Caption: SIBUK...Uggah (tiga kanan) bersama Robert (kiri beliau) ketika berlangsungnya mesyuarat perwakilan PBB cawangan N.28 Engkilili kelmarin.
ENGKILILI, Sabtu (3 Okt) – Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dinasihat agar mengenepikan sikap negatif dalam diri lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya mesyuarat perwakilan parti ini diperingkat cawangan sekarang.
Perkara ini dibangkitkan oleh Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Douglas Uggah anak Embas berhubung perlantikan beliau sebagai Pengerusi PBB bagi cawangan N.28 Engkilili.
“Jika ahli PBB di sini (Engkilili) merasakan PBB cawangan Betong terlalu ‘amuk’ (tamak) maka saya rela menarik diri dari dilantik untuk memegang jawatan ini bagi memberi laluan kepada perlantikan anak tempatan kawasan Engkilili bagi memegang jawatan terbabit.
“Bagaimanapun ahli PBB di sini nampaknya menyuarakan sokongan penuh terhadap perlantikan saya sebagai Ketua PBB cawangan Engkilili...justeru saya berasa amat gembira kerana tidak wujud sikap negatif itu dalam diri mereka berhubung perkara ini,” kata Ahli Parlimen Betong berkenaan.
Uggah yang sebelum ini pernah dilantik menjadi Ketua PBB cawangan Kakus berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB cawangan N.28 Engkilili di Dewan Serbaguna Engkilili lewat petang kelmarin.
Selain itu beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menasihatkan semua ahli PBB untuk sama-sama memperkukuhkan kedudukan PBB sebagai tulang belakang Kerajaan Negeri sekarang.
Peristiwa kekalahan parti politik paling berkuasa dalam kabinet kerajaan Jepun sebelum ini menurut Uggah harus dijadikan sebagai contoh bagaimana kekuatan sesebuah parti boleh runtuh sekiranya tidak wujud semangat kerjasama dan sefahaman dalam diri ahli.
“Pokok yang kuat boleh tumbang sekiranya asas pokok itu tidak kukuh. Atas sebab ini saya mahu semua ahli PBB bersatu hati dan bekerja keras untuk memperkuatkan parti dari masa ke semasa,” katanya.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat dan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Richard Tawan anak Sedu.
Uggah dalam mesyuarat itu dilantik sebagai Ketua PBB cawangan N.28 Engkilili bagi penggal 2009 / 2012 manakala mantan pengerusinya Richard Tawan Sedu pula dilantik sebagai timbalannya.
Manakala itu Tuai Rumah Ngumbang anak Linang telah dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB cawangan N.28 Engkilili bagi penggal 2009 / 2012 mengantikan Edwin Anceh dan Siti Nuraini Abdullah pula masih mengekalkan jawatanya sebagai Ketua Pergerakan Wanita PBB cawangan N.28 Engkilili pada mesyuarat itu.
Tamat.
Feel free to visit my news blog here also: newsriamannews.blogpsot.com
Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman
02 October, 2009
Singkir sikap negatif - Uggah
Sa'ati perjuangkan hidup rakyat - Harden
Caption: RASMI...Harden (tengah) bersama Dr Soon (kiri beliau) dan David Teng (tiga kanan) bersama tetamu undangan khas yang lain ketika menyempurnakan upacara simbolik dengan memotong kek majlis malam tadi.KPD Sri Aman anjur rumah terbuka raya
Caption: UNTUK ALBUM...Mat Jusoh (kanan) sekali ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Mong (tiga kanan) dan rombongan ketika berlangsungnya majlis hari ini.
SRI AMAN, Sabtu (3 Okt) – Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitenden Police (DSP) Mat Jusoh Muhammad bersama keluarga telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka 2009 bertempat di kediamannya hari ini.
Beliau bersama isteri, Rohani binti Isnawi telah mengadakan majlis rumah terbuka bermula seawal jam 10 pagi hari ini sambil menjamu para hadirin dengan pelbagai juadah kuih, nasi dan mee yang menarik.
Pada permulaan majlis rumah terbuka ini, para ketua masyarakat Cina termasuk Temenggong Tan Chong Meng dan Pemanca Sii Toh Peng telah mengunjungi beliau dan keluarga.
Turut menyerikan suasana majlis rumah terbuka itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang dan rombongan yang hadir pada jam 10.40 pagi.
Kemudiaan, majlis rumah terbuka beliau ini mula dihadiri oleh ramai golongan penduduk termasuk para orang awam, ahli perniagaan, kakitangan kerajaan, pesara dan para pegawai kanan polis serta anggota lain-lain pangkat dari Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman.
Mat Jusoh ketika ditemui pemberita hari ini menjelaskan bahawa tujuan utama majlis rumah terbuka ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim di antara ketua polis dengan para anggota dan lain-lain golongan penduduk dari bandar Sri Aman ini.
“Majlis rumah terbuka ini dilakukan secara persendirian oleh saya dan isteri dengan bantuan sanak saudara saya yang lain demi memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini.
