Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 February, 2012

PBTM digesa rekrut ramai ahli - Harden

Caption: TERIMA KASIH...Nalang (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Harden (kanan) sambil disaksikan oleh Masir (dua kanan) dan tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (30 Jan) – Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) digesa untuk merekrut lebih ramai pesara Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) ke dalam persatuan mereka selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata langkah ini penting agar golongan bekas tentera sedar manfaat yang bakal mereka perolehi dengan menyertai persatuan terbabit.

“Dengan menyertai PBTM di kawasan masing-masing, golongan bekas tentera akan dapat memohon bantuan hospital, sara idup, persekolahan untuk anak-anak, sumbangan untuk ahli keluarga bagi mendiang bekas tentera dan banyak lagi.

“Atas sebab ini jika ada PBTM di kawasan anda (bekas tentera) maka saya mengalakkan mereka agar segera mendaftarkan diri untuk menyertai persatuan terbabit demi kebaikan diri masing-masing selepas ini,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun Ke-36 Penubuhan PBTM cawangan Sri Aman di sini malam tadi.

Selain itu penyertaan bekas tentera dalam PBTM menurut beliau juga akan membolehkan suara mereka menjadi lebih lantang dan mudah menjadi perhatian pihak kerajaan dari masa ke semasa.

“Ingin saya ingatkan kepada semua bekas tentera bahawa PBTM adalah merupakan salah satu daripada 21 buah persatuan yang paling aktif dalam negeri Sarawak pada masa sekarang.

“Justeru penyertaan mereka dalam PBTM tidak akan sia-sia selepas ini apabila masalah yang mereka suarakan menerusi persatuan itu akan sering mendapat perhatian kerajaan selepas itu,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid, Pengerusi PBTM cawangan Sri Aman, Nalang Selingau, para barisan AJK dan Srikandi persatuan terbabit.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada PBTM cawangan Sri Aman dan RM3,000 kepada Srikandi persatuan itu dengan Masir juga turut mengumumkan jumlah peruntukan yang sama kepada kedua-dua pihak tersebut.

Majlis turut diserikan lagi dengan upacara memotong kek ulangtahun, penyampaian insentif kepada anak-anak ahli persatuan dan penyampaian cenderamata kepada wakil rakyat pada majlis itu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment