Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 February, 2012

Blog baru UTusan Sarawak Sri Aman

Alohaaa.

Rakan -rakan boleh memasuki blog baru Utusan Sarawak cawangan Sri Aman yang baru iaitu:

www.newsriamannews.blogspot.com.

Terima kasih kepada semua rakan yang menyokong kami selama ini. Ya be da be du.

08 February, 2012

Photo exceed dan cadangan blog baru Sri Aman News

Hi rakan-rakan, sorry sebab lama tak update blog berita ini. Ini kerana masalah line internet dan maksimum photo upload dalam blog ini. Penulis sedang consider untuk buka blog baru; blog kesinambungan blog ini. Hahaha.

06 February, 2012

YB Mong tinjau 4 keluarga miskin di Entulang Jalai, Sri Aman


Caption: PRIHATIN...Mong (tengah) bersama rombongan ketika bergambar kenangan bersama keluarga miskin di Entulang Jalai, Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Isnin (6 Feb) - Masalah kekurangan kemudahan asas dan perhubungan yang dihadapi oleh empat buah keluarga miskin dari kampung Entulang Jalai, Sri Aman telah mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.

Ia terbukti apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan merangkap Menteri Muda Permodenan Pertanian iaitu Datuk Mong Dagang melakukan lawatan ke kediaman keluarga miskin tersebut pada hari ini.

Disebabkan ketiadaan kemudahan jalan raya, Mong bersama rombongannya telah berjalan kaki dengan meredah kawasan kebun getah selama 10 minit demi menemui keluarga miskin berkenaan.

Hasil tinjauan beliau mendapati bahawa empat buah keluarga yang terdiri 20 orang penduduk ini juga masih belum mengecapi kemudahan elektrik disamping tinggal dalam rumah yang sudah usang.

“Mereka terdiri daripada orang berkeupayaan dan Warga Emas. Ketiadaan elektrik dan jalan raya menyebabkan kesemua empat buah keluarga tersebut hidup dalam keadaan daif hingga sekarang.

“Atas sebab ini saya akan meminta pihak Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi perhatian serius terhadap nasib keluarga miskin itu dengan memperbaiki rumah mereka selepas ini,” katanya kepada pemberita.

Selain itu Mong juga berharap agar kemudahan jalan raya dapat dibina menuju ke rumah keluarga berkenaan memandangkan golongan Warga Emas berdepan dengan masalah ketika merentasi kebun getah untuk kawasan jalan raya utama.

Justeru beliau akan terus mengikuti perkembangan tindakan bantuan agensi kerajaan khasnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam membantu mengurangkan masalah empat buah keluarga tersebut dari masa ke semasa.

Terdahulu Mong menerusi sesi lawatan berkenaan telah menyerahkan wang bantuan bernilai RM4,000 bagi tujuan pembelian enjin janakuasa elektrik yang akan dikongsi bersama oleh empat buah keluarga tersebut.

Tamat.


Gerai jualan beraneka di Sri Aman meriah

Caption: TUMPUAN... Aktiviti gerai jualan beraneka di Stesen Bas Sri Aman jadi tumpuan penduduk semenjak ia bermula pada hari Jumaat lepas.

SRI AMAN, Isnin (6 Feb) – Aktiviti gerai jualan beraneka yang berlangsung di kawasan perkarangan Stesen Bas Sri Aman nyata berlangsung dengan penuh meriah semenjak ia bermula pada hari Jumaat lepas.

Aktiviti gerai jualan beraneka yang diusahakan oleh Kesatuan Soon Heng Simanggang ini diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan perayaan Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman 2012.

“Aktiviti gerai jualan beraneka akan tamat menjelang malam ini (6 Februari). Ia merupakan salah satu aktiviti yang kita adakan bagi menyerikan suasana sambutan perayaan Cap Goh Mei peringkat Bahagian Sri Aman bermula  30 Januari lepas.

“Dengan adanya aktiviti seumpama ini pihak Kesatuan Soon Heng Simanggang yakin akan dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyatu-padukan penduduk berbilang kaum dalam Bandar Sri Aman,” kata jurucakap penganjur.

Dianggarkan lebih daripada 5,000 orang penduduk membanjiri kawasan Stesen Bas Sri Aman untuk meninjau dan membeli pelbagai produk menarik yang ditawarkan pada aktiviti gerai jualan beraneka berkenaan sehingga berita ini ditulis.

Antara produk yang ditawarkan kepada penduduk menerusi aktiviti gerai jualan beraneka ini adalah pakaian, hasil kraftangan, aksesori berupa jam, perkakasan elektronik, kerusi, ubat-ubatan, buku bacaan dan banyak lagi.

Terdahulu sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Bahagian Sri Aman 2012 telah diserikan lagi dengan Majlis Sambutan Rumah Terbuka dan Malam Kesenian Dan Kebudayaan Cap Goh Mei pada 30 Januari lepas.

Kemuncak sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Bahagian Sri Aman 2012 ini ialah acara Perarakan Cap Goh Mei, Pertandingan Kereta Berhias dan juga Pertandingan Tanglung pada penutup majlis ini (6 Februari).


Tamat.

Masalah air di Pusa, Betong akan diselesai - Rohani

PUSA, Isnin (6 Feb) – Masalah tekanan air rendah dan kekurangan bekalan air bersih telah dikenalpasti sebagai masalah utama penduduk dari beberapa buah kampung di kawasan Pusa, Betong pada masa sekarang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata keadaan ini akan menjadi lebih rumit ketika berlangsungnya musim kemarau mahupun pada hari-hari perayaan.

“Jumlah penduduk di kawasan Pusa yang semakin meningkat menyebabkan penggunaan air kian bertambah dengan bekalan air paip yang sedia ada sekarang tidak dapat menampung keperluan mereka.

“Atas sebab ini kerajaan telah melaksanakan projek pembinaan takungan air baru dan menaiktaraf sistem bekalan air di kawasan tersebut bagi mengurangkan bebanan mereka selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar telah menyuarakan harapan ini ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan kerja ke Kampung Seberang, dalam daerah kecil Pusa, Betong kelmarin.

Rohani turut memberitahu bahawa projek benilai RM39 juta itu telah pun bermula tahun lepas dengan kerja pemasangan paip utama dari Saratok ke Pusa masih giat dijalankan pada masa sekarang.

”Walaubagaimanapun pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) masih lagi mencari punca air untuk sistem takungan baru yang tidak tercemar dengan bekalan air takungan itu mencukupi untuk diproses,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa selain dua komponen utama terbabit, projek berkenaan juga turut melibatkan usaha naiktaraf sistem paip di Kampung Beladin, Kampung Kalok, Kampung Seberang Pusa, Kampung Tambak, Sepinang dan Semarang.

Justeru Rohani berharap agar projek berkenaan akan dapat dilaksanakan dengan penuh lancar dan dijangka siap pada tahun 2013 bagi memberi keselesaan kepada 50,000 orang penduduk di Pusa selepas ini.

Tamat.

Tiada kawasan yang tercicir dari pembangunan - Nyalau

Caption: GEMBIRA…..Nyalau (tengah) bergambar bersama Tuai-Tuai Rumah dan Biro Wanita sekitar Ulu Lemanak menerima Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) daripadanya  pada majlis itu.

LUBOK ANTU, Isnin (6 Feb) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memastikan bahawa tiada kawasan luar bandar dalam negeri ini yang akan tercicir dari arus pembangunan dari masa ke semasa.

Untuk itu Kerajaan Negeri akan terus memperhebatkan usaha untuk membangunkan kawasan luar bandar dan pedalaman yang terdapat di negeri ini kata Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau anak Badak.

“Pelbagai program pembangunan telah dirancang dari masa ke semasa demi memastikan agar setiap kawasan luar bandar dan pedalaman dalam negeri ini memperoleh manfaat dari projek berkenaan.

“Dengan kata lain usaha ini menunjukkan bahawa pihak Kerajaan Negeri tidak akan berputus-asa untuk membangunkan semua kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri ini,” katanya.

Belia berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung Rumah Panjang Sambun, Kesit, Lemanak, dalam kawasan Lubok Antu pada hari Sabtu lepas.

Selain itu barisan pemimpin Kerajaan BN kata Nyalau juga sentiasa peka dan berusaha gigih agar rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman sentiasa membangun tanpa ada di antara mereka yang ketinggalan dalam menikmati arus kemajuan tersebut.

“Impian pembangunan ini hanya akan dapat dicapai di kawasan luar bandar atau pedalaman jika semua rakyat terus mengekalkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri dari masa ke semasa.

“Justeru saya menyeru kepada semua rakyat khasnya mereka yang menetap di kawasan luar bandar dalam negeri ini agar terus menyokong kerajaan yang diterajui oleh komponen parti  BN Sarawak pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis itu turut menyerahkan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar kepada beberapa buah JKKK sambil disaksikan oleh para ketua kaum di kawasan Lubok Antu.

Tamat.

Negara akan terus maju jika BN terus memerintah - Masir

Caption: GEMBIRA...Mong (belakang tengah) sambil diapit oleh Masir dan Snowdan ketika merakamkan gambar kenangan bersama tetamu khas dan penerima BR1M di Rumah Jantai, Tuba Ili, Pantu kelmarin.

PANTU, Ahad (5 Feb) – Projek pembangunan di kawasan rakyat akan mampu diperhebatkan lagi sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya menerajui semula kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata kerajaan BN telah membuktikan kesungguhan mereka untuk memajukan rakyat dengan membelanjakan berbilion ringgit bagi tujuan pembangunan hidup mereka sebelum ini.

“Kerajaan BN pun telah membelanjakan banyak wang untuk membina kemudahan asas, perhubungan, pendidikan dan juga bantuan kewangan kepada rakyat khasnya di negeri Sarawak sehingga mencecah billion ringgit.

“Jika sokongan rakyat khas dari kawasan Sri Aman terus kukuh terhadap kerajaan BN maka saya yakin usaha pembangunan ini akan dapat terus diperhebatkan dalam kawasan kita selepas PRU13 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jantai, Tuba Ili, Pantu kelmarin.

Masir juga menasihatkan rakyat khasnya dari kawasan luar bandar agar tidak mudah terperangkap dengan hasutan pihak pembangkang yang datang berkempen ke rumah panjang mereka selepas ini.

