Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 July, 2010

SK San Semanju dapat blok baru RM12 juta


Caption: MESRA...Roselind (dua kanan) sedang beramah mesra dengan Rayong (tiga kiri) dan Abu Seman (dua kiri) sebelum berlangsungnya majlis berkenaan.

LUBOK ANTU, Jumaat ( 2 Julai) – Kerajaan kini sedang giat membina sebuah bangunan blok tiga tingkat yang baru yang bernilai RM12 juta untuk menampung keperluan pembelajaran murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) San Semanju, Lubok Antu.

Justeru itu Guru Besar SK San Semanju, Rosalind Emeline Dundang mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mengambil berat terhadap keperluan pembelajaran murid-murid di kawasan luar bandar selama ini.

“Bangunan blok tiga tingkat yang baru ini mula dibina di SK Semanju oleh pihak kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) pada awal Januari tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang awal tahun 2011.

“Apabila bangunan baru ini siap kelak ia akan dapat menampung kapasiti keperluan pembelajaran sejumlah 152 murid-murid SK San Semanju Lubok Antu menjelang tahun 2011 kelak,” katanya sambil menambah blok lama kelas murid-murid SK Semanju akan dirobohkan bagi tujuan pembinaan kemudahan sukan selepas itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak ketika berlangsungnya Majlis Ngiling Tikai 2010 bertempat di Dewan Sri Kenyalang, Sekolah Kebangsaan (SK) San Semanju, dalam kawasan Lubok Antu baru-baru ini.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa telah menyempurnakan Majlis Perasmian Majlis Ngiling Tikai 2010 sambil disaksikan oleh ADUN Jemoreng, iaitu Abu Seman Jahwie.

Rayong menerusi majlis terbabit telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Banar (MRP) bernilai RM3,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK San Semanju.

Hadir sama ialah Guru Besar SK San Semanju, Rosalind Emeline Dundang, Pengerusi PIBG SK San Semanju, Jala anak Patan dan wakil Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu Zainie Aji.

SK Semanju kini mempunyai seramai 70 murid harian, 82 orang murid asrama, 16 orang guru, 11 orang kakitangan awam dan lima orang kakitangan pengawal keselamatan serta kakitangan kebersihan.

Tamat.

01 July, 2010

Had murid kepada 25 orang satu kelas kalau UPSR dan PMR dimansuh



Caption:

1. RASMI...Gani (tengah) bersama Huo (kanan) bersama ahli STU yang lain ketika menyempurnakan upacara memotong kek sempena ulangtahun ke-45 penubuhan STU Sri Aman.

2. SERIUS...Gani ketika sedang berucap pada mesyuarat agung STU Bahagian Sri Aman baru-baru ini

SRI AMAN, Khamis (1 Julai) – Bilangan murid perlu dikurangkan kepada maksimum 25 orang untuk satu kelas jika Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mahu dimansuhkan serta pentaksiran berasaskan sekolah dijadikan sebagai ganti untuk tujuan berkenaan.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Gani Bina berkata langkah dianggap sebagai amat penting demi membolehkan para guru memberikan pentaksiran yang betul-betul sah dan boleh dipercayai selepas itu.

“Sistem pendidikan hendaklah ditentukan oleh para professional dan bukan atas kehendak kepentingan politik semata-mata,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan STU Bahagian Sri Aman di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang baru-baru ini.

Selain itu Sarawak menurut beliau masih memerlukan lebih ramai anak tempatan untuk dilatih menjadi guru bertauliah bagi mencetuskan mobilasi dikalangan anak-anak muda disamping menampung keperluan pembelajaran di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Oleh itu Gani mencadangkan agar kerajaan mewujudkan dua buah kampus Institusi Pendidikan Guru dalam negeri ini khususnya di Sri Aman dan Lawas bagi menampung keperluan latihan perguruan dikalangan anak muda tempatan selepas ini.

