Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 January, 2012

Kumpulan SPDP5 belum fikir mahu tubuh parti baru - Entrie


LUBOK ANTU, Jumaat (20 Jan) – Kumpulan SPDP5 masih belum mempunyai sebarang hasrat untuk menubuhkan sebuah parti baru semenjak keahlian mereka dalam Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) diberhentikan sebelum ini.

Lima anggota kumpulan SPDP5 ini ialah ADUN Marudi, Datuk Sylvester Entrie Muran, ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian, Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe, ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan  ADUN Bekenu, Rosey Yunus.

“Kami berlima masih belum memikirkan perkara itu...namun kita tunggu dan lihat sajalah,” kata Sylvester ketika ditanya oleh pemberita mengenai hasrat mereka untuk penubuhan parti baru selepas dipecat dari SPDP.

Kumpulan SPDP5 ini tambah beliau masih lagi kekal sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memandangkan mereka telah dipilih oleh rakyat (menerusi tiket BN) pada pilihan raya umum lepas.

Atas sebab ini kumpulan SPDP5 kata Entrie akan tetap meneruskan tugas sebagai wakil rakyat di dalam kawasan DUN atau Parlimen masing-masing walaupun tidak bersama SPDP.

“Soal sama ada kami berlima di dalam atau di luar parti itu (SDPD) adalah tidak penting. Paling penting sekali ialah kelima-lima kami perlulah terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing dari masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu keputusan percalonan semula Datuk Tiki Lafe di Parlimen Mas Gading pada pilihan raya umum akan datang tegas beliau sebenarnya bergantung kepada pihak pemimpin atasan BN iaitu Ketua Menteri dan Perdana Menteri.

Tiki menurut Slyvester masih kerap turun padang menemui rakyat di dalam kawasan parlimennya selama ini walaupun kerja yang beliau lakukan tidak diketahui oleh ramai pihak.

“Mungkin ia disebabkan oleh kekurangan publisiti daripada pihak media. Justeru mereka yang mengatakan Tiki kurang turun padang selama ini adalah merupakan cerita rekaan daripada ahli-ahli SPDP yang tidak senang terhadap beliau,” katanya.

Slyvester yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam juga yakin bahawa Tiki adalah merupakan calon yang boleh menang di kerusi Parlimen Mas Gading sekiranya beliau diberi kepercayaan untuk bertanding semula di situ pada pilihan raya umum nanti.

Terdahulu beliau telah mewakili Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan bagi merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Lubok Antu di Wong Entungan, Jalan Batu Kaya di sini hari ini.

Tamat.

Hormati SKH Tahun Baru Cina - Johnathan Lugoh


Caption: SEDIA...Johnathan (lima kanan) bersama Roslan (kiri) ketika bersama kakitangan pemantau SKH di Pasar Tamu Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Khamis (19 Jan) – Peniaga dalam kawasan Sri Aman dinasihatkan untuk mematuhi perlaksanaan Skim Kawalan Harga (SKH) Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 yang berkuatkuasa mulai 19 hingga 30 Januari ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya sesi Pemeriksaan Perlaksanaan SKH Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Tamu Sri Aman hari ini.

Walaupun tanpa kehadiran pihak penguatkuasa SKH di tapak perniagaan, para peniaga kata beliau perlulah mengamalkan sikap bertanggungjawab untuk mematuhi perlaksanaan skim itu dari masa ke semasa.

“Permintaan penduduk terhadap pelbagai barangan sememangnya akan meningkat mendadak berbanding hari biasa lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya musim perayaan dalam negeri ini.

“Akan ada peniaga yang cuba menaikkan harga barang berdasarkan faktor ini. Justeru SKH diperkenalkan bagi membendung kenaikan harga barang ini dengan kesemua peniaga perlu menghormati skim itu sehingga ia tamat pada hujung bulan ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berkhemah ketika berbelanja menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.

Terdahulu seramai 10 orang kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman, empat kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman, empat orang pelajar dan seorang Pegawai Hal Ehwal Pengguna telah turun padang bagi menjayakan sesi pemeriksaan SKH itu.

Sesi pemeriksaan SKH yang bermula jam 9 pagi di Pasar Tamu dan beberapa buah premis perniagaan dalam bandar ini telah diketuai Johnathan dan Ketua Pejabat KPDNKK Bahagian Sri Aman iaitu Wan Roslan Esmanto Wan Johari.

Sejumlah 12 buah barang disenarai dalam SKH Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 antaranya ialah Ayam Hidup, Ayam Standart, Ayam Super, Telur Ayam Gred A, B, C, Kubis Bulat Import, Bawang Putih (China), Ikan Bawal Putih Besar, Udang Putih Besarm Daging Babi (perut) dan Daging Babi (daging dan lemak).

Tamat.

