Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 June, 2010

Hari Peladang, Penternak, Nelayan di Betong 31 Julai - 2 Ogos ini


Caption: UMUM...Jabu ketika menjawab pertanyaan para pemberita pada sidang media berkenaan. Turut kelihatan ialah (dari kiri) Paul, Romie dan Ngenang.


BETONG, Jumaat (25 Jun) – Bandar Betong bakal menjadi tumpuan ribuan orang pengunjung apabila berlangsungnya sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini nanti.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang mengumumkan perkara ini kepada pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak di bilik persidangan Pejabat Residen Betong hari ini.

Katanya sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak ini nanti akan berlangsung di kawasan perkarangan luar Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong bermula dari tarikh penganjuran berkenaan.

“Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak yang akan berlangsung selama tiga hari ini nanti dianjurkan berasaskan kepada tema Pertanian Adalah Perniagaan.

“Program ini nanti akan dimeriahkan menerusi penglibatan sejumlah 15 buah agensi kerajaan, 124 buah gerai berdaftar dan 71 buah tapak khemah untuk tujuan pameran serta lain-lain aktiviti bermula dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini,” kata Jabu.

Selain itu katanya pelbagai aktiviti telah dirancang bagi menjayakan program terbabit antaranya ialah pameran hasil tani dan teknologi pertanian moden, randau teknologi, ceramah, gerai jualan hasil tani, pertandingan peladang, pameran haiwan, demonstrasi memasak, lawatan ke tapak projek dan sebagainya.

Dengan adanya aktiviti seumpama itu, Jabu yakin bahawa penduduk khusus sekali dari sekitar kawasan Betong akan dapat pelbagai ilmu mengenai industri pertanian moden di negara ini pada masa akan datang.

“Saya yakin program berkenaan akan dapat mewujudkan kesedaran dikalangan penduduk miskin tegar mengenai betapa pentingnya pertanian moden untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka selepas ini.

“Justeru saya mengalu-alukan kedatangan semua penduduk dari dalam dan luar kawasan Betong untuk hadir beramai-ramai bagi menjayakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak bermula dari tarikh yang dinyatakan,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Permodenan Pertanian, Dr Ngenang Janggu, Pengarah Pertanian Sarawak, Paul Ritom, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan Pengurus Besar SALCRA, Datu Vasco Sabat Singkang.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud akan merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak pada 31 Julai ini dan seterusnya melancarkan buku bergambar mengenai tranformasi pembangunan kawasan Betong pada majlis itu.

Tamat.

Penduduk kawasan Kabo / Awi join projek agropolitan Bukit Sadok

BETONG, Jumaat (25 Jun) – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA kini sudah pun memulakan projek perintisnya iaitu penanaman getah di kawasan Kabo / Awi, Saratok di bawah program Projek Agropolitan Bukit Sadok, Betong.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata projek perintis kendalian RISDA ini membabitkan penduduk dari sembilan buah rumah panjang dalam kawasan terbabit.

“Menerusi Projek Agropolitan Bukit Sadok ini, penduduk dari kawasan Kabo / Awi menerusi kendalian pihak RISDA telah memulakan kerja penanaman getah di atas tanah berkeluasan 391 hektar.

“Dalam tempoh sembilan bulan mulai sekarang pihak kita akan dapat melihat pokok getah sudah ditanam di kawasan Kabo / Awi. Lebih tepat lagi ialah selepas bulan Jun tahun hadapan,” katanya tanpa menyatakan kos projek terbabit.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak di bilik persidangan Pejabat Residen Betong hari ini.

Selain itu Projek Agropolitan Bukit Sadok kata Jabu juga sudah pun diterima pada peringkat persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk program rancangan pembangunan seterusnya selepas ini.

“Kejayaan perlaksanaan Projek Agropolitan Bukit Sadok di Betong sebenarnya bergantung kepada tiga faktor penting iaitu Pertanian, Kemudahan Infrastruktur dan Tenaga Kerja Manusia.

“Dengan adanya kemasukan Projek Agropolitan Bukit Sadok di bawah RMK10 sekarang maka pihak kita akan memulakan usaha membina kemudahan jalan raya dalam kawasan projek ini bagi memberi laluan kepada usaha pertanian menerusi tenaga kerja manusia pada masa akan datang,” menurut beliau.

Jabu yang juga Menteri Permodenan Pertanian memberitahu Projek Agropolitan Bukit Sadok ini mencakupi kawasan Ulu Spak, Layar, Ulu Skrang, Pakan, Julau dan Lubok Antu.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Permodenan Pertanian, Dr Ngenang Janggu, Pengarah Pertanian Sarawak, Paul Ritom, Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel dan Pengurus Besar SALCRA, Datu Vasco Sabat Singkang.

Tamat.

Jaga kebersihan Sri Aman - Shamshuddin


Caption: JAGA KEBERSIHAN...Saptuyah (tengah) sambil disaksikan Shamshuddin (duduk) dan ahli MAKSAK Wanita yang lain ketika menyempurnakan upacara menanam pokok hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (25 Jun) – Bandar Sri Aman perlu sentiasa bersih demi mewujudkan imej positif terhadap pengunjung luar yang datang untuk menyaksikan keindahan kawasan perlancongan dalam bandar ini di masa akan datang.

Justeru Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji menyeru semua penduduk agar lebih serius untuk menjaga kebersihan kawasan Bandar Sri Aman demi kebaikan bersama selepas ini.

“Bandar Sri Aman kini sudah cukup mashyur dengan penganjuran Pesta Benak yang telah mula menjadi ikon utama bandar ini dikalangan pengunjung luar pada masa sekarang.

“Bagaimanapun ikon ini tidak akan menjadi begitu bermakna jika Bandar Sri Aman sentiasa kotor. Ia akan menimbulkan prasangka negatif dikalangan orang luar yang datang ke bandar ini untuk menyaksikan fenomena Benak di Sungai Batang Lupar, Sri Aman,” menurut beliau.

Shamshuddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penanaman Pokok dan Gotong-Royong anjuran Pejabat Residen Sri Aman dengan kerjasama MAKSAK Wanita Sri Aman di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga mahu penduduk untuk menunjukkan tauladan yang baik terhadap lain-lain individu dengan mematuhi peraturan pembuangan sampah ketika berada dalam kawasan bandar ini untuk sepanjang masa.

Dengan berbuat demikian orang ramai kata Shamshuddin secara tidak langsung akan mencontohi sikap golongan terbabit sehingga mewujudkan kebersihan yang lebih nyata dalam bandar ini selepas itu.

Terdahulu seramai 200 orang kakitangan kerajaan dan orang awam dari sekitar bandar Sri Aman mengambil bahagian dalam Kempen Penanaman Pokok dan Gotong-Royong di sekitar kawasan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar, Taman Panorama Benak dan Kubu Alice.

Hadir sama ialah Pengerusi MAKSAK Wanita Negeri Sarawak, Datuk Amar Hajah Saptuyah Haji Suib, Pengerusi MAKSAK Sri Aman, Golnar Daud dan Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan.

Tamat.

25 June, 2010

Dua kampung mulakan kempen penanaman semula getah


Caption: SERIUS...Izuwan kelihatan sibuk sedang menulis rekod peserta yang memohon bantuan daripada pihak RISDA di Sri Aman hari ini.


SRI AMAN, Khamis (24 JUn) – Kampung Sigak dan Kampung Melayu Engkilili muncul sebagai kampung pertama dalam Bahagian Sri Aman yang akan memulakan projek Penanaman Semula Getah bermula bulan Julai ini nanti.

Projek yang mendapat bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA ini bakal melibatkan penanaman semula getah di atas tanah berkeluasan 24 hektar milik 29 orang peserta dari kedua-dua kampung berkenaan.

“Peserta dari Kampung Sigak dan Kampung Melayu Engkilili adalah merupakan pihak yang pertama mendapat kelulusan sementara Bantuan Tanam Semula daripada pihak RISDA sebelum ini.

“Bantuan Tanam Semula bernilai RM10,000 untuk satu hektar tanah milik pemohon ini akan membolehkan kesemua 29 orang peserta terbabit memulakan kerja penanaman semula getah di tanah masing-masing bermula bulan hadapan (Julai),” kata Pembantu Pertanian RISDA iaitu Mohd Izuwan bin Yahya.

Menerusi projek berkenaan katanya kesemua peserta dijangka akan mampu meraih hasil perolehan getah sebanyak 2,000 kilogram setahun bagi setiap hektar tanah yang terlibat dalam projek ini.

Sementara itu tindakan RISDA memperkenalkan bantuan Tanam Semula berkenaan kata Izuwan ialah untuk membantu mengurangkan kadar kemiskinan penduduk dalam negara ini khususnya sekali di Sri Aman.

Justeru pihak RISDA katanya telah membuka pejabat cawangan baru mereka di Jalan Hospital (bangunan Peach Court) dalam Bandar Sri Aman yang bakal memulakan operasinya bermula 1 Julai kelak demi mempertingkatkan lagi usaha membasmi kemiskinan dalam daerah ini.

“Justeru diharap para peserta dari Kampung Sigak dan Kampung Melayu Engkilili dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang mereka terima daripada pihak RISDA berhubung projek ini dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Terdahulu Izuwan bersama Pemaju Masyarakat RISDA Sri Aman, Isaa Stalin Simon dan bakal Pemaju Masyarakat RISDA, Warren Sambau telah melakukan tinjauan ke tapak penanaman semula getah di beberapa buah kawasan hari ini.

