Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 June, 2011

Golongan ilmuwan harus sama majukan JKKK



Caption: RASMI...Mong (tengah) memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis sambil diringi oleh Timbalan Residen Limbang, Elvish Didit (kanan sekali) dan tetamu khas yang lain.

SRI AMAN, Rabu (8Jun) – Golongan berilmu dalam kampung dinasihat untuk turun padang membantu membangunkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Permodenan Pertanian, Mong anak Dagang berkata golongan berilmu seperti graduan universiti, kolej, institusi kemahiran dan sebagainya mempunyai idea yang lebih luas bagi melaksanakan tujuan terbabit.

“Inilah masanya untuk mereka menyertai organisasi JKKK di kampung masing-masing demi membolehkan mereka menyampaikan buah tangan dan kemahiran dari segi ekonomi dan sosial.

“Sumbangan mereka secara tidak langsung akan dapat memajukan kawasan kampung dan seterusnya memberi manfaat kepada penghuni masing-masing di masa yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Gawai Dayak sempena Ulang Tahun Ke-18 Penubuhan Rumah Panjang Milu, Gua Dalam, kira-kira 40 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman pada 6 Jun lepas.

Selain itu Mong juga meminta semua Tuai Rumah atau Ketua Kampung di kawasannya untuk sentiasa memberi fokus terhadap tahap pembangunan dalam kawasan kampung masing-masing.

“Tuai Rumah boleh mengusulkan cadangan kepada saya mengenai langkah memajukan kawasan masing-masing dengan memberi fokus terhadap tahap pembangunan di kawasan mereka dari masa ke semasa.

“Dengan cara ini wail rakyat dan ketua kaum akan dapat menjalin hubungan kerjasama yang lebih erat dalam memajukan kampung atau rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan,” menurut beliau.

Terdahulu beliau menerusi majlis itu telah menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM50,000 untuk JKKK Skim Melugu, RM5,000 untuk JKKK Rumah Mamba Skim Melugu, RM3,000 untuk JKKK Rumah Ngiring, Jumbit, RM5,000 untuk JKKK Rumah Lada, Skim Melugu, RM4,000 untuk JKKK Rumah Blulok, Melugu Quarry B, RM2,000 untuk Biro Wanita Rumah Blulok, RM3,000 untuk JKKK Rumah Meregie, Tekalong Dor dan RM3,000 untuk Biro Wanita Rumah Meregie, Tekalong Dor.

Tamat.

JTS Betong terus sukat tanah NCR di kawasan PUSA



Caption: SERIUS...Laeng ketika menyampaikan taklimat ketika berlangsungnya sesi dialog terbabit di Kampung Tambak, Pusa.


Abang Hipeni Abang Ashim


PUSA, Rabu (8 Jun) - Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong sedang meneruskan kerja mengukur Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik komuniti Melayu di kawasan Simpang Tambak / Sungai Keda / Bukit Kuap, Pusa di bawah Inisiatif Baru NCR pada masa sekarang.


Justeru pihak JTS Betong telah pun menganjurkan satu majlis dialog di Masjid Kampung Tambak, Pusa untuk memaklumkan kepada komuniti Melayu di Kampung Tambak dan sekitarnya mengenai maksud Inisiatif Baru NCR.


“Penduduk Kampung Tambak, Pusa dan sekitarnya sangat bertuah memandangkan kerajaan kerana telah meluluskan kawasan Tanah NCR mereka dalam Inisiatif Baru NCR,” kata

Pegawai Tanah JTS Betong, David Laeng.


Menerusi taklimatnya berkata langkah pertama berhubung inisiatif ini adalah menjalankan kerja ukur keliling kawasan NCR mereka sebelum mewartakanya sebagai Rezab Gunasama Bumiputera dibawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.


Salinan warta tersebut kata Laeng akan diserahkan kepada penghulu dan ketua kampung sebagai bukti daripada Kerajaan bahawa Tanah NCR tersebut adalah milik mereka yang sah.


