Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 May, 2011

Budak selamat setelah diserang buaya di Sungai Peruan


SRI AMAN, Jumaat (28 Mei) – Tuah menyebelahi seorang remaja lelaki apabila beliau berjaya menyelamatkan diri daripada disambar buaya menerusi kejadian yang berlaku di sungai dalam kawasan Peruan pada waktu petang hari ini.

Sebelum berlakunya kejadian kata sumber, remaja berusia 14 tahun terbabit dipercayai turun ke sungai untuk memancing apabila seekor buaya tiba-tiba muncul menyerang mangsa tersebut.

“Mangsa yang terkejut dengan kemunculan buaya tersebut dari dalam kawasan sungai terbabit bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri daripada disambar reptilia ganas berkenaan.

“Setelah berjaya menyelamatkan diri, mangsa yang mengalami kecederaan ringan di bahagian paha dipercayai bergegas pulang ke rumah sebelum dia dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk menerima rawatan lanjut,” kata sumber.

Mangsa kemudiannya dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan keluar dari Hospital Bahagian Sri Aman selepas itu.

Ibubapa mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan di Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman berhubung kes serangan buaya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad ketika dihubungi hari ini telah mengesahkan kes serangan buaya berkenaan.

Tamat.

KPDNKK pantau SKH sempena Gawai di Sri Aman



Roslan, Boss KPDNKK Sri Aman : "Tauke, tengok sini. Di sini menyebut adalah salah menjual kaki unta,"
Tauke : "Ermmm.... tada salah ma... haiya,"

Boss KPDNKK Sri Aman : "Apa itu di dinding u tulis harga karipap?"
Tauke (baju biru) : "Haiya, ini gawai bukan jual daging saja maaa... haiya,"



Caption: SERIUS...Roslan (dua kiri) bersama kakitangan beliau, kesihatan dan majlis ketika memantau perlaksanaan SKH Gawai Dayak di Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (27 Mei) – Skim Kawalan Harga (SKH) sempena musim Perayaan Hari Gawai Dayak 2011 secara rasminya telah berkuatkuasa di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu mulai hari ini (27 Mei) hingga 2 Jun kelak.

Justeru Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari menasihatkan para peniaga untuk mematuhi peraturan yang terkandung di dalam SKH ini demi mengelakkan tindakan undang-undang dalam tempoh terbabit.

“PPDNKK Bahagian Sri Aman telah mengumumkan sejumlah 12 jenis barangan terkawal mengikut harga maksimum (syiling) runcit menerusi SKH sempena perayaan Gawai Dayak berkenaan.

“12 barangan kawalan ini ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua, daging lembu import, daging kerbau tempatan, daging kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging khinzir @ babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak ketika melancarkan kempen Skim Kawalan Harga di Bandar Sri Aman dengan kerjasama Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dan Pejabat Kesihatan Sri Aman pada pagi hari ini.

Selain itu katanya individu yang didapati bersalah boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946 atau boleh dikompaun sehingga RM7,500 manakala pertubuhan perbadanan jika bersalah boleh didenda maksimum sebanyak RM25,000 atau dikompaun sehingga RM12,500.

“Justeru peniaga perlu mematuhi undang-undang yang mewajibkan mereka untuk menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan perletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barang harga terkawal terbabit,” katanya.

Selain itu Roslan juga menasihat penduduk Sri Aman terutama sekali mereka yang bakal menyambut perayaan Hari Gawai Dayak pada tahun ini agar berjimat cermat ketika membeli barangan keperluan untuk tujuan sambutan perayaan berkenaan kelak.

Terdahulu Roslan bersama 16 orang pegawai dari PPDNKK Sri Aman, empat orang kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman dan seorang pegawai MDSA telah memulakan kempen berkenaan di Pasar Tamu Sri Aman serta beberapa buah premis perniagaan yang lain pada jam 9 pagi hari ini.

