Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 June, 2009

Hargai nikmat keamanan - Rayong


Caption: UNTUK ALBUM...Rayong (duduk di sofa) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Edwin (dua kanan) dan penghuni rumah panjang yang lain ketika berlangsungnya kunjungan beliau di situ semalam.

LUBOK ANTU, Ahad (7 Jun) – Rakyat berbilang kaum dalam negeri ini harus menghargai nikmat keamanan yang mereka perolehi menerusi keadaan politik yang stabil dari masa ke semasa kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Kestabilan politik dalam negeri menurut beliau membolehkan rakyat berbilang kaum dalam negeri ini dapat bersama-sama meraikan perayaan utama kaum masing-masing semenjak Sarawak membantu pembentukkan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 dahulu.

“Semua rakyat harus mengekalkan keadaaan ini. Dengan kata lain mereka (rakyat) perlu bekerjasama untuk kestabilan politik terus kukuh,” katanya ketika mengadakan kunjungan Gawai Dayak ke rumah wartawan Utusan Borneo Sri Aman, Edwin Raoh di Rumah Jubang, Sbangkie Panjai, Lubok Antu semalam.

Kestabilan politik dalam negeri ini kata Rayong juga secara tidak langsung membolehkan kerajaan terus merangka pelbagai pelan pembangunan untuk rakyat di kawasan dalam dan luar bandar.

Disamping menikmati keadaan yang aman, rakyat kata beliau juga bakal menyaksikan transformasi pembangunan di kawasan penempatan masing-masing sama ada bagi jangka masa panjang atau pendek.

“Ini adalah kelebihan kita sebagai orang Sarawak. Kita sedar bahawa faktor kestabilan politik ini bukan sahaja dapat menghimpunkan kita semua secara aman malah membantu kerajaan untuk melaksana pelbagai pelan pembangunan di kawasan masing-masing.

“Saya menjangkakan taraf hidup rakyat di negeri ini akan meningkat lebih tinggi dalam tempoh 20 tahun akan datang jika keadaan ini dikekalkan,” katanya sambil menambil bahawa perlaksaan Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) menjadi salah satu penyumbang dalam peningkatan taraf hidup penduduk di negeri ini.

Justeru Rayong menasihatkan rakyat agar tidak mudah terjebak dengan politik perkauman yang sentiasa diapi-apikan oleh pihak pembangkang sebelum ini kerana ia boleh menjejaskan perpaduan kaum dan perlaksanaan politik pembangunan di negeri ini.

Tamat.

07 June, 2009

Taib - amalan kerajaan demokrasi Malaysia terbaik

SRI AMAN, Sabtu (6 Jun) – Amalan sistem kerajaan demokrasi dan Raja Berpelembagaan merupakan satu amalan yang terbaik dan menjadi satu kebanggaan bagi semua rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata Amalan sistem kerajaan demokrasi dan Raja Berpelembagaan terserlah menerusi sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diraikan pada setiap tahun di negara ini.

“Amalan sistem kerajaan demokrasi dan Raja Berpelembagaan secara tidak langsung telah menyatupadukan seluruh rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

“Semoga dengan dengan suasana aman, sejahtera dan makmur yang berterusan dalam negara ini membolehkan kerajaan untuk melaksanakan konsep 1Malaysia bagi kebaikan semua rakyat,” katanya.

Taib berkata demikian menerusi perutusan dalam buku Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak yang diperoleh pada Majlis Jamuan Teh bersempena sambutan hari berkenaan di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu rakyat Sarawak menurut beliau juga telah menyaksikan transformasi besar kepada pembangunan dalam negeri ini hasil amalan sistem demokrasi yang terus memberi ruang kepada rakyat untuk sama-sama menjayakannya dari masa ke semasa.

“Lagipun kehormanian tanpa mengira pegangan agama, kaum dan politik adalah merupakan tonggak utama di Sarawak yang telah banyak membantu rakyat untuk mengecapi keamanan, kemajuan serta pembangunan yang sedia ada pada hari ini.

“Oleh itu, berlandaskan kepada komitmen yang jitu, rakyat harus memperlengkapkan diri untuk menghadapi semua cabaran yang mendatang agar kemajuan dan pembangunan di negeri ini dapat dikekalkan,” katanya.

