Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 May, 2011

Sempena Kejohanan Bola Sepak YB Wahab Aziz : Repkajaya besalah AAZ FC 5 - 1

PASUKAN PILIHAN...Pasukan Repkajaya bergambar kenangan sebelum bermulanya perlawanan dengan pasukan AAZ FC pada kejohanan tersebut.

MANGSA BELASAHAN...Pasukan AAZ FC


- 26 Mei

Adiey Safarman

Tuah tampak tidak menyebelahi pasukan AAZ FC setelah dibelasah oleh pasukan pilihan bagi Kejohanan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz iaitu pasukan Repkajaya dengan jaringan gol 5 – 1 baru-baru ini.

Perlawanan peringkat Kumpulan B yang berlangsung di Padang Komplek Sukan Saratok itu menyaksikan gol pasukan pilihan dalam kejohanan ini iaitu Repkajaya dijaringkan oleh Sapawi Ahmad (minit ke-20, 23), Mac Anja (minit ke-32, 80) dan Jail Jian (minit ke -85).

Manakala itu pula gol saguhati bagi pasukan AAZ FC pula telah dijaringkan oleh penyerang pasukan tersebut iaitu Desmond Amban pada minit ke-37 perlawanan, demikian menurut siaran akhbar oleh Adiey Safarman yang dikirim ke Utusan Sarawak kelmarin.

Terdahulu Pengurus Pasukan Repkajaya, Ah Chin ketika diminta mengulas mengenai perlawanan itu berkata anak buahnya telah berjaya beraksi cemerlang dalam perlawanan babak kedua setelah banyak melakukan kesilapan pada babak perlawanan separuh masa pertama.

Katanya kombinasi rangkaian penyerang masih belum menampakkan sentuhan jaringan ekoran ketiadaan pemain import mereka yang dilanda kecederaan ditambah lagi dengan rentak permainan pihak lawan yang bermain dengan begitu cemerlang dan konsisten.

“Bagaimanapun pasukan Repkajaya mempunyai pemain berpengalaman dan menggunakan beberapa pemain import dari Betong, Kuching serta Miri dan ia menjadikan kami sebagai pasukan pilihan bagi kejohanan kali ini,” katanya.

“Untuk perlawanan seterusnya, kami akan membuat persediaan yang lebih rapi dan akan membetulkan segala kelemahan yang dihadapi oleh para pemain terutama sekali di bahagian barisan hadapan,” katanya.

Terdahulu sejumlah 17 buah pasukan telah mengesahkan penyertaan masing-masing dalam Pertandingan Bolasepak Piala YB Haji Abdul Wahab Bin Aziz ADUN N.33 Kalaka yang telah bemula pada 21 Mei lepas.

17 pasukan terbabit adalah Merah Junior FC, MPOB ELITE, Sessang FC, Felcra Saratok, Artuz, AZZ Fc, Repkajaya, BPL FC, Emplam FC, FC Jingga, AC United, Floaming FC, Awin FC, Giatmara, RISDA United, Warrior 33 dan TTM FC.

Pasukan Merah Junior, MPOB Elite, Sessang FC, Felcra Saratok dan Artuz FC bersaing dalam kumpulan A manakala AZZ FC, Repkajaya, BPL FC dan Emplam FC bersaing dalam kumpulan B.

Sementara itu pasukan FC Jingga, AC United, Floaming FC dan Awik FC berentap dalam saingan dalam kumpulan C manakala pasukan Giatmara, RISDA United, Warrior 33 dan TTM FC bersaing dalam kumpulan D.

Sang juara bagi pertandingan ini akan membawa hadiah berupa wang tunai bernilai RM3,000, piala kejuaraan dan trofi manakala pasukan naib juara pula akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,800, piala iringan dan pingat.

Dua buah pasukan yang berjaya melangkah masuk ke perlawanan separuh dalam Kejohanan Bolasepak Piala YB Haji Abdul Wahab Bin Aziz ini masing-masing akan membawa pulang pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM500.

Tamat.

Bantuan kerajaan adalah untuk semua kaum - Harden



Caption: PRIHATIN...Harden (tengah) bersama Sharifah (dua kiri) dan tetamu jemputan khas bergambar kenangan bersama penerima bantuan kerusi roda di sini kelmarin.