“Para pemilik lesen termasuk peniaga makanan dan penjual daging sejuk beku yang diperoleh daripada Majlis Daerah Sri Aman boleh dikenakan kompaun sekiranya mereka gagal memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 45 hari (setelah tempoh lesen) berkuatkuasa pada 1 Julai kelak,” katanya.

Tamat

AY17 versus Lariwoo 29 Mei ini. Jom layan



Caption: SEDIA!!! Pasukan AY17 akan turun menentang pasukan Lariwoo pada hari Ahad ini (29 Mei) bertempat di Padang Baru, Kompleks Sukan Sri Aman.

- 27 Mei

KAKI bola dari kawasan Sri Aman dijemput untuk hadir ke Kompleks Sukan (KPSU baru) Sri Aman pada 29 Mei ini bagi menyaksikan perlawanan persabahatan antara Pasukan AY17 dan Pasukan Lariwoo dari Kuching.

Pasukan AY17 akan menghadapi cabaran getir daripada pasukan Lariwoo yang dibarisi oleh bekas pemain skuad Sarawak era Ngap Sayop dan bekas pelatih Malaysia skuad Barcelona pada perlawanan yang akan bermula pada jam 4 petang itu.

Jurulatih AY17, Abang Yahya Abang Sulaiman ketika ditemui berkata perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk melatih para pemain yang sedang berentap dalam saingan Liga Bola Sepak Sri Aman 2011.

“Pasukan Lariwoo akan membariskan enam orang pemain berpengalaman antaranya ialah Daud Hamid (Ngap Sayot), Aedi Julaihi (Ngap Sayot / Semi Pro), Zaidel Sakup (Ngap Sayot / Semi Pro), Razak Ismail (Ngap Sayot), Louis Jakai (Semi Pro/ Barcelona), Hasnan Bakar (Sarawak / Malaysia era 80-an) dan beberapa pemain Liga Kuching.

“Pasukan AY17 akan membariskan beberapa orang pemain berpengalaman bagi memberi tentangan sengit terhadap cabaran pasukan lawan pada perlawanan itu nanti,” menurut beliau.

Antara pemain pasukan AY17 yang bakal dipertaruhkan pada perlawanan itu nanti ialah beliau sendiri, Awang Sebini Awang Sani, Iswandi Mohd, James @ Jeffry Hamdan, Mohd Furhan Mokthar, Abang Zulkarnain, Abang Zamzam, Iskandar, Ibrahim Deli, Awang Zai dan Mohd Dailep.

Justeru beliau berharap perlawanan menentang pasukan Lariwoo itu nanti akan dapat mempertingkatkan kemahiran para pemain pasukan AY17 dalam mengharungi saingan Liga Bola Sepak Sri Aman yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan Jun ini nanti.

Terdahulu pasukan AY17 kini sedang menduduki tangga kedua dalam carta Liga Bola Sepak Sri Aman 2011 setelah mencatatkan keputusan empat kali menang dan dua kali seri semenjak bermulanya saingan kejohanan terbabit pada bulan Mac lepas.

Tamat.

YB Hajah Nancy ketuai ekspedisi daki Gunung Ngeli, Simunjan




Caption:

1. UNTUK ALBUM...Hajah Nancy (berdiri tengah) bergambar kenangan bersama peserta ekspedisi Tapak Peninjau Gunung Ngeli, Simunjan.

2. INDAH...Kawasan Pekan Simunjan ketika ditinjau dari Tapak Peninjau, Gunung Ngeli.


SIMUNJAN, Jumaat (27 Mei) – Tapak “Peninjau” di Gunung Ngeli, Simunjan mampu menjadi pusat rekreasi yang menarik jika dinaiktaraf dengan sempurna pada masa akan datang

Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Hajah Shukri berkata demikian ketika mengetuai rombongan ekspedisi ke puncak Gunung Ngeli, Simunjan anjuran pihak Majlis Daerah Simunjan (MDS) baru-baru ini.