“Untuk langkah kedua, JTS akan menjalankan kerja pengukuran lot tanah individu dan sekali lagi disarankan agar pemilik tanah NCR dapat memberi kerjasama bagi menentukan sempadan tanah masing-masing.


“Hasil daripada kerja-kerja tersebut kelak, JTS akan mengeluarkan surat hakmilik tanah kekal di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri tanpa mengenakan apa-apa bayaran,” katanya.


Beliau turut menambah bahawa dua buah kawasan iaitu Entebu / Selambong / Bajau di Saratok dan Sungai Ensuri di Beladin telah pun diwartakan sebagai Rezab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.


“Atas sebab ini saya merayu kepada penghulu, ketua kampung serta pemilik-pemilik tanah NCR agar memberi kerjasama kepada JTS dalam menentukan sempadan tanah NCR mereka selepas ini,” katanya.


Hadir pada majlis tersebut ialah wakil Penguasa JTS Betong, Barau anak Gelayan, Ketua Kampung Haji Sulaiman, wakil Juru Ukur, Mohd Sulong Haji Othman bersama 140 orang penduduk dari Kampung Tambak, Pusa dan sekitarnya.


Tamat.

3,000 hadir Program Terbuka Gawai di Betong






Caption:

1. UNTUK ALBUM...Jabu (tengah) sambil diapit oleh Uggah (kanan) dan Senator Dato Sri Empiang Jabu (kiri) ketika bersama tetamu undangan kehormat yang lain ketika berlangsungnya sesi bergambar bersempena dengan majlis itu.

2. PELUANG....Para penduduk sedang menikmati jamuan makanan yang disediakan bersempena dengan penganjuran majlis itu.

Saleman Senin

BETONG, Rabu (8 Jun) – Seramai 3,000 orang penduduk berbilang kaum dalam kawasan Betong menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2011 yang berlangsung di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Amar Kalong Ningkan, Betong baru-baru ini.

Majlis anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Layar ini telah mendapat kerjasama daripada Ranting PBB kampung Masjid / Passa, Ranting PBB Kampung Tengah / Hilir dan Ranting PBB Kampung Baru, Betong.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, ADUN Saribas, Mohd Razi Sitam, ADUN Betong Maro, Razaili Gapor dan ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa hadir sama bagi memeriahkan majlis itu.

Jabu ketika ditemui berkata kerajaan akan memperhebatkan lagi usaha untuk membangunkan kawasan Betong dengan adanya sokongan berterusan daripada penduduk dari masa ke semasa.

Barisan Nasional (BN) katanya sedar bahawa penduduk di sini masih dahagakan pembangunan dan ia mendorong kerajaan untuk merancang pelan bagi menyediakan kemudahan yang secukup untuk penduduk Betong.


”Penduduk berbilang kaum di Betong masih memerlukan sokongan BN untuk memajukan hidup mereka dan ini mendorong kita untuk tidak mempersia-siakan sokongan mereka terhadap kerajaan selepas ini,” katanya.

Manakala itu Razi pula berpendapat bahawa sambutan seperti ini dapat memberi peluang kepada penduduk untuk bermesra dengan pemimpin masing-masing disamping meraikan perayaan utama bersama mereka.


”Mungkin pendekatan yang lebih jelas dalam usaha kerajaan untuk mendekati penduduk berbilang kaum dapat dilaksanakan menerusi penganjuran majlis seumpama ini,” menurut beliau.


Terdahulu penduduk termasuk pelancong asing berpeluang menikmati pelbagai hidangan menarik bersempena dengan sambutan Majlis Rumah Terbuka Gawai 2011 seperti kuih - muih, masakan berasaskan pulut, rendang daging, kari daging, ayam masak kurma dan juga mee.

Tamat.

