Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 July, 2011

Motorsikal 'lantak' Pesona di Matang, Kuching





Laporan kemalangan oleh Abang Yuseri Ismail ketika di Matang, Kuching:

*Kemalangan di antara sebuah motosikal & kereta proton pesona.


* Tarikh 25.7.2011


* Masa : awal jam 7.00 am.


* Tempat : Jalan Matang, Kuching. – berhadapan simpang Bangunan Courts Mammoth, Matang, Kuching.


* Mengakibatkan kesesakan jalan raya sejauh 3km.


*pemandu kenderaan tiada sebarang kecerderaan.


* pasangan suami isteri mengalami cedera padah. Penunggang motosikal patah kaki kanan.


* 2 buah ambulan tiba 30 minit selepas kejadian iaitu dari pertahanan awam & Hospital Umum Sarawak.


*org ramai membantu mangsa yg cedera & mengawal kesesakan lalulintas.


*kemalangan disebabkan sebuah motosikal melanggar sebuah kereta yg keluar dari simpang Lorong Matang Jaya 9B berdekatan dengan simpang keluar Bangunan Courts Mammoth, Matang, Kuching.

MPOB Elite juara Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011



Caption:

1. JUARA!!! Pasukan MPOB Elite bergambar kenangan setelah muncul juara Pertandingan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Aziz tahun ini.

2.TAHNIAH! KAMI JUARA...Muhamad Duri (tiga kiri)menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Adiey Safarman

25 Julai

Sapawie Chee dan Mosalleh Saibon muncul wira apabila memastikan pasukan MPOB ELITE muncul juara Pertandingan Bolasepak Piala YB Abdul Wahab Aziz 2011 menerusi perlawanan akhir yang berlangsung di padang Majlis Daerah Saratok pada hari Sabtu lepas.

Kedua-dua mereka dijulang sebagai wira setelah masing-masing berjaya menyumbat satu gol untuk membolehkan kemenangan bergaya pasukan MPOB ELITE ke atas pasukan Merah Junior FC menerusi jaringan gol 2 – 0.

Pasukan MPOB ELITE yang bermain dalam keadaan prestasi mantap pada perlawanan itu nyata berjaya mengikat pasukan Merah Junior FC tanpa sebarang jaringan gol sepanjang 45 minit pada babak separuh masa perlawanan itu.

Permainan daripada kedua-dua pasukan selepas itu agak terganggu memandangkan faktor hujan lebat telah mengagalkan usaha MPOB dan Merah Junior untuk mencatur serangan dan mencari rentak perlawanan.

Beberapa asakan dilakukan oleh penyerang MPOB Elite memaksa pertahanan pasukan Merah Junior FC yang diketuai oleh Sudirman Abdullah bekerja keras untuk mengekang serangan bertali arus daripada pasukan lawan.

Pasukan MPOB Elite yang menampilkan gandingan penyerang Sapawie Chee dan Mossaleh Saibon seakan tidak berupaya menembusi benteng pertahanan Merah Junior FC yang bermain cukup cemerlang pada petang itu.

Namun begitu kemarau gol sang juara nyata berakhir setelah Sapawie menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi rembatan kaki kiri hasil hantaran bola daripada Ahmad Lapok sekaligus menumpaskan penjaga gol Merah Junior FC iaitu Fahrof Shafiq pada minit ke-77 perlawanan.

Mosalleh akhirnya menentukan kemenangan mutlak MPOB Elite setelah bertindak bijak dengan menyambar ‘bola muntah’ hasil kesilapan penjaga gol lawan, Fahrof yang tersepak bola ke arah pemain sendiri sebelum itu pada minit ke-90 perlawanan.

Usaha para pemain pasukan Merah Junior FC untuk menyerang pada waktu minit kecederaan akhirnya gagal setelah kerana semua percubaan mereka berjaya dihalang oleh pertahanan dan penjaga gol MPOB Elite.

Dengan kemenangan ini, pasukan MPOB Elite telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 bersama dengan piala pusingan YB Abdul Wahab Aziz, piala iringan serta pingat.

Manakala itu pasukan naib juara bagi Kejohanan Bola Sepak Piala YB Abdul Wahab Azizi terbabit iaitu Merah Junior FC pula membawa pulang piala iringan, pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM1,800.

Pasukan pemenang bersama tempat Ke-3 iaitu RISDA United dan AC United berhasil membawa pulang hadiah berupa piala iringan, pingat dan hadiah wang tunai bernilai RM500 untuk setiap pasukan.

Kapten MPOB Elite, Sudirman Abdullah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir manakalal Sapawie Chee juga dari pasukan juara dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan menjaring sembilan buah gol bagi sepanjang kejohanan itu.

Kategori Pasukan ‘FAIRFLAY’pula dianugerahkan kepada pasukan Floaming FC (Roban). Majlis penyampaian piala dan hadiah kepada pasukan pemenang telah disempurnakan oleh wakil Abdul Wahab Aziz iaitu Muhamad Duri sambil disaksikan oleh pengerusi pertandingan, Abadi Hussein dan timbalan pengerusi, Wan Ismail Wan Zamaharie.

Terdahulu jurulatih pasukan Merah Junior FC, Kasdi Pandi berkata anak-anak buahnya telah menunjukkan mutu permainan baik seawal 30 minit pertama dan amat berbangga terhadap prestasi hebat yang dipamerkan oleh semua pemain mudanya.

“Kita percaya pemain-pemain Merah Junior FC akan meneruskan rentak kecemerlangan mereka untuk pertandingan akan datang sekali gus meletakkan kami sebagai sebuah pasukan yang disegani dan dihormati lawan selepas ini,” katanya.

Sementara itu ketua Jurulatih MPOB Elite, Abdul Rahman menyifatkan asas disiplin adalah nadi kejayaan pasukan MPOB ELite untuk menjulang Piala YB Abdul Wahab Aziz pada musim kali ini.

“Pertama kali, saya mengucapkan tahniah kepada pemain yang bermain cukup baik sepanjang perlawanan. Ingin saya katakan bahawa disiplin adalah kunci kejayaan pasukan MPOB Elite yang berjaya dibentuk terhadap sikap para pemain,” katanya.

Beliau memuji anak buahnya, terutama sekali terhadap barisan pemain pertahanan yang mampu menghadapi serangan pasukan Merah Junior FC yang disifatkan berjaya mempamerkan aksi permainan baik.

"Saya tahu Merah Junior FC akan bermula dengan agresif untuk menjaringkan gol. Setelah pertukaran pemain dilakukan pada babak separuh masa kedua maka akhirnya kita berjaya bangkit sehingga memperoleh dua gol.

”Kemenangan ini membuktikan MPOB Elite bukanlah pasukan yang hanya mampu bertahan atau beraksi baik selama 20 minit sahaja, kita tetap beraksi baik di sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Pasukan MPOB Elite katanya tidak harus lupa terhadap pengurusnya iaitu Khairul Nazli yang tidak jemu memberi sokongan sehingga mereka layak untuk meraikan kemenangan manis pada kejohanan musim ini.

Tamat

Jemput media untuk buat liputan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia - Rohani



Caption: PENGHARGAAN...Rohani (kiri) menerima cenderamata daripada Felecia (kanan) sambil disaksikan oleh Pretam (kiri sekali) Roslan (belakang tengah) dan Arfazheel (kanan sekali) pada majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (25 Julai) – Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) perlu mengundang pihak media untuk melakukan liputan terhadap proses tuntutan pengguna menerusi tribunal berkenaan selepas ini.

Perkara ini dicadangkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim ketika berlangsung sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan TTPM di cawangan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Katanya usaha ini akan membolehkan lebih ramai penduduk mengetahui fungsi TTPM di kawasan masing-masing dalam membela hak mereka sebagai pengguna pada masa akan datang.

“Peranan pihak secara tidak langsung juga boleh meningkatkan kesedaran pengguna tentang hak mereka dengan adanya liputan terhadap proses tuntutan pengguna menerusi TTPM,” katanya.

Selain itu pengguna kata Rohani juga boleh mendaftar dan menfailkan tuntutan mereka dengan menggunakan Khidmat Pesanan Ringkas atau SMS tanpa memerlukan kehadiran mereka ke kaunter TTPM atau menggunakan internet selepas ini.

Pengguna kata Rohani hanya perlu menaip TTPM (nombor kad pengenalan) (Nama Penuh) (Alamat Penuh) (Tuntutan) dan sms ke nombor 15888 untuk tindakan yang seterusnya.

“Bagaimanapun saya berharap agar pembukaan TTPM di Sri Aman akan memudahkan pengguna dari kawasan Sri Aman, Lubok Antu, Sebuyau, Betong dan Saratok untuk menfailkan tuntutan di sini dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi TTPM, Pretam Singh Darshan Singh, wakil Pengarah Pejabat Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Sarawak, Arfazheel Amsir, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, para pegawai kerajaan dan penduduk di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, TTPM kini mempunyai 10 buah cawangan baru bagi tahun 2011 antaranya ialah di Batu Pahat (Johor), Muar (Johor), Port Dickson (Negeri Sembilan),Taiping (Perak), Seri Manjung (Perak), Kulim (Kedah), Gombal (Selangor), Kuala Kubu Baru (Selangor), Keningau (Sabah) dan Sri Aman (Sarawak).

Tamat.

Ibubapa jangan lepas tangan didik anak - Rayong


Caption: UNTUKMU...Jelaing (kanan) menyerahkan cek peruntukan bernilai RM30,000 kepada Andrew (kiri) sambil disaksikan oleh Rayong (dua kiri) dan Nyalau (tiga kiri) pada majlis itu.

ENGKILILI, Isnin (25 Julai) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berharap agar ibubapa tidak ‘lepas tangan’ dalam mendidik anak-anak agar menjadi insan cemerlang selepas ini.

Ini kerana anak- anak menurut beliau adalah merupakan ‘pelaburan’ penting milik kerajaan dalam menjana pembangunan pesat negara dari segala segi pada masa akan datang.

“Anak-anak pada masa sekarang juga dianggap sebagai satu aset penting bagi mengantikan barisan kepimpinan masa depan pembangunan negara selepas ini sekiranya dididik dengan betul.

“Justeru penguasaan anak-anak dalam bidang akademik katanya adalah amat penting bagi membolehkan anak-anak menjadi individu professional untuk kesinambungan proses pembangunan negara dan negeri,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Pemuafakatan dan Hari Terbuka Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili baru-baru ini.

Beliau menambah bahawa kerajaan mahu anak-anak pada masa sekarang menjadi individu professional membangunkan negara dari segi bidang politik, ekonomi dan sosial dalam temph 10 hingga 20 tahun kelak.

“Ibubapa sebenarnya memikul tanggungjawab yang berat dalam mendidik anak-anak ketika berada di rumah walaupun tugas itu digalas oleh para guru ketika berada di sekolah.

“Peranan ini penting bagi merealisasikan matlamat kerajaan bagi mencapai status negara maju selepas tahun 2020 kelak. Bekerjasamalah dengan guru untuk menjayakan matlamat ini,” katanya.

Majlis yang turut diserikan dengan Upacara Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang PMR dan SPM ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Pegawai Pelajaran Daerah Lubok Antu, Baba Minggu, Pengetua SMK Engkilili, Haji Mohammad Obey dan Yang Dipertua PIBG SMK Engkilili, Andrew Bugik.

Tamat

PTPTL anjur Program SBMP Mannequin Night


Caption: UNTUK ALBUM...Aidil (tengah) bergambar kenangan bersama para pelajar sebaik sahaja selesai majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (25 Julai) - Seramai 210 orang pelajar Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Kuching telah menghadiri SBMP Mannequin Night yang berlangsung di Kuching baru-baru ini.

Pengetua Kolej PTPL Sarawak, Aidil Adzhar Abu Samah menerusi siaran akhbar memberitahu program ini bertujuan untuk memberi perhargaan kepada pelajar cemerlang disamping mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dan tenaga pengajar khususnya dari Sekolah Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional.

Beliau ketika berucap merasmikan majlis itu berharap agar aktiviti berkenaan dapat memberi penghargaan kepada pelajar SBMP serta menjadi motivasi kepada lain-lain pelajar untuk berusaha dengan lebih gigih selepas ini.

“PTPL Sarawak akan dapat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang, terbilang dan berwawasan menerusi aktiviti ini dan berharap agar ia dapat diteruskan pada masa akan datang sambil melibatkan semua sekolah yang ada di Kolej PTPL Sarawak,” katanya.

Terdahulu majlis SBMP Mannequin Night anjuran Kolej PTPTL Sarawak ini telah diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya ialah persembahan tarian, lakonan, nyanyian dan banyak lagi.

Kumpulan Hip Hop New School berjaya mendapat tempat pertama melalui persembahan tarian hip hop moden masa kini sambil diikuti oleh kumpulan Semput tut...tut dan Wonder Girls di kedudukan naib juara serta tempat Ke-3.

Anugerah King dan Queen of The Night telah dimenangi oleh pelajar Jurusan Diploma Pengurusan semester 4 iaitu Maxwell Layang dan pelajar jurusan Diploma Pengurusan semester 3 iaitu Janenessa Julan Stephen.