Terdahulu Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah telah merasmikan Majlis Jamuan Teh yang diadakan bersempena dengan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Taib telah diwakili oleh Menteri Perumahan, Menteri Perumahaan, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg pada majlis itu.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Wilson Baya Dandot, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Haji Bolhassan Di, wakil rakyat, para pegawai tinggi kerajaan dan ketua kaum dari daerah ini.

Tamat.

TYT rasmi sambutan Hari Agong di Sri Aman


SRI AMAN, Sabtu (6 Jun) – Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah telah ‘membuka tirai’ sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak di sini malam tadi.

Tun Salahuddin bersama isteri membuka tirai sambutan Hari Keputeraan Agong berkenaan dengan menghadiri Majlis Kesyukuran di Masjid Bandar Sri Aman pada jam 7.10 malam.

Hadir sama ialah Menteri Perumahaan, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg selaku mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, para barisan menteri kabinet dan wakil rakyat dari daerah ini.

Beliau bersama isteri yang terlebih dahulu menunaikan solat Magrib di Rumah Sri Aman pada jam 6.39 petang kemudiannya bersama para tetamu kehormat yang lain telah mendengar tazkirah dan seterusnya menunaikan Solat Isyak berjemaah pada jam 7.56 malam.

Majlis itu kemudiannya disambung semula dengan upacara Zikir Marhaban dan Doa Kesyukuran sebelum Tun Salahuddin bersama isteri bersama para tetamu kehormat yang lain menghadiri majlis makan malam dan seterusnya berangkat pulang ke Rumah Sri Aman pada jam 9.10 malam.

Sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak dimeriahkan lagi dengan Majlis Jamuan Teh bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Tun Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Hajah Norkiah sekali lagi menyerikan sambutan Hari Keputeraan Agong apabila menghadiri majlis berkenaan pada jam 9.30 pagi hari ini.

Setelah selesai upacara Nyanyian Lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, beliau dan isteri sambil diiringi oleh Datuk Amar Abang Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Wilson Baya Dandot, barisan menteri kabinet, wakil rakyat dan para pegawai tinggi kerajaan kemudiannya menyempurnakan upacara ucap selamat pada majlis berkenaan.

Sambil diiringi oleh persembahan hiburan daripada kugiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tun Salahuddin bersama isteri dan tetamu kehormat yang lain kemudiannya menikmati jamuan teh sebelum berangkat ke Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) untuk melawat Pameran Raja-Raja di situ pada jam 11 pagi.

Tun Salahuddin bersama isteri, Toh Hajah Norkiah kemudiannya berangkat pulang ke Kuching setelah meluangkan masa selama 15 minit untuk melawat tapak Pameran Raja-Raja di situ.

Tamat.

05 June, 2009

Kerajaan serius terhadap aspek pembangunan rakyat kata Harden


Caption: RASMI...Harden (lima dari kanan) bersama Masir (kiri beliau) dan para tetamu undangan yang lain sedang menyempurnakan upacara memotong kek bersempena dengan majlis itu di sini hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (5 Jun) – Kerajaan pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) masih memberi penekanan serius terhadap aspek kemajuan dan kesejahteraan rakyat khususnya sekali bagi mereka yang menetap di kawasan luar bandar dalam negeri ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai bagi peringkat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang bertempat di Rumah Batang, Entawa Undop, Sri Aman hari ini.

Usaha terbabit kata beliau dapat dilihat melalui pelbagai program pembangunan yang yang telah, sedang dan akan giat dilaksanakan oleh negeri untuk menfaat dan kesenangan semua lapisan masyarakat di negeri ini.

“Kerajaan menerusi teraju Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud kini bakal melaksana beberapa projek pembangunan untuk semua masyarakat di negeri ini seperti Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE), Projek Agropolitan di Lingga (Sri Aman) dan sebagainya.

“Bagaimanapun usaha ini akan sukar dicapai dengan berkesan sekiranya masyarakat tidak memanfaatkan sepenuhnya segala peluang dan kemudahan pembangunan yang telah disediakan oleh kerajaan untuk mereka,” katanya.