Sehingga kini terdapat 171 orang pemohon dari 12 buah kampung dalam kawasan Sri Aman yang memohon Bantuan Tanam Semula dan Bantuan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) daripada pihak RISDA.

Tamat.

Pohon bantuan RIDSDA - Izuwan


Caption: CERAMAH...Pihak RISDA ketika sedang menyampaikan ceramah mengenai projek penanaman semula dan lain-lain bantuan kepada penduduk Sri Aman.


SRI AMAN, Khamis (24 Jun) – Penduduk dari kawasan Sri Aman yang berminat untuk melibatkan diri dalam projek penanaman getah digalak untuk memohon bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA selepas ini.

Pembantu Pertanian RISDA iaitu Mohd Izuwan bin Yahya berkata antara bantuan yang ditawarkan oleh pihaknya berhubung perkara ini ialah Bantuan Tanam Semula, Bantuan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG), Bantuan Projek Prasarana dan Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

“Bantuan Tanam Semula memperuntukan bantuan sejumlah RM10,0000 bagi satu hektar tanah terhadap mana-mana pemohon yang berminat untuk mengusahakan getah di tanah masing-masing.

“Syaratnya ialah tanah pemohon harus mempunyai minimum tanaman getah tidak kurang dari sesuku ekar dan tidak melebihi 100 ekar, memiliki surat hakmilik tanah yang sah dan tanah yang hendak ditanam semula mesti mempunyai pokok getah yang sedang ditoreh,” menurut beliau.

Bantaun bernilai RM10,000 yang sebelum ini dikhaskan oleh pihak RISDA untuk Sabah dan Sarawak kata beliau akan dibayar sebanyak enam peringkat selama empat tahun setengah terhadap pemohon yang berjaya memohon bantuan terbabit.

Sementara itu Bantuan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) pula kata Izuwan memperuntukan bantuan sebanyak RM1,000 bagi satu hektar tanah kepada pemohon yang berjaya menetapi syarat yang ditetapkan oleh RISDA.

“PPG akan mula diagih pada bulan Julai ini. Syarat pemohonan ialah mempunyai kebun getah, tanaman getah yang sedang diperoleh dan kebun getah yang sudah dilawat oleh pihak kita.

“Input bantuan bernilai RM1,000 ini akan datang dalam bentuk baja, racun rumpai, kimia dan pengalak susu untuk mana-mana peserta yang telah diluluskan permohonannya bagi tujuan itu,” katanya.

Bantuan Projek Prasarana pula kata Izuwan lebih memberi fokus terhadap pembinaan jalan pertanian, pembentung, parit serta jambatan dan bantuan ini diberi kepada pemohon dari kawasan getah berkelompok sahaja.

“Manakala Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) diberi kepada pemohon yang mempunyai kebun ditanam semula oleh RISDA, mempunyai pendapatan tidak lebih dari RM1,500 sebulan dan mampu menjalankan projek yang dipohon.

“Kadar bantuan bernilai RM10,000 ini terbahagi kepada Bantuan Ternakan (lembu, kambing, ayam, ternakan ikan air tawar), Bantuan Tanaman (pisang, nanas dan lain-lain tanaman jangka pendek) dan Bantuan Industri Kecil (makanan ringan dan kraftangan),” katanya.

Justeru pemohon yang berkelayakan dari kawasan Sri Aman dinasihat agar tidak melepaskan peluang untuk memohon bantuan daripada pihak RISDA pada masa akan datang.

RISDA telah membuka pejabat cawangan baru mereka di Jalan Hospital (bangunan Peach Court) dalam Bandar Sri Aman yang bakal memulakan operasinya bermula 1 Julai kelak demi mempertingkatkan lagi usaha membasmi kemiskinan dalam daerah ini.

Tamat.

Penduduk Sarawak antara pengidap Tibi terbanyak

LUBOK ANTU, Khamis (24 Jun) – Sarawak telah mencatatkan sejumlah 1,978 kes penyakit Tibi bagi tahun 2009 iaitu peningkatan sebanyak 157 kes berbanding 1,821 kes bagi tahun 2008.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Serbaguna Lubok Antu hari ini.

Dari segi kematian katanya, Sarawak juga mencatatkan kadar kematian yang agak tinggi berhubung penyakit Tibi iaitu dengan 86 buah kes pada tahun 2008 dan 105 buah kes lagi bagi tahun 2009.

“Dengan gambaran status jangkitan penyakit Tibi yang sebegini maka kita tidak boleh leka dengan ancaman penyakit Tibi kerana ia masih berleluasa dikalangan penduduk walaupun sudah lama diketahui umum,” menurut beliau.

