Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 August, 2009

Gotong royong bersihkan Surau Kampung Tengah


Caption: UNTUK ALBUM Kamasita (belakang enam kiri) bersama para penduduk sedang bergambar kenangan sebelum bermulanya gotong royong membersihkan Surau Kampung Tengah di sini baru-baru ini.


Pix by ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Khamis (20 Ogos) – Sejumlah 30 penduduk melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Kampung Tengah di sini baru-baru ini.

Aktiviti gotong royong membersihkan Surau Kampung Tengah ini adalah merupakan anjuran Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Stawang dengan kerjasama Perkumpulan Persatuan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Tengah dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ranting Kampung Tengah.

Pengerusi aktiviti gotong-royong terbabit, Kamasita Wasli berkata aktiviti membersihkan kawasan Surau Kampung Tengah yang melibatkan penyertaan 30 penduduk ini telah bermula seawal jam 8 pagi sehingga ianya berakhir kira-kira jam 11.30 pagi.

“Tujuan utamanya aktiviti membersihkan surau ini dilaksanakan adalah untuk memeriahkan suasana sambutan Bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Selain itu katanya aktiviti ini juga secara tidak langsung mampu mewujudkan semangat kerjasama dikalangan penduduk dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di masa akan datang.

Malahan kata Kamiasita aktiviti ini mampu mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim dan semangat kekitaan dikalangan penduduk lebih-lebih lagi ketika menjelangnya sambutan Bulan Ramadhan ini nanti.

“Bersempena dengan sambutan Bulan Ramadhan ini kelak pihak kami juga akan mengadakan aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk seperti mana yang pernah kami lakukan pada tahun sebelumnya.

Justeru beliau berharap agar aktiviti seumpama ini dapat diadakan lagi di masa akan datang demi memuliakan sambutan kedatangan Bulan Ramadhan di daerah Sri Aman.

Tamat.








19 August, 2009

Hamren rayu kerajaan selaras elaun pencen pesara kerajaan


Mugshot: HAMRIN ABANG NARUDDIN

SRI AMAN, Rabu (19 Ogos) – Kisah mengenai luahan seorang pesara kerajaan iaitu Kalamanathan, 51, dari Kuala Lumpur mengenai isu bayaran pencen sebanyak RM244.67 sebulan seperti mana yang disiarkan dalam akhbar Eastern Times bertarikh 8 Jun lalu sememangnya menarik perhatian seorang pesara kerajaan dalam bandar Sri Aman ini.

Hamrin bin Abang Naruddin, 64, dari Kampung Hilir, Sri Aman telah meluahkan masalah berhubung isu tersebut apabila beliau juga hanya menerima bayaran pencen berjumlah RM563 sebulan setelah berkhidmat selama 22 tahun dengan Jabatan Pendidikan Sri Aman.

“Saya juga seorang pesara kerajaan. Jadi saya bersama 400 orang pesara kerajaan yang lain dari daerah ini merasakan bahawa kami juga berhak menikmati bayaran pencen sebanyak RM720 sebulan walaupun ia cuma layak untuk pesara yang sebelum ini berkhidmat lebih daripada 25 tahun dalam jabatan kerajaan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Beliau yang mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup dengan Bedah binti Salam, 79, terpaksa bertindak menjual kuih-muih di bandar Sri Aman memandangkan bayaran pencen berjumlah RM563 ini tidak memadai untuk menampung keperluan seisi keluarganya.

“Golongan pesara kerajaan seperti kami walaupun hanya berkhidmat kurang daripada 25 tahun juga perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan sepertimana mereka membantu memberikan pampasan terhadap golongan Orang Kurang Upaya di negara ini.

“Kami pernah berbakti terhadap kerajaan. Justeru adalah wajar bagi pihak Kerajaan Pusat untuk menyeleraskan bayaran pencen kami sebelum ini kepada RM720 sebulan sejajar dengan misi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkonsepkan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Hamrin telah berkhidmat di Jabatan Pendidikan Sri Aman bermula pada tahun 1976 dahulu sebelum besara dari jabatan terbabit pada tahun 1998 dengan hanya menerima bayaran pencen sebanyak RM563 sebulan.

Beliau bersama isteri sehingga kini masih menanggung perbelanjaan anak bongsu mereka dan jumlah bayaran pencen yang tidak mencukupi itu menyebabkan Hamrin terpaksa mencari alternatif lain untuk menambah perbelanjaan iaitu dengan menjual kuih.

