Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 May, 2009

Bank Rakyat perhebatkan usaha promosi menerusi Program Pelanggan Dapat Pelanggan


Caption: ERAT SILATURAHIM...Rahman (tiga dari kanan) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para kakitangan Bank Rakyat dan Rakan Aslah ketika berlangsungnya majlis mini berkenaan.

SRI AMAN, Rabu (20 Mei) –Bank Rakyat cawangan Sri Aman akan memperhebatkan lagi usaha untuk menjadikan institusi perbankan terbabit sebagai bank pilihan nombor satu dikalangan orang ramai dalam daerah ini.

Penolong Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Abdul Rahman Reduan berkata salah satu usaha terbabit ialah dengan mempromosi bank berkenaan di jabatan kerajaan dalam daerah ini menerusi Program Pelanggan Dapat Pelanggan.

“Kita akan cuba mewujudkan lebih ramai Rakan Aslah (pelanggan setia Bank Rakyat) menerusi Program Pelanggan Dapat Pelanggan yang telah buat pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 2006.

“Setiap Rakan Aslah yang berjaya memperkenalkan pelanggan baru kepada pihak Bank Rakyat menerusi program ini akan diberikan insentif atau ganjaran demi memotivasikan lagi usaha mereka bagi tujuan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika berlangsungnya Majlis Makan Tengahari Bersama Rakan Aslah anjuran Bank Rakyat cawangan Sri Aman bertempat di sebuah restoran tempatan di sini hari ini.

Semenjak Program Pelanggan Dapat Pelanggan dilancarkan pada tahun 2006 dahulu, Bank Rakyat cawangan Sri Aman menurut Rahman telah menunjukkan ‘out-put’ perolehan yang ketara berbanding tahun sebelumnya.

“Lagipun hampir 95 peratus daripada jumlah pelanggan Bank Rakyat cawangan Sri Aman yang sedia ada sekarang terdiri daripada kakitangan kerajaan semenjak program terbabit dilancarkan dahulu.

“Jadi pihak kami berharap dengan memperhebatkan lagi Program Pelanggan Dapat Pelanggan akan dapat menaikkan lagi status perbankan Bank Rakyat sebagai institusi perbankan nombor satu di bandar ini (Sri Aman),” katanya.

Terdahulu Rahman bersama kakitangan Bank Rakyat cawangan Sri Aman telah mempelawa para Rakan Aslah atau pelanggan setia bank berkenaan untuk menjamu selera bersama mereka bersempena dengan kejayaan program terbabit.

Tamat.

30 usahawan take part dalam program pendidikan SSM


Caption: USAHASAMA...Najib (kanan) dan Sohor (kiri) ketika mengendalikan program berkenaan di sini hari ini. Foto: ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Rabu (20 Mei) – Seramai 30 orang usahawan mengambil bahagian dalam Program Pendidikan dan Perkhidmatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bertempat di bilik persidangan dalam sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman hari ini.

Program pendidikan yang disertai oleh para usahawan kaum Ciba, Melayu dan Iban ini adalah merupakan anjuran bersama oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS).

Pengarah Negeri Suruhanjaya Syarikat Malaysia Negeri Sarawak, Najib Abu Samah ketika ditemui berkata program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang selok-belok penubuhan syarikat milik sendirian berhad di negeri ini.

“Membuka syarikat milik sendirian berhad dianggap lebih baik kerana usahawan mempunyai peluang yang lebih besar untuk memperkembangkan perniagaan masing-masing.

“Malahan para usahawan ini juga mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapat tender daripada kerajaan sekiranya mereka membuka syarikat milik sendirian berhad,” katanya.

Selain itu katanya usahawan yang dihimpit masalah kewangan juga tidak akan menghadapi tekanan yang begitu teruk daripada pihak bank memandangkan hanya aset syarikat yang dinilai dan bukannya aset peribadi.

“Jadi usahawan digalakkan membuka syarikat milik sendirian berhad. Lagipun usahawan yang berbuat demikian juga berpeluang untuk membuka cawangan syarikat masing-masing di seluruh negeri.

“Keseluruhannya berhubung program ini adalah amat mengalakkan kerana kesemua peserta telah menunjukkan minat masing-masing dengan mengajukan pelbagai soalan mengenai hal syarikat sendirian berhad,” katanya.

