Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 June, 2011

Yang disangkakan pencuri namun sebenarnya hantu

SRI AMAN, Isnin (6 Jun) – Kemeriahan sambutan perayaan Gawai Dayak dalam sebuah di kawasan Pantu terganggu berhubung kemunculan ‘individu’ yang pada mulanya disangka cuba memecah - masuk milik rumah seorang penduduk di situ pada malam 2 Jun lepas.

Kisah yang dianggap ‘misteri’ ini dipercayai bermula apabila sekumpulan penduduk kampung berkenaan sedang berhimpun di sebuah rumah bekas pesara kerajaan untuk meraikan Gawai sekitar jam 9.10 malam.

Kebetulan pada waktu dua orang penduduk yang tidak mengikut kumpulan berkenaan hanya duduk berbual di ruai rumah panjang sebelum mereka terlibat kelibat seorang ‘nenek’ yang berjalan melintasi hadapan rumah panjang berkenaan.

Setelah disapa oleh dua orang penduduk itu, ‘nenek’ berkenaan didapati tidak melayai sapaan mereka dan terus berjalan menembusi pagar milik sebuah rumah besar yang terdapat di kampung berkenaan.

Dengan menyangka ‘nenek’ berkenaan cuba memecah-masuk rumah besar tersebut, penduduk berkenaan terus melaporkan perkara itu kepada pemilik rumah yang kebetulan pada waktu itu bercuti di Kuching.

“Pemilik tersebut datang awal pagi pada keesokan hari untuk memeriksa keadaan rumahnya namun mendapati tiada satu barang pun hilang selepas perkara terbabit dilaporkan berlaku.

“Selepas pelapor itu disiasat, pemilik menyimpulkan bahawa individu yang mereka lihat pada malam itu berkemungkinan ‘roh’ kepada mendiang ibu pemilik rumah terbabit yang telah meninggal dunia kira-kira dua minggu sebelum itu,” kata sumber.

Mendiang dilaporkan meninggal dunia secara mengejut di rumah panjang berkenaan dan kemudiannya diberikan upacara penghormatan mengikut adat resam di rumah anak lelakinya (pemilik rumah terbabit).

“Logiknya si pelapor itu bukan berasal dari kampung ini dan dia tidak berada di sini ketika mendiang meninggal dunia. Justeru tidak mungkin pelapor mengecam gaya mendiang berjalan dan struktur rambutnya.

“Lagipun si pelapor mungkin tidak sedar bahawa roh mendiang dipercayai mungkin melawat ke rumah panjangnya sebelum berkunjung ke rumah anaknya sendiri pada waktu malam berkenaan,” katanya.

Tamat.

Mary Emelda dari Giatmara Sri Aman galas cabaran Sarawak ke final Pertandingan Kemahiran Malaysia



Caption: FOKUS...Mary Emelda sedang membuat latihan “Fantasy Make-Up” menghadapi cabaran peringkat akhir PKM 2011 pada bulan Julai nanti.


SRI AMAN, Ahad (5 Jun) - GIATMARA Sri Aman melalui pelatihnya Mary Emelda anak Rigok dari kursus Solekan & Terapi Kecantikan bakal menggalas cabaran Sarawak ke Pertandingan Kemahiran Malaysia yang bakal berlangsung pada bulan Julai ini.

Beliau yang berada di bawah bimbingan Tenaga Pengajar Solekan dan Terapi Kecantikan di GIATMARA Sri Aman, Sabrina binti Abdul Rahim telah melepasi peringkat kelayakan di IKBN Pertak, Hulu Selangor pada bulan April yang lepas.

“ Ini adalah julung kalinya wakil dari Sarawak layak dalam bidang “Beauty Therapy” di dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia,” menurut Pengurus GIATMARA Sri Aman, Mohd Faizal Che Amat menerusi siaran berita oleh Mohd Khairul Azha bin Haji Azahari di blog www.gmsriaman.blogspot.com.

