Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 October, 2011

Line Dance SUPP Simanggang Club adakan lawatan ke Kampung Sabu



Caption:

1. UNTUK KENANGAN...Ketua Line Dance Rumah Ellie, Lucy (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ling (kiri) sambil disaksikan oleh ahli Line Dance yang lain pada lawatan itu.

2. MERIAH...Line Dance SUPP Simanggang menari bersama-sama dengan pelajar Line Dance Kampung Sabu ketika berlangsungnya lawatan itu.

SRI AMAN, Rabu (26 Okt) – Kelab Line Dance Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Simanggang telah mengadakan lawatan ke kumpulan pelajar Line Dance di Rumah Ellie, Kampung Sabu, Sri Aman malam kelmarin.

Pengerusinya Ling Siew Hung berkata lawatan terbabit bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini kumpulan pelajar terbabit yang pernah menerima kursus daripada kelab berkenaan bermula 1 Disember 2010 hingga minggu pertama Januari 2011 lepas.

“Seramai 35 orang ahli Kelab Line Dance SUPP Simanggang telah turun padang dalam sesi lawatan terbabit untuk meninjau hasil latihan yang pernah diterima oleh 37 orang pelajar Line Dance dari kampung berkenaan.

“Pihak kita berkesempatan untuk mengadakan aktiviti Tarian Tamil dan Tarian Koboi disamping memberi latihan tambahan kepada pelajar Line Dance dari kampung berkenaan,” katanya.

Sementara itu Kelab Line Dance SUPP Simanggang kata Ling juga akan mengadakan lawatan yang serupa terhadap 55 orang pelajar Line Dance dari Rumah Ringgit, Ibol, Sri Aman pada 11 Disember depan.

Justeru beliau berharap lawatan terbabit akan mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara semua ahli disamping memperkenalkan pelbagai jenis tarian berbilang kaum yang terdapat dalam negeri ini pada masa akan datang.

Terdahulu kelab terbabit telah menjayakan sesi lawatan ke Kumpulan Line Dance Sabah pada 11 Mac lepas, Line Dance Raining Kuching (11 Mei) dan Line Dance Kuching (11 Julai) disamping menjayakan Kuching Day Dance Gathering (11 Ogos) serta Ulangtahun Pertama Line Dance Group Saratok (25 September).

Kelab Line Dance SUPP Simanggang yang ditubuhkan pada 10 Oktober 2006 dan mempunyai 150 ahli itu akan mengadakan Sambutan Ulangtahun Ke-5 penubuhan kelab itu pada 11 November ini.

Tamat.


Pelihara pusat pelancongan bersejarah - Talib

Caption: TERIMALAH...Talib (kiri) menyerahkan alatan gotong-royong kepada Johnathan (kanan) sambil disaksikan oleh Harden (belakang kiri) dan Pahon (belakang kanan) pada program itu.

Pix by Fizan Pijan

SRI AMAN, Rabu (26 Okt) – Kubu Alice yang bakal dibina semula oleh kerajaan tidak lama lagi dengan kos bernilai RM5 juta itu perlu dipelihara oleh semua rakyat dalam kawasan Sri Aman pada akan datang.

Menteri Muda Pelancongan Dan Warisan, Datuk Talib Zulpilip berkata ini kerana Kubu Alice menyimpan nilai khazanah sejarah yang cukup tinggi dan boleh menarik kedatangan lebih ramai pelancong di masa akan datang.

“Ia (Kubu Alice) adalah merupakan salah satu produk pelancongan bersejarah yang perlu kita semua pelihara dan jaga keselamatannya selepas ini demi menonjolkan lagi imej Bandar Sri Aman di mata dunia.

“Bukan saja itu Taman Panorama Benak juga perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk penduduk tempatan di sini dengan menjaga tahap kebersihan kawasan itu dan tidak merosakkannya selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong-Royong Perdana 2011 anjuran Kementerian Pelancongan Sarawak dengan kerjasama Tourism Task Group Bahagian Sri Aman bertempat di Taman Panorama Benak, Sri Aman kelmarin.

Selain itu Talib juga menyeru pusat pelancongan dalam negeri ini untuk memberi fokus terhadap aspek kebersihan kawasan masing-masing agar demi menarik kemasukkan lebih ramai lebih pelancong asing.

Pusat pelancongan yang bersih serta indah katanya akan menjadi buah mulut dikalangan pelancong asing dan secara tidak langsung mempromosikan pusat pelancongan itu kepada pelancong lain.

“Justeru saya mahu semua pihak sedar bahawa pelancong asing boleh menjadi duta bagi pusat pelancongan kita sekiranya kawasan itu dijaga dengan bersih dan selamat untuk dikunjungi oleh semua orang,” katanya.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Warisan, Datu Ik Pahon Joyik dan Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, para ketua jabatan dan ketua kaum hadir sama bagi menjayakan program itu.

Tamat.

Buah Paoh popular dikalangan penduduk Iban

Caption : REZEKI...Brandon sedang memetik buah pauh di kampungnya ketika tibanya musim buah berkenaan bulan ini.

