Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 February, 2012

Masalah air di Pusa, Betong akan diselesai - Rohani

PUSA, Isnin (6 Feb) – Masalah tekanan air rendah dan kekurangan bekalan air bersih telah dikenalpasti sebagai masalah utama penduduk dari beberapa buah kampung di kawasan Pusa, Betong pada masa sekarang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata keadaan ini akan menjadi lebih rumit ketika berlangsungnya musim kemarau mahupun pada hari-hari perayaan.

“Jumlah penduduk di kawasan Pusa yang semakin meningkat menyebabkan penggunaan air kian bertambah dengan bekalan air paip yang sedia ada sekarang tidak dapat menampung keperluan mereka.

“Atas sebab ini kerajaan telah melaksanakan projek pembinaan takungan air baru dan menaiktaraf sistem bekalan air di kawasan tersebut bagi mengurangkan bebanan mereka selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar telah menyuarakan harapan ini ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan kerja ke Kampung Seberang, dalam daerah kecil Pusa, Betong kelmarin.

Rohani turut memberitahu bahawa projek benilai RM39 juta itu telah pun bermula tahun lepas dengan kerja pemasangan paip utama dari Saratok ke Pusa masih giat dijalankan pada masa sekarang.

”Walaubagaimanapun pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) masih lagi mencari punca air untuk sistem takungan baru yang tidak tercemar dengan bekalan air takungan itu mencukupi untuk diproses,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa selain dua komponen utama terbabit, projek berkenaan juga turut melibatkan usaha naiktaraf sistem paip di Kampung Beladin, Kampung Kalok, Kampung Seberang Pusa, Kampung Tambak, Sepinang dan Semarang.

Justeru Rohani berharap agar projek berkenaan akan dapat dilaksanakan dengan penuh lancar dan dijangka siap pada tahun 2013 bagi memberi keselesaan kepada 50,000 orang penduduk di Pusa selepas ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment