Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 July, 2010

Kerjasama hapuskan aedes - Harden



Caption:

1. 1MALAYSIA...Harden (berdiri tengah kiri) sedang menunjukkan simbol 1Malaysia bersama para hadirin yang lain ketika berlangsungnya program itu.
2. RASMI...Harden sedang menyempurnakan simbolik penanaman pokok sambil disaksikan oleh hadirin yang lain ketika berlangsungnya program berkenaan.

SRI AMAN, Isnin (26 Julai) - Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menyeru kesemua agensi kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sekitar daerah ini agar menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dalam membendung pembiakan nyamuk Aedes.
Katanya, kesemua pihak perlu mempertingkatkan peranan masing-masing dalam membendung pembiakan nyamuk Aedes memandangkan spesis nyamuk terbabit amat berbahaya sebagai punca kepada penyakit Demam Denggi yang dihidap oleh manusia sehingga ke hari ini. 
Atas sebab berkenaan kata Harden, semua pihak yang terlibat perlu mengadakan pelbagai kempen kesedaran terhadap masyarakat termasuk mereka yang tinggal di kawasan kesedaran bagi membolehkan mereka membendung pembiakan spesis nyamuk berkenaan.
“Setiap agensi kerajaan, swasta, persatuan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan penting dalam bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Mereka perlu saling bekerjasama untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan kempen yang mampu menyedarkan golongan masyarakat terhadap bahaya penyakit yang mampu dibawa oleh nyamuk Aedes,” katanya.
Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi 2010 anjuran Majlis Daerah Sri Aman bertempat Kampung Sri Wangi, Jalan Kejatau, Sri Aman baru-baru ini.
Selain itu beliau juga berharap agar semua pihak mempertingkatkan peranan diri masing-masing untuk membantu kerajaan memberi kesedaran terhadap orang ramai akan kepentingan menjaga tahap kebersihan di kawasan tempat tinggal masing-masing di masa yang akan datang.
"Menerusi Kempen seperti ini, kita berharap agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat agar sentiasa menjaga kebersihan sekeliling dan juga di dalam rumah,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Lubok Antu, Kanselor immy Chong dan pembantu kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.
 
Tamat....  

Penjawat awam perlu cergas


Caption: UNTUK KESIHATAN...Harden (tiga kanan) bersama Wahbi (dua kiri), Shamshuddin (dua kanan), Felicia (kanan sekali) ketika mengambil bahagian dalam program berkenaan.

SRI AMAN, Ahad (25 Julai) – Kerajaan amat prihatin dan komited untuk melahirkan golongan penduduk termasuk anggota perkhidmatan awam yang sihat dan cergas baik dari segi fizikal serta mental selama ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata kerajaan komited untuk berbuat demikian agar kakitangan awam dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk penduduk dari masa ke semasa.

“Untuk itu kerajaan telah membina pelbagai kemudahan sukan yang menelan belanja jutaan ringgit demi membolehkan penduduk khasnya penjawat awam untuk melakukan aktiviti kecergasan selama ini.

“Bagaimanapun adalah sia-sia jika penjawat awam tidak menggunakan kemudahan ini. Justeru saya menasihat penjawat awam di kawasan Sri Aman untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan ini pada waktu lapang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Senam Rakyat Sri Aman 2010 di Taman Panorama Benak, Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga mahu lebih banyak persatuan untuk turun padang menganjurkan program kesihatan dan kecergasaan yang membabitkan penduduk di sekitar kawasan Sri Aman selepas ini.

“Tujuannya ialah untuk memberi kesedaran yang lebih mendalam untuk penduduk di kawasan Sri Aman berhubung aspek kesihatan dan kecergasan. Maka diharap agar persatuan di sini lebih proaktif menganjur aktiviti kesihatan di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu Program Senam Rakyat Sri Aman 2010 yang membabitkan 400 orang kakitangan awam dalam bandar ini telah memulakan aktiviti senaman bermula jam 7.30 pagi hingga 9 pagi.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Dr Haji Wahbi bin Junaidi, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamsuddin Abang Seruji, Timbalan Residen Sri Aman (Bahagian Sosial), Felicia Tan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Terap amalan 3R untuk kitar semula



Caption:

1.TAHNIAH...Harden sedang menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang pada majlis itu kelmarin.

