Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 July, 2010

Sabar nikmati projek pembangunan - Harden


Caption: RASMI...Harden ketika menandatangani plak pada pintu gerbang baru yang menuju ke kampung berkenaan sempena program kebersihan terbabit.


SRI AMAN, Selasa (27 Julai) – Penduduk luar bandar harus bersabar jika mahu menikmati hasil faedah pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Penduduk luar bandar katanya perlu bersabar memandangkan kerajaan tidak boleh bertindak melaksanakan segala projek pembangunan secara sekaligus atau serentak di seluruh pelusuk kawasan negeri ini dalam satu masa.

“Projek pembangunan di setiap kawasan dalam negeri ini telah dilaksanakan secara berperingkat atau lebih tersusun dan atas sebab inilah terdapat kawasan tertentu yang belum menikmati hasil pembangunan secara menyeluruh.

“Kerajaan BN tidak mahu melaksanakan segala projek pembangunan untuk kebaikan penduduk secara ‘melepaskan batuk di tangga’ memandangkan kerajaan ingin memastikan agar setiap projek yang siap mampu membawa perubahan taraf hidup terhadap mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi 2010 anjuran Majlis Daerah Sri Aman bertempat Kampung Sri Wangi, Jalan Kejatau, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu katanya, terdapat sesetengah penduduk luar bandar berpendapat bahawa pihak kerajaan sentiasa mengutamakan projek pembangunan di dalam kawasan bandar berbanding dengan kawasan luar bandar.

Pendapat ini katanya ternyata tidak benar kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan agar penduduk yang menetap di kawasan dalam dan luar bandar sama-sama menikmati pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan semenjak dari dulu lagi.

“Penubuhan Bahagian Betong dan Mukah sahaja telah membuktikan bahawa kerajaan tidak mahu penduduk kawasan luar bandar ketinggalan dengan penduduk di kawasan bandar dalam menikmati pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan.

“Apa yang paling penting pada masa sekarang ialah penduduk tempatan terus menghulurkan sokongan mereka kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen BN di kawasan masing-masing,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Lubok Antu, Kanselor immy Chong dan pembantu kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Tamat….

Mansor menang motorsikal modenas dari e-peraduan



Caption: YAHUU...Razali (kanan) sedang menyampaikan hadiah kepada Mansor ketika berlangsungnya program berkenaan.


BETONG, Selasa (27 Julai) – Tuah menyebelahi Mansor bin Abon apabila berjaya memenangi hadiah utama berupa motorsikal berjenama Modenas menerusi acara e-peraduan yang berlangsung di kauter pameran sempena sambutan Program Senada Sejiwa Bahagian Betong 2010 kelmarin.

Mansor yang berjaya menjawab dan meneka dengan tepat setiap soalan yang diberikan dalam acara e-peraduan ini bagi membolehkan beliau membawa pulang hadiah sumbangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) terbabit.

Hadiah kedua menerusi acara e-peraduan pula menjadi milik Nancy anak Rimong yang telah berjaya membawa pulang hadiah berupa satu set televisyen LCD 34’ hasil sumbangan Hock Peng Realty Betong.

Manakala itu Ismail bin Mahrip pula berjaya memenangi hadiah tempat ke-3 berupa sebuah peti sejuk hasil sumbangan Betong Premix mmenerusi acara e-peraduan berkenaan.

Hadiah tempat ke-4 menerusi acara e-peraduan ini pula telah menjadi milik Tay Guan Kai yang membawa pulang sebuah mesih basuh hasil sumbangan syarikat Wazum Sendirian Berhad.

Mansor, Nancy, Ismail dan Tay adalah merupakan empat dari 647 orang penduduk yang mengambil bahagian dalam e-peraduan terbabit bagi merebut empat hadiah utama dan lain-lain hamper yang disediakan dalam program berkenaan.

Kesemua hadiah utama e-peraduan ini telah disampaikan oleh Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti, Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Dr Razali Abon yang seterusnya merasmikan Majlis Penutupan Program Sejiwa Senada Bahagian Betong 2010.

Terdahulu Program Senada Sejiwa yang bermula dari 23 hingga 25 Julai lalu turut menyaksikan Regatta Betong 2010 di Sungai Layar dan acara sukaneka yang menawarkan 20 jenis acara sukan.

Antara pemenang yang telah mengambil bahagian ialah JKKK Kampung Masjid Betong yang telah berjaya memenangi acara Kuit, Mengupas Buah Pinang, Lumba Dalam Guni(wanita) dan pangkah Gasing.

SMK Saint Augustine Betong pula telah berjaya memenangi acara Lumba Perahu Darat(terbuka), Sepak Takraw Bulatan, Lumba Dalam Guni manakala Kampung Baru Betong muncul pemenang Pertandingan Street Soccer.

Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Betong pula menerusi acara sukaneka berkenaan telah berjaya memenangi acara tarik Tali Kategori Lelaki dan Wanita serta Batak Lampong.

Tamat.

Galak anak sertai aktiviti sukan -Harden


Caption: RASMI...Harden sedang memalu gong sambil disaksikan oleh tetamu undangan khas ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (27 Julai) - Ibubapa berperanan penting dalam mengalakkan anak-anak untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan bagi menaikkan tahap disiplin dan prestasi akademik anak-anak di sekolah selepas ini.

Ini kerana aktiviti sukan menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis dapat menyumbang kepada tahap kecergasan tubuh badan dan otak anak masing-masing sepanjang masa.

“Selain daripada hobi, sukan dianggap sebagai salah satu bidang yang mendatangkan faedah memandangkan aktiviti seumpama itu mampu mempertingkatkan lagi daya kecergasan tubuh badan dan fungsi otak.

“Faktor kecergasan tubuh badan dan kelancaran fungsi otak ini seterusnya mampu memberikan kesan positif dari segi kecemerlangan akademik terutamanya terhadap anak-anak kita yang masih lagi menuntut di bangku sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Temasya Sukan Darat Antara Rumah 2010 Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu Harden juga menasihatkan semua penduduk untuk lebih proaktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti sukan utama seperti bolasepak, sepak takraw dan badminton selepas ini.

“Dengan berbuat demikian semua pihak secara tidak langsung akan membantu kerajaan dalam mencari bakal atlit yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara pada temasya sukan peringkat nasional atau antarabangsa di masa akan datang,” katanya.

Harden menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar bernilai RM10,000 kepada SK Nanga Klassen.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai, Guru Besar SK Nanga Klassen, Slyverster Embuas anak Dunggat, para ibubapa dan kakitangan sekolah berkenaan.

Tamat.....

Program Senam Rakyat tarik minat penduduk


MERIAH...Program Senam Rakyat Sri Aman 2010 yang berlangsung di Taman Panorama Benak, Tebing Taman Sungai Sri Aman nyata mendapat sambutan mengalakkan apabila seramai 400 orang kakitangan awam dan orang ramai mengambil bahagian dalam acara berkenaan pada hari Ahad lalu. Program yang bermula dari jam 7.30 pagi hingga 9.30 pagi itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis. Program terbabit bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai hal kesihatan dikalangan penjawat awam dan penduduk dalam bandar Sri Aman. Program itu dijayakan lagi dengan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas iaitu Dr Haji Wahbi Junaidi. - 27 Julai

26 July, 2010

Pemuda mati ditembak masa memburu di Lubok Antu

LUBOK ANTU, Isnin (26 Julai) – Seorang pemuda maut dipercayai terkena tembakan senjata api ketika sedang memburu bersama tiga orang rakannya dalam kawasan ladang kelapa sawit sekitar kawasan penempatan Sebangki Panjai, Lubok Antu sekitar jam 7 petang kelmarin.

Pemuda yang maut dalam kejadian ini dikenali sebagai Keneddy Banyan anak Labang, 23, dari Rumah Endawi Janting, Nanga Jela, Penempatan Semula Fasa II, Batang Ai, Lubok Antu.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP George Merejok ketika mengesahkan kejadian berkenaan memberitahu mangsa mati di tempat kejadian akibat satu tembakan yang mengenai dadanya.

Ekoran kejadian itu, bapa mangsa kata beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Lubok Antu malam tadi.

“Mangsa dikatakan pergi memburu bersama tiga lagi rakannya yang berusia dalam lingkungan umur antara 30 hingga 50 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di sini. Mangsa bersama tiga rakannya itu dipercayai berpecah kepada dua kumpulan ketika melakukan kegiatan memburu berkenaan.

``Satu das tembakan kedengaran secara tiba-tiba selepas itu. Rakan mangsa yang pemeriksaan setelah terdengar tembakan itu mendapati mangsa telah terkena tembakan di bahagian dada,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas bapa mangsa membuat laporan, sepasukan polis telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk membawa balik mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Katanya, polis turut menangkap tiga lelaki dan memohon perintah tahanan reman ke atas ketiga-tiga mereka di Mahkamah Majistret Sri Aman bagi membantu siasatan dan kes ini akan disiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

habis

Terap ciri identiti nasional pupuk perpaduan


Caption: MANFAATKAN...Harden (tengah) sedang menyampaikan cek kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh (dari kanan sekali) Majuan, Shamshuddin, Yusli, Penghulu Samad dan Alhias malam tadi.