“Tindakan pihak pembangkang ini hanyalah untuk meraih sokongan politik dari rakyat. Dengan menyebarkan fitnah, kumpulan ini berhasrat untuk menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan BN.

“Justeru saya menasihatkan rakyat di kawasan luar bandar agar tidak mengadaikan masa depan pembangunan hidup mereka dengan mengundi pihak pembangkang pada PRU13 akan datang,” katanya.

Masir menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan yang mencakupi nilai keseluruhan berjumlah RM25,000 kepada lima buah JKKK dalam kawasan Pantu dengan RM20,000 lagi untuk tujuan pembinaan jambatan di Titin, Pantu.

Menteri Muda Permodenan Pertanian, Mong Dagang telah merasmikan majlis berkenaan dan seterusnya turut menyempurnakan upacara perasmian jambatan besi sepanjang 10 meter bernilai RM350,000 di Tuba Tengah.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan, Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh dan Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi.

Majlis itu juga turut menyaksikan penyampaian Bantuan Rakyat 1 Malaysia kepada 30 orang pemohon dari kawasan Parlimen Sri Aman.

Tamat.



Kenaikan elaun tugas RELA dapat respon positif


JEMAT...Sokong


IJAU...Wajar


KUANG..Harap cepat dikuatkuasa


SRI AMAN, Ahad (5 Feb) – Cadangan kenaikkan elaun bertugas pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) sebanyak RM2 sejam dianggap sebagai rahmat dikalangan anggota RELA Daerah Sri Aman.

Ia merupakan maklumbalas mereka terhadap persetujuan kerajaan dalam menaikkan jumlah kadar elaun berkenaan buat pegawai dan anggota lain-lain pangkat bagi pasukan RELA pada 28 Januari lepas.

Ketua Perhubungan RELA Kawasan Batu Lintang, Kapten (RELA) Zulia Haji Jemat berkata beliau amat menyambut baik pengumuman kenaikan kadar baru elaun ini memandangkan kadar elaun sebelum ini masih belum mencukupi.

“Kadar bayaran elaun tugas untuk kategori pegawai RELA pada masa sekarang adalah sebanyak RM5.80 sejam manakala bayaran elaun tugas untuk kategori lain-lain pangkat pula ialah RM4 sejam.

“Sekiranya kenaikan dikuatkuasakan kelak maka elaun tugas pegawai RELA selepas itu adalah RM7.80 dengan anggota lain-lain pangkat menerima elaun tugas sebanyak RM6 sejam. Ia nyata tampak berbaloi,” katanya.

Manakala itu Penolong Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Mejar (RELA) Joshua Ijau pula berpendapat bahawa kenaikan elaun tugas terbabit akan dapat menampung perbelanjaan anggota yang turun melaksanakan tugas dari kawasan luar bandar.

Pegawai dan anggota RELA dari kawasan luar bandar katanya terpaksa menanggung belanja minyak kenderaan dan juga makan minum masing-masing ketika turun berkhidmat di kawasan bandar.

“Dengan kata lain cadangan kenaikkan elaun tugas terbabit akan dapat melegakan kesemua pegawai dan anggota RELA seiring dengan kemajuan negara pada masa sekarang,” katanya.

Justeru Prebet (RELA) Liew Koh San berharap agar kerajaan dapat menguatkuasakan kenaikan elaun tugas RELA terbabit secepat mungkin sebelum menjelang pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan kenaikan elaun itu memberitahu ia sejajar dengan tindakan kerajaan yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat disamping menjaga kebajikan semua pihak.

Tamat.


Sri Aman sesak kerana BR1M


Caption: SESAK...Gambar pada hari Rabu lepas menunjukkan kawasan perkarangan luar pejabat LHDN Sri Aman dibanjiri oleh penduduk yang mahu memeriksa status permohonan BR1M masing-masing.

SRI AMAN, Ahad (5 Feb) - Keadaan trafik dalam kawasan Bandar Sri Aman telah menjadi sesak berbanding biasa bermula dari hari Rabu hingga Jumaat lepas hanya disebabkan oleh faktor Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M.

Bermula jam 7.30 pagi, tempat parkir kenderaan di bangunan Lot 916, Jalan Hospital mula dipenuhi oleh kenderaan milik penduduk yang mahu menyemak keputusan permohonan BR1M di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri berdekatan kawasan tersebut.

Begitu juga dengan kawasan bangunan Pejabat Daerah dan Pejabat Residen Sri Aman yang turut dibanjiri oleh kenderaan penduduk yang juga mengetahui nasib permohonan BR1M masing-masing.

Namun begitu tinjauan media lebih tertumpu terhadap ragam ratusan orang pemohon BR1M yang membanjiri kawasan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam bandar ini semenjak hari Rabu lepas.

Dengan ketidakupayaan pejabat LHDN menampung jumlah kehadiran ratusan orang pemohon, pengendali BR1M dilihat terpaksa berdiri di atas kenderaan pacuan empat roda untuk mengumumkan nama para pemohon di bawah panas terik matahari berhubung urusan bantuan itu.

