Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 September, 2010

SK Jaong, Pantu terima bantuan RM5k


Caption: UNTUK ALBUM...Lamat (lima kiri) bersama Louis (empat kiri), Tony (tengah), Leonard (empat kanan), Simon (lima kanan), para kakitangan sekolah dan murid SK Jaong ketika berlangsungnya majlis tersebut.


PANTU, Khamis (2 Sept) – Sekolah Kebangsaan (SK) Jaong, Pantu telah menerima sumbangan derma dalam bentuk barangan dan peralatan sekolah daripada Majlis Guru Besar Daerah Sri Aman yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM5,129.80.

SK Jaong menerima sumbangan derma berkenaan setelah sebuah asrama murid berkayu di sekolah berkenaan musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 4 petang pada 10 Ogos lepas.

Derma ini telah disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai kepada Guru Besar SK Jaong iaitu Mohd Tony Abdullah menerusi majlis ringkas yang berlangsung di sekolah itu kelmarin.

“Pihak Majlis Guru Besar Daerah Sri Aman telah melancarkan usaha untuk mengumpul derma daripada semua sekolah di sini semenjak SK Jaong dilanda musibah kebakaran pada 10 Ogos lepas.

“Hasil usaha ini, pihak kita telah berjaya mengumpul sebanyak RM4,548.70 daripada sekolah rendah dan menengah dari kawasan Sri Aman manakala selebihnya iaitu RM581.10 ini dikumpul dari syarikat Nozumi,” menurut Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sri Aman iaitu Louis Aom.

Selain itu beliau juga mengalu-alukan pembabitan semua pihak terutama sekali syarikat swasta dari kawasan Sri Aman untuk turun padang bagi menghulurkan sumbangan terhadap SK Jaong selepas ini.

Hadir sama ialah Pengurus Syarikat Nozumi, Simon Wong, Guru Besar SK Selanjan, Leonard Libau, wakil Guru Besar SJK Chung Hua Bangkong, Khoo, guru serta kakitangan SK Pantu dan SK Jaong.

Terdahulu seramai 21 orang murid asrama lelaki dan 23 orang murid asrama perempuan SK Jaong terpaksa turun ke sekolah dari rumah masing-masing apabila asrama mereka musnah dijilat api dalam kejadian berkenaan.

Tamat.

Perkukuh kestabilan politik - Simoi


Caption: IKHLAS...Simoi sambil disaksikan tetamu khas yang lain ketika menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima kelmarin.

Pix by Sulaiman Amut, JASA Lingga

SRI AMAN, Khamis (2 Sept) – Rakyat berbilang kaum perlu bersatu untuk memperkukuhkan kestabilan politik dalam negara ini khasnya di Sarawak demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Katanya kestabilan politik dalam negeri ini boleh dicapai sekiranya rakyat tidak menjadikan latar belakang kaum dan agama sebagai isu untuk dipolitikkan dalam kawasan masing-masing selepas ini.

“Sebaliknya semua rakyat berbilang kaum perlu bertoleransi di antara satu sama lain. Mereka tidak harus memperbesar-besarkan isu perkauman dan agama dikalangan diri mereka sendiri.

“Jika keadaan ini dapat diteruskan maka perpaduan antara kaum akan dapat dicapai. Ia seterusnya menyumbang kepada kestabilan politik negeri sehingga memberi manfaat kepada semua pihak dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Fakir Miskin bertempat di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir, Sri Aman petang kelmarin.

Selain itu kedudukan kestabilan politik yang baik kata Simoi juga secara tidak langsung menyumbang kepada transformasi pembangunan lebih pesat dalam negeri ini pada masa akan datang.

Keadaan ini kata beliau sekaligus akan memberi manfaat yang lebih kepada semua penduduk apabila segala projek pembangunan akan dapat dilaksana dengan lebih cepat di kawasan masing-masing selepas itu.

“Justeru semua rakyat harus menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud agar kestabilan politik negeri dapat terus diperkukuhkan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai JASA Parlimen P.201 Batang Lupar, Zaidil Haji Ripin, Pegawai JASA DUN Lingga, Sulaiman Amut, Timbalan Ketua Cawangan PBB Lingga, Bahtiar Mathan, Setiausaha PBB cawangan Lingga, Hasbi Su’ut, Penghulu Haji bang Mohd Salleh Haji Abang Kawi dan ketua kaum di sini.