Program yang telah dikendalikan oleh beliau sendiri ini juga turut dihadiri oleh Pengerusi DUBS cawangan Sri Aman iaitu Awang Sohor Awang Apek.

Tamat.

18 May, 2009

Hospital baru sri aman sedang diusahakan - Harden


Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Isnin (18 Mei) – Kerajaan sehingga kini masih lagi berusaha untuk mencari tapak baru bagi tujuan pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru bagi mengantikan hospital yang sedia ada sekarang di Jalan Hospital dalam pusat bandar ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Terdahulu tiga orang pengerusi persatuan dari daerah ini iaitu Dato Dr Ngu Phiew Seng, Kapitan Tan Choon Poh dan Kapitan Lai Ngee Luk menerusi akhbar tempatan berbahasa Cina pada hari ini telah menyatakan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan janji mereka untuk membina sebuah hospital Sri Aman yang baru semenjak dari tahun 1983 dahulu.

Ketiga-tiga ketua kaum terbabit juga turut menyentuh mengenai kekurangan prasarana kesihatan di hospital berkenaan disamping mendakwa Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman yang baru di Jalan Sabu, Sri Aman adalah merupakan sebuah pembaziran.

“Kerajaan sebenarnya sudah pun membeli tapak tanah bernilai RM7 juta di Jalan Kejatau bagi tujuan pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru namun tapak ini dilihat tidak sesuai bagi tujuan tersebut.

“Sudah tentunya saya sebagai wakil rakyat di sini sedang berusaha untuk mencari tapak tanah yang baru. Bagaimanapun saya ada dua pilihan iaitu cari tapak tanah yang baru atau pun meneruskan rancangan pembinaan hospital terbabit di tapak tanah yang sudah dibeli oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Untuk itu beliau kini sedang berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mendapatkan peruntukkan bagi tujuan pembinaan hospital baru tersebut yang telah disasarkan tempoh pembinaannya pada tahun 2010 ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang ketika dihubungi Utusan Sarawak juga berkata pihak kerajaan juga sedang dalam proses untuk menambah jumlah mesin dialisis di Hospital Bahagian Sri Aman yang kini hanya mempunyai lima buah mesin sahaja.

Ini menurut Harden adalah bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan penduduk terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit buah pinggang dari kawasan daerah ini.

“Lagipun pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman yang baru di Jalan Sabu bukanlah satu pembaziran terutama sekali mengenai jumlah unit kuaters penginapan yang banyak di situ.

“Ianya sebagai satu persediaan untuk menghadapi kes kecemasan yang besar di Sri Aman sehingga memerlukan bantuan anggota bomba dari lain-lain bahagian dalam negeri ini pada suatu hari kelak,” katanya sambil menambah bahawa jumlah kakitangan Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman akan ditambah pada masa akan datang.

Justeru beliau berharap agar orang ramai termasuk para ketua kaum di daerah ini untuk menghargai segala kemudahan yang telah kerajaan BN sediakan untuk mereka dan bukannya hanya tahu memberikan komen negatif berhubung hal terbabit.

“Lagipan ketiga-ketiga individu berkenaan seharusnya berjumpa dengan saya untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu ini dan bukannya hanya pandai menggunakan media cetak untuk memburuk-burukkan kerajaan BN semata-mata,” katanya.

Tamat.




Popularkan seni muzik Iban dan main asal kata Nyalau


Caption: TAHNIAH...Nyalau (kanan) sedang menyampaikan sijil tamat kursus kepada wakil peserta Skim Skrang iaitu Rawing Jilin (kiri) sambil disaksikan oleh Rayong (dua kiri) dan Jonathan (dua kanan) ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (18 Mei) – Ahli Parlimen Lubok Antu berasa kesal apabila golongan muda kaum Iban pada hari ini lebih meminati muzik dan budaya dari luar negara berbanding dengan muzik serta budaya daripada kaum mereka sendiri.

Muzik dan budaya dari luar negara kata beliau telah menyebabkan belia kaum Iban mula lupa terhadap budaya, ‘main asal’ serta muzik milik kaum sendiri yang selama ini cukup unik dan suka didengari oleh orang asing.

