Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 December, 2010

Penduduk dipelawa sertai Seminar Kejurulatihan Bolasepak Bahagian Sri Aman dan Betong 11 - 12 Disember ini


Mugshot: ZAIDIL HAJI RIPIN


SRI AMAN, Rabu (2 Dis) – Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Bahagian Sri Aman (SAFC) akan menganjurkan Seminar Kejurulatihan Bolasepak Bahagian Sri Aman dan Betong bermula 11 hingga 12 Disember ini.

Setiausaha SAFC, Zaidil Haji Ripin ketika dihubungi memberitahu seminar yang terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dari Sri Aman dan Betong ini akan berlangsung di bilik mesyuarat, Kementerian Pembangunan Urbanisasi dan Sosial (Kompleks Sukan) Sri Aman.

“Tujuan utama seminar ini diadakan adalah untuk melahirkan golongan jurulatih baru disamping memberi pendedahan terhadap diri mereka mengenai pelbagai ilmu kejurulatihan bolasepak.

“Seminar ini juga adalah merupakan sebahagian daripada langkah kita untuk mempersiapkan golongan jurulatih baru ini bagi menghadapi musim liga bolasepak peringkat bahagian kelak,” menurut beliau.

Kata Zaidil, langkah ini dilihat wajar sejajar dengan pembukaan liga bolasepak di setiap bahagian dalam negeri Sarawak termasuk penubuhan Liga Sri Aman dan Liga Betong mulai awal tahun hadapan.

Justeru mereka yang berminat katanya boleh menghubungi beliau sendiri di talian telefon 013-5673629 untuk sebarang pertanyaan lanjut sebelum tarikh tutup penyertaan pada 9 Disember kelak.

“Yuran sebanyak RM100 akan dikenakan kepada setiap peserta. Mereka boleh menghantar butir nama penuh, nombor telefon dan nombor kad pengenalan menerusi sistem pesanan ringkas (sms) ke nombor telefon saya sebelum 9 Disember ini.

“Borang boleh diisi ketika berlangsungnya sesi pendaftaran dan pembayaran yuran penyertaan pada 11 Disember kelak. Mereka yang berminat dinasihat agar tidak melepaskan peluang terbabit,” katanya.

Tamat.

47 peserta hadiri Kursus pengurusan bencana di Sri Aman


Caption: TAHNIAH...Zaidi (kiri) menyampaikan sijil kepada Penghulu Lembang (kanan) sambil disaksikan oleh (dari kiri) Rohana, Mat Jusoh dan Suryati pada majlis itu.

SRI AMAN, Rabu (1 Dis) – Seramai 47 orang peserta mengambil bahagian dalam Program Taklimat Pengurusan Bencana bertempat di sebuah hotel tempatan di Bandar Sri Aman kelmarin.

Taklimat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Bahagian Sri Aman yang membabitkan penyertaan seramai 31 orang sukarelawan dan 16 orang ketua kaum dari kawasan Sri Aman ini bermula dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat Sri Aman, Rohana Ismawi ketika berucap pada majlis itu memberitahu program terbabit bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan dikalangan peserta mengenai hal pengurusan bencana.

“Program ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan tahap kecekapan peserta dalam mengurus hal bencana di kawasan penempatan masing-masing dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Menerusi program ini, para peserta kata Rohana diberi pendedahan mengenai tindakan mencegah bencana alam sebelum ia berlaku, menangani bencana alam selepas ia berlaku dan mengurus bencana selepas ia berlaku.

Rohana menerusi ucapannya juga mengingatkan penduduk bahawa kawasan Sri Aman juga tidak terlepas dari peristiwa bencana yang pernah berlaku pada sepanjang tahun lepas.

“Bencana boleh disebabkan oleh kuasa alam dan kelalaian manusia. Di Sri Aman antara bencana yang pernah dicatatkan berlaku pada tahun lepas ialah banjir di Pengkalan Pantu, kebakaran di Rumah Steel (Stumbin), tanah runtuh di kawasan Banting dan ribut di kawasan Melugu.

“Kejadian ini mengingatkan kita bahawa bencana boleh berlaku di mana-mana tempat. Justeru saya berharap agar program ini dapat membawa manfaat kepada setiap peserta sekiranya berlaku kejadian bencana di kawasan masing-masing selepas ini,” katanya.

Terdahulu, program ini telah dirasmikan oleh wakil Residen Bahagian Sri Aman, Zaidi Sarkawi. Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad serta pegawai dari Jabatan Kemajuan Masyarakat Sarawak: Suryati Yusof dan Patrick Nyuen.

Tamat.

Bangunan baru SK Gran Stumbin hampir siap


HAMPIR SIAP...Sekolah Kebangsaan (SK) Gran Stumbin di Lingga, Sri Aman bakal siap tidak lama lagi setelah kerja pembinaan bangunan barunya pada awal tahun ini. Pembinaan blog baru SK Gran Stumbin yang menelan kos pembinaan berjumlah RM10 juta itu bakal memacu pembangunan pendidikan di kawasan Lingga yang kini berada di bawah kawasan pentadbiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri. Simoi ketika dihubungi Utusan Sarawak pada bulan Julai lalu berharap agar penduduk Lingga memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pendidikan baru berkenaan di masa akan datang. - 1 Dis

Kereta suar jadi kenangan orang Simunjan 1970 & 1969


Caption: TINGGAL KENANGAN...Abang Naim berdiri di atas kenderaan suar yang pernah digunakan oleh pelajar SMK Gunung Ngili, Simunjan pada era lewat tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an dahulu.