“STU tidak pernah berganjak daripada pendiriannya untuk menentang kemasukan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) ke dalam perkhidmatan pelajaran.

“Lagipun kita sedang berusaha ke arah pendidikan bertaraf dunia. Maka itu pendidikan haruslah diuruskan oleh para pakar dan individu yang mempunyai latarbelakang latihan ikhtisas dan bukannya PTD yang tidak pernah menjalani latihan perguruan sebelum itu,” katanya.

Gani juga menyatakan kesanggupan STU untuk menaja para ahlinya bagi menghadiri latihan professional tertentu demi membantu pihak jabatan untuk meningkatkan mutu penyampaiannya di masa akan datang.

“Dalam keadaan peruntukan kewangan yang amat terhad pada masa sekarang katanya, semua cawangan STU dalam negeri ini haruslah berusaha untuk membantu pihak jabatan berhubung isu mengikut kapasiti kemampuan masing-masing,” katanya.

Hadir sama pada mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Agung STU, Thomas Huo, Timalan Setiausaha Agung STU, Ong Kheng Syn, Pengerusi STU Bahagian Sri Aman, Jee Lian Fah dan ahli para STU Bahagian Sri Aman yang lain.

Terdahulu Gani menerusi mesyuarat berkenaan telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah galakan akademik kepada 23 orang anak ahli STU Bahagian Sri Aman yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun.

Setiausaha Agung STU, Thomas Huo juga turut telah menyampaikan watikah perlantikan kepada lapan orang wakil STU antaranya ialah Cynthia Tan, Jame Baya, Jerrio Tawan, Nancy Nabau, Marcus Linggie Francis Inin, Mary Kong, Lim Geok Hong dan Wilson Chai.

Antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah jurang gaji antara guru lepasan diploma dan ijazah, perumahan guru, ganjaran untuk guru siswazah yang mempunyai Sarjana, masalah sekolah kecil, elaun pedalaman dan percanggahan arahan pelbagai sektor / bahagian/ unit dalam KPM/JPN/PPD dalam hal tertentu.

Tamat.

500 hadiri Forum Perdana di Masjid Jamek Betong



Caption:

1. SERIUS...Ahli panel ketika sedang sibuk mengendalikan sesi forum perdana yang berlangsung di Masjid Jamek Betong.

2. FOKUS...Sebahagian daripada penduduk yang hadir bagi menonton forum perdana yang berlangsung di Masjid Jamek Betong.

BETONG, Khamis (1 Julai) – Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong telah menganjurkan Majlis Forum Perdana bertempat di perkarangan Masjid Jamek Betong malam kelmarin.

Penganjuran Forum Perdana bertajuk “Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah” ini telah mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Betong dan Lembaga Amanah Melayu Betong.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong, Abdul Rahman bin Ismail, ketika ditemui memberitahu forum ini merupakan salah satu program yang telah dirancang dalam takwim pengurusan Masjid Jamek Betong.

“Forum ini bertujuan untuk mengetengahkan nilai-nilai ajaran agama Islam kepada semua penduduk kampung khusus sekali penduduk Islam di kawasan Betong menerusi program berkenaan.

“Majlis Forum Perdana anjuran pihak kita nyata mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada penduduk kampung menerusi bantuan dan sokongan daripada pihak Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Betong dan Lembaga Amanah Melayu Betong,” katanya.

Terdahulu Pegawai dari Jabatan Agama Islam Sarawak Betong, Ustaz Affendi bin Ismail telah mempengerusikan forum berkenaan yang turut dihadiri sekitar 500 orang penduduk Kampung Melayu Betong dan sekitarnya bersama kakitangan kerajaan yang lain.

Forum perdana yang bermula selepas solat Isya’ telah dijayakan oleh dua orang panel jemputan khas iaitu Pegawai daripada jabatan Agama Islam Sarawak Sibu, Ustaz Haji Osman bin Haji Ibrahim dan Pegawai daripada Jabatan Agama Islam Sarawak Kuching, Ustaz Abang Burhanuddin bin Haji Abang Ahmad Masunie.