Keadaan seperti itu berterusan sehingga hari Khamis sebelum pihak pejabat LHDN bertindak mendirikan kanopi bagi memberi perlindungan terhadap ratusan orang pemohon yang hadir bagi memeriksa status permohonan mereka pada hari Jumaat.

"Saya tidak rela memandu keluar dari tempat parkir bermula dari hari itu (Rabu). Jika saya keluar maka saya tidak akan memperoleh tempat parkir sehingga jam 5 petang," kata seorang penghuni bangunan Lot 916, Jalan Hospital.

Katanya lorong jalan di kawasan bangunan Lot 916 mula menjadi sesak dengan kenderaan yang parkir dan lalu-lalang milik pemohon BR1M yang mahu berurusan di pejabat tersebut.

Sambil menyifatkan ia hanya masalah sementara, masalah kesesakan tempat parkir yang disebabkan oleh BR1M kata beliau sememangnya tidak dielakkan bermula dari hari Rabu hingga Jumaat lepas.

"Cuma hari Sabtu dan hari ini (Ahad) sahajalah laluan lorong di sini mula tenang memandangkan pejabat kerajaan tersebut ditutup pada cuti umum. Namun saya yakin senario yang sama akan berulang bermula hari Isnin hingga Jumaat kelak," katanya.

Pemerhatian pihak media juga mendapati bahawa terdapat individu yang bijak memanfaatkan keadaan ini dengan mengambil peluang untuk menjual air minuman terhadap pemohon BR1M di situ.

Tamat







Kanak-kanak juga tak lepaskan peluang rasai musim durian


TIDAK LEPAS PELUANG...Murid Tadika Tahun 1, Sekolah Kebangsaan Jenis (SJK) Chung Hua Pantu, Shaelomie Delina menunjukkan tanda bagus ketika bergambar di hadapan longgokan buah durian di pondok dusun duriannya sebelum berakhir musim raja buah berkenaan pada minggu lepas. Seperti kanak-kanak lain, Shaelomie juga tidak melepaskan peluang untuk mengikut ibu dan bapanya untuk mencari buah durian di dusun. Bagaimanapun atas faktor keselamatan, kanak-kanak itu hanya dibenarkan duduk di pondok dan tidak boleh ikut mengumpul buah durian yang jatuh dari pucuk pokoknya. Secara keseluruhannya sebuah keluarga di Pantu mampu mengumpul pendapatan sebanyak RM60 hingga RM150 sehari hasil jualan buah durian tersebut. - 5 FEBRUARI

550 penduduk dalam DUN Bukit Begunan terima BR1M

Caption: DARI BN...Masir sedang menyerahkan baucer tunai BR1M kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Felicia (dua kiri) dan Edward (dua kanan) ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

PANTU, Sabtu (4 Feb) – Sejumlah 550 orang penduduk dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan telah menerima wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang berlangsung Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sri Aman di Pasar Lachau, Pantu kelmarin.

Majlis penyampaian wang BR1M bernilai RM500 seorang kepada 550 orang penduduk dalam DUN Bukit Begunan itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat.

Beliau ketika ditemui berkata ini merupakan majlis penyampaian BR1M kali kedua dalam kawasan Parlimen Sri Aman semenjak majlis yang pertama berlangsung di Balai Ringin, Serian pada hari Khamis lepas.

“Kerajaan sudah pun menyampaikan BR1M kepada 1,409 orang pemohon yang lulus dari kawasan DUN Balai Ringin menerusi majlis yang berlangsung di Dewan Balai Ringin, Serian pada 2 Februari lepas.

“Untuk penyampaian kali ke-3 pula, kerajaan akan menyampaikan BR1M kepada 1,460 orang pemohon dari DUN Simanggang yang layak di Mini Stadium Sri Aman pada 7 Februari ini,” katanya.

Masir turut memberitahu bahawa penyampaian BR1M dalam kawasan Parlimen Sri Aman akan masih diteruskan sebelum kesemua bantuan tersebut habis disalur pada 16 April ini.

“Justeru saya menasihatkan penerima BR1M dari kawasan DUN Bukit Begunan tidak menyalahgunakan wang BR1M yang mereka terima daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

“BR1M yang amat terima daripada kerajaan adalah amat penting demi meringankan perbelanjaan isi rumah masing-masing. Gunakan dengan betul dan jangan merugikan bantuan terbabit,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Residen (Sosial) Bahagian Sri Aman, Felicia Tan Yan Hua, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk dan ketua kaum di sini.

Tamat.

KRT Tanjung Engkabang dinobat KRT Cemerlang Bahagian Sri Aman

Caption: BANGGA...Mashore (belakang tiga kanan) bergambar kenangan bersama ahli KRT Tanjung Engkabang yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah KRT Cemerlang Peringkat Bahagian Sri Aman bagi tahun 2011.

SRI AMAN, Sabtu (4 Feb) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Engkabang telah mengecap kejayaan manis apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah KRT Cemerlang Peringkat Bahagian Sri Aman.

Pengerusinya Mas Mashore Haji Maslem ketika ditemui hari ini memberitahu anugerah tersebut dimenangi menerusi Majlis Perjumpaan Awal Tahun KRT Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman pada akhir bulan Januari lepas.

