Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 February, 2012

Tahniah GIATMARA Sri Aman : 30 orang student graduate

 Caption: UNTUK ALBUM...Faizal (baris dua belakang, tengah) sedang bergambar kenangan bersama para graduan GIATMARA sebaik sahaja selesai majlis berkenaan baru-baru ini.








SRI AMAN, Khamis - Seramai 30 orang graduan GIATMARA telah diraikan dalam Majlis Graduasi GIATMARA Sri Aman yang berlangsung di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman  baru-baru ini.

Kesemua 30 orang graduan terbabit terdiri daripada pelatih Kursus Teknologi Sistem Komputer dan Solekan Terapi Kecantikan yang telah menamatkan persijilan GIATMARA Competency Point Average (GCPA) selama enam bulan.

Jurucakap penganjur memberitahu majlis graduasi yang bersifat santai dan meriah ini diadakan sebagai apresiasi di atas kejayaan para pelatih menempuh pelbagai cabaran sepanjang masa pengajian tersebut.

Menerusi majlis itu Terence Edward Teggong telah dinobatkan sebagai pelatih terbaik bagi kursus Teknologi Sistem Komputer manakala Sheila Lo Mohd Mizan dipilih sebagai pelatih terbaik Solekan Dan Terapi Kecantikan.

Anugerah ini diberikan atas kecemerlangan mereka menamatkan pengajian dengan mata keterampilan GCPA tertinggi yang membolehkan kedua-duanya dikurniakan pengiktirafan Sijil Ketua Pegawai Eksekutif.

Manakala itu Anugerah Khas Eksekutif pula diberikan kepada Ella Amie atas peningkatan sahsiah rupa diri sepanjang pengajian di GIATMARA Sri Aman dengan Nurhamizan Mohd Narawi dipilih sebagai pelatih baru terbaik Minggu Mesra Pelatih.

Terdahulu Majlis Graduasi GIATMARA Sri Aman telah ini diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh 44 orang pelatih bagi bulan Januari – Jun 2012 sambil disusuli dengan persembahan daripada GIAT Band.

Hadir sama pada majlis graduan berkenaan ialah Pengurus GIATMARA Sri Aman, Mohd Faizal Che Amat, Pengurus GIATMARA Lubok Antu, Mohd Nazri dan Pengurus GIATMARA Julau, Azmi.

Tamat.

Tiga keluarga dari Kampung Lubuk, Sri Aman hadapi ancaman hakisan sungai


Caption: PERLU PERHATIAN...Gambar menunjukkan keretakan dan mendapan tanah di benteng penghadang hakisan yang disebabkan oleh proses hakisan sungai di kawasan Kampung Lubuk, Sri Aman.

SRI AMAN, Rabu (1 Feb) – Tiga buah rumah penduduk dalam kawasan Kampung Lubuk berhampiran Jalan Kampung Masjid Baru, Sri Aman berhadapan dengan ancaman masalah tanah runtuh pada masa sekarang.

Seorang penduduk iaitu Norlia Shaidi berkata masalah terbabit timbul apabila proses hakisan di tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman meretakkan benteng penghadang hakisan berdekatan ketiga-tiga buah rumah tersebut.

“Benteng penghadang hakisan yang dibina pada tahun 2009 itu mula mengalami keretakan serta rekahan yang serius disebabkan oleh proses hakisan oleh air dari sungai berkenaan.

“Lagipun keadaan nyata diburukkan lagi dengan musim hujan pada akhir tahun lepas hingga menyebabkan kejadian mendapan tanah di bawah benteng penghadang hakisan berdekatan rumah mereka,” menurut beliau.

Atas sebab ini kata Norlia penduduk di kawasan Kampung Lubuk memohon agar projek pembinaan benteng penghadang hakisan yang baru dapat dipercepatkan segara selepas ini demi membendung masalah terbabit.

Beliau dan penduduk Kampung Lubuk yakin bahawa keadaan akan menjadi lebih serius sekiranya hujan lebat turun berterusan selama seminggu ditambahi pula dengan kejadian air pasang bah disebabkan oleh fenomena Benak di sungai berkeaan selepas ini.

“Justeru kami merayu kerajaan agar dapat mempertimbangkan segera bantuan bencana alam kepada penduduk kampung di sini,” katanya sambil menambah agar masalah terbabit dapat diselesaikan segera sebelum berlakunya kejadian tidak diingini selepas itu.

Terdahulu kerajaan sebelum ini telah pun mewujudkan pelan cadangan bagi membina benteng penghadang banjir bermula dari kawasan Kampung Hulu hingga ke Kampung Hilir Sri Aman yang menelan kos RM8 juta.

Tamat.

Masir minta pengundi Cina di Sri Aman turun mengundi pada PRU13 akan datang


Caption: RASMI...Masir (empat kanan) ketika bersama Rohani dan Harden menyempurnakan upacara memotong kek perayaan pada majlis itu malam kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (1 Feb)  – Penduduk berketurunan Cina dalam kawasan Parlimen Sri Aman diseru agar meluangkan masa selama sejam bagi untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata masa depan pembangunan kawasan Parlimen Sri Aman khasnya kawasan bandar bergantung kepada tindakan mereka ketika menjelang pilihan raya terbabit.