“Syukur alhamdullilah kerana majlis rumah terbuka ini mendapat sambutan yang amat mengalakkan dari golongan penduduk sekitar bandar Sri Aman dan seterusnya membuka peluang untuk mereka beramah mesra di antara satu sama yang lain,” katanya.
Majlis rumah terbuka ini juga menurut beliau secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara pihak polis dan penduduk dalam mengekalkan tahap keselamatan dan keamanan di bandar Sri Aman.
Justeru beliau bersama keluarganya dapat mengadakan majlis rumah terbuka menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri di tahun yang akan datang demi mengeratkan lagi hubungan perpaduan diantara pihak polis dan penduduk.
Majlis rumah terbuka bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan oleh Mat Jusoh dan keluarga berakhir pada jam 2 petang hari ini.
Tamat.
01 October, 2009
Penduduk Merindun pula bantah PKR
Caption: BANTAH (Dari kiri hadapan) Tr Ta, Tr Melintang, Tr Sintan, Tr Sibat dan Tr Bandang bersama dengan para penyokong Barisan Nasional (BN) mempamerkan sepanduk BN sebagai simbolik menolak kehadiran PKR di kawasan mereka.
ENGKILILI, Jumaat (2 Okt) – “Jangan datang ke rumah panjang kami,” demikian peringatan yang disampaikan oleh lapan orang Tuai Rumah dari perkampungan rumah panjang di kawasan Skim Kelapa Sawit, Merindun, Engkilili terhadap pihak Parti KeAdilan Rakyat (PKR) kelmarin.
Lapan orang tuai rumah yang mewakili anak buah masing-masing bagi menyatakan peringatan terbabit ialah Tr Sintan, Tr Melintang, Tr Ta, Tr Sibat, Tr Bandang, Tr Kawi, Tr Awing dan Tr Junting.
“PKR tidak diperlukan oleh penduduk di sini (Merindun). Justeru kami tidak berminat menerima kehadiran anda (PKR) yang berniat untuk bertemu atau mengadakan mesyuarat bersama penduduk di sini,” kata mereka ketika ditemui pemberita.
Kelapan-lapan ketua kaum itu memberi amaran kepada PKR agar tidak berkunjung ke rumah panjang memandangkan perjuangan parti pembangkang berkenaan tidak diperlukan oleh mereka.
Malahan mereka juga bersepakat untuk tidak akan melayan kehadiran pemimpin PKR sekiranya parti yang berpusat di Semenanjung Malaysia itu berminat untuk mengadakan mesyuarat mahupun berceramah di rumah panjang mereka kelak.
“Kami berasa kecewa apabila mendapat tahu bahawa rombongan PKR yang diketuai oleh Ahli Parlimen Ampang merangkap Ketua Pergerakan Wanita PKR iaitu Hajah Zuraida Kamaruddin mengadakan mesyuarat di rumah Irak, Merindun pada 26 September lalu.
“Hal itu seolah-olah menyatakan bahawa semua penduduk dalam kawasan Merindun menyokong PKR walaupun pada zahirnya tidak dan justeru atas sebab ini kami sepakat untuk menolak kehadiran PKR selepas ini,” kata mereka lagi.
Terdahulu hasrat pihak rombongan PKR yang diketuai oleh Hajah Zuraidi untuk mengadakan mesyuarat di Enteban, Skrang pada 28 September lalu telah terbantut apabila penduduk di situ enggan menerima kehadiran mereka.
Walaupun mereka berjaya mengadakan mesyuarat di Rumah Irak, Merindu sehari sebelum namun kehadiran mereka tidak mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk di rumah panjang itu sendiri.
Tamat….
Snowdan mahu turun padang ke Spaoh bantu keluarga miskin
SRI AMAN, Jumaat (2 Okt) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan akan turun padang ke Kampung Spaoh, Bara dalam masa terdekat ini untuk membantu keluarga Mokthar bin Abdullah yang dilanda masalah kemiskinan sebelum ini.
Kisah kemiskinan keluarga Iban muslim dari Kampung Spaoh Bara, Simunjan berkenaan telah dipaparkan menerusi akhbar ini pada 24 September lalu ketika penduduk Iban muslim merayakan sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula 20 September lalu.
“Saya telah bertindak menghantar satu rombongan pemantau ke Kampung Spaoh Bara berkenaan untuk mengenalpasti masalah kemiskinan keluarga Mokthar Abdullah selepas tiga hari kisah mereka disiarkan dalam akhbar.
“Setelah masalah kemiskinan keluarga itu disahkan oleh rombongan terbabit maka saya dalam tempoh terdekat ini akan turun padang ke rumah keluarga miskin berkenaan untuk melihat sendiri masalah mereka dan seterusnya memberi bantuan yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Antara bantuan yang bakal diberikan oleh Snowdan kepada keluarga terbabit dalam masa terdekat ini nanti ialah barangan berupa makanan dan keperluan sekolah demi meringankan bebanan mereka selepas ini.