2. MENARIK...Harden sedang melihat replika Menara Berkembar Petronas yang diperbuat dari barang kitar semula ketika berlangsungnya pertandingan berkenaan.

SRI AMAN, Ahad (25 Julai) – Perlaksanaan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recylce) atau kitar semula oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dijangka mampu membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk selepas ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis perlaksanaan amalan 3R secara tidak langsung juga dapat membantu kerajaan meminimakan penyediaan tapak pelupusan sampah dalam negeri ini terutama sekali untuk pembuangan sisa pepejal.

“Dari segi industri, amalan kitar semula ini dapat mengurangkan perbelanjaan mengekstrak sumber ekonomi baru manakala industri kitar semula itu sendiri dapat menjana peluang perniagaan dan pekerjaan.

“Paling penting ialah amalan kitar semula dapat memelihara alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup penduduk. Justeru penduduk diminta untuk membantu kerajaan menjayakan perlaksanaan amalan 3R ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Hasil Kraf Dari Barangan 3R bertempat di Mini Stadium Sri Aman, kelmarin.

Selain itu semua pihak kata Harden termasuk pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta, komuniti penduduk dan sektor pendidikan boleh mengelak penghasilan sampah yang tidak perlu, tidak membuang barang yang masih baik dan menghantar barangan seperti kaca, kaca atau tin minuman untuk tujuan kitar semula selepas itu.

“Bagi menjayakan misi ini kerajaan telah menyediakan tong kitar semula dan pusat pengumpulan barangan kitar semula untuk kegunaan penduduk. Justeru diharap agar golongan generasi muda dapat meneruskan usaha ini di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Jimmy Chong. Pertandingan Hasil Kraf Dari Barangan 3R itu merupakan anjuran Majlis Daerah Sri Aman dengan kerjasama Kelab Rekreasi dan Kebajikan Majlis Daerah Sri Aman.

Terdahulu pasangan Clarence Kadir dan Fredercik Mansir muncul juara bagi kategori Menengah Rendah (Peralihan, tingkatan 1 – 5) pada pertandingan itu manakala pasangan Jassica Law dan Jenita Morse pula muncul juara bagi kategori Agensi Kerajaan.

Pasangan Jonathan dan Abang Nur Syafiq muncul juara bagi kategori Darjah Atas (Darjah 4 – 6) manakala pasangan Toh Xiao Tong / Ling Ink Ink, Law Kuing Yit / Steven Kuing dan Mas Ikeram Maslem / Ulek Bayeng muncul juara untuk kategori Darjah Rendah, Menengah Atas dan Pertubuhan.

Tamat.

PPd Betong anjur ceramah



Caption:

1. FOKUS...Sebahagian daripada para pelajar yang mengikuti kursus berkenaan kelmarin.

2. CERIA...Dr Zufaryadi ketika sedang menyampaikan ceramah kepada para pelajar di dewan berkenaan.


BETONG, Ahad (25 Julai) - Usaha membimbing dan mendidik generasi dalam menjana pembangunan negara menerusi pembangunan insan sentiasa diterapkan dalam aspirasi pendidikan holistik yang diamalkan ketika kemajuan negara terus berkembang pesat.

Oleh itu Pejabat Pelajaran Daerah Betong telah diamanahkan menjadi pengelola sesi ceramah sempena Program Sejiwa Senada yang berlangsung di Dewan Panglima Rentap, Betong kelmarin.

Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu ceramah ini telah dihadiri sekitar 600 orang penduduk yang terdiri daripada para pelajar dan ibubapa dari sekitar kawasan Betong.

“Pihak pendidikan mahu memberi peransang dan galakkan kepada para pelajar tentang peluang kerjaya dan halatuju hidup masing-masing setelah menamatkan sesi persekolahan selepas ini.

“Justeru pihak kita berharap agar ibubapa dan pelajar memanfaatkan sepenuhnya segala pengetahuan yang mereka peroleh menerusi sesi ceramah berkenaan di masa akan datang,” katanya.

Bagi menjayakan ceramah ini pihaknya menurut beliau telah menjemput Ketua Penolong Pengarah, Unit Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia Jabatan Ketua Menteri, Dr. Zufaryadi bin Abdullah untuk mengendalikan ceramah tersebut.

“Beliau telah menyampaikan ceramah berjudul “Laluan dan Peluang Kerjaya Dalam Pelbagai Organisasi bagi Lepasan SPM dan STPM” terhadap para ibubapa dan penduduk dalam program ini.

“Pihak kita juga turut menjemput Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr Jeffery Steven untuk menyampaikan ceramah berjudul “Kesihatan Menjana Pembangunan Negara” pada program itu,” katanya.

Terdahulu Majlis Perasmian Program Sejiwa Senada telah dirasmikan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang di dewan berkenaan pagi kelmarin. Dianggarkan seramai 3,000 orang pengunjung telah menghadiri majlis tersebut.

Tamat.

24 July, 2010

100 pakar diguna untuk seimbang pembangunan swk n semenanjung malaysia



Caption: INGIN TAHU...Jabu sedang mendengar penjelasan daripada seorang pegawai kerajaan ketika berkunjung ke kaunter e-peraduan bersempena dengan program Senada Sejiwa hari ini. (pilih mana-mana gambar yang berkenaan)


BETONG, Sabtu (24 Julai) – Kerajaan sedang menggunakan khidmat seramai 50 orang pakar pegawai terkanan dari Sarawak dan 50 orang dari Sabah untuk merancang serta mengenalpasti pembangunan yang akan dilaksana di kedua-dua negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata khidmat kesemua pakar ini amat diperlukan oleh kerajaan bagi mewujudkan keseimbangan dari segi pembangunan di antara negeri Sarawak dan Sabah berbanding dengan kawasan Semenanjung Malaysia pada masa akan datang.

“Hasil kajian pembangunan daripada 100 orang pakar ini akan dihantar kepada pihak Kerajaan Pusat untuk tujuan kelulusan dalam Rancangan Malaysia Ke(RMK) 10 dan RMK11 selepas ini.

“Dengan berbuat demikian pihak Kerajaan Negeri akan dapat merapatkan jurang pembangunan negeri Sabah dan Sarawak yang kini amat jauh berbeza dengan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sejiwa Senada 2010 bertempat di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.

Selain itu Kerajaan Negeri kata Jabu juga sedang berusaha untuk memastikan setiap keluarga dalam negeri ini memperoleh pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan (perkeluarga) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan termasuk mengalakkan penyertaan penduduk dalam projek pertanian komersial, pembukaan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) dan banyak lagi untuk tujuan terbabit.

“Ia sekaligus membuktikan bahawa hanya kerajaan yang diteraju oleh Barisan Nasional (BN) sahaja yang boleh menaiktaraf hidup penduduk dalam negeri ini dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, Senator Dato Sri Empiang Jabu, para menteri muda Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak, wakil rakyat BN, pegawai kanan kerajaan dan penduduk dari kawasan Betong.

Jabu pada majlis itu turut menyempurnakan upacara perasmian tapak pameran agensi kerajaan dan swasta yang terletak di kawasan perkarangan hadapan Dewan Panglima Rentap Betong.

Sebanyak 116 agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam Program Senada Sejiwa Bahagian Betong yang bermula berlangsung dari 23 hingga 25 Julai ini nanti.

Tamat.

