Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 February, 2012

Pengorbanan pemilik tanah untuk pembangunan tidak sia-sia - Rohani


Caption:

1. MANFAATKAN...Rohani menyampaikan cek pampasan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Simoi dan tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

2. 1 MALAYSIA...Rohani menunjukkan simbol 1 Malaysia bersama Simoi, tetamu khas dan penerima cek pampasan sebaik sahaja selesai majlis berkenaan hari ini.

SRI AMAN, Khamis (2 Feb) – Pengorbanan rakyat di sesebuah kawasan terhadap tanah milik mereka yang diambil alih oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan sememangnya tidak sia-sia selepas itu.

Ini kerana rakyat akan menerima pampasan daripada pihak kerajaan sekiranya tanah milik mereka diambilalih bagi tujuan pembangunan yang semestinya akan menguntung semua pihak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

“Pengorbanan rakyat dituntut untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi menjayakan projek pembangunan infrastruktur, perhubungan, pendidikan dan sebagainya di kawasan penempatan mereka dari masa ke semasa.

“Justeru rakyat perlu sedar pengorbanan terbabit adalah amat berbaloi apabila kerajaan bertindak membayar pampasan terhadap tanah milik mereka yang digunakan bagi tujuan pembangunan selepas itu,” katanya.

Sementara itu Rohani juga menasihatkan pemohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) agar tidak mudah kecoh sekiranya nama mereka tidak tersenarai untuk menerima bantuan berkenaan.

Ini kerana proses pembayaran BR1M bernilai RM500 itu menurut beliau akan dibuat secara berperingkat-peringkat kepada semua pemohon bantuan yang layak dari masa ke semasa.

“Jika tidak dapat kali ini maka tunggulah untuk fasa kedua. Bagi pemohon yang merasakan diri bahawa layak namun gagal menerima bantuan itu maka saya nasihatkan mereka kembali merayu semula selepas ini,” katanya.

Rohani turut menambah bahawa penduduk yang belum mengisi permohonan BR1M sebelum ini boleh berbuat demikian sebelum tempoh permohonan bantuan itu tamat pada 10 Februari ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Peri, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman, Mohd Razali Arshad, Penguasa JTS Bahagian Betong, Anthony Aboi, Jurutera JKR Bahagian Sri Aman, Cassidy Morris dan Timbalan Residen Sri Aman, Haji Hamsien Atta.

Terdahulu sejumlah 140 pemilik tanah dari kawasan Lingga, Betong dan Pantu menerima cek pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM370,912 menerusi majlis berkenaan.

Cek pampasan dibayar kepada pemilik tanah bagi projek cadangan Jalan Stumbin Link Baru, naiktaraf Jalan Sri Aman / Sembau / Stumbin/ Lingga, naiktaraf Jalan Stumbin / Tanjung Bijat / Skirau, projek Pra Sekolah Kampung Sapak, Pantu dan Taman Negara Maludam.

Tamat.

No comments:

Post a Comment