“Ironinya di sini ialah orang asing sangat suka mendengar muzik dan menghayati budaya kaum Iban sedangkan golongan belia kita sendiri ‘berdingin’ terhadap kelebihan yang kaum mereka miliki sejak dahulu,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam bersempena dengan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Ajat Iban anjuran Persatuan Budaya Iban Sri Aman (PBISA) bertempat di Dewan Skim Skrang, Sri Aman malam tadi.

Selain itu beliau bercadang agar pertandingan yang berkaitan budaya dan main asal Iban dianjurkan pada musim perayaan Gawai Dayak demi memupuk minat dikalangan generasi muda kaum Iban di masa akan datang.

“Disamping menganjurkan pertandingan karaoke pada perayaan Gawai, pihak berwajib juga boleh menganjurkan pertandingan yang berkaitan dengan budaya serta main asal kaum Iban seperti sape, berdungai dan sebagainya.

“Ini adalah merupakan salah satu alternatif bagi memastikan kesinambungan budaya, main asal dan seni muzik kaum Iban secara berterusan...jika tidak pasti ianya akan pupus ditelan zaman pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Pengerusi PBISA, Jonathan Isau dan para ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Nyalau pada majlis berkenaan mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar berjumlah RM3,000 kepada persatuan terbabit manakala Rayong pula mengumumkan peruntukkan berjumlahj RM2,000.

PBISA pada majlis itu menyampaikan sijil tamat Latihan Ajat Iban kepada 194 orang peserta kursus berkenaan semenjak ianya dimulakan kira-kira sebulan yang lepas. Sehingga kini terdapat lebih daripada 2,000 peserta yang telah menyertai kursus berkenaan.

Tamat.

Pembangkang mencaci demi cari populariti - Rayong

Caption: MANFAATKAN...Rayong (kiri) sedang menyampaikan cek MRP kepada wakil tuai rumah (kanan) sambil disaksikan oleh Nyalau (tengah) ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (18 Mei) – Pihak pembangkang gemar menfitnah dan mencaci kerajaan Barisan Nasional (BN) demi menonjolkan diri mereka di hadapan rakyat kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Ini kerana menurut beliau pihak pembangkang tiada cara untuk mempopularkan diri mereka di mata rakyat melainkan hanya dengan menfitnah dan menggunakan pelbagai isu tidak berasas di negeri ini.

“Pihak pembangkang terdesak menggunakan cara itu kerana kerajaan BN lebih popular daripada mereka di kalangan rakyat dalam negeri ini.

“Bagaimanapun mereka tidak sedar bahawa BN popular kerana cekap menjaga kebijakan hidup rakyat manakala pihak pembangkang pula tidak popular kerana sering memberi janji palsu,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Pra Gawai 2009 bertempat di Rumah Kilin, Buyong Panjai, Lindong, Skrang dalam daerah Sri Aman di sini baru-baru ini.

Selain itu kerajaan BN sebelum ini sibuk melaksanakan polisi pembangunan untuk rakyat dan tiada masa untuk bertindak menfitnah orang lain seperti yang sering dilakukan oleh pihak pembangkang selama ini.

“Saya yakin rakyat di negeri ini tahu membezakan mana-mana pihak (BN dan pembangkang) yang layak untuk meneraju pembangunan hidup mereka.

“Mencaci dan menfitnah itu boleh dianggap sebagai taktik lapok. Mereka (pembangkang) tidak akan mudah memenangi hati rakyat hanya dengan bertindak mencaci dan memburukkan BN di mata mereka,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak telah merasmikan terbabit. Beliau menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM16,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Buyong Panjai dan RM4,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Tamat.


16 May, 2009

SDNU Sri Aman band famous di SA


Caption: BERBAKAT...Kumpulan pemuzik SDNU Sri Aman dianggotai oleh (Dari kiri) Sanggah, Mat Unggin, Rigi, Warren dan Hossia.

Kumpulan Sarawak Dayak National Union (SDNU) Sri Aman semestinya sudah tidak asing lagi di telinga orang ramai yang sering menghadiri majlis rasmi atau tidak rasmi dalam kawasan daerah ini sebelumnya.

Ini kerana kumpulan SDNU Sri Aman boleh dikatakan sebagai sebuah kumpulan pemuzik berpengalaman yang dianggap setanding dengan kumpulan tempatan lain dalam daerah ini seperti John Mukan Group dan MDSA.

