Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 September, 2009

Bubur lambuk free esok ! (Jumaat 4 Sept)

SRI AMAN, Khamis - Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman akan menganjurkan Program Mengagihkan Bubur Lambuk 2009 pada hari ini (Jumaat, 4 September).

Jurucakap persekutuan terbabit ketika dihubungi semalam memberitahu bahawa tujuan utama Program Mengagihkan Bubur Lambuk terbabit diadakan adalah untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Bulan Ramadhan pada tahun ini.

“Program pengagihan bubur lambuk ini pada hari ini akan bermula seawal jam 4 petang bertempat di bangunan PPWS Sri Aman yang terletak bersebelahan dengan Pejabat Pos Sriu Aman.

“Program ini merupakan aktiviti tahunan PPWS Sri Aman bagi memeriahkan lagi suasana sambutan bulan Ramadhan yang disambut oleh penduduk beragama Islam dalam bandar Sri Aman,” katanya.

Justeru pihak PPWS kawasan Sri Aman menurut beliau menjemput semua penduduk untuk hadir bagi mengambil bubur lambuk tersebut pada waktu dan lokasi yang telah dinyatakan kepada mereka.

“Bagaimanapun pihak kami berharap agar lebih banyak pihak agensi kerajaan mahupun swasta dalam bandar ini untuk tampil melaksanakan aktiviti kebajikan seperti mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk dalam bulan Ramadhan ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri akan menyempurnakan Program Pengagihan Bubur Lambuk kepada orang rama dalam bandar ini nanti.


Tamat...

02 September, 2009

Pertandingan menghias api pelita di Kampung Muhibbah 9 September


Mugshot: RAMLI ABU SERA

SRI AMAN, Rabu (2 Sept) – Suasana menjelang sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 di bandar ini bakal disemarakkan lagi dengan penganjuran Pertandingan Menghias Api Pelita dan Lampu Elektrik di Kampung Muhibbah Sri Aman pada 18 September ini.

Pertandingan Menghias Api Pelita dan Lampu Elektrik ini adalah merupakan anjuran Jawatankuasa Keselamatan Dan Kebersihan Kampung (JKKK) Zon Tengah Kampung Muhibbah Sri Aman.

“Pertandingan yang bakal berlangsung pada 18 September ini nanti akan melibatkan penyertaan penduduk dari lima buah zon dalam kawasan Kampung Muhibbah Sri Aman ini

“Tujuan utamanya tidak lain adalah untuk untuk menyemarakan lagi suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilftri yang bakal diraikan oleh seluruh utama Islam tidak lama lama lagi,” menurut pengerusi pertandingan tersebut iaitu Ramli Abu Sera.

Menurutnya, antara lima zon dalam kawasan Kampung Muhibbah yang bakal mengambil bahagian dalam pertandingan ini adalah zon tengah, zon selatan, zon barat, zon utara dan zon timur.

Semua penduduk dari kawasan zon yang terlibat dalam pertandingan itu kelak menurut beliau harus menetapi syarat reka bentuk perhiasan pelita yang dinilai dari segi penggunaan lampu elektrik dan jumlah pelita.

Syarat ini menurut beliau sekaligus mengalakkan setiap penduduk dalam kawasan zon Kampung Muhibbah itu untuk mengindahkan rumah dan kawasan kediaman masing-masing bersempena perayaan Hari Raya Aidilftri ini nanti.

“Penduduk dari kelima-lima kawasan zon ini boleh mendapatkan borang penyertaan dengan kadar bayaran sebanyak RM5 untuk satu borang dan tarikh tutup penyertaan pertandingan ini adalah pada 7 September ini.

“Pertandingan ini hanya akan berlangsung selama satu malam iaitu bermula dari jam 9 malam pada hari pertandingan berkenaan,” katanya yang juga merupakan ketua juri hakim bagi pertandingan tersebut.