Terdahulu, Simoi telah menyampaikan sumbangan peribadi berupa wang dan buah kurma kepada 85 orang fakir miskin di sini. Majlis turut diserikan dengan ceramah keagamaan dari pihak Biro Tata Negara.

Tamat.

Pertandingan Pidato Kenegeraan 15 September ini

SRI AMAN, Khamis (2 Sept) - Jawatankuasa Sambutan Perayaan Hari Malaysia Daerah Sri Aman akan menganjurkan Pertandingan Pidato Kenegeraan bertempat di Mini Stadium Sri Aman pada 15 September ini bermula jam 2 petang.

Kenyataan berita kelmarin memberitahu pertandingan sempena sambutan Hari Malaysia 16 September ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kesefahaman dan kesedaran orang ramai mengenai sejarah pembentukan persekutuan Malaysia.

“Ia juga bertujuan untuk menyemai rasa cinta dan bangga sebagai rakyat Malaysia ke arah bagi mewujudkan golongan komuniti yang berfikir secara kritis serta mahir dalam berkomunikasi,” katanya.

Pertandingan Pidato Kenegeraan ini katanya terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan menetap di sekitar kawasan Bahagian Sri Aman.

Johan bagi Pertandingan Pidato Kenegeraan ini menurut kenyataan itu akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM500, naib johan pula RM400, kedudukan ketiga RM300 dan hadiah saguhati bernilai RM50 bagi pemenang tempat ke-4 dan ke-5.

“Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh mendapatkan borang penyertaan di Pejabat Penerangan Bahagian Sri Aman, Tingkat Bawah, Wisma Persekutuan Fasa 1, Jalan Abang Aing, Sri Aman atau boleh menghubungi kami sendiri di talian 083-321352.

Borang penyertaan yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan mengikut alamat yang dinyatakan sebelum 9 September ini.

Tamat….

SK Abang Abdul Kadir Betong anjur Khatamal Al Quran


Caption: SERIUS...Para peserta khatam ketika berhadapan dengan guru ketika berlangsungnya majlis berkenaan.

Saleman Senin

BETONG, Khamis (2 Sept) – Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Kadir Betong telah menganjurkan Majlis Khatamal Al-Quran dan Khatam Tadarus j-QAF bertempat di Masjid Jamek, Betong kelmarin.

Ustaz Kamaruddin bin Mohammad selaku penyelaras program terbabit memberitahu majlis ini menyaksikan seramai 85 orang murid mengambil bahagian dalam Khatam Tadarus j-QAS manakala 17 orang murid lagi mengambil bahagian Khatamal Al-Quran.

“Pendekatan untuk membimbing anak-anak bagi mempelajari Al-Quran adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh setiap umat Islam dan ia telah pun dijadikan sebagai matapelajaran yang diwujud pada peringkat sekolah rendah.

“Dengan bertemakan ‘Al-Quran Menjana Tranformasi’, majlis khatam ini diadakan untuk menyerikan lagi suasana sambutan Bulan Ramadan Al-Mubarak dikalangan umat Islam pada masa sekarang,” katanya.

Selain itu katanya majlis ini juga bertujuan untuk melatih para peserta bagi mempelajari serta mempertingkatkan kemahiran murid Tahun 2 hingga 5 untuk mahir membaca Al-Quran.

Pihaknya kata Kamaruddin telah menggunakan sistem Tadarus Berkumpulan dalam majlis ini disamping menggunakan kaedah Talaqqi Musyafaha iaitu para peserta membaca Al-Quran secara berhadapan dengan guru mereka.

“Ia merupakan tiga tahun berturut-turut sekolah kami menganjurkan aktiviti semenjak tahun 2008 lepas. Kita menggunakan khidmat guru KAFA dan Pendidikan Islam di sekolah ini bagi menjayakan Tadarus Al-Quran terbabit.

“Pada tahun 2009 pula kita telah menggunakan khidmat guru Pendidikan Islam dan guru-guru j-QAF bagi melaksanakan program bersama penduduk kampung di Surau Darul Dakwah Kampung Tengah Betong,” katanya.