“Saya meminta penduduk Cina untuk turun mengundi pada PRU13 ini nanti. Saya rasa ia tidak menjadi masalah kepada mereka untuk meluangkan masa selama beberapa jam bagi menentukan masa depan Sri Aman bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Justeru saya berharap agar mereka menyokong sepenuhnya Barisan Nasional (BN) pada PRU13 ini nanti agar kawasan Sri Aman terus menikmati arus pembangunan semasa di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina serta Malam Kebudayaan Dan Keseniaan Cap Goh Mei 1 Malaysia sempena Pesta Cap Goh Mei Bahagian Sri Aman 2012 di Tokong Ciyun, Sri Aman malam kelmarin.

Sementara itu Masir juga memuji tindakan persatuan Cina di Sri Aman yang menganjurkan acara Perarakan Cap Goh Mei dan majlis rumah terbuka bersempena perayaan Tahun Baru Cina di sini pada setiap tahun.

“Saya menyokong sepenuhnya majlis dan acara seperti ini memandangkan ia secara tidak langsung dapat mewujudkan kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan penduduk berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman.

“Dengan kata lain program berkenaan dapat menjayakan lagi perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini,” katanya.

Masir menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan cek peruntukan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM50,000 kepada beberapa buah persatuan Cina dalam kawasan Parlimen Sri Aman.

Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina serta Malam Kebudayaan Dan Keseniaan Cap Goh Mei 1 Malaysia ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim.
  
Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pengerusi pengelola majlis, Tay Yaw Ming, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

KRT Tanjung Engkabang sahut seruan 1 Malaysia

Caption: 1MALAYSIA...Ahli KRT Tanjung Engkabang bergambar kenangan ketika mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina di Taman Norita malam tadi.

SRI AMAN, Rabu (1 Februari) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Engkabang telah menyahut seruan 1 Malaysia apabila mereka mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung bersempena sambutan Tahun Baru Cina 2012 dalam Bandar Sri Aman malam tadi.

Rombongan sambutan Tahun Baru Cina 2012 yang disertai lebih daripada 15 orang ahli ini telah bermula sekitar jam 8 malam dan diketuai oleh Pengerusi KRT Tanjung Engkabang iaitu Mas Mashore Haji Maslem.

Beliau ketika ditemui memberitahu amalan kunjung-mengunjung seperti ini adalah amat penting demi mewujudkan semangat muhibbah dikalangan penduduk berbilang kaum dari masa ke semasa.

“KRT Tanjung Engkabang juga berfungsi sebagai salah satu platform untuk merapatkan lagi hubungan antara penduduk berketurunan Melayu, Iban dan Cina dalam kawasan Sri Aman.

“Justeru kita berharap agar amalan seperti ini akan dapat menjadi contoh kepada mana-mana KRT di kawasan Sri Aman dalam membantu kerajaan mewujudkan semangat perpaduan dikalangan penduduk pada masa akan datang,” katanya.

Mashore turut memberitahu bahawa amalan seperti ini akan dapat memperkukuhkan lagi semangat kekitaan di antara penduduk berbilang kaum di Sri Aman menerusi perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia.

Terdahulu rombongan KRT Tanjung Engkabang telah memulakan kunjungan Tahun Baru Cina ke kediaman seorang ketua kaum Cina dalam bandar ini iaitu Kapitan Kueh Aik Seng dan keluarga.

Mereka kemudiannya mengadakan kunjungan yang serupa ke kediaman rakan-rakan berketurunan Cina di Taman Norita selepas itu sebelum aktiviti mereka selesai menjelang jam 11 malam.

Tamat.

PBTM digesa rekrut ramai ahli - Harden

Caption: TERIMA KASIH...Nalang (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Harden (kanan) sambil disaksikan oleh Masir (dua kanan) dan tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (30 Jan) – Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) digesa untuk merekrut lebih ramai pesara Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) ke dalam persatuan mereka selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata langkah ini penting agar golongan bekas tentera sedar manfaat yang bakal mereka perolehi dengan menyertai persatuan terbabit.

“Dengan menyertai PBTM di kawasan masing-masing, golongan bekas tentera akan dapat memohon bantuan hospital, sara idup, persekolahan untuk anak-anak, sumbangan untuk ahli keluarga bagi mendiang bekas tentera dan banyak lagi.

“Atas sebab ini jika ada PBTM di kawasan anda (bekas tentera) maka saya mengalakkan mereka agar segera mendaftarkan diri untuk menyertai persatuan terbabit demi kebaikan diri masing-masing selepas ini,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun Ke-36 Penubuhan PBTM cawangan Sri Aman di sini malam tadi.

Selain itu penyertaan bekas tentera dalam PBTM menurut beliau juga akan membolehkan suara mereka menjadi lebih lantang dan mudah menjadi perhatian pihak kerajaan dari masa ke semasa.

“Ingin saya ingatkan kepada semua bekas tentera bahawa PBTM adalah merupakan salah satu daripada 21 buah persatuan yang paling aktif dalam negeri Sarawak pada masa sekarang.