Perguruan Silat Hailam Laut Kpg Hulu Spaoh jayakan Program Gawai Terbuka 2011 di Kampung Spaoh, Betong

BARISAN GAGAH...Guru Silat Hailam Laut Kampung Hulu Spaoh, Betong iaitu Hajah Judi (berdiri tengah) bersama Noh B Kundang (hujung kiri) bergambar kenangan bersama anak murid mereka setelah selesai membuat persembahan silat bersempena dengan sambutan Program Terbuka Gawai 2011 di Gelanggang Futsal, Kampung Spaoh, Betong baru-baru ini. Persembahan silat yang ternyata berjaya mengamit kehadiran 800 orang penduduk berbilang kaum itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri, Senator Dato Sri Empiang Jabu, isteri Uggah iaitu Datin Sri Doren Mayang, ADUN Saribas, Ricky Mohd Razi Sitam, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan Ketua Polis Daerah Betong, DSP Bukhori Saffai. Gambar ini adalah merupakan sumbangan Kopral Abang Daud Abang Julhi dari Ibupejabat Polis Daerah Betong. Sejumlah 24 buah gerai menyajikkan pelbagai hidangan ala Buffet pada program terbabit. - 8 Mei

06 June, 2011

Sambutan Gawai di Gelanggang Futsal, Kampung Spaoh, meriah



Caption: MESRA...Jabu (tiga kanan) ketika bersama Romie, Razi, Lawson, Uggah dan Empiang ketika menghadiri Program Rumah Terbuka Gawai Dayak 2011 di Gelanggang Futsal Spaoh, Betong.


SPAOH, Isnin (6 Jun) – Sejumlah 800 orang penduduk pelbagai kaum dalam kawasan Betong memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Gawai 2011 yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Spaoh, Betong baru-baru ini.

Program Sambutan Rumah Terbuka Gawai 2011 yang berkonsepkan hidang terbuka atau Buffet adalah merupakan anjuran Ahli Parlimen Betong, Dato Sri Douglas Uggah Embas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang dan isteri, Senator Dato Sri Empiang Jabu, isteri Uggah iaitu Datin Sri Doren Mayang, ADUN Saribas, Ricky Mohd Razi Sitam dan Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel.

Razi ketika ditemui pada majlis itu melahirkan rasa gembira memandangkan ia merupakan kali pertama buat diri beliau untuk menghadiri majlis seumpama ini semenjak menjadi wakil rakyat baru pada bulan April lepas.

Melihat kepada betapa meriahnya sambutan Program Rumah Terbuka di Spaoh, beliau mencadangkan agar program yang sama diadakan di kawasan Debak bagi memeriahkan suasana sambutan perayaan terbabit di Betong.

“Dengan cara ini kita boleh menghimpunkan semua penduduk berbilang kaum di kawasan Betong dan seterusnya mewujudkan hubungan perpaduan yang lebih erat dari masa ke semasa,” katanya.

Program Sambutan Rumah Terbuka Gawai 2011 yang berkonsepkan hidang terbuka atau Buffet ini dijayakan dengan pembukaan menerusi 24 buah gerai makanan dan minuman kepada penduduk.

Tamat.

Setiap kaum digalak hargai keamanan - Harden



Caption: TERIMA KASIH BN...Harden (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama penerima cek MRP dan penduduk ketika berlangsungnya program itu.


SRI AMAN, Isnin (6 Jun) – Setiap kaum digalak untuk menghargai keamanan yang mereka kecapi ketika meraikan perayaan utama masing-masing dalam negara ini hingga ke masa sekarang, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Ini kerana keamanan yang mereka nikmati sekarang melambangkan kejayaan dalam usaha pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan hubungan perpaduan di antara kaum dalam negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perayaan Gawai Dayak 2011 Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Simanggang bertempat di Rumah Minggin, Munggu Ruan, Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini.

“Rakyat di negara ini khasnya negeri Sarawak harus berasa bertuah kerana mereka masih dapat meraikan perayaan utama masing-masing tanpa rasa tergugat semenjak bermula merdeka dahulu hingga sekarang.

