Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 August, 2010

Selesai isu Guan Eng demi rakyat - Wahbi

Caption: TERIMA KASIH...Frida (kiri) sedang menyampaikan cenderahati kepada Wahbi (kanan) sambil disaksikan oleh Norkusaini Bujang (kanan) dan Rohani (kiri) pada majlis itu

BETONG, Khamis (26 Ogos) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Dr Haji Wahbi Junaidi melahirkan rasa terkilan berhubung isu bacaan doa dalam khutbah solat Jumaat di Pulau Pinang yang menyebut nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sambil mengenepikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

Terdahulu Pengerusi Kariah Masjid Jamek Padang Menora di Tasek Gelugor, Hamir Mahmud dan ahli kariah Masjid Jamek Jelutong, Abu Kassin Ismail ketika dipetik dari Utusan Malaysia sebelum ini mengakui nama Guan Eng ada disebut oleh seorang khatib jemputan, Zakaria Ahmad ketika membacakan doa kedua khutbah solat Jumaat pada 25 Jun lalu.

Beliau turut mengesahkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dalam doa khutbah pada hari tersebut walaupun lazimnya ia merupakan doa yang diberikan kepada Seri Paduka selaku ketua agama Islam di Pulau Pinang.

“Isu penyebutan nama beliau (Guan Eng) dalam doa khutbah solat Jumaat jika tidak ditangani segera oleh semua pihak akan boleh menimbulkan kemarahan atau kebencian dikalangan orang Melayu dalam negara ini.

“Justeru saya menasihati semua rakyat agar mengambil ikhtibar berhubung kejadian berkenaan. Mereka perlu berwaspada dan berfikir panjang sebelum memilih pihak yang layak untuk memerintah Kerajaan Negeri selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat 2010 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Betong bertempat di Masjid Nuur Rabani Kampung Sebemban Betong baru-baru ini.

Sementara itu Wahbi juga menasihatkan umat Islam dalam kawasan Saribas untuk meneruskan aktiviti kebajikan masing-masing walaupun ketika berlangsung ibadat puasa pada Bulan Ramadan ini.

“Aktiviti gotong-royong membersihkan kampung misalnya perlu diteruskan oleh umat Islam walaupun ketika berpuasa kerana ia bertujuan untuk menceriakan lagi suasana penempatan masing-masing.

“Lagipun beramal kebajikan pada bulan puasa penting untuk mempertingkatkan iman orang Islam pada bulan Ramadan. Oleh itu umat Islam tidak digalak untuk menjadikan puasa sebagai alasan tidak mahu mengerjakan aktiviti kebajikan masing-masing selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai KEMAS Bahagian Betong, Frida Suntik, Pegawai Tadbir Sarawak Betong, Rohani Sejel, Ketua Kampung Sebemban, Merawi Lepor, Pengerusi Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ranting Sebemban dan Pengerusi Belia Sebemban, Roslan Bahari.

Tamat.

26 August, 2010

Rezeki tak datang bergolek jika tiada usaha - MP Rang


Caption: MANFAAT PELUANG...M.P Rang ketika menguruskan ayam dan ikan panggang di gerai sewanya menerusi aktiviti Bazaar Ramadan Betong baru-baru ini.

Oleh Saleman Senin

BETONG, Rabu (25 Ogos) – Rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya kita hanya bergantung kepada satu sumber perniagaan sahaja melainkan jika sumber itu diperkembang kepada beberapa jenis perniagaan selagi ia boleh mendatangkan keuntungan kepada individu itu sendiri.

Oleh itu seorang penjual ayam segar dari Kampung Tengah Betong iaitu Mohammad B bin Chee atau lebih mesra dikenali sebagai M.P Rang itu menjadikan sambutan Bulan Ramadan sebagai platform untuk beliau memperkembangkan perniagaan terbabit.

Sambil menjadikan Bazaar Ramadan sebagai lokasi niaga, Rang bertindak menjual daging ayam panggang, ikan terubuk panggang, ikan pari panggang dan ikan sardin panggang kepada penduduk yang mahu membeli juadah berbuka puasa di Bandar Betong.

“Menjual ayam segar adalah paling perniagaan utama saya bagi mencari rezeki. Namun ketika berlangsungnya Bulan Ramadan saya menggunakan sumber ini untuk menjadikan perniagaan ayam panggang termasuk ikan sebagai aktiviti niaga sampingan.

