Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 August, 2011

Pesara polis diminta bantuan sebar dasar BN



Caption: TERIMALAH...Peron (kanan) menyampaikan cenderamata kepada seorang tetamu (kiri) sambil disaksikan oleh Harden (tengah) pada majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (1 Ogos) Pesara atau bekas Pasukan Polis Diraja Malaysia diseru untuk membantu Barisan Nasional (BN) bagi menyebar dasar pembangunan kerajaan kepada rakyat selepas ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis.

Ini kerana pesara polis menurut beliau merupakan kelompok individu yang disegani rakyat di atas sumbangan mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara semenjak negara mengecapi kemerdekaan 53 tahun lepas.

“Bekas dan pesara polis sebenarnya masih boleh menyumbang jasa mereka kepada negara dengan membantu menyebar dasar pembangunan kerajaan kepada semua rakyat lapisan kaum dalam negara ini khususnya di Sri Aman.

“Sumbangan bekas polis seumpama ini secara tidak langsung akan dapat membantu kerajaan melaksanakan projek pembangunan untuk dengan penuh lancar di masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam 2011 anjuran Persatuan Bekas Polis cawangan Simanggang bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam kelmarin.

Selain itu Harden juga menasihatkan bekas dan pesara polis untuk mendaftarkan diri dalam Persatuan Bekas Polis di cawangan masing-masing bagi menjaga kebajikan hidup mereka selepas ini.

“Justeru saya berharap agar mereka yang belum berbuat demikian terus bertindak mendaftarkan diri masing-masing dalam Persatuan Bekas Polis selepas ini demi memperkuatkan lagi kesatuan terbabit di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Bekas Polis cawangan Simanggang, ACP (B) Jeffery Peron, Pengurus Dewan Suarah Sri Aman, DSP (B) Nelson Jinn dan wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Ang Tuan Peck.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Persatuan Bekas Polis cawangan Sri Aman sambil mewakili Ahli Parlimen Sri Aman mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 juga untuk persatuan terbabit.

Tamat.

Dua rumah panjang di Lachau join program Combi



Caption: TAHNIAH...Mong (kanan) menyerahkan sijil perlantikan Promoter kepada wakil Tr Lindang (kiri) sambil disaksikan oleh Masir (kanan sekali) dan Dr Murnihayati (kiri sekali) pada majlis itu.

PANTU, Isnin (1 Ogos) – Sejumlah dua buah rumah panjang dalam kawasan Sri Aman telah menyertai Program COMBI (Communication For Behavioural Impact) anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman kelmarin.

Penyelaras program itu, Gabriel Alexis Kibes berkata dua buah rumah panjang yang telah ditambah dalam program berkenaan adalah Rumah Randi, Lachau Baru dan Rumah Lindang, Lachau Ulu, dari kawasan Pantu, Sri Aman.

“Program COMBI atau singkatannya iaitu “Communication For Behavioural Impact” adalah komunikasi untuk perubahan tingkah laku yang memberi tumpuan kepada aspek tingkah laku masyarakat.

“Program ini adalah merupakan satu kaedah yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengerakkan masyarakat bersama-sama membantu menangani penyakit demam denggi,” katanya.

Untuk menjayakan program terbabit katanya, seramai 14 orang Promoter atau sukarelawan telah dilatih dari dua buah rumah panjang ini bagi membantu pihak kesihatan melakukan pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Malah kesemua promoter berkenaan jelas Alexis juga berperanan dalam meyampaikan mesej berkaitan penyakit demam denggi kepada masyarakat menerusi perlaksanaan program berkenaan.

“Justeru pihak kita berharap agar Program COMBI ini akan dapat mempertingkatkan kesedaran masyarakat dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing terutama sekali dalam membasmi pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pelancongan Dan Warisan, Mong Dagang merangkap Menteri Muda Pertanian sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Murnihayati Ali.

Tamat.

Program Pendaftran Biometrik Pekerja Asing Sah bermula


SRI AMAN, Isnin (1 Ogos) – Jabatan Imigresen Malaysia Bahagian Sri Aman akan mengadakan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Sah bermula kelmarin (1 Ogos) hingga 14 Ogos (tidak termasuk hari Sabtu dan Ahad) kelak.

Program yang juga digelar 6P iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan, Pengusiran itu akan berlangsung di Pejabat Imigresen Bahagian Sri Aman, Jalan Kejatau.

Jurucakap program ketika dihubungi memberitahu Jabatan Imigresen Malaysia Bahagian Sri Aman akan mewujudkan tiga buah kumpulan bagi menjayakan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Sah berkenaan.

“Dua buah kumpulan bergerak (mobile unit) akan bergerak ke sekitar kawasan Bahagian Sri Aman / Betong manakala satu lagi kumpulan akan diletakkan dalam Pejabat Imigresen Malaysia di sini.

“Usaha ini akan membolehkan syarikat atau individu yang menggaji mana-mana warganegara asing (tidak termasuk pembantu rumah) mendaftarkan pekerja mereka dalam tempoh masa yang disebutkan itu,” menurut beliau.

Beliau turut menambah bahawa bagi syarikat yang menggaji ramai pekerja asing, pihak Jabatan Imigresen Bahagian Sri Aman boleh mendaftarkan pekerja mereka di premis atau lokasi majikan menerusi proses program itu.

Mereka juga menurut beliau dinasihatkan untuk menghubungi Ketua Imigresen Bahagian Sri Aman iaitu Asani bin Ladjani atau Ata’Asyraf bin Sedik di talian 083-322037 atau 083-322381 bagi tujuan itu.

“Program ini juga memberi kelonggaran kepada mana-mana pekerja asing yang telah tamat tempoh sah laku permit kerja (tidak lebih daripada tiga bulan) untuk mendaftar ketika program ini berlangsung,” katanya.

Tamat.

01 August, 2011

Part 2 - Sekitar Sambutan Pesta Ikan Buntal Betong 2011 29 - 30 Julai

Makcik buah : "Hai abang manis, abang tua, abang mata keranjang marilah beli buah buahan i di sini,"

Pakcik baju hijau : "Ada jual telur buaya tak? kalau takder, kepala landak pun jadilah,"

Pakcik baju hijau :"Erm...ini buah semua belakang aku jamban pun ada,"

Brader baju hitam : "Kak, beli sebiji dapat free 10 tak? layan lah,"

Pakcik baju biru : " ermmm nyamannya buang kentut di sini,"


Rosita, RTM Sri Aman sedang menikmati minuman buah durian yang diubahsuai menjadi buah kelapa condong

Joyah 1 : "Sreettttt pot pet pot pett... sreetttt pet pet,"

Joyah 2 :" yalah... srettt pot pot ketepot,"

Budak : "Kenapa di sini tidak pernah dilanda salji?"

Makcik : "Ok dik. harga buah limau semua sekali ialah RM20,"

Edwin, RTM Sri Aman : "Oh?? RM20? mahalnya? tadi saya beli karipap RM1 kasi 3 biji saja,"

Pakcik tua : "Dalam diam aku mencintai mu Milah,"

Brader baju jingga: "Yoyoyo wassup yooo ada awekss yoo... yoyoyo,"

Brader baju ungu : "Ya bro... banyak aweksss yo... yoyoyoyoyo wassup wassup,"

Brader baju biru : "Yoyoyoyo check it out yoyoyo ada pondan yo... layan broooo... wassup wassup wassup,"

SK Nanga Tebat meriahkan sambutan Bulan Membaca




Caption:

1. MINAT...Para murid SK Nanga Tebat sedang membelek pelbagai jenis bahan bacaan ketika berlangsungnya sambutan Bulan Membaca.

2. BANTU...Para guru SK Nanga Tebat sedang memantau aktiviti menulis yang dilakukan oleh para murid ketika berlangsungnya sambutan Bulan Membaca di situ.

LUBOK ANTU, Ahad (31 Julai) – Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tebat, Lubok Antu tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan sambutan Bulan Membaca yang berlangsung sepanjang bulan Julai lepas.

Ketua Panitia Bahasa Melayu sekolah terbabit, Jessica Nur Farhana berkata aktiviti ini diadakan selaras dengan ketetapan yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menjadikan bulan Julai sebagai bulan membaca.

“Unit Kokurikulum sekolah ini telah bergabung tenaga dengan Panitia Bahasa Malaysia, Panitia Bahasa Inggeris dan jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah bagi melaksanakan pelbagai aktiviti sempena sambutan Bulan Membaca ini.

“Objektifnya adalah bagi mendedahkan murid-murid terhadap aktiviti membaca disamping memantapkan lagi penguasaan mereka terhadap penggunaan bahasa dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Aktiviti Bulan Membaca ini kata Jessica telah dimulakan dengan majlis pelancaran Bulan Membaca Peringkat Sekolah pada 13 Julai yang lepas sebelum disusuli dengan pelbagai aktiviti.

Antaranya ialah sukaneka bahasa, pertandingan membaca bagi tahap 1, pertandingan bercerita bagi tahap 2, pertandingan tulisan cantik bagi tahap1, pertandingan menulis karangan berpandu bagi tahun 3, pertandingan menulis cerita pendek bagi tahap 2, pertandingan berpantun bagi tahap 1 dan pertandingan mendeklamasikan sajak bagi tahap 2.