SRI AMAN, Khamis (26 Mei) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan sikap berat sebelah dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang amat memerlukan dalam negeri ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata kerajaan BN yang terdiri daripada komponen parti pelbagai kaum wajar memberi bantuan dan sumbangan mereka terhadap semua rakyat dalam negara ini khasnya di Sarawak.

“Bantuan tidak mengenal latar belakang dan agama. Selagi mereka berkelayakan maka kerajaan menerusi agensinya akan sentiasa turun padang bagi membantu menaiktaraf hidup rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Taklimat Pengurusan Bantuan Jabatan Kebajikan Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman kelmarin.

Selain itu Harden juga menasihatkan rakyat agar memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang mereka terima daripada kerajaan selepas ini dan bukannya disalahguna untuk kepentingan diri sendiri.

“Bagaimanapun kerajaan mahu rakyat sedar bahawa BN amat mengambilberat kebajikan hidup mereka yang amat memerlukan dengan memperkenal pelbagai jenis bantuan seperti e-kasih, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan sebagainya.

“Justeru saya berharap agar rakyat sentiasa memberi sokongan penuh terhadap BN agar hal ehwal kebajikan hidup mereka sentiasa dibela oleh kerajaan dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdian Shah, Pegawai Tadbir Sarawak, Shamsiah Deli dan wakil IPD Sri Aman.

Terdahulu Harden telah menyempurnakan majlis penyampain kerusi roda kepada dua orang wakil pengidap penyakit Ahmar dan bantuan kebajikan kepada seorang fakir miskin hasil sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sri Aman yang diusahakan oleh pihak Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang sebelum ini.

Harden juga turut menyampaikan cek MRP bernilai RM3,000 kepada Kelab Kebajikan dan Rekreasi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sri Aman.

Seramai 200 orang ketua kaum yang terdiri daripada para Penghulu, Ketua Kampung dan Tuai Rumah dari kawasan Lingga, Sri Aman dan Pantu menghadiri sesi taklimat berkenaan.

Tamat.

Diana Rejab dinobat Ratu Ibu Gawai Dayak Engkilili 2011



Caption: ANGGUN…Diana (tengah) dinobatkan Ratu Ibu Gawai Dayak 2011 Engkilili sambil diapit oleh Rundai (kiri) dan Shirly (kanan) sebaik sahaja tamat pertandingan itu. Turut kelihatan ialah Nyalau (belakang).


ENGKILILI, Khamis (26 Mei) – Musim sambutan Gawai Dayak 2011 dalam kawasan Engkilili nyata dimeriahkan dengan lebih unik dengan adanya penganjuran Pertandingan Ratu Ibu Gawai Dayak Engkilili 2011.

Pertandingan Ratu Ibu yang berlangsung diadakan di Dewan Masyarakat Majlis Dearah Lubok Antu / Engkilili, baru-baru ini nyata mengantikan acara Pekit Kumang Gawai Dayak yang lazimnya dianjurkan oleh ramai pihak ketika menjelang sambutan Gawai.

Dalam pertandingan itu Diana anak Rejab telah dinobatkan sebagai Ratu Ibu Gawai 2011 yang diadakan sempena Majlis Merarau Pra Gawai anjuran Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Engkilili itu.

Naib johan bagi Pertandingan Ratu Ibu Gawai Dayak Engkilili 2011 ini pula telah disandang oleh Rundai anak Ugap manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Shirly Garu.

Majlis turut dimeriahkan dengan Pertandingan Karaoke yang menyaksikan Diah anak Gundol muncul sebagai sambil diikuti oleh Shirly Garu dan Rano anak Ansang yang menduduki tempat kedua dan ketiga dalam acara terbabit.

Terdahulu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah anak Embas telah merasmikan majlis berkenaan sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Tamat....

Chee Chuan Khor Betong sampai sumbangan Gawai 2011



Caption: UNTUK ALBUM...Valentine (tengah) bergambar kenangan bersama tetamu khas, ahli Chee Chuan Khor Betong dan penerima sumbangan ketika berlangsungnya program itu.

Saleman Senin

BETONG, Khamis (26 Mei) – Seramai 40 orang penduduk kurang berkemampuan menerima sumbangan daripada Pertubuhan Meninggikan Akhlak (Chee Chong Khor) Betong bersempena dengan sambutan Hari Gawai Dayak 2011 kelmarin.

Penduduk yang terdiri daripada penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong itu telah menerima sumbangan berkenaan menerusi majlis yang berlangsung di pusat pertubuhan terbabit.

Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu para penerima yang terdiri daripada kumpulan sasaran kaum Iban itu menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai.


”Chee Chuan Khor Betong sentiasa membantu golongan miskin tanpa mengira kaum dan agama demi menaikkan nilai akhlak dalam pengertian bantu-membantu sesama manusia dari masa ke semasa.


Di samping itu usaha ini secara tidak langsung juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dikalangan mereka,” katanya sambil menambah bahawa beberapa program bantuan kemanusiaan telah pun dirancang oleh pihaknya sebelum ini.

Selain itu program ini juga akan dijadikan sebagai acara tetap oleh pertubuhan itu antaranya ialah program bantuan untuk golongan miskin sempena Hari Raya, Hari Gawai Dayak, Tahun Baru Cina dan sumbangan kepada ibu tunggal sempena hari Krismas.

Justeru beliau berharap agar para penerima sumbangan terbabit dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang mereka terima menerusi majlis terbabit.

Majlis penyampaian sumbangan yang dirasmikan oleh Timbalan Residen Sosial Bahagian Betong, Dr Anthony Valentine Laseh turut dihadiri oleh pengerusi pertubuhan tersebut iaitu Yeo Teck Hing dan Penolong Pengarah Kebajikan Bahagian Betong, Emilda Piar Kunchui Uli.

Tamat.

26 May, 2011

Entebu / Selambong / Bajau di Saratok dan Sungai Ensuri di Beladin sudah diwartakan



Caption: SERIUS...David sedang menyampaikan taklimat kepada penduduk kawasan Padeh ketika berlangsungnya majlis dialoq berkenaan.


BETONG, Rabu (25 Mei) - Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong masih meneruskan usaha untuk mengukur tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik komuniti iban di kawasan Padeh, Betong di bawah Inisiatif Baru NCR.


Untuk itu JTS Bahagian Betong telah menganjurkan satu majlis dialog bersama dengan komuniti Iban dibawah pentadbiran Penghulu Uyok anak Sunang dari kawasan Padeh, Betong di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah, Betong baru-baru ini.


Menerusi dialog itu Pegawai Tanah, JTS Bahagian Betong, David Laeng berkata para komuniti iban sangat bertuah dan sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan kawasan mereka dalam Inisiatif Baru NCR.


“Langkah pertama yang diambil oleh JTS adalah untuk menjalankan kerja ukur keliling kawasan NCR mereka dan seterusnya mewartakanya sebagai Rezab Gunasama Bumiputera dibawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.


“Setelah diwarta kelak, salinan warta tersebut akan diserahkan kepada Penghulu dan Tuai-Tuai rumah sebagai bukti daripada Kerajaan bahawa NCR tersebut adalah milik mereka yang sah,” katanya.


Untuk langkah kedua, JTS katanya akan menjalankan kerja-kerja pengukuran lot-lot individu dan sebelum surat hakmilik tanah kekal dibawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri diberi tanpa sebarang bayaran.


Hasil daripada Inisiatif Baru NCR ini kata David dua buah kawasan iaitu Entebu / Selambong / Bajau di Saratok dan Sungai Ensuri di Beladin telah pun diwartakan sebagai Rezab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.


Justeru beliau merayu para Penghulu, tuai rumah serta pemilik tanah NCR untuk memberi kerjasama kepada JTS dalam menentukan sempadan tanah NCR masing-masing selepas ini.


“Ia secara tidak langsung akan dapat mempercepatkan kerja-kerja pengukuran ukur keliling kawasan mereka oleh pihak JTS dari masa ke semasa,” katanya.


Hadir sama ialah Penguasa JTS Bahagian Betong, Peggy Ronin Edin, Juru Ukur JTS Betong, Kudie anak Sandak, Juru Ukur, Penghulu Uyok anak Sunang, Penghulu Francis Empam, para tuai rumah dari rumah kawasan Padeh dan penduduk di sini.


Tamat.

SM Teknik Betong anjur Perkhemahan Beruniform



Caption: BEGINI...Mashore sedang menunjukkan teknik pertolongan cemas kepada para peserta ketika berlangsungnya program tersebut.