“Rezeki halal ada dimana-mana. Jika kita cekap memanfaatkan peluang maka usaha kita untuk meraih pendapatan yang lebih tinggi berbanding perniagaan utama kita akan terbuka luas di depan mata,” katanya ketika dibawa oleh seorang blogger terkenal di Betong iaitu Saleman Senin menemui beliau baru-baru ini.

Dengan harga jualan ayam panggang RM14 seekor, perniagaan ayam panggang milik nyata mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk apabila mampu menjual ayam panggang hingga 100 ekor sehari.

“Manakala itu harga jualan ikan pula berbeza bergantung kepada jenis ikan. Ikan terubuk misalnya dijual dengan harga RM16 hingga RM18 seekor, Ikan pari dijual dengan harga RM6 sepotong dan Ikan sadin pula dijual dengan harga RM8 hingga RM10 seekor.

“Keuntungan daripada hasil jualan ayam dan ikan panggang ini membolehkan saya mengupah beberapa orang rakan untuk membantu perniagaan ayam dan ikan panggang di Bazaar Ramadan Betong,” katanya.

Rang juga berpendapat bahawa perniagaan ayam dan ikan panggang beliau bukan sahaja mendapat sambutan daripada penduduk muslim yang berpuasa malahan juga daripada penduduk berbilang kaum di kawasan Betong.

Terdahulu pembabitan awal Rang dalam perniagaan ayam segar bermula apabila beliau membantu rakannya menjual ikan serta ayam segar sebelum beliau sendiri mula berjinak-jinak untuk memulakan perniagaan terbabit secara individu.

Tamat.

Penduduk Taman Hijrah, Simunjan minta baiki jalan


Caption: PERLU BAIKI...Lubang selebar satu meter atas jalan raya berdekatan kawasan Taman Hijrah, Simunjan perlu diturap semula oleh pihak majlis selepas ini.


SIMUNJAN, Rabu (25 Ogos) – Penduduk dari kawasan Taman Hijrah, Simunjan merayu pihak berkuasa tempatan untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku di laluan jalan raya mereka selepas ini.

Seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan memberitahu kerosakan terbabit adalah berupa lubang dengan diameter lebar garis pusat sepanjang satu meter dan dalam tidak lebih dari satu kaki.

“Lubang ini sudah wujud di laluan jalan berkenaan semenjak setahun yang lepas. Namun masalahnya sekarang ini ialah lubang berkenaan tidak pernah diperbaiki oleh pihak berkuasa tempatan.

“Oleh itu kami harap agar berita ini dapat memberitahu pihak berkuasa tempatan untuk segera menurap laluan jalan raya berlubang berkenaan demi kebaikan semua pengguna kenderaan di masa akan datang,” katanya.

Beliau juga mendakwa laluan jalan berlubang berkenaan boleh menimbulkan bahaya terhadap pengguna kenderaan terutama sekali bagi pengguna motorsikal berdasarkan kepada faktor kedalaman lubang berkenaan.

Risiko kemalangan dakwa beliau akan menjadi lebih tinggi pada waktu malam sekiranya penunggang motorsikal yang baru di kawasan Simunjan tidak menyedari kewujudan lubang berkenaan.

“Saya sendiri nyaris mengalami kemalangan jalan raya apabila hampir melanggari lubang berkenaan beberapa bulan yang lalu. Itu pengalaman serik yang pernah saya alami ketika menunggang motorsikal pada waktu malam di laluan berkenaan.

“Saya tidak pasti jika pengguna motorsikal yang lain pernah mengalami masalah seperti saya atau tidak. Lagipun saya yakin pengguna kereta juga akan mengalami kerosakan pada tayar kenderaan mereka jika melanggar lubang berkenaan,” katanya.

Beliau yang bimbang masalah ini menimbulkan bahaya kepada kanak-kanak mahu Majlis Daerah Simunjan bertindak pantas untuk menurap kembali lubang pada laluan jalan raya terbabit.

Tamat.

Hubungan rakyat dan BN perlu rapat - Wahbi


Caption: TUNAI IBADAT...Wahbi ketika mengimamkan solat tarawih bersama rakyat di Masjid Kampung Tui pada program berkenaan.


DEBAK, Rabu (25 Ogos) – Hubungan antara rakyat dan pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas perlu diperkukuhkan lagi sebelum tibanya pilihan raya negeri kelak.

Wakil rakyatnya, Dr Haji Wahbi Junaidi berkata ini penting demi membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan Saribas sebelum dan selepas pilihan raya itu nanti.