“Pihak sekolah juga turut mengadakan aktiviti berorientasikan penggunaan Bahsa Inggeris seperti yang telah kita adakan menerusi pelbagai aktiviti pada minggu terakhir sambutan Bulan Membaca ini.

“Ianya dimulakan dengan Word Search Competition sambil diikuti dengan Reading Competition (untuk tahap 1 & 2) dan seterusnya diakhiri dengan pertandingan Spelling Bee,” katanya.

Justeru beliau berharap agar kesemua aktiviti terbabit dapat mempertingkatkan kesedaran dikalangan murid-murid tentang kepentingan membaca sebagai hobi dan teras perolehan ilmu selepas ini.

Tamat.

TBS cawangan Sri Aman sampaikan zakat fitrah


Caption: UNTUK ALBUM...Shamshul (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama penerima kelmarin.

SRI AMAN, Ahad (31 Julai) - Seramai 25 orang amil dari beberapa tempat Bahagian Sri Aman dan Betong telah menerima kupon resit Zakat Fitrah dan juga kad tauliah bersempena dengan sambutan Bulan Ramadhan yang bakal menjelang kelak.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Cawangan, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman iaitu Shamsul Bahri Manap di bilik mesyuarat TBS Sri Aman kelmarin.

Beliau ketika menyampaikan taklimat pada majlis itu memberitahu pentadbiran amil terbabit berperanan dalam pengendalian dokumen zakat fitrah dan peruntukan wang pendahuluan fakir miskin.

“Setakat ini TBS cawangan Sri Aman telah menerima sumbangan bukan sahaja dalam bentuk kewangan malah barang–barang keperluan asasi .

“Ini menunjukan bahawasa masyarakat Islam telah memberi kepercayaan kepada TBS untuk melaksanakan amanah mereka terhadap golongam masyarakat yang amat memerlukan bantuan dan sebagainya dari masa ke semasa,” katanya.

Justeru Shamsul menyeru kepada umat Islam agar turun padang bagi bersama-sama menggalas cita-cita dan misi TBS demi merealisasikan tanggungjawab badan amil berkenaan selepas ini.

Tamat.

Kukuhkan iltizam demi pembangunan negara - Razi



Caption: UNTUK ALBUM...RAZI (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Raja Air Pesta Ikan Buntal 2011 iaitu Bujang Senang Batang Saribas ketika berlangsungnya pesta itu kelmarin.


SPAOH, Ahad (31 Julai) – Rakyat kawasan Saribas diajak untuk terus memperkukuhkan komitmen serta iltizam bagi menghargai pengiktirafan yang telah diberikan oleh pemimpin negara dalam konsep 1 Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky Mohd Razi Sitam berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Pesta Ikan Buntal 2011 di Kampung Manggut, Spaoh, Betong kelmarin.

Katanya usaha terbabit adalah amat penting bagi melonjakkan pembangunan negara dari segala aspek khasnya bagi kawasan Saribas yang secara tidak langsung dapat memajukan hidup mereka selepas ini.

“Jangan biarkan orang luar memporak-porandakan kestabilan politik, keharmonian dan perpaduan hidup penduduk berbilang kaum di negara ini khasnya dikalangan penduduk kawasan Saribas.

“Justeru kita haruslah memberikan sokongan dan komiten terhadap usaha kerajaan dalam mengekploitasi sumber kekayaan negara demi kemajuan hidup penduduk pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu sambutan Pesta Ikan Buntal kali ini kata Razi secara tidak langsung akan dapat mempromosi keunikan budaya penduduk setempat di kawasan Saribas terhadap pengunjung luar selepas ini.

Ia sekaligus menurut beliau juga dapat memberi impak sosial terhadap penduduk setempat dengan kawasan Saribas menjadi salah satu destinasi kunjungan pengunjung yang popular di masa akan datang.

“Lagipun makanan santapan penduduk Saribas iaitu Ikan Buntal mampu dipromosi terhadap pengunjung yang ingin mengenali dan mengetahui potensi spesis ikan berkenaan dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu Razi menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM10,000 kepada jawatankuasa penganjuran Pesta Ikan Buntal Betong 2011.

Beliau juga turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada Raja Air Regatta Pesta Ikan Buntal 2011 iaitu Bujang Senang Batang Saribas, pasukan naib juara, Kilat Meletar Tedung Ngelantar dan pemenang tempat ketiga iaitu Sambang Buih Sakti.

Tamat.