Hargai sumbangan Kerajaan BN - Snowdan


Caption: PENGHARGAAN...Snowdan (kanan) menerima cenderahati daripada ketua biro wanita sambil disaksikan oleh Masir (kanan sekali) ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

SIMUNJAN, Khamis (19 Jan) – Penduduk luar bandar perlu menyokong dan menghargai jasa kerajaan dalam melaksanakan projek pembangunan di kawasan mereka seperti yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan berkata ia terbukti menerusi sejumlah besar peruntukan dan projek bagi membina kemudahan jalan raya serta kemudahan elektrik 24 jam di kawasan luar bandar di bawah RMK10.

“Penduduk luar bandar juga perlu bersikap terbuka untuk menerima projek pembangunan di kawasan mereka seperti projek penanaman sawit dan sebagainya demi menaiktaraf sosioekonomi hidup masing-masing.

“Lagipun ia adalah usaha pembangunan yang pihak pembangkang tidak dapat lakukan. Justeru sokongan penduduk luar bandar terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah amat penting demi kemajuan hidup mereka pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Kampung Sungai Indai Atas, Simunjan baru-baru ini.

Selain itu Snowdan juga menasihatkan penduduk agar memberi kerjasama kepada pihak Jabatan Tanah Dan Survei yang datang untuk menyukat perimeter tanah milik masing-masing selepas ini.

“Dengan cara ini, tanah Hak Adat Bumiputera milik penduduk akan bebas dari segala masalah sebelum pihak Jabatan Tanah Dan Survei datang bagi menyukat tanah milik mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Snowdan menerusi majlis itu telah menyerahkan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM4,000 kepada biro wanita kampung berkenaan dan Sijil Perlantikan kepada Ketua Kaum yang baru dilantik iaitu Abdul Halim Abdullah @ Mengkau.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Temenggung Anthony Ngipa, Penghulu Ali Danjie, Penghulu Asai Bijak dan Penghulu Entika anak Seman.

Tamat.

18 January, 2012

Rayong kecewa Tuai Rumah ikut pembangkang


Caption: TERIMALAH...Nyalau sedang menyampaikan cek peruntukan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Rayong (enam kiri) ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

ENGKILILI, Rabu (18 Jan) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa melahirkan rasa dukacita berhubung sikap sesetengah Tuai Rumah yang mengikut jejak pihak pembangkang selama ini.

Katanya Tuai Rumah perlu sedar bahawa mereka dilantik oleh kerajaan untuk memajukan kawasan kampung disamping membantu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat dari masa ke semasa.

“Namun ada sesetengah Tuai Rumah yang mengabaikan tanggungjawab ini. Mereka lebih gemar mengikut pihak pembangkang berkempen ke sana ke sini daripada menyelesaikan masalah hidup rakyat.

“Inilah perkara yang amat mendukacitakan saya. Kesimpulannya Tuai Rumah yang bersikap seperti ini tidak sewajarnya menerima elaun berjumlah RM450 sebulan daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Fialog Lapangan Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Di Bawah Inisiatif Baru NCR di Dewan Skim Skrang, Engkilili kelmarin.

Selain itu faktor kesihatan kata Rayong tidak seharusnya dijadikan sebagai kriteria utama untuk seseorang individu yang mahu bertanding sebagai calon bagi sesebuah pilihan raya umum terbabit.

“Semua orang boleh jatuh sakit tanpa mengira masa. Paling pentingnya di sini ialah calon yang mahu bertanding dalam sesebuah pilihan raya itu haruslah tahu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat apabila sudah menang.

“Justeru saya meminta rakyat dalam kawasan Parlimen Lubok Antu terus menyokong William Nyalau Badak sekiranya beliau dicalonkan semula untuk bertanding mempertahankan kerusi parlimen milik BN ini pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Sri Aman, Mohamad Razali Arshad, Pegawai Tadbir Daerah Kawasan Engkilili, Brayan Lenya, wakil Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Cif Inspektor Robert Achan, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu majlis dialog yang dirasmikan oleh Nyalau ini telah membabitkan para pemilik Tanah NCR dari kawasan Sungai Tembong, Tanjung Rambai dan Sungai Lipat, Skrang.

Tamat.


4,097 hektar tanah NCR di Skrang akan disukat pada bulan Februari dan Mac ini


Caption: PENERANGAN...Razali ketika menjelaskan kerja penyukatan perimeter tanah NCR terhadap penduduk ketika berlangsungnya dialog berkenaan kelmarin.

ENGKILILI, Rabu (18 Jan) – Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman memulakan kerja menyukat sejumlah 4,097 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Skrang, Engkilili bermula pada bulan Februari dan Mac tahun ini.

Penguasa JTS Bahagian Sri Aman, Mohamad Razali Arshad berkata demikian ketika berlangsungnya sesi Dialog Lapangan Penyukatan Tanah NCR Di Bawah Inisiatif Baru NCR di Dewan Skim Skrang, Engkilili kelmarin.

Jelas beliau, jumlah keluasan tanah NCR yang bakal disukat pada bulan Februari dan Mac ini nanti melibatkan tanah milik penduduk dari kawasan Tanjung Rambai, Sungai Tembong, Sungai Maloi, Sungai Lipat, Bukit Baling dan Sungai Penyuan di Skrang.

