Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 February, 2012

KRT Tanjung Engkabang sahut seruan 1 Malaysia

Caption: 1MALAYSIA...Ahli KRT Tanjung Engkabang bergambar kenangan ketika mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina di Taman Norita malam tadi.

SRI AMAN, Rabu (1 Februari) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Engkabang telah menyahut seruan 1 Malaysia apabila mereka mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung bersempena sambutan Tahun Baru Cina 2012 dalam Bandar Sri Aman malam tadi.

Rombongan sambutan Tahun Baru Cina 2012 yang disertai lebih daripada 15 orang ahli ini telah bermula sekitar jam 8 malam dan diketuai oleh Pengerusi KRT Tanjung Engkabang iaitu Mas Mashore Haji Maslem.

Beliau ketika ditemui memberitahu amalan kunjung-mengunjung seperti ini adalah amat penting demi mewujudkan semangat muhibbah dikalangan penduduk berbilang kaum dari masa ke semasa.

“KRT Tanjung Engkabang juga berfungsi sebagai salah satu platform untuk merapatkan lagi hubungan antara penduduk berketurunan Melayu, Iban dan Cina dalam kawasan Sri Aman.

“Justeru kita berharap agar amalan seperti ini akan dapat menjadi contoh kepada mana-mana KRT di kawasan Sri Aman dalam membantu kerajaan mewujudkan semangat perpaduan dikalangan penduduk pada masa akan datang,” katanya.

Mashore turut memberitahu bahawa amalan seperti ini akan dapat memperkukuhkan lagi semangat kekitaan di antara penduduk berbilang kaum di Sri Aman menerusi perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia.

Terdahulu rombongan KRT Tanjung Engkabang telah memulakan kunjungan Tahun Baru Cina ke kediaman seorang ketua kaum Cina dalam bandar ini iaitu Kapitan Kueh Aik Seng dan keluarga.

Mereka kemudiannya mengadakan kunjungan yang serupa ke kediaman rakan-rakan berketurunan Cina di Taman Norita selepas itu sebelum aktiviti mereka selesai menjelang jam 11 malam.

Tamat.

PBTM digesa rekrut ramai ahli - Harden

Caption: TERIMA KASIH...Nalang (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Harden (kanan) sambil disaksikan oleh Masir (dua kanan) dan tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (30 Jan) – Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) digesa untuk merekrut lebih ramai pesara Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) ke dalam persatuan mereka selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata langkah ini penting agar golongan bekas tentera sedar manfaat yang bakal mereka perolehi dengan menyertai persatuan terbabit.

“Dengan menyertai PBTM di kawasan masing-masing, golongan bekas tentera akan dapat memohon bantuan hospital, sara idup, persekolahan untuk anak-anak, sumbangan untuk ahli keluarga bagi mendiang bekas tentera dan banyak lagi.

“Atas sebab ini jika ada PBTM di kawasan anda (bekas tentera) maka saya mengalakkan mereka agar segera mendaftarkan diri untuk menyertai persatuan terbabit demi kebaikan diri masing-masing selepas ini,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun Ke-36 Penubuhan PBTM cawangan Sri Aman di sini malam tadi.

Selain itu penyertaan bekas tentera dalam PBTM menurut beliau juga akan membolehkan suara mereka menjadi lebih lantang dan mudah menjadi perhatian pihak kerajaan dari masa ke semasa.

“Ingin saya ingatkan kepada semua bekas tentera bahawa PBTM adalah merupakan salah satu daripada 21 buah persatuan yang paling aktif dalam negeri Sarawak pada masa sekarang.

“Justeru penyertaan mereka dalam PBTM tidak akan sia-sia selepas ini apabila masalah yang mereka suarakan menerusi persatuan itu akan sering mendapat perhatian kerajaan selepas itu,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid, Pengerusi PBTM cawangan Sri Aman, Nalang Selingau, para barisan AJK dan Srikandi persatuan terbabit.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada PBTM cawangan Sri Aman dan RM3,000 kepada Srikandi persatuan itu dengan Masir juga turut mengumumkan jumlah peruntukan yang sama kepada kedua-dua pihak tersebut.

Majlis turut diserikan lagi dengan upacara memotong kek ulangtahun, penyampaian insentif kepada anak-anak ahli persatuan dan penyampaian cenderamata kepada wakil rakyat pada majlis itu.

Tamat.


Setiap rumah panjang perlu pasuka bomba sukarela - Nyalau


Caption: MANFAATKAN...Nyalau menyampaikan cek kepada Tr Jensen sambil disaksikan oleh Mong dan Rayong pada majlis berkenaan.

ENGKILILI, Isnin (30 Jan) – Setiap rumah panjang digalakkan untuk menubuhkan Pasukan Sukarelawan Bomba bagi menangani kejadian kebakaran di peringkat awal dalam kawasan penempatan masing-masing selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jensen Nyanggau, Pematoh, Engkilili kelmarin.