Sekiranya berjaya pada pertandingan akhir ini, Mary Emelda katanya akan mewakili Malaysia ke 9th Asean Skill Challange di Indonesia pada 2012 dan seterusnya ke World Skill yang berkemungkinan berlangsung di Denmark.

Sementara itu Mary yang pada mulanya tidak menyangka bahawa bidang ini mampu membawa beliau ke peringkat akhir menganggap bidang solekan bersifat global dan memerlukan mereka untuk sentiasa peka terhadap perubahan dalam bidang tersebut.

Beliau yang telah menyertai kursus di GIATMARA Sri Aman dalam bidang solekan dan terapi kecantikan semenjak Julai 2010 sentiasa bersama tenaga pengajarnya menggunakan laman web youtube sebagai medium rujukan antarabangsa.

Justeru Tenaga Pengajar Solekan dan Terapi Kecantikan, GIATMARA Sri Aman, Sabrina Abdul Halim berharap agar orang ramai mengenepikan persepsi negatif yang menganggap bahawa GIATMARA hanya tertumpu kepada kursus solekan selepas ini.

“Sebenarnya GIATMARA menawarkan banyak kursus kepada orang ramai khasnya para belia dalam negeri ini seperti rawatan muka, rawatan kuku, rawatan badan dan bidang keusahawanan.

“Lagipun permohonan untuk kursus Solekan dan Terapi Kecantikan telah pun dibuka mulai sekarang di GIATMARA Sri Aman dengan memuat-turun borang terbabit di laman blog kami iaitu www.gmsriaman.blogspot.com,” katanya.

Tamat.

Teruskan amalkan Konsep Rumah Terbuka Gawai - Razi



Caption: SELAMAT HARI GAWAI...Razi (duduk tengah) bersama isteri (bertudung) bergambar kenangan bersama penduduk Rumah Entawa, Debak ketika berlangsung program rumah terbuka di situ pada 2 Jun lepas.


DEBAK, Ahad (5 Jun) – Konsep rumah terbuka perlu terus diamalkan demi kebaikan golongan generasi muda pada masa akan datang demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky Mohd Razi Sitam.

Katanya konsep rumah terbuka untuk semua jenis perayaan utama dalam negeri perlu diteruskan demi memupuk semangat perpaduan dikalangan penduduk berbilang kaum terutama sekali Cina, Melayu dan Dayak.

“Lagipun amalan konsep rumah terbuka ini amat penting bagi menyokong dasar perlaksanaan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Justeru saya berharap agar penduduk berbilang kaum dalam negeri ini terutama sekali dalam kawasan Saribas lebih bersikap terbuka dalam menjayakan perlaksanaan amalan konsep rumah terbuka,” katanya ketika menghadiri Rumah Terbuka sempena sambutan Gawai Dayak 2011 di Rumah Entawa, Debak pada 2 Jun lepas.

Selain itu Razi juga telah berbincang dengan Menteri Muda Perumahan dan Kemajuan Luar Bandar, Abdul Wahab Aziz dan Pegawai Perumahan Sarawak untuk mencari langkah mudah bagi membuat pinjaman perumahan.

Malah beliau pada majlis itu juga telah menyatakan usahanya untuk membantu mendapatkan rumah panjang baru bagi penduduk Rumah Entawa, Debak bagi mengantikan rumah panjang lama mereka pada masa sekarang.

“Ia merupakan usaha saya bagi membalas budi penduduk Rumah Entawa yang telah berusaha keras bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional di DUN Saribas pada Pilihan Raya Umum lepas,” katanya.

Beliau dalam majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM12,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rumah Entawa.

Tamat.

RELA Platun Kampung Muhibbah di struktur semula



Caption: ALBUM...Bajuri (duduk tengah) bersama Buasan (kiri) ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama anggota baru dan lama RELA Kampung Muhibbah kelmarin.