“Ini menunjukkan kelebihan BN dalam meneraju pemerintahan negara ini. Justeru saya berharap agar rakyat berbilang kaum di negeri ini menyayangi segala kenikmatan yang mereka,” katanya.

Selain itu Harden juga berharap agar pihak tertentu tidak mempolitikan isu perkauman demi kepentingan masing-masing memandangkan ia boleh merosakkan kestabilan politik di negeri ini.

Malah tindakan terbabit katanya secara tidak langsung akan memberi impak terhadap usaha pembangunan ekonomi rakyat yang sedang diusahakan secara oleh kerajaan semenjak dari dulu hingga sekarang.

“Jika mereka sayangkan kemajuan negeri sekarang maka saya meminta agar pihak terbabit tidak mempolitikkan sewenang-wenangnya isu perkauman demi kebaikan masa hadapan negeri,” katanya.

Program Gawai Dayak anjuran SUPP cawangan Simanggang yang diselitkan dengan pelbagai acara menarik itu turut diserikan dengan upacara penyerahan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar kepada wakil penerima daripada kawasan berkenaan.

Tamat.

Sempena Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz : Felcra FC perlu menang dua baki perlawanan



Caption: MASIH BERHARAPAN...Wira Wahab berharap agar pasukannya iaitu Felcra FC dapat memenangi baki dua perlawanan dalam saingan Kumpulan A selepas ini.

Originaly written by Adiey Safarman

Harapan untuk melangkah ke pusingan kedua dalam Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011 nyata cukup cerah buat pasukan MPOB Elite setelah menumpaskan pasukan Felcra FC dalam saingan perlawanan Kumpulan A baru-baru ini.

Pasukan MPOB Elite telah membuktikan keunggulannya dengan membelasah pasukan Felcra FC dengan jaringan gol 6 – 1 setelah membelasah pasukan Merah FC dengan jaringan 3-1 pada perlawanan peringkat Kumpulan A sebelumnya.

Terdahulu, pasukan Felcra FC yang berada di bawah pimpinan jurulatih mereka iaitu Wira Wahab telah pun mengalami kekalahan dalam aksi pertama bagi peringkat Kumpulan A setelah tewas tipis ditangan pasukan Sessang FC dengan jaringan gol 2-1.

Wira yang agak gusar dengan dua keputusan perlawanan terbabit melahirkan rasa kecewa terhadap aksi hambar yang dipamerkan oleh para anak buahnya dalam kedua-dua perlawanan berkenaan.

Ini kerana dalam aksi dua perlawanan sebelum ini bagi beliau, pasukan Felcra FC telah memperlihatkan begitu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama sekali dari segi posisi dan corak permainan.

“Kelemahan dalam aksi menentang pasukan Sessang FC pada hari Sabtu lepas telah pun diperbaiki namun kelemahan dan kesilapan yang sama kembali berulang apabila menentang MPOB Elite,” katanya.

Beliau yang gusar pasukannya masih gagal memunggut sebarang mata dalam perlawanan peringkat A setakat ini berkata pasukan Felcra FC nyata gagal mempamerkan aksi sebenar tanpa nasib menyebelahi mereka.

Justeru Wira berharap agar pasukan Felcra FC mampu memenangi dua buah baki perlawanan bagi peringkat Kumpulan A demi mencerahkan peluang untuk saingan peringkat pusingan kedua pertandingan terbabit selepas ini.

Sementara itu dalam aksi perlawanan yang lain pula menyaksikan pasukan BPL City menumpaskan pasukan Emplam FC menerusi jaringan gol 3 – 2 dalam saingan peringkat Kumpulan B.

Perlawanan seterusnya dalam saingan Kumpulan C bakal menyaksikan perlawanan antara pasukan FLOAMING FC (ROBAN) menentang AWIK FC, pasukan Warrior 33 menentang TTM FC bagi peringkat Kumpulan D manakala pasukan Merah Junior FC menentang AWA Cartuzz FC bagi saingan kumpulan A.

Tamat.