SRI AMAN, Isnin (26 Julai) – Konsep pemasyarakatan perpaduan yang bertujuan untuk menerapkan ciri-ciri identiti nasional bagi membangunkan bangsa Malaysia berteraskan kepada dua unsur utama iaitu semangat persaudaraan dan kewarganegaraan yang tinggi.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata proses penerapan kedua-dua nilai ini dilakukan secara terancang serta tersusun dengan menggunakan segala jentera kemasyarakatan dan prasarana yang wujud seperti pendidikan, media massa, agama dan organisasi sosial masyarakat setempat.

“Seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020, matlamat utama pucuk pimpinan negara ialah untuk membentuk bangsa Malaysia yang bersatupadu walaupun matlamat ini bukan mudah dicapai.

“Ini kerana pemimpin perlu melihat banyak sensitiviti yang perlu dijaga seperti perasaan kewilayahan, perbezaan kepercayaan antara agama, budaya dan sebagainya,” menurut beliau ketika merasmikan Majlis Berambeh Bersama Menteri di Mini Stadium Sri Aman malam tadi.

Selain itu kerancakan proses pembangunan negeri kata Harden bergantung sepenuhnya kepada perpaduan yang wujud dikalangan masyarakat berbilang kaum dalam negeri ini dari masa ke semasa.

Tanpa ikatan perpaduan yang utuh, politik negeri kata beliau akan menjadi tidak stabil sehingga boleh menjurus kepada perpecahan di antara masyarakat berbilang yang seterusnya mengagalkan rancangan pembangunan selepas ini.

“Perlaksanaan projek pembangunan bergantung sepenuhnya kepada faktor ini. Justeru kerajaan berharap agar semua pihak turun padang bagi menjayakan usaha perpaduan berkenaan di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Sri Aman, Mohd Yusli Nasir, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Majuan Jeraie, pengerusi majlis, Alhias Haji Muhi, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu Harden menerusi majlis berkenaan menyampaikan cek yang mencatatkan nilai keseluruhan bernilai RM27,000 kepada sembilan buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Sri Aman.

Sembilan buah JKKK ini ialah JKKK Harmoni, JKKK Srijaya, JKKK Rancangan Perumahan Rakyat (RPR), JKKK RPR Fasa 2, JKKK Kampung Paya Utara, Kampung Zon Barat, Kampung Zon Selatan, Kampung Zon Timur dan Kampung Zon Tengah.

Majlis Berambeh Bersama Menteri diserikan lagi dengan Pertandingan Tandak Melayu, Pertandingan Karaoke Lagu Iban, Pertandingan Karaoke Lagu Melayu 60-an dan persembahan kebudayaan.

Tamat.

Kerjasama hapuskan aedes - Harden



Caption:

1. 1MALAYSIA...Harden (berdiri tengah kiri) sedang menunjukkan simbol 1Malaysia bersama para hadirin yang lain ketika berlangsungnya program itu.
2. RASMI...Harden sedang menyempurnakan simbolik penanaman pokok sambil disaksikan oleh hadirin yang lain ketika berlangsungnya program berkenaan.

SRI AMAN, Isnin (26 Julai) - Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menyeru kesemua agensi kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sekitar daerah ini agar menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dalam membendung pembiakan nyamuk Aedes.
Katanya, kesemua pihak perlu mempertingkatkan peranan masing-masing dalam membendung pembiakan nyamuk Aedes memandangkan spesis nyamuk terbabit amat berbahaya sebagai punca kepada penyakit Demam Denggi yang dihidap oleh manusia sehingga ke hari ini. 
Atas sebab berkenaan kata Harden, semua pihak yang terlibat perlu mengadakan pelbagai kempen kesedaran terhadap masyarakat termasuk mereka yang tinggal di kawasan kesedaran bagi membolehkan mereka membendung pembiakan spesis nyamuk berkenaan.
“Setiap agensi kerajaan, swasta, persatuan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan penting dalam bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Mereka perlu saling bekerjasama untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan kempen yang mampu menyedarkan golongan masyarakat terhadap bahaya penyakit yang mampu dibawa oleh nyamuk Aedes,” katanya.
Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kebersihan dan Anti Denggi 2010 anjuran Majlis Daerah Sri Aman bertempat Kampung Sri Wangi, Jalan Kejatau, Sri Aman baru-baru ini.
Selain itu beliau juga berharap agar semua pihak mempertingkatkan peranan diri masing-masing untuk membantu kerajaan memberi kesedaran terhadap orang ramai akan kepentingan menjaga tahap kebersihan di kawasan tempat tinggal masing-masing di masa yang akan datang.
"Menerusi Kempen seperti ini, kita berharap agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat agar sentiasa menjaga kebersihan sekeliling dan juga di dalam rumah,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Lubok Antu, Kanselor immy Chong dan pembantu kepada Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.
 
Tamat....