SIMUNJAN, Selasa (30 N0v)- Bagi yang pernah bersekolah di SMK Gunung Ngili (sekarang dikenali sebagai SMK Sri Sadong) pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an, menaiki ‘kereta suar’ untuk pergi ke sekolah sejauh lima kilometer adalah satu pengalaman manis dan unik untuk dikenang oleh bekas pelajar sekolah itu.

Ini kerana suar merupakan satu-satunya kenderaan yang digunakan oleh para pelajar pada sekitar era tahun berkenaan untuk menuntut ilmu di SMK Sri Sadong (SMK Gunung Ngili) pada setiap hari.

Bekas pelajar sekolah berkenaan, Abang Naim Abang Pauzi ketika ditemi memberitahu ‘kereta suar’ ini digunakan sebagai alat utama untuk mengangkut barangan keperluan dan juga penumpang dari kawasan Gunung Ngili ke Pekan Simunjan pada era tahun berkenaan ketika jalan raya masih belum wujud pada waktu itu.

“Kereta suar sebenarnya adalah pelantar kecil berukuran 4’ x 8’ yang dibina daripada papan dan letak atas sepasang roda keretapi lalu digerakkan di landasan keretapi dengan ditolak atau ‘disuar’ menggunakan sebatang kayu sepanjang tiga meter oleh pemandu.

“Kenderaan ini dapat memuatkan sejumlah empat hingga lima orang penumpang dalam satu masa. Namun itu semua hanyalah tinggal kenangan semenjak selepas kerajaan membina jalan raya menuju ke sekolah terbabit selepas itu,” menurut beliau.

Walaupun kesan peninggalannya masih terdapat di Kampung Sual, Simunjan namun kereta suar ini menurut seorang penduduk iaitu Juslin Majang Bada, 45, masih lagi digunakan oleh sebilangan penduduk untuk mengangkut padi dari sawah ke rumah panjang masing-masing.

“Adalah dipercayai bahawa Pekan Simunjan ketika zaman pemerintahan Jepun adalah merupakan tempat pelombongan arang batu dan rel terbabit dibina bagi mengangkut bahan komoditi berkenaan ke pengkalan mereka di pekan terbabit untuk tujuan eksport.

“Bekas kepala keretapi (boiler) yang pernah digunakan bagi menjana wap untuk menggerakkan keretapi berkenaan masih dapat dilihat di kawasan Gunung Ngili, Simunjan sehingga masa sekarang,” katanya.

Tamat.



Caption:

1.UNTUK ALBUM...Rahman (tengah) bersama Castello (kiri) ketika bergambar kenangan bersama ahli kembara di hadapan Masjid Jamek Betong.

2. IKHLAS...Castello (kanan) menyampaikan sumbangan wang para ahli kepada Rahman (kiri) ketika berlangsungnya program itu.

Saleman Senin

BETONG, Selasa (30 Nov) – Kelab motosikal berkuasa tinggi iaitu Bintulu Bikers Community (BBC) telah menyertai Kembara Semarak Hijrah 1432H merentasi seluruh enam buah bahagian dalam negeri Sarawak bermula kelmarin.

Presiden BBC, Ahmad Castello berkata Kembara Semarak Hijrah 1432H yang mencakupi perjalanan sejauh 1,432 kilometer dari Bintulu ke Kuching itu melibatkan penyertaan sejumlah 30 buah motorsikal berkuasa tinggi dari kelab berkenaan.

“BBC telah menyahut seruan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bahagian Bintulu untuk menjadi ‘Duta Maal Hijrah’ bagi sambutan Maal Hijrah 1432H / 2010M yang akan berlangsung di Bintulu pada 7 Disember kelak.

“Ia sebahagian daripada usaha kita untuk melebarkan jaringan pengenalan kelab ini kepada orang ramai disamping mengeratkan hubungan kerjasama daripada semua ahli sejajar dengan perlaksanaan konsep 1Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja singgah di Masjid Jamek, Betong bersama ahli BBC yang lain ketika dalam rangka perjalanan pulang selama empat hari bersempena dengan program berkenaan kelmarin.

Selain itu orang ramai kata Castello tidak harus menganggap bahawa penyertaan mereka dalam kelab permotoran sebagai sesuatu yang amat membuang masa dan merbahaya selepas ini.

Ini kerana penglibatan dalam kelab berkenaan menurut beliau mampu memberi kesedaran kepada ahli yang terlibat dengan aktiviti sosial seperti lawatan ke rumah orang tua dan rumah anak yatim sepanjang penyertaan mereka dalam kelab berkenaan.

