Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 June, 2011

Eratkan perpaduan demi pembangunan - NYalau


Caption: PENGHARGAAN...Nyalau (kanan) menerima cenderamata daripada Guru Besar SK Empelam, Ario (kiri) sambil disaksikan oleh Rayong (dua kanan) pada majlis berkenaan.


ENGKILILI, Sabtu (25 Jun) – Rakyat berbilang kaum dalam negeri ini khasnya dari kawasan Lubok Antu dinasihat agar tidak memandang rendah aspek perpaduan dalam kehidupan masing-masing selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak menegaskan perkara ini ketika berucap merasmikan Majlis Kesyukuran Kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili serta ‘Ngiling Bidai’ di Sekolah Kebangaan (SK) Empelam, Engkilili, baru-baru ini.

Katanya aspek perpaduan telah menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang harmoni dan aman seperti yang telah disaksikan oleh semua rakyat berbilang pada masa sekarang.

“Mungkin aspek perpaduan dipandang remeh oleh semua pihak. Namun mereka perlu tahu bahawa tanpa hubungan perpaduan semua rakyat tidak akan dapat hidup bersama dengan aman dan damai hingga sekarang.

“Justeru saya berharap agar semua pihak turun padang untuk menjayakan segala program berbentuk perpaduan yang dianjurkan oleh kerajaan dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Nyalau juga menambah bahawa perpaduan antara kaum telah membolehkan kerajaan yang diteraju oleh Barisan Nasional (BN) memajukan negara dari segala aspek pembangunan semenjak merdeka dahulu hingga sekarang.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa yang hadir sama pada majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk SK Empelam.

Tamat.

Gengster cedera di kepala setelah bergaduh kerana aweks

SRI AMAN, Sabtu (25 Jun) – Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kepala setelah terlibat dalam satu pertengkaran sesama rakan mereka sendiri menerusi kejadian yang berlaku bersebelahan sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam kelmarin.

Sumber memberitahu, mangsa berusia 40-an dan rakannya itu minum di restoran berkenaan bermula jam 5 petang kelmarin sebelum mereka mula berselisih faham dipercayai mengenai hal wanita menjelang jam 8 malam.

Disebabkan oleh perselisihan faham tersebut, mangsa bersama rakannya mula bertengkar sesama sendiri di luar restoran tersebut dengan seorang daripada mereka mengambil pisau penetak daging untuk menyerang mangsa.

Bagaimanapun pisau penetak daging itu berjaya rampas oleh rakannya yang lain sehingga si mangsa dipercayai memukul kepalanya sendiri dengan botol hingga mengalami kecederaan demi menyelesaikan pertengkaran berkenaan.

“Seorang daripada rakan mangsa ditampar oleh rakannya yang lain dan terus pulang. Mangsa itu pula kembali duduk di dalam restoran berkenaan untuk berunding menyelesaikan masalah terbabit dengan saki-baki rakannya yang lain.

“Namun begitu seorang rakan mangsa tiba-tiba marah dan menghempas dua gelas kaca ke atas kepala sendiri sebelum kesemua mereka beredar pulang daripada restoran terbabit,” kata sumber.

Sementara itu pemilik restoran berkenaan melahirkan rasa kesal berhubung kejadian terbabit dan nyaris bertindak menghubungi pihak polis sekirangnya pertelingkahan tersebut gagal dileraikan.

“Saya tidak kisah gelas saya pecah. Namun jika pertengkaran mereka menganggu pelanggan saya yang lain maka saya tidak teragak-agak akan menelefon pihak polis,” katanya.

Tamat.

Empaga lega nasibnya dapat perhatian



Mugshot : LEGA...Empaga (gambar) telah dihubungi Persatuan Bekas Polis Malaysia bagi tujuan kemasukan ahli baru-baru ini.


SRI AMAN, Sabtu (25 Jun) – Seorang pesara Pasukan Polis Hutan yang mendakwa jasa dilupakan oleh kerajaan selama ini akhirnya berasa lega setelah dihubungi oleh Persatuan Bekas Polis Malaysia Bahagian Negeri Sarawak kira-kira dua hari lepas.

Terdahulu Sarjan (Bersara) Errol Empaga @ Empaga anak Kijang, 66, Rumah Gimang, Basi, Batang Ai, Lubok Antu mula mendapat perhatian persatuan berkenaan setelah berita mengenai masalah kebajikan hidup beliau terpampang di akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris pada 20 Jun lepas.

Warga Emas yang tinggal sendirian di Taman Bayu, Sri Aman itu mendakwa kurang mendapat penghargaan dan pembelaan kebajikan hidup yang sewajarnya daripada kerajaan semenjak bersara dari Pasukan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2000 lepas.