Terdahulu majlis ini turut diserikan dengan majlis penyampaian cenderahati kepada peserta Khatam dan penyerahan Sumbangan Wang Untuk Anak-anak Yatim oleh Pegawai Pelajaran Daerah Betong iaitu Mahli bin Rosli kepada Guru Besar sekolah berkenaan iaitu Abang Udai bin Abang Achang.

Majlis Berbuka Puasa dan Solat Maghrib berjemaah turut diadakan di Masjid Jamek Betong sebelum jamuan makan diadakan di perkarangan Sekolah Kebangsaan Abang Abdul Kadir Betong pada akhir majlis terbabit.

Tamat.

Skim kawalan harga sempena Raya 3 - 17 sept

Cathy Tagok, PPDNKK Sri Aman

SRI AMAN, Rabu (10 Feb) – Skim Kawalan Harga sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2010 bakal berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai 3 hingga 17 September ini.


Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman berkata sejumlah 18 barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit telah disenaraikan dalam skim kawalan harga ini.

Barangan kawalan ini ialah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), daging lembu tempatan, daging kerbau tempatan, daging kerbau import (India), telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji). kubis bulat import Indonesia dan China (tidak termasuk kubis Beijing), cili merah, tomato, kelapa biji (kawalan harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (kawalan harga maksimum di peringkat runcit sahaja), santan (kawalan harga maksimum di peringkat runcit sahaja), kacang tanah import, bawang merah kecil (India) dan ikan kembung (8 hingga 11 ekor sekilogram).

“Harga maksimum (syiling) sekilogram jualan barangan kawalan seperti Ayam Hidup adalah RM6.70, Ayam Standart RM8, Ayam Super RM8.80, daging lembu tempatan RM28, daging kerbau tempatan RM23, Telur Ayam Gred A sebiji 34 sen, Telur Ayam Gred B pula ialah 33 sen sebiji dan gred C pula ialah 32 sen sebiji.

“Kubis bulat import RM3, cili merah RM12, tomato RM5.50, kelapa parut RM3, santan RM6, kacang tanah import RM6.50, bawang merah kecil RM5 dan ikan kembung RM8,” menurut kenyataan berita dari pihak berkenaan.

Kesemua harga kawalan yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian katanya ini berdasarkan kepada beberapa fasa pungutan harga yang ditetapkan secara bulanan dan mingguan menerusi pemantauan harga di semua daerah sejak bulan Januari hingga Ogos tahun ini.

“Kawalan harga ini juga berpandukan kepada pandangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), pengimport, pengeluar, pembekal serta pemborong barang-barang tersebut.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi,keperluan untuk peniaga mendapatkan lesen bagi menjual barang harga terkawal semasa skim kawalan musim perayaan ini telah pun dimansuhkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya undang-undang yang mewajibkan peniaga menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan perletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barang harga terkawal masih akan dikuatkuasakan oleh pihak kementerian.

“Individu yang didapati bersalah boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946 atau boleh dikompaun sehingga RM7,500. Bagi pertubuhan perbadanan, denda maksimumnya ialah RM25,000 atau boleh dikompaun sehingga RM12,500.

“Pihak kementerian akan meneruskan usaha-usaha untuk melindungi pengguna daripada perbuatan para peniaga yang tidak beretika iaitu mengaut keuntungan berlebihan pada tahap tidak munasabah semasa musim perayaan,” katanya.

Orang ramai dari keempat-empat kawasan daerah berkenaan juga dinasihatkan untuk menghubungi pihak PPDNKK Sri Aman menerusi talian 083-323836 jika terdapat peniaga yang bertindak melanggar skim kawalan harga terkawal ini.

Tamat.

Tabika Kampung Tengah Betong meriahkan merdeka



Caption:

1. BARISAN MUDA...Kanak-kanak Tabika Kampung Tengah Betong ketika berarak pada program itu baru-baru ini.

2. TAHNIAH...Saleman Senin (kiri) ketika menerima hadiah daripada Ismail (kanan ) pada majlis berkenaan.

Saleman Senin

BETONG, Rabu (1 Sept) – Seramai 41 orang kanak-kanak Tabika Kemas Kampung Tengah Betong telah meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di taman bimbingan berkenaan kelmarin.