SRI AMAN, Ahad (5 Jun) - Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman telah melakukan pengstrukturan semula terhadap ahli RELA kawasan Kampung Muhibbah di Masjid Darul Syakirin Kampung Muhibbah di sini baru-baru ini.

Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel (RELA) Bajuri Haji Adon ketika ditemui berkata pengstrukturan semula berkenaan telah membabitkan penyertaan semula ahli RELA yang lama dan yang baru dalam satu organisasi platun yang dinamakan sebagai RELA unit Kampung Muhibbah, Sri Aman.

"Pasukan RELA Daerah Sri Aman unit Kampung Muhibbah ini akan diketuai oleh Leftenan Muda (RELA) Abang Yusuf Buasan bin Abang Naruddin," katanya.

Menurut Bajuri lagi pasukan RELA Daerah Sri Aman unit Kampung Muhibbah telah menyaksikan pengabungan terbaru antara 32 orang anggota lama dan lapan lagi anggota baru dalam platun berkenaan.

Justeru penstrukturan semula platun RELA unit Kampung Muhibbah ini katanya diharap akan dapat memperkukuhkan lagi ketumbukkan pasukan RELA Daerah Sri Aman pada masa akan datang.

"Kita juga berharap agar semua anggota RELA unit Kampung Muhibbah melaksanakan tugas masing-masing dengan lebih komiten selepas terutama sekali ketika berlangsungnya operasi bersepadu membenteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bersama pihak berkuasa selepas ini," katanya.

Tamat.

05 June, 2011

Rudy Deli dari IPD Sri Aman pemenang hamper gergasi Petronas Sri Aman



Caption: TAHNIAH...Haji Hamzah (belakang tiga kiri) dan Itto (belakang tengah) bergambar kenangan bersama pemenang promosi hamper gergasi dan saguhati di Stesen Petronas Sri Aman sebaik sahaja selesai majlis itu.


SRI AMAN, Ahad (5 Jun) – Tuah menyebelahi Rudy bin Deli apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang hamper gergasi hasil tajaan syarikat Petronas cawangan Sri Aman di Jalan Sabu dalam bandar ini.

Kakingan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman itu telah memenangi hamper berkenaan menerusi promosi yang diadakan oleh pihak stesen minyak berkenaan acapkali menjelang perayaan Gawai Dayak pada setiap tahun.

“Selain dari hamper gergasi, pihak Stesen Petronas Sri Aman juga turut menawarkan sejumlah enam buah hamper saguhati kepada pelanggan stesen kita yang bertuah menjelang perayaan Gawai.

“Justeru diharap agar para pelanggan bertuah diceriakan menerusi kemenangan masing-masing terhadap promosi hamper terbabit pada sambutan perayaan Gawai Dayak 2011 yang lepas,” katanya.

Hamzah turut menambah bahawa pelanggan Petronas pada tahun ini harus berasa tuah memandangkan mereka ditawarkan produk minyak terbaru iaitu Primax 95 Extra yang berkualiti tinggi tetapi masih dijual pada harga lama.

“Petronas melakukan yang terbaik untuk menjaga kepuasan para pelanggannnya dengan menawarkan produk minyak terbaru lebih-lebih lagi ketika berlaku kenaikkan harga minyak sedunia pada masa sekarang,” katanya.

Terdahulu Penyelia Stesen Petronas Sri Aman iaitu Encik Ahmad @ Itto turut hadir sama bagi menyaksikan upacara penyampaian hamper gergasi dan saguhati kepada pemenang dalam promosi terbabit.

Tamat.

04 June, 2011

PRS Bahagian Engkilili nyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan semula Nyalau pada pilihan raya depan



Caption: SOKONG…..Nyalau (tengah) bersama ahli jawatankuasa tertinggi parti PRS Bahagian Engkilili yang menyokong Nyalau menjadi calon BN pada pilihan raya Umum akan datang.