“Mereka (Persatuan Bekas Polis Malaysia) telah menghubungi saya berhubung permasalahan ini dan meminta saya menghantar alamat rumah kepada pihak mereka kira-kira dua hari lepas.

“Tujuannya ialah mereka mahu mengirim borang kemasukan ke Persatuan Bekas Polis Malaysia kepada saya,” katanya sambil menambah beliau masih menunggu kedatangan borang keahlian tersebut hingga sekarang.

Empaga menambah bahawa beliau yakin harapan untuk menyelesaikan masalah kebajikan hidup dirinya akan menjadi cerah jika beliau menyertai Persatuan Bekas Polis Malaysia selepas ini.

Terdahulu beliau yang sudah kematian isteri iaitu mendiang Sinda anak Ex – Penghulu Gadoh pada tahun 2009 lepas hanya menikmati baki pencen sebanyak RM450 setelah melalui potongan pembayaran rumah, bil elektrik dan lain-lain belanjawan.

Kesemua lima orang anak kepada pesara Polis Hutan itu sudah berkahwin namun tidak dapat membantu memberi belanja wang terhadap beliau disebabkan oleh tiada pekerjaan tetap dan kurang pendapatan.

Lebih menyedihkan ialah apabila beliau tidak dipanggil untuk menerima wang sumbangan bernilai RM1,000 yang diberikan oleh kerajaan terhadap mana-mana bekas anggota polis yang pernah berkhidmat ketika era darurat dahulu (1968 -1972) di Sarawak.

Jasa dan pengorbanan Warga Emas itu harus dikenang di atas sumbangannya dalam pertempuran terhadap penganas komunis di kawasan Engkilili, Ran – Punggu Sri Aman, Semenggok, Kuching dan Ulu Kemaman, Sibu pada era kebangkitan komunis dahulu.

Tamat.

23 June, 2011

Pesta Benak Sri Aman 2011 : Lokasi dan tarikh acara yang berlangsung pada pesta itu nanti




Caption:

1. BAKAL JADI TUMPUAN...Foto acara Regatta sempena Pesta Benak yang berlangsung pada tahun 2010 lepas bakal menjadi acara tumpuan bagi sambutan Pesta Benak tahun ini.

2. MERIAH...Seperti kebiasaannya, Bazaar Ria akan menjadi fokus utama pengunjung seperti yang ditunjukkan menerusi foto aktivit Bazaar Ria Pesta Benak 2010 lepas.

- 23 Jun

Pesta Benak Sri Aman akhirnya kembali!!! Temasya yang sememangnya sudah diketahui oleh kebanyakkan pihak hampir ke seluruh dunia itu kini bakal melabuhkan tirai sambutan bagi edisi ke-9 bermula dari 1 hingga 4 Julai ini di Bandar Sri Aman.

Berpusat di Taman Tebingan Sungai Sri Aman, Pesta Benak 2011 yang berlandaskan kepada fenomena Benak di Sungai Batang Lupar Sri Aman ini bakal mengariskan pelbagai acara serta aktiviti menarik kepada ribuan pengunjung yang akan datang ke bandar ini pada tarikh itu kelak.

Kenyataan publisiti Pesta Benak Sri Aman 2011 yang diterima oleh Utusan Sarawak pada diterima hari ini telah mengariskan waktu dan lokasi bagi setiap acara mahupun aktiviti yang bakal berlangsung pada temasya terbabit.

Bermula dari 1 Julai, para pengunjung berpeluang berkunjung ke Bazaar Ria, Pameran Dan Promosi Produk (GLC dan Swasta), Gerakan Usahawan, Pameran Benak dan Pertandingan Petanque (1 - 3 Julai) bermula dari jam 8 pagi hingga 10 malam di tapak pesta, Taman Panorama Benak dan SK Agama / KPSU Lama Sri Aman.

Pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan acara Lumba Enjin Pam / Bot Laju (1 Julai), Saringan Benak Idol 2011, Pertandingan Tarian Hip Hop 1Malaysia dan Pertandingan Fotografi Benak bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang di Sungai Batang Lupar, Pentas Kebudayaan dan Taman Panorama Benak.

Turut boleh disaksikan pada 1 Julai ialah Sayembara Deklamasi Puisi Benak bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang di tapak pesta dan Malam Kebudayaan Dan Kesenian serta saringan Miss Tourism Benak 2011 di Pentas Kebudayaan bermula dari 8 malam hingga 11 malam.

Pada 2 Julai pula para pengunjung berpeluang untuk menyaksikan Benak Auto Talent dari jam 8 pagi hingga 10 malam dan Regatta Benak Batang Lupar, Luncur Benak (peluncur antarabangsa), Pertandingan Benak Idol, Demonstrasi Masakan Ikan Iar Tawar serta Pertandingan Masakan dari jam 2 petang hingga 5 petang di tapak pesra serta pentas kebudayaan.