BETONG, Rabu (25 Mei) – Sekolah Menengah Vokasional Betong telah menganjurkan Perkhemahan Perdana Unit Beruniform Peringkat Sekolah 2011 bertempat di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Jurucakap penganjur memberitahu Perkhemahan Perdana Unit Beruniform Peringkat Sekolah 2011 ini telah disertai seramai 250 orang pelajar daripada persatuan beruniform tingkatan empat sekolah berkenaan.

“Ia bertujuan untuk menguji peserta di dalam keadaan kurang selesa disamping mengajar mereka kemahiran dari segi masakan secara ala rimba menerusi Perkhemahan Perdana Unit Beruniform Peringkat Sekolah 2011 ini.

“Malahan aktiviti ini juga secara tidak langsung mampu mendidik para peserta untuk bersedia menghadapi segala cabaran hidup ketika melibatkan diri dalam aktiviti perkhemahan tersebut,” katanya.

Untuk menjayakan aktiviti, pihaknya telah mengadakan aktiviti meredah hutan, kawad kaki, masakan secara alam rimba dan juga pertolongan cemas yang dikendalikan oleh Persatuan Bulan Sabit Malaysia Sri Aman.

Aktiviti pertolongan cemas itu dijayakan oleh Jurulatih Pertolongan Cemas, Mas Mashore Haji Maslem, Johnek Ajong, Mas Zulfadzli dan Charles Tay ( Setiausaha PBSM Sri Aman).

Terdahulu Perkhemahan Perdana Unit Beruniform Peringkat Sekolah 2011 ini telah dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Teknik Betong iaitu Ng Fook Yin.

Tamat.

SMK BM Saratok juara Pertandingan Kawad Kaki




Caption: PERIKSA...Wahad sedang memeriksa barisan kawad para peserta sambil diiringi oleh Pemanca Sahri pada pertandingan tersebut.


SARATOK, Rabu (25 Mei) – Kontinjen Persatuan Bulan Sabit Merah dari SMK Agama Sri Aman Saratok telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kawad Kaki bagi Kategori Sekolah - Sekolah Menengah Bahagian Betong dan Daerah Saratok yang berlangsung di Dataran Krian Saratok baru-baru ini.

Pertandingan kawad kaki anjuran Persatuan Bekas Tentera Daerah Saratok itu turut menyaksikan kontinjen Kadet Pertahanan Awam dari SMK Spaoh dan kontinjen Giatmara Saratok menduduki tempat ke-2 dan ke-3 bagi kategori tersebut.

Manakala itu Kontinjen Tunas Puteri dari SK Abang Leman Kabong telah dinobatkan sebagai juara untuk kategori sekolah rendah sambil diikuti oleh Kontinjen Pengakap dari SK Abang Leman Kabong dan kontinjen Tunas Kadet Remaja dari SK Abang Moh Sessang yang menduduki tempat ke-2 dan ke3 bagi kategori berkenaan.

Kategori Ketua kontinjen / platun terbaik bagi sekolah menengah pula telah dimenangi oleh Persatuan Bulan Sabit Merah dari SMK Agama Sri Aman Saratok manakala kategori sekolah rendah pula telah disandang oleh Ketua Platun Kontijen Pengakap dari Sk Abang Leman Kabong.

Kesemua hadiah pertandingan ini telah disampaikan oleh Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar dan Perumahan, Haji Abdul Wahab Aziz yang seterusnya merasmikan Pertandingan Kawad Kaki berkenaan.

Beliau menerusi ucapannya pada majlis tersebut mengalakkan pertandingan sebegini perlu terus diadakan bagi mendedahkan para pelajar kepada aktiviti yang boleh meningkatkan ikthiar hidup untuk sepanjang masa.

“Disamping itu pertandingan seumpama ini juga dapat melatih murid-murid untuk melaksanakan aktiviti secara berkumpulan demi meningkatkan hubungan kerjasama dan perpaduan dikalangan mereka,” katanya.

Beliau menambah aktiviti seperti ini akan dapat mendisiplinkan pelajar disamping menyediakan pengalaman yang menyeluruh serta seimbang dengan pendidikan formal terhadap golongan terbabit selepas ini

Justeru Wahab menyeru kepada golongan muda dan belia untuk bersama-sama menyemaikan perasaan muhibah, perpaduan dan intergrasi nasional dalam kalangan diri masing-masing mulai sekarang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Bekas Tentera, Pemanca Sahri, Chief Inspektor Omar, Pegawai Tadbir Sarawak, SAO Rangen Jimang dan para jemputan yang lain.

Tamat