Kedua-dua mereka mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan majlis seumpama itu dan seringkali menjadi ahli panel jemputan dalam majlis keagamaan di sekitar negeri Sarawak. Forum perdana ini telah berakhir sekitar jam 10.30 malam itu.

Tamat.

Belajar cara orang Cina berniaga - Talib


Caption: UNTUK ALBUM...Talib (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama (dari kiri sekali) Isik, Richard, Lawson dan Romie pada majlis itu.

BETONG, Rabu (30 Jun) – Penduduk Bumiputera perlu mengamalkan budaya perniagaan penduduk kaum Cina sekiranya mahu berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Pelancongan, Datuk Haji Talib Zulpilip berkata budaya perniagaan kaum Cina telah menjadikan mereka berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawan sehingga menjana peningkatan ekonomi dalam negara ini.

“Orang Cina menjual harta atau benda yang mereka peroleh untuk mendapatkan modal bagi tujuan perniagaan mereka. Keuntungan yang mereka peroleh kemudiannya dijana sehingga perniagaan mereka berkembang dengan begitu baik selepas itu.

“Bagaimanapun orang Bumiputera mengagih-agihkan hasil daripada harta yang mereka peroleh dikalangan saudara atau rakan masing-masing. Faktor ini menyebabkan mereka ketiadaan modal untuk menjalankan perniagaan,” menurut beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Motivasi dan Asas Keusahawanan di Rumah Rehat Kerajaan Betong hari ini.

Selain itu Talib juga mahu lebih ramai golongan penduduk Bumiputera untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawan bagi memacu pembangunan ekonomi negara khas di Sarawak selepas ini.

“Semakin ramai usahawan maka adalah lebih baik. Justeru pembangunan ekonomi negara bergantung sepenuhnya daripada penglibatan golongan ini dalam bidang keusahawanan di negara kita pada masa akan datang.

“Lihat sahaja negara Amerika Syarikat yang mempunyai ramai golongan usahawan dari pelbagai rumpun etnik. Mereka muncul sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia disebabkan oleh salah satu faktor ini,” katanya.

Terdahulu seramai 35 orang penduduk mengambil bahagian Kursus Motivasi dan Asas Keusahawanan yang berlangsung selama dua hari di Rumah Rehat Kerajaan Betong semenjak hari Isnin lalu.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Isik Utau dan Setiausaha Sulit kepada Dato Sri Douglas Uggah Embas aitu Dr Richard Rapu.

Orang Engkilili sokong kepimpinan Rayong - Seman


Caption: SELAMAT DATANG YB...Seorang kakitangan sekolah sedang menyematkan bunga di baji Seman sambil disaksikan oleh Rayong (kanan beliau) sebaik sahaja tiba pada majlis berkenaan.

LUBOK ANTU, Rabu (30 Jun) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Abu Seman Jahwie menyatakan sokongannya terhadap kepimpinan Dr Johnnical Rayong anak Ngipa selaku ADUN kawasan Engkilili.

Katanya kebolehan Rayong dalam meneraju pembangunan di kawasan DUN Engkilili selama ini nyata amat disenangi oleh penduduk di situ menerusi sokongan yang dinyatakan oleh mereka di media cetak selama ini.

“Penduduk di kawasan DUN Engkilili nyata amat menyukai beliau (Rayong). Kebolehan beliau dalam memimpin dan meneraju pembangunan hidup penduduk disini menjadi faktor utama sebab saya menyokong kepimpinan beliau.

“Justeru saya berharap agar Rayong terus disokong oleh semua penduduk di sini kerana dia adalah seorang wakil rakyat yang mesra penduduk dan rajin dalam membangunkan hidup penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Majlis Ngiling Tikai 2010 bertempat di Dewan Sri Kenyalang, Sekolah Kebangsaan (SK) San Semanju, dalam kawasan Lubok Antu hari ini.