Mereka juga berpeluang menyaksikan Lumba Benak (2 – 3 Julai) di Sungai Batang Lupar dari jam 5 petang hingga 6 petang dan menyaksikan Malam Kebudayaan, Pertandingan Akhir Miss Tourisme Benak, Persembahan Johan Sayembara Deklamasi Puisi serta Pertunjukan Bunga Api dari jam 8 malam hingga 11 malam di pentas kebudayaan.

Acara Luncur Benak oleh peluncur antarabangsa akan bersambung semula pada 3 Julai bermula dari 6.30 pagi hingga 7.30 pagi dengan acara Regatta Benak Batang Lupar dan Sound Of Tidal Bore akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang di Sungai Batang Lupar dan Mini Stadium Sri Aman.

Pertandingan Masakan akan bermula dari jam 2 petang hingga 5 petang di tapak pesta dan Malam Astro Live, Konsert Jazz, Persembahan Johan Benak Idol 2011 serta Persembahan Johan Tarian Hip Hop 1Malaysia dari jam 8 malam hingga 11 malam di Pentas Kebudayaan.

Pada sambutan hari terakhir Pesta Benak iaitu 4 Julai, pengunjung berpeluang untuk menonton aksi peluncur antarabangsa dari jam 6.30 pagi hingga 7.30 pagi di Sungai Batang Lupar sebelum Regatta Benak Batang Lupar dan majlis penyampaian hadiah menjadi acara penutup bagi temasya ini dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Antara acara yang masih berlangsung pada hari terakhir sambutan Pesta Benak ini ialah Bazaar Ria, Pameran Dan Promosi Produk (GLC dan Swasta), Gerakan Usahawan, Pameran Benak dan Pertandingan Fotografi Benak.

Majlis perasmian Pesta Benak Sri Aman 2011 akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang pada 2 Julai ini bermula jam 10 pagi di Pentas Regatta Batang Lupar dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak pada jam 3 petang hari tersebut.

Dengan adanya senarai acara yang bakal berlangsung pada Pesta Benak Sri Aman 2011 ini nanti maka diharap agar para pengunjung dapat mengetahui masa dan lokasi bagi mana-mana acara yang mahu disaksikan oleh mereka.

Tamat.

Wakil rakyat BN sentiasa turun padang - Razi



Caption: MESRA...Razi (kiri) sekali ketika bersama tetamu undangan khas sebelum bermulanya majlis pemimpin bersama rakyat di kediaman Roslan Bahari baru-baru ini.


BETONG, Khamis (23 Jun) – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sentiasa turun padang untuk meninjau dan mendengar permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dalam kawasannya dari masa ke semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky @ Mohd Razi Sitam berkata wakil rakyat BN bukan hanya turun padang bertemu rakyat ketika musim pilihan raya sudah menjelang seperti yang didakwa oleh pihak tertentu selama ini.

“Wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat harus bekerja untuk rakyat. Paling penting sekali ialah wakil rakyat BN khasnya akan sentiasa menunaikan janji tanggungjawab mereka kepada rakyat tanpa mengira masa.

“Jika amalan ini diteruskan saya yakin rakyat akan terus menaruh kepercayaan kepada Kerajaan BN dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan yang dapat memberi manfaat terhadap hidup mereka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Sebemban bertempat di kediaman ketua pemuda cawangan itu, Roslan Bahari, Betong baru-baru ini.

Selain itu Razi juga berharap agar rakyat terus berdiri teguh di bawah BN demi memudahkan perlaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan penempatan masing-masing.

“Justeru saya berharap rakyat khasnya di kawasan DUN Saribas untuk terus memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri demi sama-sama memajukan kawasan kita di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu beliau menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM50,000 untuk pembinaan Dewan Kampung Sebemban, RM50,000 untuk sambungan kerja menurap jalan kampung dan RM20,000 untuk JKKK Kampung Sebemban.

Tamat.

CNI Sri Aman anjur Pertandingan Bersolek pada 25 Jun ini



Mugshot: SHELLYNA THIEN.... Mari datang belamai-lamai mey... haiya


SRI AMAN, Khamis ( 24 Mei) – Creative Network International atau CNI cawangan Sri Aman akan menganjurkan Pertandingan Bersolek dan Seminar CNI Whyte Magic bertempat di Fortune Inn Relax Cafe, Jalan Brayun, Sri Aman pada 25 Jun ini.

Pengurus Pusat Pengedaran CNI Sri Aman, Shellyna Thien Siaw Chiang berkata Pertandingan Bersolek yang akan berlangsung pada jam 7.30 malam itu terbahagi kepada dua kategori iaitu 15 Tahun Ke Atas dan 15 Tahun Ke Bawah.