Malahan beliau juga akan membantu keluarga miskin berkenaan untuk mendapatkan sebuah rumah kediaman yang baru dengan memohon bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Sememangnya menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk membantu mana-mana rakyat yang dilanda masalah kebajikan seumpama itu. Keluarga Mokthar akan saya bantu berhubung masalah ini,” menurutnya.
Terdahulu Mokthar, 43, terpaksa menyara hidup lima orang anak iaitu Helmy, 18, Flora, 16, Ira Fanzira, 14, Florina, 12 dan Khairul Faizal, 10 dengan bertani dan mengambil upah sebagai buruh sambilan.
Beliau yang telah ditinggalkan oleh isteri semenjak enam bulan lalu kini masih tinggal di rumah usang bersama anak-anaknya dan tidak dapat menikmati kemeriahan menyambut raya disebabkan oleh masalah kemiskinan tersebut.
Tamat.
Maxwell Saran bakal tampilkan album baru


Caption: BAKAL HIT...Maxwel bakal menemui peminat menerusi album barunya pada penghujung tahun ini.
- 1 Oktober
Penyanyi sensasi Sarawak iaitu Maxwell Franklin Saran bakal tampil dengan album solo ke-7 yang dijangka akan berada di pasaran seluruh negeri Sarawak menjelang hujung tahun ini.
Beliau yang juga lebih dikenali sebagai Bujang Sarawak ketika ditemui berkata album solo baru beliau kali ke-7 ini nanti akan diberi judul Selindang Mayang ‘Pesaka Nyawa’.
“Terdapat 10 buah lagu dalam album ini antaranya ialah Selindang Mayang ‘Pesaka Nyawa’, Lang Ngidang Nabur Menua, Daun Lipat Semakau Jawa, A,Ha hai!!!, Sarawak ‘Satu Malaysia’, Jelina, Indu Pemudi, Pendiau Pengidup Aku, Masam-Masam Manis dan Tincing Pinang Di Tikal Pulai.
“Kesemua lirik dan tiun dalam 10 buah lagu ini mendapat sentuhan saya sendiri, Jennarino Jeraki, Dicky Jaya, Angki Ban, Andrew Bonny James, Abdul Hadi Razali dan Pelahin Pasak,” katanya sambil menambah bahawa elemen muzik Joget dan Dangdut akan digunakan dalam album baru ini kelak.
Bagaimanapun album Selindang Mayang ‘Pesaka Nyawa’ ini nanti katanya menampilkan satu kelainan menerusi lagu berentak Balada iaitu Pendiau Pengidup Aku yang pernah dipopularkan oleh Andrew Bonny James sebelum ini.
“Muzik dalam lagu ini sedang diadun oleh Jennarino Jeraki dan Naen Legacy. Justeru diharap agar peminat lagu Iban tempatan membeli album yang tulen dan bukannya cetak rompak demi menyelamatkan industri lagu kita,” menurut beliau.
Terdahulu artis rakaman yang bernaung di bawah syarikat Golden Pearl ini pernah tampil menerusi enam buah album solo bermula dari tahun 2000 iaitu Bujang Sarawak, Assapai, Garuda Lambung, Bujang Happy dan Sayang Labuan.
Anak jati kelahiran daerah kecil Lingga, Sri Aman itu kini juga bekerja sebagai wartawan akhbar Buletin Kenyalang disamping berkhidmat sebagai juruhebah bagi stesen Cats FM Kuching dengan menggunakan nama samaran ‘Ijau Betugau Mayuh Rambang, Jawai Mensagai Kumang’.
Dari segi pengalaman Maxwell pernah memenangi tempat ke-3 Pertandingan Bintang Asli Remaja peringkat Negeri Sarawak 1999, Persembahan terbaik Anugerah Juara Rentak Ruai Cats Fm 2004, finalis Anugerah Juara Lagu Tebilang Iban Miri Fm dan Anugerah DAMA (Dayak Music Awards ) untuk anugerah Lagu Patriotik Terbaik 2008.
“Saya akan tampil dengan imej berambut pendek dalam album baru ini nanti,” katanya yang kini masih menampilkan imej berambut panjang semenjak kemunculan album Sayang Labuan dahulu.
Tamat.
Tanda arah di pantu perlu dipacak segera

PERLU DIPERBAIKI...Tanda arah jalan dipersimpangan jalan masuk menuju ke Pekan Pantu, Sri Aman yang kelihatan hampir tumbang perlu dipacak segera oleh pihak berkuasa tempatan demi memudahkan pengguna kenderaan melihat arah jalan pada waktu malam selepas ini. Sumber memberitahu Utusan Sarawak bahawa tanda jalan berkenaan hampir tumbang setelah dirempuh oleh seorang lelaki dengan menggunakan motorsikal lebih sebulan yang lalu. Lelaki berkenaan bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan tersebut.