PANTU, Rabu (26 Okt) – Sebut sahaja nama buah pauh, sudah tentu kebanyakkan orang akan menelan liur memandangkan buah terbabit amat terkenal dikalangan penduduk Sarawak untuk tujuan ulam-ulaman selama ini.

Walaupun ia dikenali sebagai buah mangga muda atau buah mempelam di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, penduduk di Sarawak lazimnya mengelarkan buah terbabit sebagai buah pauh.

Ia bersaiz kecil iaitu sepanjang 10 hingga 15 sentimeter ketika ia mula dipetik oleh penduduk untuk tujuan ulaman ketika sesi waktu lapang atau pun sebagai lauk tambahan ketika sesi makan bersama keluarga.

“Harga buah pauh boleh mencecah RM5 sekilo di pasaran jika tibanya musim buah berkenaan selama ini,” kata seorang penduduk iaitu Brandon Uno dari kawasan Pantu, Sri Aman hari ini.

Katanya buah pauh sememangnya tidak asing dikalangan penduduk kaum Iban di sini sehingga ada di antara mereka yang menanam pokok berkenaan di belakang rumah mahupun di kebun.

Penduduk Iban katanya lebih gemar memakan buah berkenaan ketika ia masih muda memandangkan rasanya cukup masam berbanding ketika buah terbabit sudah masak selepas itu.

“Anda tidak boleh memakan buah berkenaan begitu saja. Buah pauh ini perlu direndam di dalam air terlebih dahulu sebelum ia dibelah dan diulam bersama sambal yang dibuat oleh anda sendiri.

“Jangan hiris kulit buah pauh berkenaan untuk tujuan ulaman memandangkan kami berpendapat bahawa adalah lebih baik jika buah terbabit dimakan bersama kulitnya,” jelas beliau.

Justeru beliau bersama rakannya Ricky bercadang untuk mengumpul buah pauh yang terdapat di kampung mereka untuk dijual di kawasan rumah panjang di Pantu atau pun di pasar yang berdekatan selepas ini.

Tamat.

Jalan tar di Selantik sudah siap tapi penduduk masih mahu ia terus diturap



Caption: MASIH BARU...Beberapa orang penduduk Selantik Ili sedang meninjau laluan tar baru yang telah diturap di kampung mereka kelmarin.

PANTU, Selasa (25 Okt) – Projek pembinaan jalan tar di Kampung Selantik Ili, Pantu akhirnya sudah siap namun penduduk di situ masih mahukan kontraktor meneruskan kerja mereka berhubung usaha terbabit.

Beberapa orang penduduk di situ ketika ditemui Utusan Sarawak mendakwa bahawa lapisan tar yang diturap dalam kawasan rumah panjang mereka tampak nipis dan masih perlu diturap semula selepas ini.

“Kontraktor terbabit sudah meninjau sendiri laluan jalan tar di sini setelah menerima aduan kami dan seterusnya bersetuju untuk meneruskan semula kerja berkenaan dalam masa terdekat kelak,” kata seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan di sini.

Bagaimanapun penduduk di situ melahirkan rasa syukur mereka terhadap keprihatinan kerajaan dalam menaiktaraf hidup penduduk Kampung Selantik Ili, Pantu menerusi projek jalan berturap terbabit.

Malah mereka juga berasa lega apabila kerajaan menerusi kontraktor terlantik sedang melakukan kerja pembinaan longkang bersimen di beberapa lokasi dalam kawasan rumah panjang itu demi mengelakkan berlakunya banjir di masa  akan datang.

“Kebetulan sekarang ialah musim hujan. Justeru tindakan mereka untuk membina sistem saliran perparitan yang baru dalam kawasan kampung ini nampaknya begitu bersesuaian demi mengurangkan risiko kejadian banjir selepas ini,” katanya.

Terdahulu penduduk Kampung Selantik Ili, Pantu berasa gembira apabila pihak kerajaan melaksanakan projek naiktaraf terhadap beberapa buah laluan jalan kampung di situ semenjak 12 Oktober lepas.

Ketua kampungnya iaitu Hearold Ernest ketika ditemui berkata beliau telah memohon kepada pihak kerajaan bagi tujuan menaiktaraf jalan kampung di Selantik Ili, Pantu semenjak tahun 2009 lepas.

“Hasrat penduduk Kampung Selantik Ili, Pantu akhirnya telah termakbul apabila pihak kontraktor terlantik telah datang ke sini untuk membuat kerja penyukatan jalan kampung sebelum projek itu bermula minggu lepas,” katanya.

Walaupun projek berkenaan dianggap kecil namun ia menurut beliau telah memberi makna cukup besar terhadap semua penduduk Selantik Ili yang tidak sabar mahu menikmati projek berkenaan.

Projek menurap jalan kampung berkenaan katanya bakal mengubah taraf hidup penduduk Selantik Ili, Pantu yang mengimpikan kemudahan perhubungan lebih berkualiti selepas ini.

Tamat.

