Caption:
PIX 1: LAWAT...Dr Lee Boon Chye, Jugah Muyang dan
rombongan bergambar kenangan ketika melawat ke kawasan berhampiran tapak projek
Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang baharu di Lubok Antu semalam.
PIX 2: MENARIK...Gambar pelan ini menunjukkan rupa Klinik
Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang sedang dibina di Lubok Antu dengan kos
sebanyak RM28.9 juta dan dijangka siap pada Oktober tahun hadapan.
PIX 3: UNTUK KENANGAN...Dr Lee Boon Chye, Jugah Muyang dan
rombongan menunjukkan isyarat jari bagus ketika melawat Klinik Kesihatan Lubok
Antu yang lama di Lubok Antu semalam.
UTUSAN SARAWAK
LUBOK ANTU: Hospital Sri Aman yang baharu dijangka dapat
beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan demikian menurut
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.
Menurut beliau projek hospital baharu yang dikategorikan
sebagai 'sakit' itu sudah mencapai status 82 peratus siap pada masa sekarang
dengan perlaksanaannya kini dilihat mengalami kelewatan dari jadual sebenar.
"Struktur bangunannya kini sudah siap. Kini kita
sedang menyiapkan kerja-kerja mekanikal dan kejuruteraan termasuk kerja
pemasangan bahagian dalaman yang akan mengambil masa antara lapan hingga 10
bulan.
"Apabila selesai, pihak kementerian akan mengambil
alih projek hospital baharu itu dengan tempoh selama enam bulan diperlu bagi
melaksana ujian dan pertauliahan bagi memastikan segalanya berjalan
lancar,"kata beliau.
Lee berkata demikian ketika sidang media bersempena
dengan lawatan kerjanya ke tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan Lubok Antu
(Jenis 4) yang baharu bertempat di Klinik Kesihatan Lubok Antu lama di sini
pada Selasa lepas.
Beliau turut memberitahu bahawa kontraktor projek
hospital baharu tersebut sudah diberi dua kali lanjutan masa iaitu 460 hari
dengan lanjutan masa ketiga mungkin akan dipertimbang oleh pihak Jabatan Kerja
Raya (JKR) kelak.
Sementara itu Lee pada sidang media itu juga turut
mengumum beberapa projek pembinaan Klinik Kesihatan yang sedang melalui proses
tender dan bakal dilaksana dalam negeri ini.
Katanya, Klinik Kesihatan (Jenis 2) akan dibina di Miri,
Tabuan Jaya (Kuching), Serian, Siburan, Semalau (Sarikei), Nanga Kemaleh
(Julau), Long Napir (Limbang) dan Simpang Bukut (Mukah).
"Manakala itu, Klinik Kesihatan (Jenis 3 dan 5) yang
sudah dilulus atau dalam proses tender sekarang ini akan dibina di kawasan
Lawas, Long Busang (Belaga), Semok (Mukah), simpang Simunjan dan Long San
(Baram)," katanya.
Terdahulu Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang
baharu sedang dibina di atas tanah berkeluasan 9.8 ekar dalam Lot 900, Block
12, Bukit Besai Land District di sini dengan kos sebanyak RM28.9 juta.
Projek pembinaan klinik kesihatan baharu yang dilaksana
oleh kontraktornya iaitu Akobest Sendirian Berhad berkenaan telah bermula 29 Oktober
tahun lepas dan dijangka siap pada 28 Oktober tahun hadapan.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang,
Pegawai Tugas-Tugas Khas Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Syrrunnaja Adnan,
Pengarah Bahagian Perancangan, Dr Nordin Salleh, Pegawai Kesihatan Bahagian Sri
Aman, Dr Euphrasia Bari, Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hazwani Mohd Yusop dan
para kakitangan Jabatan Kesihatan di sini.
Tamat