ENGKILILI, Sabtu (4 Jun) – William Nyalau anak Badak terus mendapat sokongan penuh untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen P.203 Lubok Antu pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang telah menyandang kerusi parlimen berkenaan semenjak tahun 2008 lepas nyata mendapat sokongan penuh daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Engkilili yang bersidang dalam Mesyuarat Agung (AGM) parti tersebut baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi PRS Bahagian Engkilili, Kanselor Bangkong anak Mawing yang membentang usul dalam mesyuarat itu menamakan Nyalau menjadi calon BN mewakili PRS pada pilihan raya akan datang lalu disokong ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

“Kami mencalonkan semula Nyalau selaku Pengerusi PRS Bahagian Engkilili untuk mempertahakan kerusi Parlimen Lubok Antu yang baru disandang sepanggal itu pada pilihan raya Umum Ke-13 nanti.

“Jadi kami di sini termasuk Batang Ai masih memerlukan khidmat Nyalau kerana beliau seorang yang mesra malah rajin turun padang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dalam kawasannya,” kata beliau.

Terdahulu pada pilihan raya Umum Ke-12 dahulu Nyalau telah mendapat undi 6,769 undi untuk menewaskan pencabarnya Nicholas Bawin anak Anggat (Bebas) (5,159) dengan kelebihan undi 1,610.

Sementara itu Nyalau yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Lubok Antu dalam mesyuarat AGM tersebut bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu yang disandangnya itu pada pilihan raya umum akan datang.

Tamat....

MP Nyalau sampaikan bantuan perumahan kepada penduduk Ulu Skrang



Caption: TERIMALAH….Nyalau (lima kanan) dan Dr Rayong (lima kiri) bergambar beramai-ramai dengan para Tuai rumah sekitar Ulu Skrang dalam majlis itu.


ENGKILILI, Sabtu (4 Jun) - Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak menyampaikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM45,500 kepada tujuh buah rumah panjang di Ulu Skrang, Engkilili baru-baru ini.

Tujuh buah rumah panjang itu ialah JKKK Anggang, Mejong (RM10,000), Biro Wanita Tr.Ambon, Emperan (RM2000), JKKK Sawing, Merutih (RM2,500), JKKK Chungat, Tebat (RM4000), JKKK Gait, Keranggas (RM10,000), JKKK Sandin, Belaie (RM10,000) dan JKKK Sigan, Nanga Pelo (RM7000).

Majlis penyampaian cek MRP kepada para wakil penerima dari tujuh buah rumah panjang berkenaan itu telah diadakan di rumah panjang Dudong, Murad, dalam daerah Kecil Engkilili.

Dalam majlis itu Nyalau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong anak Ngipa telah menunaikan janji Barisan Nasional (BN) apabila menyampaikan bantuan membaikpulih rumah bernilai RM224,000 kepada 448 keluarga dari 25 rumah panjang sekitar Ulu Skrang.

Setiap keluarga menerima RM500 bagi tujuan membantu mereka membeli bahan-bahan rumah.

Nyalau ketika berucap dalam majlis itu menasihatkan rakyat di kawasan Lubok Antu agar berterima kasih kepada kerajaan atas sumbangan serta usaha gigih BN memajukan rakyat di negara ini.

“Jadi kita berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan ini. Teruskan amalkan budaya itu dan memberi sokongan secara berterusan terhadap kerajaan berhubung usaha ini,” katanya.

Sebelum ini 281 keluarga daripada 17 buah rumah panjang sekitar Penempatan Semula Skim Skrang menerima peruntukan bernilai RM140,500 daripada kerajaan yang disampaikan oleh Dr Rayong pada majlis kesyukuran beliau di Skim Skrang.

Ia adalah janji Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin semasa melawat rumah panjang Joshua Lipa, Skim Skrang sebelum pilihan raya negeri Sarawak ke -10 pada 16 April lalu.

Muhyuddin semasa berkunjung ke rumah panjang itu mengumum peruntukkan sejumlah RM1.79 juta kepada rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili.

Tamat...