Justeru masyarakat di negeri ini kata Harden tidak boleh bersikap berdiam diri dan hanya mengharapkan segala bantuan dan subsidi daripada pihak kerajaan sahaja demi kesenangan hidup masing-masing.

Sebaliknya semua masyarakat menurut beliau perlu berdikari, mempunyai inisiatif dan merebut segala peluang pembangunan yang telah disediakan oleh kerajaan sebelum dan selepas ini.

“Peluang yang disedia oleh kerajaan ini termasuklah dari sektor perindustrian, perniagaan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), perladangan, pendidikan, pelancongan, perkhidmatan dan sebagainya.

“Dalam konteks ini, masyarakat haruslah berupaya untuk memahami dan menerima perubahan serta idea-idea baru dengan mengubah cara kita berfikir serta bekerja supaya kitak tidak tercicir dari arus pembangunan yang kian pesat melanda pada masa sekarang,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pemanca Sii Toh Peng, Pemanca Tay Ban Cho dan para ahli jawatankuasa parti SUPP cawangan Simanggang yang lain.

Tamat.

Orang Dayak lebih kaya berbanding dulu kata Uggah


Caption: APA KHABAR? Uggah sambil diiringi oleh (belakang beliau) Lawson dan Sigan sedang bersalaman dengan penduduk rumah Setang sebaik sahaja tiba di situ baru-baru ini.

DEBAK, Jumaat (5 Jun) – Sambutan secara besar-besaran Gawai Dayak, rumah panjang berkonkrit yang luas dan jumlah kenderaan keluarga yang banyak adalah merupakan bukti kejayaan peningkatan taraf hidup masyarakat Dayak di negeri ini kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglass Uggah anak Embas.

Menurut beliau kejayaan peningkatan taraf hidup masyarakat Dayak pada masa sekarang ternyata menolak sama sekali dakwaan pemimpin de’facto Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para konconya yang mendakwa masyarakat Dayak masih dilanda masalah kemiskinan tegar selama ini.

“Anda tidak boleh mengadakan perayaan Gawai Dayak secara besar-besaran kalau hidup sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Bagaimanapun masyakarat Dayak kini dapat mengadakan perayaan utama mereka secara besar-besaran di rumah panjang masing-masing yang serba maju...ini menunjukkan bahawa orang Dayak tidak lagi miskin seperti mana yang didakwa oleh mereka (konco Anwar) selama ini,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian kepada pemberita ketika merasmikan Upacara Gawai Mangkong Tiang di Rumah Setang, Ulu Babu, Rimbas dalam daerah Debak, Betong baru-baru ini.

Selain itu Uggah juga menambah bahawa jalan raya sesak dengan jumlah kenderaan milik masyarakat Dayak yang banyak ketika pulang ke kampung halamannya pada 30 Mei lalu.

“Lapan daripada 10 buah kenderaan itu boleh dikatakan milik Dayak. Lagipun saya menjangkakan setiap keluarga dari 27 buah bilik rumah panjang (Ulu Babu) ini mempunyai kenderaan atau lebih,” katanya.
Beliau juga menambah ianya adalah merupakan satu perubahan taraf hidup penghuni rumah panjang berkenaan yang ketara berbanding ketika mula mengunjungi rumah panjang itu pada tahun 1978 dahulu.

“Mereka yang membesar pada era tahun 1980-an perlu menerangkan kepada generasi muda anda tentang bagaimana kita meningkat maju dari masa ke semasa disamping mengekalkan kestabilan politik ini secara bersama sehingga menyumbang ke arah kemajuan masyarakat kita pada masa sekarang,” katanya.

Turut bersama Uggah ketika merasmikan Upacara Gawai Mangkong Tiang ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan Residen Bahagian Betong, Romie Sigan Daniel.
Tamat.