Hadir sama bagi memeriahkan suasana sambutan majlis terbabit adalah Ketua Sekolah Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional, Masnora Anuar dan Ketua Kelab Rekreasi Kolej PTPL Sarawak, Siti Rohaya Mahmud.

Terdahulu wakil pelajar dan juga Pengarah projek, Lai Siaw Hui menganggap aktiviti ini amat bagus dijalankan kerana PTPL merupakan institusi yang sentiasa menghargai penglibatan dan penyertaan para pelajar.

Tamat.

24 July, 2011

Peggy Ronin pindah



Caption: SELAMAT BERTUGAS...Peggy (kanan) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Athony (kiri) ketika berlangsungnya majlis itu.

Abang Hipeni Abang Ashim

BETONG, Ahad (24 Julai) - Satu majlis rasmi serah tugas Penguasa Tanah dan Survei, Betong telah diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong baru-baru ini.

Mantan penguasa iaitu Peggy Ronin Edin telah menandatangani surat serah tugas dan menyerahkannya kepada Anthony Aboi selaku Penguasa JTS Betong yang baru kerana telah berpindah tugas selaku Penguasa JTS Bahagian Sibu.

Perpindahan Peggy telah berlaku berikutan arahan perpindahan dan pengstrukturan semula kesemua Pegawai-Pegawai Kanan di JTS Sarawak yang turut melibatkan semua Penguasa di JTS Sarawak kecuali Bahagian Bintulu.

Dalam ucapan ringkasnya, Peggy menyeru kepada semua kakitangan JTS Bahagian Betong untuk memberi kerjasama yang tidak berbelah bagi terhadap penguasa baru mereka selepas ini.

Beliau juga berharap agar kesemua kakitangan JTS Bahagian Betong dapat menunaikan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan baik terhadap penguasa mereka yang baru kelak.

“Justeru saya berharap agar kakitangan JTS Bahagian Betong dapat mengekalkan prestasi kerja yang telah ditunjukkan selama ini disamping memberi sokongan tidak berbelah bagi demi memartabatkan pentadbiran, pengurusan serta imej jabatan,” katanya.

Tamat.

SMK Sri Aman tetapkan sasaran jadi Sekolah Cemerlang pada tahun 2014



Caption: PENGHARGAAN...Ibrahim (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Masir (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Ahad (24 Julai) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman berhasrat untuk mencapai status Sekolah Cemerlang menjelang tahun 2014 kelak kata pengetuanya Haji Ibrahim Jemain.

Menerusi sasaran terbabit kata beliau pihak SMK Sri Aman akan cuba mencapai status ‘sifar’ bagi masalah disiplin berat sekiranya mahu mencapai hasrat untuk menjadi Sekolah Cemerlang pada tahun itu nanti.

“Untuk itu pihak kita telah memperkenalkan lima sifat jati diri baru yang ditujukan kepada ibubapa dan murid demi membolehkan SMK Sri Aman mencapai status Sekolah Cemerlang pada tahun 2014 kelak.

“Lima sifat jati diri terbabit adalah menepati masa (datang awal ke sekolah), amanah (tanggungjawab dikalangan semua pihak), kerjasama, rajin dan berbudi bahasa (tingkahlaku pertuturan antara murid, guru dan ibubapa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Permuafakatan dan Hari Terbuka Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SMK Sri Aman bertempat di Dewan Hollis Tini, sekolah berkenaan kelmarin.

Selain itu Ibrahim juga berharap agar ibubapa murid menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat dikalangan guru SMK Sri Aman demi mempertingkatkan status akademik sekolah selepas ini.

“SMK Sri Aman juga mempunyai beberapa pencapaian yang mengkagumkan setakat ini seperti sekolah ketiga terbaik bagi pencapaian keputusan PMR 2010 berbanding enam buah sekolah menengah di Bahagian Sri Aman.

“Malah sekolah ini juga berada di kedudukan ketiga berbanding enam buah sekolah menengah yang lain dalam Bahagian Sri Aman dari segi pencapaian SPM 2010 dan terbaik dari segi pencapaian STPM bagi tahun 2011 di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Justeru beliau berharap agar pencapaian memberangsangkan ini dapat menjadi dorongan untuk para ibubapa, murid dan guru bagi mempertingkat keputusan akademik sekolah di masa akan datang.

Terdahulu majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat itu turut disaksikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Sri Aman, Jamit Ajok, Yang Dipertua PIBG SMK Sri Aman, Robert Nuli, para guru dan ibubapa murid SMK Sri Aman.

Tamat.