“Justeru penyertaan mereka dalam PBTM tidak akan sia-sia selepas ini apabila masalah yang mereka suarakan menerusi persatuan itu akan sering mendapat perhatian kerajaan selepas itu,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid, Pengerusi PBTM cawangan Sri Aman, Nalang Selingau, para barisan AJK dan Srikandi persatuan terbabit.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada PBTM cawangan Sri Aman dan RM3,000 kepada Srikandi persatuan itu dengan Masir juga turut mengumumkan jumlah peruntukan yang sama kepada kedua-dua pihak tersebut.

Majlis turut diserikan lagi dengan upacara memotong kek ulangtahun, penyampaian insentif kepada anak-anak ahli persatuan dan penyampaian cenderamata kepada wakil rakyat pada majlis itu.

Tamat.


Setiap rumah panjang perlu pasuka bomba sukarela - Nyalau


Caption: MANFAATKAN...Nyalau menyampaikan cek kepada Tr Jensen sambil disaksikan oleh Mong dan Rayong pada majlis berkenaan.

ENGKILILI, Isnin (30 Jan) – Setiap rumah panjang digalakkan untuk menubuhkan Pasukan Sukarelawan Bomba bagi menangani kejadian kebakaran di peringkat awal dalam kawasan penempatan masing-masing selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jensen Nyanggau, Pematoh, Engkilili kelmarin.

Katanya penubuhan Pasukan Sukarelawan Bomba mampu berfungsi sebagai pasukan tindakan awal dalam menbendung merebaknya api kebakaran di rumah panjang mereka sebelum ketibaan pasukan Jabatan Bomba Dan Penyelamat selepas itu.

“Justeru saya menggesa agensi kerajaan terutama sekali Pejabat Daerah untuk bekerjasama dengan pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat untuk mewujudkan pasukan seperti itu di rumah panjang.

“Kedua-dua pihak boleh membantu memberi kursus tentang langkah-langkah awal mengenai pencegahan kebakaran ataupun memadam api yang betul sekiranya berlaku kebakaran selepas ini,” katanya.

Nyalau yakin usaha ini akan membolehkan Pasukan Sukarelawan Bomba bertindak dengan lebih efisyen dalam menjaga keselamatan harta benda dan nyawa penduduk rumah panjang daripada musibah kebakaran di masa akan datang.

Malah usaha ini secara tidak langsung menurut beliau mampu membantu pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat sebelum ketibaan mereka ke tapak kejadian kebakaran berkenaan selepas itu.

“Bagamanapun saya kesal apabila terdapat segelintir penghuni rumah panjang yang bertindak menyelamatkan harta-benda terlebih dahulu daripada memadam api kebakaran kecil dan masih mampu dipadam dalam kawasan mereka.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan penghuni rumah teres di bandar juga akan memadam api kebakaran kecil di kawasan kejiranan mereka terlebih dahulu daripada bertindak menyelamat harta sendiri,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang telah merasmikan majlis itu sambil disaksikan oleh ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Betong, Fridah Belik dan tetamu khas yang lain.

Nyalau menerusi majlis berkenaan telah menyerahkan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM10,000 kepada JKKK Jensen Pematoh dan RM3,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

Tamat..

Tiada isu lagi pasal dakwaan tanah rampas tanah rakyat - Mong


Caption: SELAMAT DATANG YB...Mong sedang berjabat tangan dengan penduduk Rumah Jensen sambil diikuti oleh Nyalau dan Rayong dari belakang sebaik sahaja tiba di situ kelmarin.

ENGKILILI, Isnin (30 Jan) – Penduduk kawasan luar bandar perlu sedar bahawa isu kerajaan merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah merupakan satu fitnah yang sengaja direka-reka oleh pihak pembangkang.

Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan Dan Penyelarasan) Datuk Mong Dagang berkata fitnah terbabit bertujuan untuk melemahkan sokongan penduduk terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Lagipun Kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya akan membayar pampasan terhadap penduduk sekiranya tanah milik mereka ini diambil-alih bagi tujuan pembangunan.

“Dengan kata lain dakwaan bahawa kerajaan merampas tanah penduduk adalah tidak benar. Itu cuma satu mainan politik oleh pihak pembangkang bagi meraih sokongan mereka pada pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jensen Nyanggau, Pematoh, Engkilili kelmarin.

Selain itu Mong juga menasihatkan penduduk kawasan luar bandar agar tidak berselisih faham di antara satu sama lain ketika kerajaan BN mahu melaksanakan kerja sukatan primeter terhadap tanah NCR masing-masing.

“Jika mahu kerja penyukatan perimeter terhadap tanah NCR masing-masing diselesaikan dengan lancar maka semua pemilik haruslah mengamalkan sikap muafakat di antara satu sama yang lain selepas ini,” katanya.

Beliau menerusi majlis itu juga turut menyuarakan sokongannya terhadap William Nyalau Badak sekiranya dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu milik BN itu pada pilihan raya umum akan datang.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu,William Nyalau Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik, wakil Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Betong, Ramsay Selat, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.