tempat di negeri kita tiada hasil mahsul itu? Sesungguhnyalah, Bumi Kenyalang bertuah kerana dilimpahi Tuhan dengan hasil mahsul yang amat banyak dan berharga sekali. Hasil titik peluh anda semua maka negara, negeri dan masyarakat kita tidak kebuluran. Semoga Tuhan memberkati terus anda semua.

Hari Peladang, Penternak dan Nelayan diadakan sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan jasa anda semua terhadap pembangunan negara. Semua warganegara di Bumi Kenyalang ini menaruh harapan kepada anda semua peladang, penternak dan nelayan agar terus memantapkan industri makanan di Sarawak. Dalam era global ini orang sudah bercakap tentang kekhuatiran sekuriti makana. Dunia sudah bersiap sedia untuk memastikan pada zaman-zaman mendatang manusia janganlah kebuluran dan di tangan anda semua jaminan ini digalaskan.

Sungguh besar sumbangan anda semua sehingga mungkin ada dalam kalangan anda sendiri tidak menyedari ini. Justeru, jangan sekali-kali berasa malu, rendah diri atau tidak menghargai diri anda kerana anda tergolong dalam kalangan anggota masyarakat yang bukan kepalang bakti dan jasa. Atas sebab itulah kerajaan sanggup berbelanja untuk menganjur majlis meraikan anda semua.

Justeru, dalam menyedari sumbangan anda untuk negara, negeri dan masyarakat maka janganlah kita sekali-kali terlalu mudah tertelan hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengaburi mata hati kita dengan meniadakan apa yang dihargai kita selama ini. Ada pihak dengan sewenang-wenangnya cuba menghasut kita untuk menolak kerajaan yang sudah sekian lama membimbing kita semua maju ke hadapan. Dalam erti kata lain kita diajak untuk membunuh angsa yang menetas telur emas. Soalnya, apakah penghasut ini akan membawa kita maju ke depan?

Kita ibarat jauhari mengenal manikam. Justeru, jauhari mana yang mahu memilih kaca dan membuang manikam. Ingatlah, pihak pembangkang cuba meracuni fikiran kita dengan hasutan yang tidak relevan kerana nafsu mereka hanyalah untuk berkuasa. Mereka iri hati dengan kejayaan yang sama-sama telah kita capai dan mahu meretakkan kita. Mereka hanya mahu mengeruh yang jernih. Tepuk dada tanya selera.

- 1 Ogos

Utusan Sarawak and RTM Sri Aman lepak lepak


BERSINERGI...Ketua Editor Kumpulan New Sarawak Tribune dan Utusan Sarawak, William Chan sedang bertukar-tukar pandangan dengan Penerbit Rancangan, Bahagian Iban Stesen RaSA atau RTM Sri Aman iaitu Edwin Nanggah di sini kelmarin. Tajuk utama laporan akhbar Utusan Sarawak kini boleh didengar oleh pendengar radio RTM Sri Aman menerusi slot siaran Sinaran RaSA, Rangkaian Nasional pada jam 10 pagi menerusi RaSA FM 89.5 Mghtz pada setiap hari ini. - 1 Ogos

18 stesen pertanian yang ditutup akan dibuka semula - Jabu


Caption: MINAT...Jabu (tengah) bersama Uggah (kiri) ketika sedang meninjau tapak pameran yang berlangsung pada Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak hari ini.


BETONG, Sabtu (31 Julai) – Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Permodenan Pertanian akan membuka semula 18 buah stesen pertanian luar bandar di seluruh negeri Sarawak yang telah ditutup operasinya sebelum ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata pembukaan semula kesemua 18 buah stesen pertanian luar bandar berkenaan akan berkuatkuasa mulai pada tahun hadapan.

Antara stesen pertanian yang akan dibuka semula oleh kerajaan bagi tujuan katanya ialah Stesen Pertanian Tarat (Serian), Stesen Pertanian Layar (Betong), Stesen Pertanian Sebiew (Bintulu) dan Stesen Pertanian Punang (Lawas).

“Tindakan membuka semua stesen ini adalah amat penting agar industri pertanian kita di Sarawak dapat digerak semula demi mempertingkatkan lagi kualiti hidup penduduk di kawasan luar bandar dalam negeri ini.

“Untuk itu kerajaan akan menempatkan semula kakitangan jabatan pertanian di kesemua 18 buah stesen berkenaan disamping menambahbaik segala kemudahan penting di stesen tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.

Selain itu industri berasaskan tani dan hasil perikanan laut dalam di negeri ini juga kata Jabu masih mempunyai potensi yang amat cerah dalam pasaran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ikan Empurau misalnya kata beliau mampu dijual pada harga RM780 sekilogram di Kuala Lumpur, Semenanjung Malaysia manakala RM800 sekilogram pula sekiranya ia dieksport ke negara China.