Tanpa hubungan terbabit, BN akan mengalami kesukaran untuk melaksana pelbagai projek pembangunan yang mencakupi penyediaan kemudahan jalan raya, bekalan elektrik luar bandar, air bersih dan sebagainya.

“Sebab itu menerusi Program Ziarah Ramadan ini saya telah mengambil kesempatan untuk turun padang bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara BN dan rakyat dalam kawasan DUN Saribas.

“Hubungan antara rakyat dan kerajaan BN perlu diperkukuhkan sepanjang masa agar matlamat kita untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat dalam DUN Saribas dapat dicapai selepas ini,” katanya ketika berucap ringkas pada Program Ziarah Ramadan bertempat di Masjid Kampung Tui, Debak baru-baru ini.

Selain itu Wahbi juga menasihatkan penduduk Kampung Tui agar terus bersabar berhubung projek pembaikan semula jalan ban antara Kampung Mangut ke Tui yang kini 70 peratus siap.

Kerajaan BN katanya tetap menyelesaikan mana-mana projek pembangunan yang dijanjikan kepada rakyat selama ini walaupun perlaksanaan projek itu memakan masa yang amat panjang.

“Kerajaan melaksana projek pembangunan secara bersistematik dan teratur. Usaha sebegini tidak boleh dilaksana secara melepaskan batuk di tangga kerana kita mahu hasil pembangunan berkenaan memberi impak secara menyeluruh terhadap rakyat selepas itu,” katanya.

Terdahulu beliau bersama rombongan telah bersama penduduk untuk menyempurnakan majlis berbuka puasa, ucapan Takzirah Ramadan, bertahlil dan berdoa di Dewan Perpaduan Kampung Serabang sebelum berangkat ke Masjid Kampung Tui untuk mengimamkan sembahyang Isya serta sunat terawih.

Tamat.

Sri Aman boleh maju dengan pesat - Harden


Caption: MANFAATKAN...Harden (kiri) ketika menyampaikan cek MRP kepada Jong (kanan) sambil disaksikan oleh ahli persatuan yang lain.

SRI AMAN, Rabu – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang boleh maju dengan lebih pesat sekiranya Barisan Nasional (BN) terus meneraju pembangunan di daerah ini selepas pilihan raya kelak.

Wakil rakyatnya, Datuk Francis Harden anak Hollis memberitahu Sri Aman pada masa sekarang sudah mula menunjukkan proses transformasi pembangunan yang pesat dalam tempoh lima tahun yang lepas.

Menurut beliau bukti transformasi pembangunan ini mula tampak nyata dengan adanya projek pembinaan bangunan komersial pelbagai fungsi di kawasan tapak Bandar Sri Aman yang baru pada masa sekarang.

Beliau yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah berkata demikian ketika berucap ringkas pada upacara penyampaian cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Persatuan Teksi Simanggang baru-baru ini.

“Selain projek pembinaan bangunan komersial, kerajaan juga turut memberi fokus terhadap projek pembangunan tanah seperti penanaman kelapa sawit di kawasan Undop, Batu Lintang, Sri Aman.

“Malahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) juga turut disalurkan ke 80 peratus kawasan penempatan penduduk dalam DUN Simanggang semenjak dari dulu hingga sekarang menerusi peruntukan yang disedia oleh kerajaan BN,” katanya.

Harden menambah proses transformasi pembangunan yang pesat di Sri Aman khususnya dalam kawasan bandar sepatutnya menyedarkan penduduk tentang betapa pentingnya peranan BN dalam mempertingkatkan taraf kebajikan hidup mereka.

“Jika penduduk masih sayangkan proses pembangunan ini maka sokonglah BN dari masa ke semasa. Jangan merugikan masa depan hidup mereka dengan menyingkirkan BN dari kawasan DUN Simanggang selepas ini,” katanya.

Terdahulu Harden telah menyampaikan cek MRP bernilai RM2,000 kepada Pengerusi Persatuan Teksi Simanggang iaitu Jong Sie Fah sambil disaksikan oleh ahli persatuan yang lain di perkarangan parkir teksi dalam bandar Sri Aman.

Tamat.