Tamat.


Jangan halang tugas pemaju kata Rayong


Caption: SELAMAT ULANGTAHUN...Dr Rayong (dua kiri) bersama Nyalau (tiga kiri) dan Tr Ragai (kiri sekali) sedang memotong kek sebagai tanda menyambut ulangtahun ke-7 penubuhan JKKK rumah panjang terbabit baru-baru ini.

pix n story by Edwin Raoh

ENGKILILI, Rabu (19 Ogos) – Penduduk kaum Iban terutamanya mereka menetap di kawasan rumah panjang diingatkan agar tidak menghalau pihak pemaju atau syarikat yang hendak melaksanakan projek kerajaan di kawasan rumah panjang masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata demikian ekoran tindakan penduduk yang cuba membantah tindakan pihak pemaju dalam melaksanakan sesebuah projek pembangunan yang melintasi kawasan tanah mereka.

“Perbuatan seumpama itu bukan sahaja kurang bijak malah amat merugikan kerana seluruh penduduk di rumah panjang tersebut akan berasa ‘kempunan’ untuk menikmati faedah projek pembangunan kerajaan gara-gara disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan oleh seorang atau dua orang individu.

“Merasai faedah pembangunan adalah lebih baik daripada tiada. Justeru adalah wajar seluruh penduduk rumah panjang itu sendiri memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap pemaju untuk merasakan sesuatu projek pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pemimpin Bertemu Rakyat bertempat di Rumah Ragai, Duri Bangat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ragai dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak N.28 Engkilili baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga menasihatkan penduduk Iban di kawasan rumah panjang agar menilai sedalam-dalamnya kebolehan pihak pembangkang dalam memimpin perjuangan kebajikan hidup mereka selepas ini.

Pihak pembangkang menurut beliau masih belum mampu menyaingi kebolehan pihak Barisan Nasional (BN) dalam memimpin negeri ini dan ia telah menerusi bukti kepesatan pembangunan yang dinikmati oleh Sarawak pada masa sekarang.

Justeru penduduk kaum Iban menurut Rayong perlu ‘mempertahankan’ nikmat yang kini mereka kecapi agar Sarawak dapat melangkah setapak lebih ke hadapan dalam arus permodenan negeri pada masa hadapan.

Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM7,000 kepada JKKK Rumah Ragai dan RM3,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA N.28 Engkilili, Edwin Ancheh dan para kakitangan kerajaan dari sekitar daerah ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak itu dihadiri oleh 40 orang Tuai Rumah dan 700 orang penduduk dari sekitar rumah panjang di daerah kecil Engkilili ini.

Tamat.





.



Ibubapa dan guru perlu kongsi peranan tangani masalah pelajar - Snowdan


Caption: TAHNIAH...Snowdan (tengah) sedang menyampaikan hadiah kepada seorang peserta sambil disaksikan oleh Ibrahim (kiri) ketika berlangsungnya acara baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (19 Ogos) – Perkongsian tanggungjawab antara ibubapa dan guru amat penting bagi menangani masalah penglibatan pelajar sekolah dalam masalah sosial pada masa sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan berkata tanggungjawab mengekang penglibatan pelajar dalam masalah itu tidak boleh dipikul oleh satu pihak sebaliknya perlu ditangani secara usahasama bagi memperoleh hasil yang lebih positif.

“Kerajaan memandang berat terhadap masalah penglibatan pelajar dalam aktiviti sosial kurang sihat (seks rambang, menghidu gam, lepak, pengambilan dadah) memandangkan ia secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha kita untuk melahirkan golongan modal insan di masa akan datang.

“Justeru masalah ini perlu ditangani bersama oleh kedua-dua pihak. Pihak guru memantau pergerakan disiplin pelajar di sekolah manakala ibubapa memantau kegiatan anak-anak (pelajar) di dalam dan luar rumah mereka masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Acara Larian Tiang Laju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang bertempat di Padang Lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman baru-baru ini.

Untuk menangani penglibatan para pelajar dalam gejala sosial ini, pihak ibubapa dan guru menurut beliau harus mengalakkan para pelajar untuk lebih aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum atau riadah di kawasan masing-masing.

“Malah ia merupakan satu alternatif positif bagi mengelak penglibatan para pelajar dalam gejala sosial yang kini kian parah dan membimbangkan pihak sekolah, ibu bapa, penduduk dan negara amnya,” katanya.