Sementara itu Seman juga menasihatkan semua penduduk kawasan Engkilili untuk terus menyokong kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi kesinambungan pembangunan hidup mereka selepas ini.

Kata beliau hanya BN sahaja yang mampu memperjuangkan kebajikan hidup penduduk dengan menyalurkan pelbagai jenis bantuan dan peruntukan pembangunan di kawasan penempatan mereka selama ini.

“Oleh itu saya berharap agar penduduk menyokong penuh Dasar Politik Pembangunan yang diilhamkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dari masa ke semasa,” katanya.

Rayong yang telah merasmikan majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan peruntukan Projek Kecil Luar Banar (MRP) bernilai RM3,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK San Semanju.

Hadir sama ialah Guru Besar SK San Semanju, Rosalind Emeline Dundang, Pengerusi PIBG SK San Semanju, Jala anak Patan dan wakil kepada Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu Zainie Aji.

Tamat.

Kerjasama jayakan projek RES - Rayong


Caption: UNTUK ALBUM...Rayong (tengah) bersama Seman (kiri beliau) ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama kakitangan sekolah dan tetamu undangan khas pada majlis itu.


LUBOK ANTU, Rabu (30 Jun) – Penyediaan projek kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili amat memerlukan kerjasama daripada semua penduduk di situ mulai sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata wujud beberapa pihak yang bertindak menghasut penduduk untuk mengagalkan usaha kerajaan bagi melaksanakan projek penyediaan RES di kawasan masing-masing sebelum ini.

“RES dilaksanakan atas tanah milik penduduk. Jadi apabila pihak ini menghasut penduduk untuk tidak membenarkan kerajaan menyediakan kemudahan di sebahagian kawasan tanah mereka maka projek ini akan tergendala.

“Projek RES di Engkilili misalannya adalah hasil usaha saya bersama Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak. Jika penduduk mengagalkan rancangan ini maka usaha saya dan beliau untuk membangunkan hidup penduduk Engkilili akan menjadi sia-sia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Tikai 2010 bertempat di Dewan Sri Kenyalang, Sekolah Kebangsaan (SK) San Semanju, dalam kawasan Lubok Antu hari ini.

Selain itu Rayong juga mahu penduduk di kawasan Engkilili untuk terus menyokong segala projek pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan kepada mereka mulai masa hadapan.

“Barisan Nasional (BN) sentiasa mengutamakan pembangunan itu penduduk. Sebab itulah penduduk perlu memberi kerjasama kepada kerajaan untuk menaiktaraf hidup mereka selepas ini.

“Pihak yang menghasut penduduk sememangnya hidup senang apabila pulang ke rumah. Adakah mereka memikirkan kesusahan hidup penduduk yang belum menerima pembangunan kerajaan? Justeru penduduk harus bijak memikirkan perkara tersebut selepas ini,” katanya.

Rayong menerusi majlis terbabit telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Banar (MRP) bernilai RM3,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK San Semanju.

Hadir sama ialah ADUN Jemoreng, Abu Seman Jahwie, Guru Besar SK San Semanju, Rosalind Emeline Dundang, Pengerusi PIBG SK San Semanju, Jala anak Patan dan wakil Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu Zainie Aji.

Tamat.

Pejabat Residen Betong amal 5S


BERSIH DAN INDAH...Ruang legar utama Pejabat Residen Bahagian Betong kelihatan bersih dan cantik sejajar dengan perlaksanaan amalan 5S iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amalkan di negara ini. Amalan 5S yang telah diamalkan oleh penduduk Jepun bertujuan untuk meningkatkan produktiviti kerja dikalangan kakitangan kerajaan dan swasta dalam negara ini. Tindakan Pejabat Residen Bahagian Betong untuk mengamalkan 5S harus dijadikan teladan bagi mana-mana agensi atau pejabat yang belum mengamalkan amalan 5S berkenaan. - 1 Julai