Musim hujan jejaskan pendapatan penduduk luar bandar

Caption:

1. EMBU...Jejas pendapatan.. sekarang jual karipap

2. TAGOK...Kerja kontrak cari kantau


SRI AMAN, Selasa (25 Okt) – Sarawak merupakan salah satu negeri di Pantai Timur Malaysia yang menerima taburan hujan di peringkat maksimum bagi bulan November, Disember dan Januari.

Dengan kata lain, jumlah hujan akan turun dengan lebih banyak di seluruh negeri ini berbanding dengan bulan-bulan lain semenjak awal November lalu sehingga bulan Januari tahun hadapan.

Namun begitu faktor berkenaan secara tidak langsung juga boleh menjejaskan kehidupan penduduk luar bandar yang bergantung hidup kepada hasil penanaman getah dengan hujan lebat mula turun semenjak awal bulan Oktober lepas.

“Hujan selalu turun pada waktu lebat mahupun awal pagi di Simunjan. Semenjak ia bermula pada pertengahan bulan Oktober tadi, saya hanya berkesempatan untuk menoreh getah sebanyak dua kali sahaja sehingga sekarang,” kata Embu Umpau, 50 tahun.

Penduduk Kampung Kesindu, Simunjan itu memberitahu hujan telah menyebabkan pokok getah menjadi basah dan menjadi amat mustahil bagi penorehnya untuk memperoleh susu getah terbabit pada waktu itu.

Sementara itu Tagok Sebon, 25, dari Selantik Ili, Pantu berkata beliau terpaksa bekerja di Kuching pada waktu sekarang memandangkan cuaca buruk menyebabkan beliau sukar meraih rezeki dari menoreh getah.

“Harga getah sememangnya amat berharga pada masa sekarang. Saya yakin ramai penduduk luar bandar hidup selesa sebelum bermula bulan Oktober ini tadi disebabkan oleh cuaca baik.

“Namun hujan kerap turun awal pagi pada masa sekarang. Justeru belia seperti saya terpaksa mencari kerja di Kuching buat sementara waktu hingga musim hujan terbabit tamat selepas ini,” katanya.

Tamat.

Sukaneka Tadika SJK CHung HUa Pantu berlangsung meriah

GEMBIRA...Seorang kanak-kanak perempuan Tadika Tahun Satu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu, Sri Aman iaitu Shaelomie Delina, 5 tahun sedang menunjukkan hadiah kepada Utusan Sarawak setelah dinobatkan sebagai johan Kategori Pertandingan Meniup Belon Hingga Pecah menerusi acara Sukaneka Sekolah 2011 yang berlangsung di situ baru-baru ini. Shaelomie iaitu salah seorang dari 16 orang kanak-kanak Tadika Tahun Satu SJK Chung Hua Pantu yang bakal melangkah ke Tadika Tahun Dua pada tahun depan telah mendapat hadiah berupa set alatan menulis dan buku latihan berhubung kemenangan terbabit. - 25 Oktober

24 October, 2011

Mekanisme baru untuk bayar bantuan RM100 bagi murid di Sarawak bakal diwujud - Fatimah

Caption: UNTUK ALBUM...Fatimah (tengah) bergambar kenangan bersama (dari kiri) Bohari, Ismawie, Johnathan, Junting, Jamit dan Husaini ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (24 Okt) – Kerajaan akan mewujudkan mekanisme khas bagi tujuan pengagihan bantuan wang bernilai RM100 seorang menjelang bulan Disember ini kepada semua murid di negeri Sarawak termasuk juga Sabah.

Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita Dan Kebajikan, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Atila Tiang Laju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Beliau berkata kewujudan mekanisme khas terbabit telah dipersetujui oleh kerajaan setelah perkara itu diajukan kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi mesyuarat exco pendidikan baru-baru ini.

“Kita sedia maklum bahawa wang bantuan bernilai RM100 kepada semua murid akan disalurkan oleh bank menerusi institusi perbankan yang terdapat di kawasan penempatan penduduk.

“Masalahnya ialah ada bank yang terletak jauh dari kawasan penduduk di luar bandar. Kita tidak mahu kos pengangkutan mereka melebihi nilai wang bantuan berkenaan...ia tidak berbaloi untuk ibubapa murid-murid itu,” katanya.

Fatimah yakin bahawa mekanisme khas itu akan membolehkan kerajaan menyalurkan wang bantuan tersebut kepada murid-murid dari kawasan luar bandar tanpa menjejaskan kos pengangkutan mereka sendiri.

Justeru beliau berharap agar ibubapa tidak mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah mulai sekarang berdasarkan kepada pelbagai jenis bantuan dan kemudahan pendidikan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka selepas ini.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Jamit Ajok, Pengetua Cemerlang SMK Simanggang, Joseph Junting Resa, Yang Dipertua PIBG SMK Simanggang, Husaini Bujang dan Temenggong Haji Abang Bohari Haji Zen.

Seramai 255 orang graduan pelajar Tingkatan Enam, penerima sijil terbaik akademik, penerima sijil pencapaian ko-kurikulum dari SMK Simanggang menerima hadiah dan sijil dalam majlis berkenaan.

Tamat.