25 August, 2010

Mahu ragut perempuan tapi sendiri kena belasah..kwang kwang

SRI AMAN, Selasa (24 Ogos) – Gara-gara mahu meragut beg tangan milik seorang wanita, seorang lelaki telah mengalami cedera parah di bahagian kepala dan patah tulang rusuk apabila dia dibelasah oleh orang ramai di kawasan Jalan Sabu malam tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam itu menyaksikan saspek berusia 30 tahun berkenaan dibelasah oleh orang ramai setelah dia cuba meragut beg wanita berkenaan di kawasan bulatan dalam bandar Sri Aman sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad ketika dihubungi memberitahu seorang wanita berusia 26 tahun secara kebetulan memandu sebuah kereta dan berhenti di berdekatan dengan kawasan bulatan jalan dalam bandar Sri Aman sebelum berlakunya kejadian terbabit.

“Kemudian saspek yang sedang menunggang sebuah motorsikal dan melalui bulatan jalan berkenaan cuba bertindak membuka pintu kereta yang digunakan oleh wanita berkenaan.

“Suspek bertindak demikian dalam usahanya mahu meragut beg tangan milik wanita berkenaan yang diletakkan di sebelah tempat duduk hadapan penumpang. Bagaimanapun tindakan saspek berkenaan gagal,” katanya.

Mangsa yang menyedari saspek cuba meragut beg tangannya itu kata Jusoh kemudiannya bertindak memecut keretanya menuju ke restoran milik beliau di Jalan Sabu sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada suaminya.

Saspek kata beliau yang dipercayai tidak putus berhubung cubaannya itu bertindak mengejar mangsa tanpa menyedari bahawa kehadirannya ke restoran terbabit sememangnya sudah ditunggu oleh orang ramai di situ.

“Saspek yang menyedari kehadiran orang ramai di restoran berkenaan akhirnya gagal cuba melarikan diri. Dia akhirnya dibelasah oleh orang ramai sehingga mengalami cedera parah di kepala dan patah tulang rusuk,” katanya.

Pihak Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman yang menerima laporan berhubung kejadian itu kata Jusoh kemudiannya bergegas ke lokasi tersebut sebelum bertindak menghantar saspek ke Hospital Sri Aman untuk tujuan rawatan lanjut.

“Saspek kemudiannya dihantar ke Hospital Umum Sarawak berhubung kecederaan parah yang dialami oleh suspek menerusi kejadian berkenaan pada malam itu juga,” katanya sambil menambah mangsa yang juga pemilik restoran makanan laut itu telah membuat laporan polis mengenai kejadian terbabit.

Tamat.

Pohon pinang tumbuh 'tanduk'


Caption: GANJIL...Tanduk yang tumbuh di kawasan tengah batang pokok pinang ini didakwa ganjil bagi penduduk di sini.

SRI AMAN, Selasa (24 Ogos) – Pokok pinang ganjil di Bandar Sri Aman nyata menarik perhatian penduduk yang di suini apabila beberapa batang ‘tanduk’ muncul di bahagian bawah dahan pokok terbabit sebelum ini.

Seorang penduduk, Abang Naim bin Abang Pauzi ketika ditemui memberitahu pokok pinang ganjil terbabit terletak di belakang sebuah kedai yang terletak berhampiran dengan pejabat SESCO, Sri Aman.

Katanya keganjilan yang terdapat pada bahagian bawah dahan pokok pinang berkenaan mula disedari oleh beliau ketika mahu pergi ke Tandas Awan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) kelmarin.

“Pokok pinang berkenaan mungkin kelihatan normal seperti lain-lain pokok pinang yang ditanam oleh pihak berkuasa tempatan di sini bagi tujuan pengindahan landskap bandar jika ia dipandang sekali imbas.

“Bagaimanapun jika diamati dengan lebih dekat pokok pinang ini nyata mempunyai lima batang ‘tanduk’ daun yang tubuh di kawasan bawah dahan pokok pinang itu sendiri iaitu berhampiran lokasi tandan buahnya,” menurut beliau.

Naim mendakwa keadaan seperti ini jarang berlaku pada pokok pinang memandangkan dahan pokok tumbuh ke atas dari kawasan pucuk dan bukannya dibawah kawasan tandang buah pokok itu sendiri.

Justeru kewujudan tanduk di bawah kawasan tandang pokok pinang berkenaan kata beliau menunjukkan bahawa berlakunya keganjilan terhadap pokok pinang itu sendiri berbanding lain-lain pokok pinang yang normal.

Terdahulu pokok pinang spesis Royal Palm ini telah di tanam oleh pihak MDSA sejak sepuluh tahun lalu sebagai salah satu elemen landskap di kawasan tersebut.

Tamat.