Selain itu kelewatan pesakit untuk menerima rawatan penyakit Tibi menurut beliau telah menjadi faktor utama yang menyebabkan kerajaan sukar menangani penyakit terbabit sebelumnya.

Kata Jamilah, faktor kurangnya pendedahan dan kesedaran penduduk terhadap bahaya jangkitan penyakit Tibi mungkin telah menyumbang ke arah kadar kematian yang tinggi dikalangan penduduk Sarawak pada tahun lepas.

“Lagipun mungkin penduduk di kawasan Lubok Antu kurang sedar bahawa penduduk daerah mereka mencatatkan kadar jangkitan penyakit Tibi yang tertinggi di Sarawak pada tahun lepas.

“Justeru saya berharap agar penduduk Lubok Antu bersama-sama mempelajari bahaya ancaman penyakit Tibi bersempena dengan sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Sarawak hari ini,” katanya.

Selain itu beliau juga menasihatkan penduduk agar bertindak pantas menerima rawatan sekiranya mereka mengesyaki diri mereka mempunyai gejala-gejala awal penyakit Tibi selepas ini.

“Penyakit Tibi boleh dirawati dengan segera jika mendapat rawatan awal. Oleh itu saya berharap agar penduduk tidak takut atau berasa malu sekiranya mereka mendapati diri masing-masing dijangkiti penyakit Tibi selepas ini,” katanya.

Tamat.

23 June, 2010

50 hadiri pemeriksaan kesihatan percuma CNI

Amoi: "Haiya tengok...u kuat kurus mey..kasi gumok sikit ma,"
Budak baju biru belang putih: " U pun kurus jugak mey...kasi gumok juga ma,"
Doktor: "Anda menghidap siplis, burut dan buasir. Makanlah produk CNI,"
Budak baju biru belang putih: "Apa CNI tu? Nasi lemak ker?"

Amoi baju hitam : "Simalam saya nampak ahmad ada jalan-jalan sama pondang,"
Amoi baju putih: "Ya mey? untung ma,"
Amoi tinggi lampai baju kelabu: "pondang itu setengah apek setengah amoi ka?"
Amoi baju merah:" ..zzZzzzzz..."
Doktor: "Carta menunjukkan minyak bakal naik harga,"
Polis: "ermmm ... ini ceramah kesihatan ker ceramah ekonomi?"
Makcik: "Bencilah bang,"

Caption: PENERANGAN....Louis sedang memberi penerangan mengenai isu kesihatan terhadap dua orang kakitangan kerajaan yang hadir pada aktiviti tersebut.

SRI AMAN, Rabu (23 Jun) – Seramai 50 orang penduduk mengambil peluang untuk menjalani program pemeriksaan kesihatan secara percuma bertempat di Pusat Pengedaran Creative Network International (CNI) cawangan Sri Aman, Jalan Hospital hari ini.

Pemeriksaan kesihatan secara percuma yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 4 petang itu adalah merupakan program yang dilaksanakan bawah Projek Komuniti Penyayang CNI.

Pengurus pengedaran CNI cawangan Sri Aman, Thien Shiew Chiang ketika ditemui berkata kesemua 50 orang penduduk ini menjalani ujian saringan BMI, saringan lemak, saringan gula dalam darah dan saringan tekanan darah pada program itu.

“Penyakit Kencing Manis, Tekanan Darah Tinggi dan Kolestrol Tinggi adalah merupakan tiga masalah kesihatan yang paling umum dikalangan rakyat Malaysia pada masa sekarang.

“Justeru program ini merupakan salah satu usaha pihak kami untuk menyedarkan penduduk akan betapa pentingnya aspek penjagaan kesihatan diri masing-masing dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Bagi menjayakan program pemeriksaan kesihatan secara percuma ini, pihaknya telah menjemput dua orang Pengurus Agensi Milion Diamond CNI dari Kuala Lumpur dan Serian iaitu Choong Mun Fok, Voon Sin Siaw dan Chin Jun Fah.

Ketiga-tiga mereka ini menurut beliau telah mengendalikan program pemeriksaan secara kesihatan secara percuma ini dikalangan orang ramai yang hadir bagi tujuan program berkenaan.

“Secara keseluruhannya pihak kami berasa amat berpuashati terhadap minat yang ditunjukkan oleh orang ramai dalam program pemeriksaan kesihatan secara percuma di premis CNI ini.

“Diharap agar program pemeriksaan kesihatan secara percuma di CNI pada masa akan datang dapat menarik lebih ramai minta penduduk demi menyedarkan mereka tentang aspek kesihatan dalaman dan luaran badan,” katanya.

Para pemberita yang hadir bagi membuat liputan mengenai program itu turut dijemput untuk mendengar sesi penerangan mengenai program pemeriksaan kesihatan secara percuma ini oleh Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Jualan CNI iaitu Louis Chu Yang Ang.

Tamat.