“Pertandingan ini nanti disertai seramai 16 orang peserta dari kawasan Sri Aman. Menerusi pertandingan ini, kita akan berpeluang untuk melihat kemahiran bakat solekan terpendam yang ada pada setiap peserta.

“Lagipun Pertandingan Bersolek anjuran CNI Sri Aman kali ini secara tidak langsung juga memberi peluang kepada bakat muda kita untuk mencuba kemahiran masing-masing menerusi acara ini,” katanya.

Selain itu pihaknya kata Thien juga akan mengadakan demonstrasi penggunaan CNI Whyte Magic terhadap semua hadirin yang datang untuk menyaksikan pertandingan bersolek berkenaan pada hari itu.

CNI Whyte Magic yang akan dipamerkan menerusi sesi seminar itu nanti katanya adalah merupakan sebuah produk penjagaan kulit yang terbaru daripada syarikat mereka pada masa sekarang.

“Justeru CNI cawangan Sri Aman menjemput semua warga Sri Aman untuk hadir ke Fortune Inn Relax Cafe (berdekatan bangunan Pertama Bakery) pada waktu yang dinyatakan.

“Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pertandingan bersolek dan seminar ini nanti boleh menghubungi saya menerusi talian 019-8195313 atau 083-325313 dan 083-327313,” katanya.

Tamat.

Fasa Team belasah Kelab Rakan Muda PRS Engkilili : Rampas kedudukan tempat ke-3 Kejohanan Liga Bola Sepak Sri Aman - Naim 2011




Caption: BERJAYA!!! Pasukan FASA Team berjaya merampas kedudukan tempat ketiga dalam Kejohanan Liga Bola Sepak Sri Aman – Naim 2011 daripada pasukan PDRM Sri Aman.

- 22 Jun

Hasrat pasukan Rakan Muda PRS Engkilili untuk merampas kedudukan tempat ketiga dalam Kejohanan Liga Bola Sepak Sri Aman – Naim 2011 akhirnya musnah setelah dibelasah oleh pasukan FASA Team dengan jaringan gol 7 – 2.

Pasukan FASA Team yang menduduki tempat kelima dalam liga terbabit sebelum itu telah membelasah pasukan Rakan Muda PRS Engkilili dalam perlawanan penutup liga yang berlangsung di Padang Lama KPSU Sri Aman baru-baru ini.

Kesemua gol pasukan FASA Team telah dijaringkan oleh Mohd Zulfadzli Tahir (minit ke- 9, 31) Awang Zaidi Awang Razak (minit ke-15, 28) Wan Mohd Zaki Wan Sapri (minit ke-40, 70) dan Ashar Ismail (minit ke-64).

Manakala gol pasukan Rakan Muda PRS Engkilili pula telah dijaringkan oleh Fabian pada minit ke-6 dan 37 dalam perlawanan penutup Kejohanan Liga Bola Sepak Sri Aman – Naim 2011 berkenaan.

Dengan kemenangan ini, pasukan FASA Team berjaya merampas kedudukan tempat ketiga dalam kejohanan liga terbabit daripada PDRM Sri Aman setelah memperoleh 14 mata dengan empat kemenangan, dua kali seri , dua kali kalah berbanding PDRM yang memperoleh 13 mata menerusi empat kali menang, satu seri dan empat kali kalah.

Pasukan FASA Team yang berhasil membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000, piala dan pingat telah meninggalkan pasukan Rakan Muda PRS Engkilili yang berada di kedudukan tempat kelima dalam kejohanan liga tersebut.

Terdahulu pasukan Zaimie Team telah dinobatkan sebagai juara kejohanan liga tersebut walaupun sebelum membelasah pasukan LA.P.D dengan jaringan gol 8 – 1 menerusi perlawanan kelapan mereka pada 13 Jun lalu.

Sang juara iaitu Zaimie Team berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000, piala dan pingat dengan pasukan AY17 selaku naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala serta pingat menerusi kejohanan itu.

Majlis penyampaian hadiah kepada pasukan juara, naib juara dan pemenang tempat ke-3 bagi Liga Bola Sepak Sri Aman – Naim 2011 yang bermula semenjak 28 Mac lalu itu akan disempurnakan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis pada awal bulan Julai ini.

Secara keseluruhannya pasukan Zaimie Team memperolehi 24 mata menerusi kejohanan liga itu sambil diikuti oleh AY17 (17 mata), FASA Team (14 mata), PDRM Sri Aman (13 mata), Rakan Muda PRS Engkilili (10 mata), LA.P.D (8 mata), Sokanjaya (8 mata), Datila FC (3 mata) dan GOF FC (1 mata).

Perlawanan penutup tirai Kejohanan Liga Bola Sepak Sri Aman – Naim 2011 yang menemukan pasukan FASA Team dan Rakan Muda PRS Engkilili turut disaksikan oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman iaitu Zaidil Haji Ripin.

Tamat.