Snowdan menerusi ucapannya telah mengucapkan tahniah kepada para peserta yang mengambil bahagian dalam acara Larian Tiang Laju SMK Simanggang kerana telah menyahut cabaran untuk hidup sihat.

“Larian Tiang Laju ini seharusnya menjadi wadah untuk Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) mengumpul dana sejajar dengan impian Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang ingin memperluaskan “Knowledge Economy” ke arah merealisasikan Projek Koridor Tenaga Boleh Perbaharui Semula (SCORE),” katanya.

Beliau pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada pihak PIBG SMK Simanggang. Turut diumumkan oleh beliau ialah peruntukan bernilai RM5,000 daripada Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat kepada PIBG sekolah berkenaan.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PIBG SMK Simanggang, Abang Mohd Hashim Abang Masunie, Pengetua SMK Simanggang, Haji Ibrahim bin Jamain, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Mohd Yusof bin Haji Lugom, Penolong Kanan SMK Simanggang, Engkamat Slapok, para guru dan peserta acara tersebut.

Tamat.

Ketua kaum harus turun padang terang dasar kerajaan kepada rakyat - Simoi


Caption: PENGHARGAAN....Charles (dua kanan) sedang menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada Simoi (tiga kanan) sambil diperhatikan oleh yang lain semasa berlangsungnya majlis berkenaan dekat sini baru-baru ini.

Thanks to Sulamain Amut from JASA for pix n facts

SRI AMAN, Rabu (19 Ogos) – Ketua kaum harus turun padang di kawasan masing-masing untuk menerangkan dasar pembangunan kerajaan terhadap penduduk dari masa ke semasa demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri.

Penerangan mengenai dasar pembangunan kerajaan terhadap penduduk oleh para ketua kaum kata beliau amat penting agar pihak lain tidak mengambil kesempatan untuk mengelirukan fikiran mereka lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Penduduk tidak harus dibiarkan keliru dengan segala tohmahan yang dilemparkan kepada mereka mengenai keburukan kerajaan oleh pihak tertentu terutamanya ketika menjelang musim pilihan raya.

“Justeru Ketua Kampung atau Tuai Rumah, Penghulu, Kaunselor dan pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) harus tampil sepanjang masa untuk menerangkan dasar pembangunan kerajaan terhadap penduduk di kawasan masing-masing,” menurut beliau

Simoi berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Program Info Bestari anjuran Jabatan Penerangan Bahagian Sri Aman bertempat di Rumah Luang, Tanjung Bijat, Sri Aman dekat sini baru-baru ini.

Selain itu beliau juga mengingatkan ketua kaum agar tidak menyalahgunakan kuasa yang telah kerajaan berikan kepada mereka dengan meracuni fikiran penduduk untuk menolak kerajaan.

Tindakan sebegini menurut Simoi boleh memberikan impak negatif terhadap perlaksanaan pembangunan di kawasan mereka apabila penduduk yang dihasut oleh mereka sebelum itu bertindak menentang kerajaan.

“Akibatnya ialah kampung itu akan ketinggalan dari segi pembangunan. Justeru saya berharap agar ketua kaum jelas tentang peranan sebenarnya untuk membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memajukan negeri ini,” menurut Simoi.

Hadir bersama ialah Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Charles Sigat Asson, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Abdul Latip Shamsudin, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Sri Aman, Sulaiman Amut, Kaunselor Mas Shamsiah Haji Maslem, Pengerusi K-Bestari Kampung Pangkat / Stumbin, Shamsudin Saliman serta ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Terdahulu, Hajah Simoi telah mengumumkan peruntukan bernilai RM2,500 kepada rumah panjang Luang dan K-Bestari kampung Pangkat / Stumbin bagi tujuan pembelian kipas angin di situ.

Tamat...

Penduduk perlu serius tangani AEDES - Harden


Caption:

SEMPURNA....Harden menyempurnakan majlis perasmikan program tersebut dengan menyiram bunga di perkarangan hadapan Rumah Umbek, Kampung Dayak Baru di sini baru-baru ini.

pix originally taken by Edwin Raoh


SRI AMAN, Rabu (19 Ogos) - Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak Datuk Francis Harden anak Hollis mahu penduduk lebih serius dalam menangani ancaman wabak penyakit Demam Denggi di kawasan masing-masing dalam bandar ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kempen Gotong-Royong dan Anti Nyamuk anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Rumah Umbek, Kampung Dayak Baru, Jalan Kejatau, Sri Aman baru-baru ini.