Ramli berkata, pemenang Pertandingan Menghias Api Pelita dan Lampu Elektrik ini akan membawa pulang hadiah berupa trofi, hamper dan sijil untuk pemenang kedudukan pertama hingga kedudukan ke-6 pertandingan ini.

Sesiapa yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dari Wan Hanapi Tku Haji Sapiee, Ramli Abdul Rahman, Kederi Jaya (dol) atau menghubungi beliau sendiri di talian 013-5773491.

Tamat…


CUEPACS yakin kerajaan bayar bonus


Mugshot: WILLIAM GHANI BINA

SRI AMAN, Rabu (2 Sept) – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak yakin bahawa Kerajaan Pusat akan membayar bonus tahunan terhadap kakitangan kerajaan bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengerusinya William Ghani Bina berkata demikian menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman web sarawakupdate.com.my pada hari ini.

“Kami berharap untuk memperoleh bonus sebulan. Ia cukup baik jika kerajaan dapat membayar separuh bonus ini untuk perayaan Hari Raya manakala separuh lagi untuk perayaan Hari Krismas,” katanya pada laman web tersebut.

Walaupun pihaknya masih belum membuat sebarang permintaan rasmi terhadap kerajaan berhubung perkara terbabit namun beliau yakin bahawa pemimpin kerajaan komited mengutamakan keperluan rakyat dalam membuat sebarang keputusan.

Ghani juga berharap kerajaan dapat membuat pengumuman awal berhubung pembayaran bonus ini memandangkan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang dan pembentangan belanjawan pada akhir bulan ini.

“Pembayaran bonus ini dapat mengurangkan tanggungan golongan berpendapatan rendah disamping memberi erti lebih bermakna terhadap perayaan (Hari Raya) tahun ini terutama sekali dalam kalangan anak muda yang mengiimpikan pakaian baru serta perayaan hebat,” menurut beliau.

Sementara itu Ghani juga berharap agar semua rakyat di negeri ini yakin serta mempercayai tindakan kerajaan dalam memperkenalkan bahan api terbaru yang dikenali sebagai RON 95 sebelum ini.

“Kita boleh percaya dan harap ia adalah bagus. Ia adalah merupakan keputusan kerajaan...saya yakin bahawa tindakan kerajaan ini betul (berhubung pengenalan bahan api tersebut),” tekan beliau.
Tamat.

01 September, 2009

Tangkal Engkerabun 'tawan' Pantu


Caption: INI DIA...Donny sedang menunjukkan tangkal Engkerabun manakal isterinya, Theresa menunjukkan tumbuhan Lemba Kumang digunakan untuk membuat tangkal tersebut.

SRI AMAN, Selasa (1 Sept)– Penggunaan Tangkal Engkerabun mula mendapat perhatian penduduk di kawasan Pantu, Sri Aman terutamanya mereka yang menetap di Kampung Selantik, Ili.

Utusan Sarawak yang kebetulan berada di kampung berkenaan mendapati bahawa penduduk di situ mula membuat Tangkal Engkerabun yang dipercayai mampu mengelakkan si pemakainya daripada terkena jangkitan wabak Influenza A atau H1N1.

“Kepercayaan terhadap mimpi tidak harus disangkal. Kami, masyarakat Iban percaya kepada mimpi berhubung penggunaan Tangkal Engkerabun seperti mana yang dilaporkan oleh media massa sebelum ini.

“Jika itulah yang dikatakan oleh mimpi (penggunaan tangkal terbabit) maka tidak salah saya sebagai orang Iban untuk cuba memakai Tangkal Engkerabun ini demi mengelakkan diri dari terkena jangkitan H1N1,” menurut Donny Daniel.

Beliau yang kini berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia mula mengamalkan pemakaian Tangkal Engkerabun terbabit setelah disyorkan oleh isterinya yang membaca akhbar berhubung tindakan penduduk Lubok Antu yang memakai tangkal tersebut sebelum ini.

“Pembuatan Tangkal Engkerabun adalah cukup mudah sekiranya penduduk berjaya mendapatkan tumbuhan Lemba Kumang dan melilitkannya dengan benang berwarna merah.