“Usaha gigih yang dipamerkan oleh semua ahli KRT Tanjung Engkabang selama ini nyata membuahkan hasil apabila kami dinobatkan sebagai pemenang bagi anugerah berkenaan.

“Kemenangan ini akan merangsang semua ahli KRT Tanjung Engkabang untuk sama-sama berjuang bagi menjayakan pelbagai aktiviti demi mempertingkatkan kebajikan sosialiti hidup rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Mas Mashore juga bersetuju terhadap saranan oleh Pengarah Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Sarawak iaitu Dirwana Haji Azool yang mahu KRT jangan lagi ‘tidur’ selepas ini.

Beliau bersetuju bahawa KRT yang sering ‘tidur’ sebelum ini agar bangkit semula untuk menganjurkan pelbagai jenis aktiviti supaya ia dianggap aktif dengan lain-lain KRT dalam kawasan Sri Aman.

“Kita perlu sentiasa aktif dalam menganjurkan pelbagai jenis aktiviti mulai sekarang demi membantu kerajaan untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat dari segi sosial dari masa ke semasa.

“Justeru saya berharap agar semua ahli KRT Tanjung Engkabang saling bekerjasama untuk menjayakan pelbagai aktiviti yang bakal diadakan bagi sepanjang tahun 2012 ini,” katanya.

Terdahulu kemenangan terbabit telah membolehkan KRT Tanjung Engkabang menerima cek replika bernilai RM500 dan sijil yang disampaikan oleh Dirwana menerusi Majlis Perjumpaan Awal Tahun KRT Bahagian Sri Aman berkenaan.

Tamat.



PPWS Kampung Haji Undom adakan AGM


Caption: UNTUK ALBUM...Barisan jawatankuasa PPWS Kampung Haji Undom bagi penggal 2012 – 2015 sebaik sahaja tamat mesyuarat agung berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN, Sabtu (4 Feb) –  Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) cawangan Kampung Haji Undom, Sri Aman telah mengadakan Mesyuarat Agung untuk memilih ahli jawatankuasa baru bagi penggal tahun 2012 - 2015 baru-baru ini.

Mesyuarat Agung yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Hilir, Sri Aman itu menyaksikan penyandang jawatan pengerusi PPWS Kampung Haji Undom iaitu Rohani Sahari dipilih semula untuk memegang jawatan itu bagi penggal tahun berkenaan.

Dayang Rohani Abang Sani telah dipilih sebagai Timbalan Pengerusi manakala Ramlah Haji Basri pula dipilih sebagai Naib Pengerusi perkumpulan berkenaan menerusi mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat terbabit turut menyaksikan jawatan Bendahari diisi oleh Norsiah Kamel dengan Shafarina Abdullah dipilih untuk memegang jawatan Setiausaha bagi persekutuan berkenaan.

Manakala itu lima orang ahli telah dipilih bagi mengisi ahli jawatankuasa PPWS Kampung Haji Undom iaitu Jamaliah Masaud, Nik Narmaliza Ibrahim, Dyanti Haji Saharum, Rohana Bujang dan Normawatie Mohd Nor.

Rohani ketika berucap selepas mesyuarat itu melahirkan rasa terharunya berhubung kepercayaan yang diberikan oleh para ahli untuk meneraju semula kepimpinan PPWS Kampung Haji Undom bagi penggal 2012 – 2015.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin semula PPWS Kampung Haji Undom, Sri Aman selama tiga tahun lagi.

“Justeru saya berharap beliau agar kesemua ahli dapat mewujudkan semangat kerjasama yang lebih erat dalam melaksanakan segala aktiviti yang dirancang oleh pihak persatuan selepas ini,” katanya.

Turut hadir sebagai penyelaras mesyuarat tersebut ialah Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Nur Khatijah Abdullah, Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Saidah Saibi dan Pengelola PPWS Kawasan Sri Aman, Jenny Goh.

Tamat.

03 February, 2012

1,409 orang penduduk BR1M dari DUN Balai Ringin terima BR1M


Caption: MANFAATKAN...Masir menyerahkan BR1M kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Johnathan, Edward dan Felicia ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

BALAI RINGIN, Jumaat (3 Feb) – Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah merupakan salah satu usaha ikhlas Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu golongan rakyat berpendapatan rendah di negara ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata dengan adanya bantuan itu kerajaan BN sekurang-kurangnya dapat bertindak untuk meringankan lagi bebanan yang ditanggung oleh golongan tersebut selepas ini.

“Selain daripada projek pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan BN kepada rakyat, kita juga mengambil berat terhadap keperluan hidup mereka dengan menyalurkan bantuan terbabit (BR1M) pada masa sekarang.

“Justeru saya menasihatkan para penerima BR1M tidak mensia-siakan pemberian bantuan tersebut selepas ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan BR1M bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin di Dewan Balai Ringin, Serian kelmarin.

Beliau pada majlis itu juga menasihatkan pemohon BR1M yang lulus namun belum menerima bantuan tersebut agar sentiasa bersabar memandangkan pemberian bantuan kali ini adalah bagi peringkat Fasa 1.

Kata Masir pemberian bagi peringkat Fasa 2 akan terus diadakan selepas ini terhadap pemohon BR1M yang sudah lulus namun belum lagi menerima bantuan berkenaan pada masa sekarang.