“Penularan wabak Denggi perlu dikekang oleh semua penduduk dalam bandar ini untuk sepanjang waktu tanpa mengharapkan langkah pencegahan awal oleh pihak berkuasa tempatan di sini.

“Penduduk menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan masing-masing perlu mengambil inisiatif sendiri untuk membasmi kehadiran nyamuk Aedes yang menjadi ejen utama penularan penyakit pembunuh berkenaan,”katanya.

Antara langkah yang boleh dilaksanakan oleh penduduk menurut Harden adalah dengan menjemput pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan ceramah mengenai langkah mengawal dan membasmi penyakit berkenaan.

Maklumat yang diperoleh oleh penduduk menerusi ceramah ini kata beliau secara tidak langsung membolehkan penduduk dalam sesebuah kawasan penempatan itu untuk berdikari menangani penularan penyakit tersebut.

“JKKK juga perlu lebih tegas dalam memberikan arahan terhadap anak buah untuk menjaga tahap kebersihan di kawasan kediaman masing-masing dan buangkan segala sampah yang dipercayai boleh menjadi habitat pembiakan nyamuk itu.

“Jika penduduk menerusi JKKK masing-masing komited melaksanakan langkah ini maka saya percaya kawasan penempatan mereka akan bebas dari ancaman penyakit Demam Denggi selepas ini,” katanya.

Terdahulu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang diberi penghormatan menanam bunga di kampung itu berkenaan sambil disaksikan oleh para ketua kaum dan kakitangan Majlis Daerah Sri Aman yang hadir pada majlis itu.

Tamat.

18 August, 2009

500 penduduk hadiri karniVAL wOW bank rakyat sri aman


Caption: SOJAR! SEDIA UNTUK MENEMBAK OT OT!...Para pengunjung sedang menyaksikan demonstrasi pengendalian senjata pemusnah anti – kereta kebal oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika berlangsungnya karnival berkenaan di SK Agama Sri Aman baru-baru ini.

Pix n news source by Zulia Haji Jemat (gaban)

SRI AMAN, Selasa (18 Ogos) – Lebih 500 orang penduduk dari sekitar bandar Sri Aman mengunjungi Mini Karnival ‘WOW’ anjuran Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad atau Bank Rakyat cawangan Sri Aman yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sri Aman baru-baru ini.

Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Roslan bin Ali berkata kehadiran pengunjung ke Mini Karnival ‘WOW’ ini bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang bermula 15 hingga 16 Ogos lalu.

“Tujuan utama Mini Karnival ‘WOW’ ini diadakan adalah untuk mendekatkan Bank Rakyat cawangan Sri Aman terhadap para pelanggan setianya dan orang ramai dari sekitar bandar ini.

“Dengan adanya Mini Karnival ‘WOW’ ini, pihak kita secara tidak langsung dapat mempromosi pelbagai jenis khidmat yang disediakan oleh Bank Rakyat kepada orang ramai yang hadir pada program itu nanti,” katanya.

Penganjuran hari pertama Mini Karnival ‘WOW’ itu katanya telah diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya ialah Pertandingan Pentanque antara jabatan kerajaan dan sekolah, gerai jualan, pameran, sukaneka anjuran SK Agama, pertandingan bola sepak, pertunjukkan bunga api dan wayang gambar.

Manakala pada penganjuran hari ke-2 pula, pihak Bank Rakyat telah mengadakan majlis minum pagi bersama VIP, pertandingan akhir Petanque, gerai jualan, pameran, pertandingan mewarna, pertandingan mencipta pantun bagi PIBG dan guru, makan tengahari bersama VIP, persembangan salingan dan penyampaian hadiah.

“Kesemua program yang diselitkan dalam Mini Karnival ‘WOW’ Bank Rakyat Sri Aman secara tidak langsung berjaya memeriahkan suasana penganjuran majlis di SK Agama Sri Aman ini tadi,” katanya.

Bagaimanapun Roslan percaya bahawa jumlah kunjungan penduduk ke Mini Karnival ‘WOW’ Bank Rakyat Sri Aman boleh melebihi 500 orang jika wabak Influenza A atau H1N1 tidak melanda negeri ini.

Tamat.