Mereka yang terdiri daripada 20 orang kanak-kanak berumur lima tahun dan 21 orang kanak-kanak berumur enam tahun ini telah melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sempena Hari Kemerdekaan antaranya perhimpunan, perarakan, pertandingan mewarna, pertandingan melukis wajah Perdana Menteri, lafazan ikrar dan sebagainya.

“Program ini diadakan demi mengajar anak-anak di Tabika Kemas Kampung Tengah Betong tentang pengertian Hari Kemerdekaan Malaysia semenjak kita bebas daripada belenggu penjajah Inggeris pada tahun 31 Ogos 1957 dahulu.

“Justeru program yang turut membabitkan penyertaan ibubapa ini telah bermula seawal jam 7.30 pagi dengan aktiviti perhimpunan dan seterusnya perarakan sejauh 1.5 kilometer mengelilingi Bandar Betong,” kata jurucakap penganjur program berkenaan.

Program yang diteruskan dengan pertandingan mewarna menyaksikan Mohd Aireel Hakimi bin Saleman muncul pemenang pertandingan mewarna untuk kanak-kanak 6 tahun manakala Dayang Syahida Abang Sapuanie muncul pemenang untuk kanak-kanak 5 tahun.

Selain itu pertandingan melukis potret Perdana Menteri untuk kategori ibu dan bapa menyaksikan Hassan bin Kom muncul juara sambil diikuti oleh Saleman bin Senin dan Norizam Mohamad yang berada di kedudukan kedua dan ketiga pada pertandingan itu.

Semua hadiah tajaan syarikat JR Café, Jaini Building Contractor dan Teras Supplies itu telah disampaikan oleh Pengerusi Tabika Kemas Kampung Tengah Betong iaitu Ismail bin Mohamad.

“Penghayatan Hari Kemerdekaan menjadi amat bermakna apabila Mohd Haiqal bin Hot mengetuai pembacaan ikrar Rukun Negara disamping nyanyian beberapa buah lagu patriotik dikalangan ibubapa dan kanak-kanak tabika berkenaan.

“Bagaimanapun kami berharap agar program ini dapat merealisasikan perlaksanaan Gagasan 1Malaysia Menjana Tranformasi di masa akan datang,” katanya sambil menambah asas-asas didikan agama turut dititikberatkan dalam diri kanak-kanak menerusi program berkenaan.

Tamat.

Guru boleh berpolitik asal jangan lawan BN - Nyalau


Caption: SELAMAT DATANG...Nyalau (depan) ketika disambut oleh penduduk dan kakitangan sekolah sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis berkenaan.


LUBOK ANTU, Rabu (1 Sept) – Guru dibenarkan berpolitik selagi mereka tidak bertindak menghasut rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) di kawasan mengajar masing-masing selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata para guru terutama sekali yang mengajar di kawasan hulu sungai seharusnya mengajak rakyat menyokong BN dan bukannya membantu pihak pembangkang menegakkan pengaruh politik mereka di situ.

“Dibenarkan berpolitik tidak semestinya ia gelanggang untuk mereka menentang BN. Para guru harus ingat bahawa mereka menjadi guru setelah dipilih oleh kerajaan untuk berkhidmat mendidik rakyat.

“Jika guru mengenang jasa kerajaan BN maka bantulah menyebarkan dasar pentadbiran kita dengan baik. Mereka harus ingat bahawa sumber rezeki mereka sebenarnya datang dari BN dan bukan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Merarau Bersama Yang Berhormat anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tibu, Lubok Antu baru-baru ini.

Bagaimanapun Nyalau melahirkan rasa gembiranya memandangkan belum terdapat sebarang laporan yang mengaitkan pembabitan para guru dalam isu berkenaan sebelum ini.

Selain itu rakyat katanya juga perlu bertindak bijak dalam memilih pemimpin mereka selepas ini kerana bertindak memilih BN akan menjamin masa depan hidup yang lebih cerah untuk mereka di masa akan datang.

“Kita di Lubok Antu bernasib baik BN menang di sini sehingga Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat mempunyai keyakian untuk menyalur banyak peruntukan bagi tujuan pembangunan di snii,” katanya.

Nyalau menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan RM20,000 bagi menaiktaraf dewan sekolah berkenaan. Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Guru Besar SK Nanga Tibu, Jack Kabu Busal dan ketua kaum di sini.

Tamat...