“Tapak Peninjau di Gunung Ngeli, Simunjan menawarkan pemandangan panorama yang indah dan strategik kepada mana-mana pencinta alam yang datang untuk menikmati keindahan alam semulajadi.

“Justeru atas sebab ini saya berharap agar Tapak Peninjau, Gunung Ngeli dapat dijadikan sebagai sebuah produk pelancongan bagi mempertingkatkan status eko pelancongan di Simunjan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MDS, Hajah Norhalimah Hajah Hamni ketika ditemui berkata pihak MDS juga akan membuat satu kajian yang terperinci untuk membangunkan kawasan Tapak Peninjau selepas ini.

Katanya pihak MDS akan bekerjasama dengan beberapa buah agensi yang lain untuk menjadikan Tapak Peninjau, Gunung Ngeli sebagai sebuah destinasi pelancongan yang paling utamka utama di Pekan Simunjan.

“Kawasan yang lebih dikenali sebagai “Peninjo” oleh penduduk tempatan di sini merupakan satu-satunya tempat yang sering dikunjungi oleh orang ramai pada hari hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya.

Seorang penduduk iaitu Abang Naim bin Abang Pauzi pula mencadangkan agar pihak MDS membina sebuah Menara Tinjau di tempat tersebut agar para pengunjung mampu menikmati keindahan pemandangan di persekitaran kawasan berkenaan.

Terdahulu seramai 200 orang kakitangan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli Majlis, ketua kaum dan ahli parti politik menyertai ekspedisi ke Tapak Peninjau, Gunung Ngeli bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang.

Tamat.

Pemuda PBB anjur gotong royong bersih Kampung Sebemban



Caption: DEMI KEBERSIHAN...Roslan (kanan) menyerahkan racun rumput kepada Ketua Kampung Sebemban iaitu Merawi Lepor ketika berlangsungnya majlis itu.

Abang Daud Abang Julhi

SARIBAS, Jumaat (27 Mei) - Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Sebemban telah mengadakan Program Gotong-Royong bertempat di Kampung Sebemban, Debak kelmarin.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB Ranting Sebemban, Encik Roslan berkata Program Gotong-Royong yang mendapat kerjasama daripada JKKK Kampung Sebemban itu bertujuan untuk mempertingkatkan taraf kesihatan penduduk di situ.

Menerusi program terbabit, kawasan persekitaran Kampung Sebemban menurut beliau telah dibersihkan dengan adanya aktiviti memotong rumput di kawasan jalan dan membersihkan longkang bagi mengalak kelancaran air.

“Program ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan kesedaran dikalangan penduduk Kampung Sebemban untuk membendung merebaknya wabak penyakit Chikungunya dan Aedes.

“Kesedaran ini amat penting memandangkan Kampung Sebemban terletak berdekatan kawasan sungai,” menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Belia Kampung Sebemban.

Justeru diharap agar penduduk Kampung Sebemban menjadikan aktiviti gotong-royong sebagai budaya tetap mereka selepas ini demi memelihara kebersihan kampung untuk sepanjang masa.

“Kami juga berharap agar pihak berwajib dapat membantu penduduk Kampung Sebemban untuk memperindahkan landskap kampung iaitu dengan menebas semak atau rumput lalang yang panjang sebanyak tiga kali setahun,” katanya.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Ricky @ Mohd Razi Sitam telah menyumbang barangan keperluan asas seperti racun rumput dan cangkul menerusi wakilnya iaitu Roslan kepada penduduk Kampung Sebemban bagi menjayakan program tersebut.

Tamat.

RM37 juta dilulus untuk buat jalan raya di Ulu Skrang



Caption: SELAMAT DATANG…..Dr Rayong (kanan) dan Nyalau (tengah) sedang diiringi oleh penduduk dan tetamu jemputan khas yang lain ketika tiba pada majlis berkenaan.


ENGKILILI, Jumaat (27 Mei) – Berita baik untuk penduduk Engkilili. Kerajaan Pusat sudah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM34 juta bagi tujuan pembinaan jalan raya ke Ulu Skrang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata projek jalan raya yang bakal dibina tidak lama lagi itu membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) komited memajukan hidup penduduk di kawasan luar bandar.

“Saya sudah dimaklumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas bahawa peruntukkan bagi membina jalan raya ke Ulu Skrang telah pun diluluskan.

“Ia sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan BN mengotakan janjinya untuk membangunkan hidup penduduk selama ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Gawai anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sedarat di Dewan sekolah itu baru-baru ini.

Selain itu Kerajaan BN kata Rayong juga akan berusaha keras untuk mengenalpasti sesuatu projek yang boleh dilaksanakan bagi mempertingkat taraf kehidupan penduduk di kampung mahupun rumah panjang.

Justeru beliau berharap agar penduduk luar bandar terus bersabar menanti projek pembangunan yang seterusnya daripada kerajaan selepas ini.

Majlis Pra Gawai anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sedarat itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Tamat…

Anggota polis dinasihat bertata tertib ketika guna kenderaan pasukan







Caption: UNTUK ALBUM...Ang (duduk tengah) sambil diapit oleh pegawai kanan IPD Sri Aman dan para peserta bergambar kenangan sebaik sahaja selesai majlis itu.


SRI AMAN, Khamis (26 Mei) – Anggota polis dinasihat agar mengamalkan sikap tata tertib dan berdisplin ketika menggunakan kenderaan pasukan selepas ini kata Ketua Bahagian Pengurusan Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman, ASP Ang Tuan Peck.

Nasihat ini ditujukan oleh beliau kepada peserta Kursus Pemanduan Kereta Pasukan Siri 9 / 2011 yang berlangsung di Pejabat Narkotik, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bermula dari 23 Mei lepas hingga hari ini.

Katanya sikap tata tertib dan berdisplin ketika menggunakan kenderaan pasukan akan dapat meningkatkan lagi imej pihak polis dikalangan orang awam ketika mereka melaksanakan tugas untuk sepanjang masa.

“Terkandung dalam sikap tata tertib ketika mengguna dan berada kenderaan pasukan ini ialah jangan merokok, memakai uniform yang lengkap dan tidak menggunakan telefon bimbit,” katanya selaku mewakili Ketua Polis Daerah Sri Aman ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus berkenaan hari ini.

Selain itu Ang juga menasihatkan para anggota untuk melaporkan dengan segera kepada pihak cawangan pengangkutan sekiranya kenderaan pasukan yang mereka guna terlibat dalam kemalangan kecil selepas ini.

Malah beliau juga menasihatkan para anggota untuk sentiasa mencatat log penggunaan kenderaan pasukan masing-masing demi memudahkan pihak pengurusan memantau perkara yang berkaitan dengan penggunaan kenderaan itu.

“Justeru saya berharap agar setiap peserta yang melibatkan diri dalam kursus ini untuk menfaatkan segala ilmu yang mereka peroleh mulai sekarang demi kebaikan pihak jabatan sepanjang masa,” katanya.

Terdahulu seramai 12 orang anggota polis dari IPD Sri Aman, Lubok Antu dan Betong mengambil bahagian dalam kursus yang dikendalikan oleh Sarjan Johnson Nanyot, Kopral Hemdan Amir, Kopral Davuid Sadar dan Lans Kopral Takok Saon dari Ibupejabat Kontinjen Polis Sarawak.

Mereka adalah Sub Inspektor Hassan Mawi, Sarjan Ahmad Ali, Sarjan Joshua Julius Intai, Kopral Henry Bada Embong, Kopral Wan Jahar Wan Omar, Kopral Ijun Lunsa, Kopral Azizan Wahab, Lans Kopral Lenter Halum Panjang, Lans Kopral Roslan Saharom, Lans Kopral Rajis bin Abdul Mohd dan Konstabel Khairul An Nasa.

Tamat.