“JTS Bahagian Sri Aman akan memulakan kerja penyukatan perimeter bermula pada bulan Februari terhadap dua dari enam buah kawasan tanah NCR terbabit iaitu Sungai Tembong dan Sungai Lipat.

“Kerja penyukatan perimeter yang melibatkan sejumlah 1,878 hektar tanah NCR milik 1,300 penduduk dari kedua-dua kawasan itu dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh satu bulan,” kata beliau.

Manakala JTS Bahagian Sri Aman kata Razali pula akan memulakan kerja penyukatan perimeter terhadap tanah NCR milik penduduk dari kawasan Tanjung Rambai, Sungai Maloi, Bukit Baling dan Sungai Penyuan pada bulan Mac kelak.

Kerja penyukatan perimeter yang melibatkan sejumlah 2,219 hektar tanah NCR milik  2,000 orang penduduk dari kawasan itu tambah beliau juga dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh satu bulan.

“Pihak JTS perlu menyelesaikan kerja penyukatan perimeter terhadap kesemua 4,097 hektar tanah ini menjelang 31 Mac. Justeru kita memohon kerjasama daripada penduduk ketika berlangsungnya kerja ini nanti.

“Mereka perlu hadir ke lapangan ketika pihak kita memulakan kerja penyukatan perimeter tanah mereka disamping berkompromi dalam menyelesaikan sempadan tanah masing-masing,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak telah Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Fialog Lapangan Pengukuran NCR Di Bawah Inisiatif Baru NCR di Dewan Skim Skrang, Engkilili kelmarin.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Tadbir Daerah Kawasan Engkilili, Brayan Lenya, wakil Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Cif Inspektor Robert Achan, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Jabatan Penjara Pusat Sri Aman anjur Pertandingan Memancing 2012



Caption:

1. TAHNIAH...Bolhi Ling (kanan) dari Penjara Pusat Sri Aman sedang menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang ketika berlangsungnya pertandingan itu.

2. FOKUS...Antara gelagat peserta yang bersaing dalam Pertandingan Memancing 2012 di Tebingan Sungai Batang Lupar, Sri Aman baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (19 Jan) – Jabatan Penjara Pusat Bahagian Sri Aman telah mengadakan Pertandingan Memancing 2012 yang berlangsung di kawasan Tebingan Sungai Batang Lupar, Sri Aman baru-baru ini.

Jurucakap penganjur memberitahu Pertandingan Memancing 2012 anjuran Jabatan Penjara Pusat Sri Aman ini telah disertai seramai 30 orang kaki pancing dari seluruh kawasan Sri Aman.

“Tujuan utamanya adalah untuk menguji bakat para peserta dalam aktiviti seperti ini. Mereka boleh mempamerkan teknik memancing masing-masing bersama para peserta yang turut sama menyertai pertandingan ini.

“Malah pertandingan seperti ini juga secara tidak langsung boleh mewujudkan semangat tali silaturahim dikalangan para peserta yang turut sama mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Pertandingan Memancing 2012 secara tidak langsung akan dapat mempromosi kawasan Tebing Sungai Batang Lupar kepada orang luar di masa akan datang.

Terdahulu Adam bin Yassin telah memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM250 apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi Kategori Tangkapan Ikan Terbanyak bagi pertandingan itu.

Manakala itu Bujang Siak dan Mohd Yatim Tadoh membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150 dan RM50 setelah masing-masing dinobatkan sebagai pemenang Kategori Ikan Tangkapan Terberat serta Tangkapan Terpantas pada pertandingan itu.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi Kategori Tangkapan Ikan Terbanyak, Tangkapan Ikan Terberat dan Tangkapan Ikan Terpantas ini telah disempurnakan oleh Bolhi Ling.

Tamat.

Memancing hobi lapang kanak-kanak Kampung


BANGGA... Murid Tahun Dua Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu iaitu Nelson Bandi Imau, 8, (tengah) sedang menunjukkan tangkapan kecil ikan Toman yang diperoleh oleh beliau ketika memancing di sungai Kampung Selantik Ili, Pantu petang kelmarin  sambil disaksikan temannya iaitu Nur Ain Abdullah, 9, (kiri) dan Shaelomie Delina, 6 tahun (kanan) juga dari sekolah yang sama . Memancing adalah aktiviti popular kanak-kanak di kawasan luar bandar berbanding dengan kanak-kanak di kawasan bandar ketika tamat waktu persekolahan. Jika kanak-kanak bandar meluangkan masa bermain di taman permainan pada waktu petang maka kanak-kanak luar bandar pula meluangkan masa memancing ikan atau bermain di rumah panjang. Ia merupakan satu perbezaan ketara dari segi penglibatan sosial oleh kanak-kanak dari kedua-dua kawasan ini semenjak dari dahulu hingga sekarang. - 18 JANUARI