Setelah ditubuhkan lebih empat tahun yang lalu, kumpulan SDNU Sri Aman yang kini dianggotai oleh Warren Sambau (gitar), Mat Unggin (gitar), Sanggah (keyboard), Hossia (gitar bass)dan Rigi Gu (drum).

Menurut Warren, kesemua lima anggota kumpulan SDNU Sri Aman ini mempunyai latar belakang dalam bidang muzik masing-masing sebelum kesemua mereka bersatu untuk membentuk kumpulan berkenaan.

“Pemain drum kami iaitu Rigi adalah merupakan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mempunyai Diploma dalam bidang permainan alat muzik Percussion sebelum menyertai SDNU.

“Manakala Hossia pula mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai bermain gitar Bass dan sering dijemput bermain di sebuah hotel tempatan dalam bandar ini sebelum menyertai kami,” katanya.

Mat Unggin pula jelas Warren sebelum ini sering mengiringi penyanyi tempatan di Sibu dan berpengalaman dalam bermain alat gitar lebih 20 tahun manakala pesara ATM iaitu Sanggah pernah bersama kumpulan D’Semenggoh muncul juara dalam sebuah pertandingan kumpulan pada masa dahulu.

“Manakala saya pula pernah menyertai kumpulan Graviti di Kluang Johor sebelum mengikuti kursus bermain gitar di Studio Syurio, Clemente, Singapore sebelum bermain di pusat hiburan Rupan, Miri.

“Kini kesemua kami telah bersatu dan membentuk kumpulan SDNU. Harapan kami ialah agar pada suatu hari kelak kumpulan SDNU Sri Aman dapat menghasilkan album mereka sendiri,” katanya.

SDNU Sri Aman adalah merupakan salah sebuah kumpulan pemuzik yang sering diundang untuk mengadakan persembahan muzik dalam mana-mana majlis rasmi dalam bandar Sri Aman ini.

Tamat.


Budaya politik pembangkang menjelang pilihan raya


Mugshot: WILLIAM NYALAU BADAK

SRI AMAN, Sabtu (16 Mei) – Pihak pembangkang hanya akan mendampingi rakyat acapkali menjelangnya musim pilihan raya di negeri ini kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Menurut beliau pihak pembangkang dilihat seolah-olah menjadi tindakan tersebut sebagai sebuah ‘budaya’ demi meraih sokongan politik daripada rakyat di setiap kawasan pilihan raya dalam negeri ini.

“Mereka kemudiannya akan meluahkan segala isu berdasarkan kepada dakwaan tidak berasas terhadap rakyat dengan merungkai kelemahan kerajaan yang kini dipimpin oleh pihak Barisan Nasional (BN).

“Selepas itu pihak pembangkang terbabit pula akan memberikan janji kepada rakyat yang mungkin tidak akan ditunaikan oleh mereka sendiri selepas tamat sesebuah pilihan raya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Pra Gawai 2009 bertempat di Rumah Kilin, Merio Panjai, Lindong, Skrang dalam daerah Sri Aman di sini hari ini.

Nyalau juga menambah bahawa ianya merupakan sebuah taktik dan budaya politik pihak pembangkang ketika menjelang pilihan raya dan tidak harus dipercayai oleh rakyat dengan sebegitu mudah selepas ini.

“Mereka akan ‘hilang’ sebaik sahaja tamat pilihan raya tidak seperti BN. Jadi adalah tidak wajar rakyat di sini ‘memangkah’ pihak pembangkang ketika berlangsungnya pilihan raya berdasarkan kepada tindakan mereka itu,” katanya.

Sementara itu beliau juga turut menasihatkan rakyat terutama kaum Dayak agar tidak keterlaluan meminum minuman keras ketika berlangsungnya perayaan Gawai Dayak pada 1 Jun kelak.

“Minum (arak) tidak salah kerana ianya sudah menjadi budaya dalam perayaan Gawai Dayak namun janganlah sampai keterlaluan sehingga boleh menjejaskan kesihatan diri anda sendiri,” katanya.

Beliau menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM16,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merio Panjai dan RM4,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Penghulu Michael Derin, para ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Tamat.