“BBC misalannya banyak melakukan aktiviti sosial demi kebaikan para ahli. Justeru saya berharap agar orang ramai tidak berfikiran negatif terhadap fungsi penubuhan sesebuah kelab permotoran di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu rombongan BBC ini telah disambut oleh ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Betong dan ia diserikan lagi dengan penyampaian cenderamata kenangan serta sumbangan berbentuk wang tunai daripada ahli kelab kepada Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong, Abdul Rahman bin Ismail.

Penglibatan JAIS Bintulu, Mahkamah Syariah, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BDA) nyata merancakkan lagi penganjuran program tersebut.

Tamat.

Lebah bersarang di Pejabat Daerah Betong tanda pilihan raya hampir



Caption: PETANDA PILIHAN RAYA? Pilihan raya dianggap semakin dekat acapkali koloni lebah membuat sarangnya di bangunan Pejabat Daerah Betong seperti yang sering berlaku pada pilihan raya sebelumnya.

Saleman Senin

BETONG, Selasa (30 Nov) – Kewujudan sarang lebah di bangunan Pejabat Daerah Betong nyata tidak mengerunkan para kakitangan di situ semenjak ia bersarang pada bahagian tepi atas bangunan berkenaan semenjak beberapa bulan lepas.

Walaupun sarang lebah berkenaan dilihat semakin membesar, koloni lebah terbabit didakwa tidak pernah menganggu mana-mana penduduk dan kakitangan yang berurusan di Pejabat Daerah Betong pada setiap hari ini.

“Mungkin masih ramai penduduk yang tidak perasan terhadap kewujudan sarang berkenaan memandangkan koloni lebah terbabit langsung tidak menyerang orang ramai yang berurusan di sini,” kata seorang kakitangan Pejabat Daerah Betong yang enggan namanya disiarkan di sini.

Katanya kewujudan sarang lebah yang pertama semenjak beberapa bulan lepas di bangunan terbabit nyata mewujudkan koloni lebah baru di bahagian sudut bangunan Pejabat Daerah Betong baru-baru ini.

Namun begitu pihak Pejabat Daerah Betong katanya tidak menyimpan sebarang hasrat untuk memburu koloni lebah berkenaan atau bertindak keluar dari bangunan pentadbiran terbabit selepas ini.

“Kewujudan sarang lebah di sini bukan perkara pelik bagi kakitangan Pejabat Daerah Betong memandangkan koloni serangga terbabit pernah bersarang di sekitar kawasan pejabat ini sebelum itu.

“Malahan kehadiran sarang lebah tersebut bagaikan satu pemandangan menarik dan menarik perhatian penduduk yang sering datang berurusan ke Pejabat Daerah Betong selama ini,” menurut beliau.

Kakitangan Pejabat Daerah Betong itu juga sempat berseloroh sambil mendakwa bahawa kewujudan sarang lebah di bangunan berkenaan adalah petanda bahawa musim pilihan raya semakin hampir seperti yang pernah berlaku pada waktu pilihan raya sebelumnya.

Tamat.

50 guru hadir kursus pertolongan cemas siri 2 / 2010


Caption: FOKUS...Mashore sedang menunjukkan demonstrasi CPR (Cardio Pulmonary Resuscitation) kepada seorang guru pra sekolah ketika berlangsungnya kursus berkenaan.


SRI AMAN, Selasa (30 Nov) – Seramai 50 orang guru pra sekolah telah melibatkan diri dalam Kursus Pertolongan Cemas Siri 2 / 2010 Unit Pra Sekolah, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak bertempat di Balai Bomba Sri Aman baru-baru ini.

Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu program yang melibatkan guru para sekolah dari Betong, Saratok, Lubok Antu dan Sri Aman itu bertujuan untuk mengajar mereka tentang langkah pertolongan cemas ketika berada di sekolah.

“Semua guru pra sekolah perlu sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya hal kecemasan sama ada melibatkan kakitangan sekolah atau murid untuk sepanjang masa.

“Untuk itu pihak kita mengadakan kursus ini agar para guru pra sekolah sudah mempunyai latihan yang mencukupi untuk menangani sebarang kemungkinan berlaku hal kecemasan selepas ini,” katanya.

Justeru beliau berharap agar para peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya segala ilmu pengetahuan dan latihan yang mereka menerusi Kursus Pertolongan Cemas Siri 2 / 2010 Unit Pra Sekolah, KEMAS Sarawak dari masa ke semasa.

Terdahulu latihan serta ceramah dalam Kursus Pertolongan Cemas Siri 2 / 2010 Unit Pra Sekolah, KEMAS Sarawak ini telah dikendalikan oleh Ketua Jurulatih Bulan Sabit Merah Malaysia cabang Sri Aman, Mas Mashore Haji Maslem sambil dibantu oleh Tang Eng Khoon dan Voon Min Sen.

Penolong Pengarah KEMAS Persekutuan Negeri Sarawak, Wan Assim bin Wan Salleh telah merasmikan majlis berkenaan. Hadir sama ialah Pegawai Penguasa Balai Bomba Sri Aman, Karim Mohammad dan Pegawai KEMAS Sri Aman, Hairani Solo.

Tamat.