“Kebetulan terdapat Lemba Kumang yang tumbuh di sekitar rumah bapa mertua saya di sini (Selantik Ili). Jadi isteri saya, Theresa Terliang, mengambil kesempatan untuk membuat Tangkal Engkerabun bagi kegunaan kami sekeluarga,” menurut beliau.

Sementara itu seorang penganut Kristian dari Lubok Antu iaitu Helda anak Ijau masih percaya kepada amalan penggunaan ‘Engkerabun’ itu dengan harapan agar ia mampu mengelakkan jangkitan wabak H1N1.

Beliau tidak kisah sekiranya orang menganggap pengunaan Tangkal Engkerabun itu adalah tahyul memandangkan pemakaian tangkal terbabit ‘bukan diwajibkan’ dan bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan seseorang individu itu.

“Tiada paksaan untuk memakai ‘Engkerabun’ kerana ia adalah atas kerelaan seseorang yang mahu memakainya. Bagaimanapun dalam masa yang sama nasihat doktor juga harus diterima,” menurut beliau.

Tamat.

Ragam - perempuan tinggal kasut di Bazaar Ramadhan

SRI AMAN, Selasa (1 Sept) – Penganjuran Program Bazaar Ramadhan 2009 di bandar Sri Aman sememangnya mengundang pelbagai ragam manusia yang sering berkunjung ke situ untuk membeli kuih muih.

Ragam ini terbukti apabila seorang ibu beranak tiga dari sebuah rumah panjang di Lubok Antu tertinggal sepasang kasut sebaik sahaja selesai membeli-belah di Bazaar Ramadhan sekitar jam 5 petang kelmarin.

“Wanita terbabit bersama adiknya sebelum ini telah membeli-belah di sebuah pasaraya dalam bandar ini yang pada ketika itu sedang menawarkan aktiviti jualan murah sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia.

“Setelah keletihan membeli barangan di pasaraya itu, ibu berkenaan bersama adiknya terus berkunjung ke Bazaar Ramadhan untuk membeli kuih-muih bagi dibawa pulang ke rumah panjangnya di Lubok Antu,” kata sumber.

Sebaik sahaja selesai membeli-belah di Bazaar Ramadhan, si ibu terbabit terus memasuki kenderaannya dan tanpa sedar meletakkan kedua-dua kasutnya itu di luar kenderaan beliau sendiri.

“Beliau kemudian menyedari kehilangan kedua-dua kasutnya itu sebaik sahaja tiba di rumah panjangnya sendiri.

“Apabila gagal di dalam kenderaan barulah beliau menyedari bahawa kedua-dua kasut miliknya itu terbabit tertinggal di kawasan parkir kenderaan bersebelahan Bazaar Ramadhan berkenaan,” katanya.

Si ibunya seterus kata sumber lagi terus bertindak menghubungi saudaranya di Taman Gamang, Sri Aman dan meminta mereka mencari kedua-dua kasutnya di tempat parkir kereta tersebut.

“Bagaimanapun suadara kepada si ibu berkenaan gagal menemui kasut di tempat parkir kenderaan Bazaar Ramadhan sekitar jam 6.30 petang,” kata sumber sambil menambah si ibu dipercayai merasakan bahawa dia memasuki rumahnya sendiri ketika memasuki kenderaannya sebelum beredar dari Bazaar Ramadhan tersebut.

Tamat.

800 bungkus Lambuk Asura diagih kepada penduduk


Caption: SELAMAT BERPUASA...Kamasita (tengah) ketika sedang menyampaikan Bubur Lambuk Asura kepada penduduk ketika berlangsungnya program itu semalam. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Selasa (1 Sept) – Penduduk beragama Islam dalam bandar Sri Aman dinasihat untuk mengamalkan semangat bersedekah lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadhan pada bulan ini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Stawang, Kamasita Wasli berkata amalan bersedekah mampu menambah pahala semua umat Islam yang melaksanakan aktiviti bersedekah ketika menunaikan ibadat puasa dalam bulan Ramadhan.