“Periksa nama anda di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri. Jika pemohon itu sah tidak lulus maka boleh bertindak merayu semula untuk mendapatkan BR1M sebelum 10 Februari ini,” katanya.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman (Sosial) Felicia Tan, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Pantu, Edward Michael Duk, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Masir menerusi majlis berkenaan telah pun menyampaikan BR1M bernilai RM500 seorang kepada 1,409 orang pemohon yang layak dari kawasan DUN Balai Ringin bagi peringkat Fasa pertama.

Tamat.

PPWS Kampung Tengah adakan Hari Keluarga 2012

Caption: UNTUK ALBUM...Nur Khatijah (kiri sekali) ketika mengetuai penghakiman acara Memasak Pulut Kuning bersempena dengan program tersebut baru-baru ini.


MELUDAM, Jumaat (3 Feb) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Tengah, Meludam telah menganjurkan Hari Keluarga 2012 bertempat di bangunan pertubuhan berkenaan baru-baru ini.

Pengerusi PPWS Kampung Tengah, Jamayah Ambi ketika berucap pada majlis itu berkata program berkenaan bertujuan untuk menjalin hubungan kekeluargaan di antara para ahli PPWS.

“Program Hari Keluarga anjuran PPWS Kampung Tengah, Meludam ini adalah merupakan aktiviti pertama bagi tahun ini yang melibatkan sembilan buah cawangan PPWS dari sekitar kawasan Meludam.

“Justeru kita berharap agar Program Hari Keluarga PPWS Kampung Tengah Meludam ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat dan kemahiran kesemua para ahli menerusi pelbagai acara yang dianjurkan,” katanya.

Sementara ituPengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Nur Khatijah Abdullah menerusi ucapan perasmiannya telah memuji usaha ditunjukkan oleh PPWS Kampung Tengah Meludam dalam melaksanakan program itu.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana program ini turut melibatkan penyertaan kanak-kanak yang secara tidak langsung dapat menyemai minat mereka terhadap aktiviti anjuran pihak persatuan selepas ini.

Terdahulu program selama dua hari itu telah diselitkan dengan pelbagai acara menarik iaitu Pertandingan Gubahan Bahan Terbuang, Gubahan Buah Nanas, Gubahan Memasak Pulut Kuning, Membuat Kuih Jala dan Membingkai Atap Daun Nipah.

Kemuncak program ini ialah acara Mengail Ramak (sejenis ketam) dan Pertandingan Bertandak Melayu yang melibatkan kanak-kanak sekolah rendah di sekitar kampung tersebut.

Program yang dihadiri sekitar 500 orang penduduk kampung telah dihadiri oleh Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman Saidah Saibi, Naib Pengerusi PPWS Daerah Saratok, Sayang  Salleh, Penghulu Kampung Meludam, Awang Karim Awang Damit, para pengerusi cawangan dan ketua kaum di sini.

Tamat. 

Pengorbanan pemilik tanah untuk pembangunan tidak sia-sia - Rohani


Caption:

1. MANFAATKAN...Rohani menyampaikan cek pampasan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Simoi dan tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

2. 1 MALAYSIA...Rohani menunjukkan simbol 1 Malaysia bersama Simoi, tetamu khas dan penerima cek pampasan sebaik sahaja selesai majlis berkenaan hari ini.

SRI AMAN, Khamis (2 Feb) – Pengorbanan rakyat di sesebuah kawasan terhadap tanah milik mereka yang diambil alih oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan sememangnya tidak sia-sia selepas itu.

Ini kerana rakyat akan menerima pampasan daripada pihak kerajaan sekiranya tanah milik mereka diambilalih bagi tujuan pembangunan yang semestinya akan menguntung semua pihak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

“Pengorbanan rakyat dituntut untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi menjayakan projek pembangunan infrastruktur, perhubungan, pendidikan dan sebagainya di kawasan penempatan mereka dari masa ke semasa.

“Justeru rakyat perlu sedar pengorbanan terbabit adalah amat berbaloi apabila kerajaan bertindak membayar pampasan terhadap tanah milik mereka yang digunakan bagi tujuan pembangunan selepas itu,” katanya.

Sementara itu Rohani juga menasihatkan pemohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) agar tidak mudah kecoh sekiranya nama mereka tidak tersenarai untuk menerima bantuan berkenaan.

Ini kerana proses pembayaran BR1M bernilai RM500 itu menurut beliau akan dibuat secara berperingkat-peringkat kepada semua pemohon bantuan yang layak dari masa ke semasa.

“Jika tidak dapat kali ini maka tunggulah untuk fasa kedua. Bagi pemohon yang merasakan diri bahawa layak namun gagal menerima bantuan itu maka saya nasihatkan mereka kembali merayu semula selepas ini,” katanya.

Rohani turut menambah bahawa penduduk yang belum mengisi permohonan BR1M sebelum ini boleh berbuat demikian sebelum tempoh permohonan bantuan itu tamat pada 10 Februari ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Peri, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman, Mohd Razali Arshad, Penguasa JTS Bahagian Betong, Anthony Aboi, Jurutera JKR Bahagian Sri Aman, Cassidy Morris dan Timbalan Residen Sri Aman, Haji Hamsien Atta.