RISDA join kursus bahasa Iban


Caption: UNTUK ALBUM...Isaac (duduk tengah) ketika bergambar kenangan bersama peserta ketika berlangsungnya kursus berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN, Sabtu (24 julai) - Seramai 30 orang Kakitangan RISDA Sarawak telah menghadiri Kursus Komunikasi Bahasa Iban bertempat di Santubong Resort, Kuching bermula 19 hingga 22 Julai lepas.

Kesemua 30 orang kakitangan RISDA yang dipilih untuk menghadiri kursus adalah daripada Pejabat RISDA Negeri Sarawak dan kesemua Pejabat RISDA Bahagian iaitu Samarahan, Betong dan Sibu.

Antara modul yang di ajar menerusi kursus ini adalah Pengenalan Kaum Iban dan Bahasa Iban, Tatabahasa Iban, Pertuturan Dalam Bahasa Iban, Pemahaman Maksud, Ucapan Rasmi dalam Bahasa Iban.

Selain itu aktiviti pembelajaran menarik juga turut diadakan seperti membaca, memahami dan membuat rumusan Berita dalam Bahasa Iban, Bertutur, Menyanyi lagu Iban, Menyediakan teks ucapan dan memberi ucapan dalam Bahasa Iban.

Kursus berkenaan telah dikendalikan oleh Isaac Stalin anak Simon sambil dibantu oleh Josephine Thomas dan Warren Sambau.

“Tujuan utama Kursus Komunikasi Bahasa Iban ini diadakan adalah untuk mendedahkan Bahasa Iban kepada Kakitangan RISDA supaya mereka dapat berinteraksi dan menjalankan tugas dengan lebih baik tanpa batasan bahasa di kawasan penempatan Kaum Iban.

“Justeru kami berharap agar para peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang mereka peroleh menerusi kursus berkenaan selepas ini,” kata Isaac menerusi kenyataan beritanya hari ini.

Ketahui dahulu program pembangunan kerajaan - Uggah


Caption: RASMI...Uggah (dua kanan) bersama Jabu (empat kiri) bersama dif terhormat yang lain ketika berlangsungnya simbolik pelancaran logo Senada Sejiwa hari ini.


BETONG, Sabtu (24 julai) – Ketua kaum perlu mengetahui segala program yang dirancang oleh kerajaan agar maklumat terbabit dapat disampaikan dengan lebih jelas terhadap penduduk dalam kawasan masing-masing selepas ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglass Uggah anak Embas berkata peranan itu amat penting agar penduduk sedia maklum terhadap usaha pembangunan yang sedang dilaksana oleh kerajaan dari masa ke semasa.

“Lagipun sudah menjadi peranan ketua kaum terutama sekali pihak ketua kampung untuk menghubungkan penduduk dengan kerajaan menerusi peranan masing-masing tentang pelbagai program yang bakal atau sedang kita usahakan untuk mereka.

“Justeru saya berharap agar ketua kaum faham terlebih dahulu terhadap program yang bakal kerajaan laksanakan di kawasan masing-masing agar penduduk mudah faham dan memberi kerjasama untuk menjayakan program berkenaan selepas itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sejiwa Senada Bahagian Betong 2010 bertempat di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.

Selain itu kerajaan kata Uggah juga akan memperkenalkan pembayaran subsidi penanaman getah bernilai RM10,000 hingga RM14,000 bagi satu hektar tanah kepada penduduk bermula tahun hadapan.


Ia menurut beliau bertujuan untuk membantu penanam getah dalam negeri ini untuk mempertingkatkan lagi hasil produktiviti masing-masing dan seterusnya mengalakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan mereka dari masa ke semasa.

Justeru Uggah berharap penduduk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) demi menjayakan lagi perlaksanaan program pembangunan di kawasan masing-masing pada masa akan datang.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang. Hadir sama ialah Senator Dato Sri Empiang Jabu, para menteri muda Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak, wakil rakyat BN, pegawai kanan kerajaan dan penduduk dari kawasan Betong.

Tamat.