“Amalan bersedekah juga harus diamalkan pada hari biasa. Disamping mengeratkan lagi hubungan diantara umat Islam dan bukan Islam dalam bandar ini, amalan bersedekah juga boleh menambah rezeki terhadap penduduk Islam yang melakukannya,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika berlangsungnya Program Agihan Bubur Lambuk Asura 2009 yang berlangsung di Bazaar Ramadhan, Sri Aman petang kelmarin.

Justeru diharap agar pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli korporat dalam bandar Sri Aman tampil untuk melakukan amalan bersedekah lebih-lebih ketika berlangsungnya sambutan bulan puasa sekarang,” katanya.

Sementara itu pihak KRT Kampung Stawang menurut beliau telah mengagihkan sebanyak 800 bungkus Bubur Lambuk Asura secara percuma kepada pengunjung di Bazaar Ramadhan menerusi program itu.

Kesemua 800 bungkus Bubur Lambuk Asura ini menurut Kamasita telah dihasilkan oleh 25 orang ahli KRT Kampung Stawang bermula waktu pagi sebelum ia diagihkan pada jam 4 petang kelmarin.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) cawangan Sri Aman dan Dewan Usahawan Industri Desa Negeri Sarawak Sri Aman kerana menaja program ini.

“Hasil inisiatif pengerusinya iaitu Haji Awang Sohor Awang Apek membolehkan suasana sambutan Bulan Ramadhan di bandar Sri Aman berlangsung dengan meriah menerusi penganjuran program ini,” menurut beliau.

Tamat.

Sambutan merdeka di Sri Aman hambar kata penduduk

SRI AMAN, Selasa (1 Sept) - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 di bandar Sri Aman pada tahun ini kelihatan hambar berikutan tiada aktiviti atau perayaan besar-besaran diadakan seperti mana yang selalu diadakan pada tahun sebelumnya.

Ini berikutan kewaspadaan pihak penganjur terhadap penularan penyakit jangkitan Influenza A atau H1N1 yang kian membimbangkan negara ini pada ketika ini.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak di sekitar bandar atau rumah panjang dalam daerah ini kelmarin mendapati bahawa para penduduk hanya sibuk melakukan kerja seharian masing-masing walaupun ketika berlangsungnya hari bersejarah itu.

Jika ada kesesakan dalam bandar ini ia pun disebabkan oleh kemahuan penduduk yang mengambil kesempatan untuk bersiar-siar bersama ahli keluarga masing-masing bersempena hari cuti perayaan tersebut.

Morgan Alban, 27 dari kampung Nyakai, Sri Aman, ketika ditemui berkata tiada suasana yang ketara menunjukkan berlakunya perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 dalam bandar ini kelamrin.

Beliau berkata, orang-ramai dalam bandar ini kelihatan sibuk dengan rutin harian hidup masing-masing dengan berkunjung ke pusat membeli-belah seperti pasaraya untuk membeli barang keperluan harian.

“Suasana hambar di sini tidak semestinya menunjukkan penduduk bandar Sri Aman tiada sifat Nasionalisme memandangkan Hari Kemerdekaan juga boleh disambut dalam ‘hati’ dan bukannya secara luaran,” menurut beliau.

Menurut beliau adalah lebih baik tiada acara besar bersempena sambutan hari bersejarah diadakan dalam bandar ini demi mengelakkan penularan penyakit H1N1.

Seorang ketua kaum dari Pekan Lubok Antu iaitu Kapitan Tay Choo Meng juga mengakui bahawa pekan berkenaan kelihatan sunyi berikutan ketiadaan aktviti utama bagi demi memeriahkan suasana hari bersejarah tersebut.

Beliau berharap agar wabak H1N1 dapat dibendung selepas ini bagi membolehkan penganjuran Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-53 pada tahun akan datang.

Tamat...