Katanya penubuhan Pasukan Sukarelawan Bomba mampu berfungsi sebagai pasukan tindakan awal dalam menbendung merebaknya api kebakaran di rumah panjang mereka sebelum ketibaan pasukan Jabatan Bomba Dan Penyelamat selepas itu.

“Justeru saya menggesa agensi kerajaan terutama sekali Pejabat Daerah untuk bekerjasama dengan pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat untuk mewujudkan pasukan seperti itu di rumah panjang.

“Kedua-dua pihak boleh membantu memberi kursus tentang langkah-langkah awal mengenai pencegahan kebakaran ataupun memadam api yang betul sekiranya berlaku kebakaran selepas ini,” katanya.

Nyalau yakin usaha ini akan membolehkan Pasukan Sukarelawan Bomba bertindak dengan lebih efisyen dalam menjaga keselamatan harta benda dan nyawa penduduk rumah panjang daripada musibah kebakaran di masa akan datang.

Malah usaha ini secara tidak langsung menurut beliau mampu membantu pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat sebelum ketibaan mereka ke tapak kejadian kebakaran berkenaan selepas itu.

“Bagamanapun saya kesal apabila terdapat segelintir penghuni rumah panjang yang bertindak menyelamatkan harta-benda terlebih dahulu daripada memadam api kebakaran kecil dan masih mampu dipadam dalam kawasan mereka.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan penghuni rumah teres di bandar juga akan memadam api kebakaran kecil di kawasan kejiranan mereka terlebih dahulu daripada bertindak menyelamat harta sendiri,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang telah merasmikan majlis itu sambil disaksikan oleh ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Betong, Fridah Belik dan tetamu khas yang lain.

Nyalau menerusi majlis berkenaan telah menyerahkan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM10,000 kepada JKKK Jensen Pematoh dan RM3,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

Tamat..

Tiada isu lagi pasal dakwaan tanah rampas tanah rakyat - Mong


Caption: SELAMAT DATANG YB...Mong sedang berjabat tangan dengan penduduk Rumah Jensen sambil diikuti oleh Nyalau dan Rayong dari belakang sebaik sahaja tiba di situ kelmarin.

ENGKILILI, Isnin (30 Jan) – Penduduk kawasan luar bandar perlu sedar bahawa isu kerajaan merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah merupakan satu fitnah yang sengaja direka-reka oleh pihak pembangkang.

Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan Dan Penyelarasan) Datuk Mong Dagang berkata fitnah terbabit bertujuan untuk melemahkan sokongan penduduk terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Lagipun Kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya akan membayar pampasan terhadap penduduk sekiranya tanah milik mereka ini diambil-alih bagi tujuan pembangunan.

“Dengan kata lain dakwaan bahawa kerajaan merampas tanah penduduk adalah tidak benar. Itu cuma satu mainan politik oleh pihak pembangkang bagi meraih sokongan mereka pada pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jensen Nyanggau, Pematoh, Engkilili kelmarin.

Selain itu Mong juga menasihatkan penduduk kawasan luar bandar agar tidak berselisih faham di antara satu sama lain ketika kerajaan BN mahu melaksanakan kerja sukatan primeter terhadap tanah NCR masing-masing.

“Jika mahu kerja penyukatan perimeter terhadap tanah NCR masing-masing diselesaikan dengan lancar maka semua pemilik haruslah mengamalkan sikap muafakat di antara satu sama yang lain selepas ini,” katanya.

Beliau menerusi majlis itu juga turut menyuarakan sokongannya terhadap William Nyalau Badak sekiranya dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu milik BN itu pada pilihan raya umum akan datang.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu,William Nyalau Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik, wakil Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Betong, Ramsay Selat, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

29 January, 2012

RELA Sri Aman jayakan kempen derma darah seluruh negara

Caption: SABAR...Para anggota RELA sedang berbaris untuk mendaftar diri masing-masing sebagai penderma darah ketika berlangsungnya program itu hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (28 Jan) – Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman nyata ketinggalan untuk menjayakan Program Derma Darah Perdana 2012 yang dianjurkan serentak di seluruh negara bermula jam 8 pagi hingga 2 petang hari ini.

Tinjauan Utusan Sarawak sekitar awal pagi hari ini mendapati bahawa kawasan Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman (sebelah Balai Polis Sri Aman) dibanjiri para anggota RELA yang mahu menderma darah di situ.

Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu sejumlah 81 orang anggota RELA sudah mendaftar diri untuk menderma darah menerusi kempen ini bermula dari jam 8 hingga 9.30 pagi.

“Pihak kami menjangkakan kehadiran seramai 200 orang anggota RELA Daerah Sri Aman dengan sasaran seramai 100 orang akan mendaftarkan bagi menderma darah masing-masing menerusi program ini.

“Pasukan RELA Daerah Sri Aman yakin akan dapat mencapai sasaran ini dengan 81 orang anggota sudah pun mendaftar diri masing-masing untuk menderma darah pada jam 9.30 pagi,” katanya.

Sementara itu Penolong Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Mejar (RELA) Joshua Ijau ketika ditemui berharap agar program ini dapat membantu pasukan RELA Malaysia untuk mencipta rekod baru dalam Malaysian Gunniess Book Of Record.