Terdahulu sejumlah 140 pemilik tanah dari kawasan Lingga, Betong dan Pantu menerima cek pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM370,912 menerusi majlis berkenaan.

Cek pampasan dibayar kepada pemilik tanah bagi projek cadangan Jalan Stumbin Link Baru, naiktaraf Jalan Sri Aman / Sembau / Stumbin/ Lingga, naiktaraf Jalan Stumbin / Tanjung Bijat / Skirau, projek Pra Sekolah Kampung Sapak, Pantu dan Taman Negara Maludam.

Tamat.

20 anggota berpangkat rendah dan sokongan IPD Sri Aman terima kenaikan pangkat



Caption:

1. TAHNIAH...Jusoh sedang menyemat pangkat Kopral terhadap Rogayah Ali ketika berlangsungnya upacara berkenaan hari ini.

2. PENGHORMATAN...Hamidah Ramli telah menerima penyematan pangkat Kopral daripada ibunya sambil disaksikan oleh Jusoh ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Khamis (2 Feb) – Seramai 20 orang anggota polis berpangkat rendah dan anggota polis sokongan dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menerima kenaikan pangkat Koperal menerusi Upacara Kawad Bulanan di IPD berkenaan hari ini.

Kesemua 20 orang anggota IPD Sri Aman yang berpangkat Lans Koperal sebelum ini telah menerima kenaikan pangkat Koperal berdasarkan kepada ‘Time Base’ bagi Siri 1 / 2012.

Mereka adalah Tajjul Faizal Tahir, Hamidah Ramli, Mulim Saeng, Awang Busari Awang Othman, Kolbe Martyn Patet, Kalthum Daud, Noly Sulaiman, Kamisah Mohammad Ali, Sindon Ambau, Ya’akub Bolhassan, Jack Pero Mingkil, Rogayah Ali, Petrice Your Lanteng, Bukhari Mohd Rajuni, Rudy Deli dan Musa Sehit.

Selebihnya empat orang lagi anggota polis sokongan yang menerima kenaikan pangkat kopral menerusi majlis berkenaan ialah Noorharfah Jali, Yusuf Abang Hamid, Stop Linggoh dan Nordin Abang Haji Nawi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad telah menyempurnakan upacara pemakaian pangkat Kopral terhadap 11 orang  anggota dengan tujuh orang pangkat anggota lagi disematkan oleh ahli keluarga masing-masing.

Beliau menerusi upacara kawad bulanan itu juga berkesempatan untuk menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis berpangkat rendah yang turut menerima kenaikan pangkat Kopral.

Terdahulu Jusoh telah hadir ke upacara kawad bulanan berkenaan pada jam 8 pagi sebelum menerima tabik hormat daripada para anggota polis IPD Sri Aman sebelum ia tamat pada jam 9 pagi.

Tamat. 

JUntoi di Engkilili meriah

Caption: TERIMALAH..Nyalau menyerahkan cek kepada seorang wakil Tokong Cina Engkilili sambil disaksikan oleh Rayong sebelum bermulanya perarakan Cap Goh Mei di Engkilili kelmarin.

ENGKILILI, Khamis (2 Februari)  – 3,000 orang penduduk membanjiri kawasan Pekan Engkilili untuk menyaksikan acara perarakan secara besar-besaran bersempena dengan sambutan perayaan Cap Goh Mei anjuran gabungan persatuan kaum Cina Engkilili malam tadi.

Perarakan bersempena dengan perayaan Cap Goh Mei yang disertai oleh 10 buah kenderaan berhias dari pelbagai persatuan kaum Cina di Lubok Antu, Sri Aman dan Engkilili itu bermula dari kawasan Gerai Baru Majlis Daerah Lubok Antu / Engkilili bermula jam 6.30 petang.

Dari kawasan gerai baru terbabit, kesemua peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan ini telah berarak mengelilingi Pekan Engkilili selama hampir dua jam sebelum mereka menuju ke Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu.

Kesemua peserta perarakan ini kemudiannya berpusing di kawasan Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu dan menuju pulang ke kawasan gerai baru menjelang jam 9 malam.

Sambutan perayaan Chap Goh Meh kali ini juga boleh dianggap unik kerana ianya bukan sahaja membabitkan penyertaan penduduk kaum Cina malahan penduduk kaum bumiputera yang lain.

Seorang penduduk iaitu Lakuang Ading dari Pasir Panas, Sri Aman berpendapat bahawa acara perarakan bersempena sambutan perayaan Chap Goh Meh 2011 ini mampu menjadi daya tarikan utama pengunjung ke Pekan Engkilili pada masa akan datang.

“Moga-moga acara perarakan bersempena dengan sambutan perayaan Chap Goh Meh 2011 ini dapat diadakan semula dengan pembaharuan yang lebih menarik berbanding sebelumnya demi menarik pengunjung ke pekan ini,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa telah turut sama bagi menyertai perarakan terbabit.

Nyalau menerusi perarakan berkenaan telah menyampaikan cek bernilai RM20,000 bagi menjayakan pembinaan Tokong Cina, Engkilili manakala Rayong pula mewakili Menteri Kewangan II, Dato Sri Wong Soon Koh turut menyerahkan cek bernilai RM20,000 bagi tujuan yang sama.