“Produk Ikan Buntal di Betong dan sotong di Beladin juga mempunyai potensi yang tinggi dalam pasaran antarabangsa. Justeru saya berharap agar para penternak, petani dan nelayan bergiat lebih aktif dalam masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Senator dato Sri Empiang Jabu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah anak Embas, para menteri muda di kabinet Kerajaan Negeri dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Terdahulu Jabu telah menyampaikan hadiah kepada 16 orang penerima ketika berlangsungnya Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak.

Antara penerima terbabit ialah PPK Subis (Pertubuhan Peladang Jaya), Haji Ahmad Maling (Peladang Jaya Lelaki), Dayang Salhah Awang Weldan (Peladang Jaya Wanita), Lee Kin Fah (Pengusaha Jaya Ternakan Ikan Sangkar), Tan Swee Fah (Pengusaha Jaya Ternakan Ikan Sangkar), Dr Ng Siew Thiam (Pengusaha Jaya Ternakan Ruminan).

Jabu bersama rombongan juga turut mengadakan kunjungan ke tapak pameran Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak yang disertai oleh 15 buah agensi kerajaan dan 124 buah gerai berdaftar.

Tamat.

4,000 penduduk saksi Hari Penternak Betong


Caption: MERIAH...Sebahagian daripada penduduk yang membanjiri kawasan tapak pameran bersempena dengan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak hari ini.


BETONG, Sabtu (31 Julai) - Bandar Betong menjadi tumpuan hampir 4,000 orang pengunjung apabila berlangsungnya sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak bermula hari ini hingga 2 Ogos ini kelak.

Program yang berlangsung di perkarangan luar kawasan Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkang itu telah dijayakan dengan pembabitan sejumlah 15 buah agensi kerajaan, 124 buah gerai berdaftar dan 71 buah tapak khemah.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa para penduduk mengunjungi kawasan pameran hasil tani dan teknologi pertanian moden, gerai jualan hasil tani dan pameran haiwan.

Mereka juga berpeluang untuk mendengar randau teknologi disamping menyaksikan pertandingan peladang dan demonstrasi memasak yang berlangsung pada program berkenaan.

Suasana penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak ini juga turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan oleh beberapa orang artis rakaman popular dalam negeri ini.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang telah mewakilil Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud untuk merasmikan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak hari ini.

Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak yang akan berlangsung selama tiga hari ini nanti dianjurkan berasaskan kepada tema Pertanian adalah Perniagaan.

Program ini diyakini dapat memberi manfaat kepada penduduk khusus sekali dari sekitar kawasan Betong tentang pelbagai ilmu mengenai industri pertanian moden di negara ini pada masa akan datang.

Ia juga dapat mewujudkan kesedaran dikalangan penduduk miskin tegar mengenai betapa pentingnya pertanian moden untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka selepas ini.

Tamat.

Air minum takkan naik harga - Persatuan Kedai Kopi Simanggang


Caption: SEPAKAT...Roslan (tengah) bergambar kenangan dengan ahli persatuan kedai kopi Sri Aman dan kakitangan PDNKK sebaik sahaja tamat mesyuarat berkenaan.


SRI AMAN, Sabtu (31 Julai) – Persatuan Kedai-Kedai Kopi Sri Aman memberi jaminan tidak akan menaikkan harga minuman berhubung kenaikan harga gula di pasaran negara sebelum ini.

Pengerusinya Chung Sih Fok mengumumkan perkara ini ketika mengadakan pertemuan dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sri Aman hari ini.

Katanya pihak Persatuan Kedai-Kedai Kopi Sri Aman kini masih lagi belum melihat kewajaran menaikkan harga minuman di premis perniagaan masing-masing walaupun harga gula kini mencecah RM1.90 sekilo berbanding RM1.65 sekilo sebelum itu.

“Pihak kita akan melihat dahulu kesan kenaikkan harga gula sebelum itu. Bagaimanapun belum ada keperluan penting bagi pihak persatuan untuk menaikkan harga minuman di masa akan datang,” katanya.

Selain itu pihak persatuan kata Chung juga akur bahawa negara kini sedang berhadapan dengan masalah ekonomi dan pengguna tidak harus dibebankan dengan kenaikan harga minuman berhubung isu terbabit.

Pihaknya kata beliau juga akan terus memberikan komitmen bagi membantu kerajaan dalam mengurangkan bebanan pengguna dengan tidak menaikkan harga minuman berkenaan.

“Jika terdapat kenaikan harga barang seperti susu, kopi atau milo selepas ini maka barulah pihak persatuan akan mengadakan perbincangan dikalangan ahli bagi menentukan samaada perlu atau tidak kenaikan harga minuman dilakukan,” katanya.

Terdahulu Chung bersama timbalannya Yu Yien Hian telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pejabat PDNKK cawangan Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari berhubung isu berkenaan di pejabat PDNKK Sri Aman.

Tamat.