Program Derma Darah Perdana 2012 ini katanya akan mengumpul jumlah penyertaan teramai anggota RELA dalam sehari di seluruh negara yang mengambil bahagian pada program itu serentak pada hari ini.

“Selain itu Program Derma Darah Perdana 2012 ini juga membolehkan anggota RELA berbakti terhadap masyarakat dengan membantu menyumbang darah bagi keperluan Bank Darah.

“Justeru kita berharap agar pembabitan anggota RELA Daerah Sri Aman dalam program ini akan dapat membantu RELA Malaysia mencipta rekod baru dalam Malaysian Gunniess Book Of Record pada hari ini,” katanya.

Tamat. 

Harden buat kunjungan TBC ke Lingga


Caption: TERIMALAH...Harden menyerahkan cek kepada Ong sambil disaksikan oleh tetamu yang lain ketika berlangsung program kunjungan perayaan Tahun Baru Cina di Pekan Lingga kelmarin.

LINGGA, Sabtu (28 Jan) – Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis masih meneruskan kunjungan perayaan sambutan Tahun Baru Cina di Pekan Lingga kelmarin.

Beliau bersama rombongan telah mengadakan kunjungan perayaan ke kediaman ketua kaum Cina dan ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di Pekan Lingga itu bermula jam 9.30 pagi.

Sambil ditemani oleh isteri beliau iaitu Datin Simba Nalang, Harden dan rombongan berkesempatan untuk beramah-mesra dengan penduduk-penduduk di Pekan Lingga sambil berkunjung ke kediaman ketua kaum di situ.

Beliau juga turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 kepada Kesatuan Bonevolent Soon Heng yang diterima oleh pengerusinya iaitu Wong Yew Ong.

Harden ketika ditemui memberitahu kunjungan perayaan kali ini nyata amat bermakna demi mengeratkan lagi hubungan antara ahli SUPP cawangan Lingga dan juga cawangan Simanggang.

“Selain itu kunjungan perayaan ini juga amat penting bagi mengeratkan semangat muhibah dikalangan ahli SUPP peringkat cawangan dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing terhadap pembangunan hidup rakyat.

“Justeru saya berharap agar kunjungan perayaan seperti ini dapat mewujudkan semangat kekitaan dikalangan ahli parti SUPP cawangan Simanggang dan Lingga pada masa akan datang,” katanya.

Turut menyertai kunjungan perayaan Tahun Baru Cina di Pekan Lingga ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang iaitu Vincent Roy Muda.

Tamat.

Buah issu kuasai Pasar Tamu


Caption:

1. MUSIM ISSU...Seorang wanita sedang menunggu pelanggan ketika menjual buah issu berkenaan di Pasar Tamu minggu lepas.

2. MENARIK...Buah issu mempunyai bulu kulit yang runcing serta panjang berbanding dengan buah durian yang mempunyai kulit bulu lebih pendek..

SRI AMAN, Sabtu (28 Jan) – Sebut sahaja nama buah issu sudah tentunya penduduk khasnya mereka yang datang dari luar bandar tergambar rupa buah terbabit yang seakan-akan menyamai Raja Buah iaitu durian.

Juga turut dikenali sebagai ‘rian laki’ di kawasan Sri Aman, buah issu ini mempunyai isi yang kental dan berwarna kuning (atau jingga dan merah bagi sesetengah buah) dengan bulu kulitnya yang lebih runcing serta tajam.

“Bulu kulit buah durian pula pendek. Inilah perbezaan ketara di antara bulu kulit buah issu dan durian,” kata seorang penjual buah issu ketika ditemui Utusan Sarawak di Pasar Tamu, Sri Aman pada minggu lepas.

Tanpa memperkenalkan namanya kepada Utusan Sarawak, penjual wanita itu memberitahu bahawa buah issu yang beliau jual di Pasar Tamu telah pun dibawa dari kawasan Skrang, Engkilili.

Dengan harga jualannya mencecah RM10 bagi empat biji buah, penjual wanita berkenaan memberitahu bahawa buah issu mempunyai keistimewaannya tersendiri berbanding buah durian.

“Tidak ramai penduduk yang mempunyai dusun buah issu. Atas sebab inilah adalah sukar untuk peminat buah issu mendapatkan buah terbabit berbanding lain-lain buah di Sri Aman.

“Sesetengah orang berkata bau buah ini seperti bawang. Namun saya percaya bahawa sebab utama buah issu amat digemari penduduk ialah kerana bau buahnya yang kurang kuat berbanding dengan durian,” menurut beliau.

Beliau juga turut memberitahu bahawa kawasan Skrang, Engkilili sudah pun mula dikuasai oleh buah issu semenjak dua minggu lepas dengan pemiliknya mengambil kesempatan untuk menjual buah itu pada masa sekarang.

“Ia umpama durian runtuh untuk kami semua.  Musim buah issu nyata memberi rezeki tambahan untuk kami semua khasnya penduduk dari kawasan luar bandar pada masa sekarang,” tambah beliau.

Tamat.