Sri Aman tuan rumah sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak 2009

SRI AMAN, Jumaat - Bandar Sri Aman telah dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak bermula dari 5 hingga 7 Jun ini.
Untuk itu lima buah acara telah disusun demi menjayakan sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak antaranya ialah Pameran Raja-Raja Kita, Majlis Kesyukuran, Majlis Jamuan Teh, Perlawanan Bola Sepak Persahabatan dan Pentas Rakyat.
“Pameran Raja-Raja akan diadakan bermula hari ini (5 Jun) hingga 7 Jun kelak bertempat di Perpustakaan Awam Majlis Daerah Sri Aman bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Manakala Majlis Kesyukuran yang juga berlangsung pada hari ini (5 Jun) di Masjid Bandar Sri Aman akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin,” kata jurucakap penganjur ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Manakala itu pada 6 Jun pula, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bersama Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud akan menghadiri Majlis Jamuan Teh di Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 9 pagi.
Manakala pada jam 4 petang hari yang sama pula, Pasukan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang bertugas di Sri Aman akan berentap dalam Perlawanan Bola Sepak Persahabatan bertempat di Padang Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Lama.
“Majlis pada malam hari itu (6 Jun) akan dimeriahkan lagi dengan Program Pentas Rakyat bertempat di Ampitheater, Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 8 malam dimana pelbagai persembahan menarik termasuk pertunjukkan kebudayaan dan nyanyian oleh artis tempatan akan diadakan menerusi program itu.

“Pada 7 Jun pula Kelab TopGear Motorsport Sri Aman akan menganjurkan Sukaneka Permotoran 2009 bertempat di padang lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Justeru orang ramai diharap agar tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pelbagai acara menarik yang diadakan bermula dari 5 hingga 7 Jun ini nanti.

Tamat.

Gawai sebagai platform perpaduan - Harden


Caption: RAIKAN BERSAMA...Harden dan isteri, Simba Nalang (duduk tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para tetamu ketika berlangsungnya majlis rumah terbuka di kediaman beliau 1 Jun lalu.


SRI AMAN, Khamis (4 Jun) – Perayaan Gawai Dayak perlu dikekalkan sebagai sebuah ‘platform’ untuk mengeratkan hubungan perpaduan di antara penduduk berbilang kaum dalam negeri ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika berlangsungnya Majlis Rumah Terbuka Gawia Dayak 2009 di kediaman beliau dalam kawasan Jalan Tini pada 1 Jun lalu.

Menurut beliau perayaan Gawai Dayak telah menghimpunkan semua penduduk berbilang kaum termasuk Cina, Melayu dan Iban dalam memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan berkenaan pada 1 Jun setiap tahun.

“Berbanding dengan zaman dahulu, perayaan Gawai Dayak adalah merupakan perayaan yang boleh dimeriahkan secara bersama oleh oleh semua kaum dan bukannya khusus untuk penduduk kaum Dayak sahaja.

“Justeru dengan kata lain Gawai harus dikekalkan sebagai sebuah platform untuk mengekalkan hubungan perpaduan dikalangan semua kaum ke arah menjayakan konsep 1Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu hubungan perpaduan yang erat dikalangan semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini juga menurut Harden boleh menyumbang ke arah kestabilan politik dari masa ke semasa.

Kestabilan politik ini kemudiannya menurut beliau akan mengalak kedatangan lebih ramai pelabur asing ke negeri ini dalam mempertingkatkan lagi status ekonomi penduduk menjelang tahun 2020 kelak.

“Justeru, bagi saya, adalah amat penting bagi penduduk kaum Dayak dalam negeri ini untuk menjadikan Gawai sebagai sebuah perayaan yang unik dan mampu menghimpunkan semua penduduk berbilang kaum dalam negeri ini.

“Ketepikan perasaan diskriminasi dalam diri masing-masing. Malaysia adalah sebuah negara majmuk dan perpaduan adalah merupakan satu intipati penting dalam mengangkat nama negara ini pada masa akan datang,”katanya.

Terdahulu suasana sambutan perayaan Gawai Dayak di rumah Harden bermula 1 Jun hingga kelmarin telah dimeriahkan dengan kehadiran ahli Persatuan Foochow Simanggang, Persatuan Che Chuan Khor Cawangan Simanggang, Persatuan Klan Lim Simanggang, Persatuan Hakka Sri Aman, Persatuan Ketua Kaum Iban Sri Aman serta Persatuan Ketua-Ketua Masyarakat Melayu Sri Aman. Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Temenggung Micheal Pilo, Temenggong Tan Chong Meng, Pemanca Samuel Lawen, Pemanca Sii Toh Peng serta para ketua kaum juga turut hadir di majlis rumah terbuka beliau.

Tamat.