Tamat.

01 February, 2012

Part 2 - Sekitar Majlis Rumah Terbuka TBC Sri Aman 2012



Penduduk 1 :"Ha ha ha mali makan sampai kita pirut picah,"

Penduduk 2 : "Itu kaki babi wa suda cop haaa jangan lampas,"

Penduduk 3 : "Aik, apa pasai ini kaki unta ada dalam menu?"

Penduduk 4 :"Ya lah...sini kaki engkeruak pun ada,"


Team Lion Dance : "Haiya...ini olang semua macam gajah..balu 1 minit, semua suda licin,"


Amoi baju Hitam : "Mali bergamba bersama YB..chak chak,"

Amoi cheongsam : "Ya la...ini peluang susa mau lapat..mali begamba...,"

Yb Datuk Rohani :"Amboiiii...,"

YB Datuk Harden : "Control..control..,"


Tauke neo kedai Kuang : "Cucu, apa suda jadi? mana makanan? semua suda abis,"

cucu Kuang :" i tada peduli, i mau juga chali cikedis maa,"

Part 1 - Sekitar Majlis Rumah Terbuka TBC Sri Aman 2012





Tahniah GIATMARA Sri Aman : 30 orang student graduate

 Caption: UNTUK ALBUM...Faizal (baris dua belakang, tengah) sedang bergambar kenangan bersama para graduan GIATMARA sebaik sahaja selesai majlis berkenaan baru-baru ini.








SRI AMAN, Khamis - Seramai 30 orang graduan GIATMARA telah diraikan dalam Majlis Graduasi GIATMARA Sri Aman yang berlangsung di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman  baru-baru ini.

Kesemua 30 orang graduan terbabit terdiri daripada pelatih Kursus Teknologi Sistem Komputer dan Solekan Terapi Kecantikan yang telah menamatkan persijilan GIATMARA Competency Point Average (GCPA) selama enam bulan.

Jurucakap penganjur memberitahu majlis graduasi yang bersifat santai dan meriah ini diadakan sebagai apresiasi di atas kejayaan para pelatih menempuh pelbagai cabaran sepanjang masa pengajian tersebut.

Menerusi majlis itu Terence Edward Teggong telah dinobatkan sebagai pelatih terbaik bagi kursus Teknologi Sistem Komputer manakala Sheila Lo Mohd Mizan dipilih sebagai pelatih terbaik Solekan Dan Terapi Kecantikan.

Anugerah ini diberikan atas kecemerlangan mereka menamatkan pengajian dengan mata keterampilan GCPA tertinggi yang membolehkan kedua-duanya dikurniakan pengiktirafan Sijil Ketua Pegawai Eksekutif.

Manakala itu Anugerah Khas Eksekutif pula diberikan kepada Ella Amie atas peningkatan sahsiah rupa diri sepanjang pengajian di GIATMARA Sri Aman dengan Nurhamizan Mohd Narawi dipilih sebagai pelatih baru terbaik Minggu Mesra Pelatih.

Terdahulu Majlis Graduasi GIATMARA Sri Aman telah ini diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh 44 orang pelatih bagi bulan Januari – Jun 2012 sambil disusuli dengan persembahan daripada GIAT Band.

Hadir sama pada majlis graduan berkenaan ialah Pengurus GIATMARA Sri Aman, Mohd Faizal Che Amat, Pengurus GIATMARA Lubok Antu, Mohd Nazri dan Pengurus GIATMARA Julau, Azmi.

Tamat.

Tiga keluarga dari Kampung Lubuk, Sri Aman hadapi ancaman hakisan sungai


Caption: PERLU PERHATIAN...Gambar menunjukkan keretakan dan mendapan tanah di benteng penghadang hakisan yang disebabkan oleh proses hakisan sungai di kawasan Kampung Lubuk, Sri Aman.

SRI AMAN, Rabu (1 Feb) – Tiga buah rumah penduduk dalam kawasan Kampung Lubuk berhampiran Jalan Kampung Masjid Baru, Sri Aman berhadapan dengan ancaman masalah tanah runtuh pada masa sekarang.

Seorang penduduk iaitu Norlia Shaidi berkata masalah terbabit timbul apabila proses hakisan di tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman meretakkan benteng penghadang hakisan berdekatan ketiga-tiga buah rumah tersebut.

“Benteng penghadang hakisan yang dibina pada tahun 2009 itu mula mengalami keretakan serta rekahan yang serius disebabkan oleh proses hakisan oleh air dari sungai berkenaan.

“Lagipun keadaan nyata diburukkan lagi dengan musim hujan pada akhir tahun lepas hingga menyebabkan kejadian mendapan tanah di bawah benteng penghadang hakisan berdekatan rumah mereka,” menurut beliau.

Atas sebab ini kata Norlia penduduk di kawasan Kampung Lubuk memohon agar projek pembinaan benteng penghadang hakisan yang baru dapat dipercepatkan segara selepas ini demi membendung masalah terbabit.

Beliau dan penduduk Kampung Lubuk yakin bahawa keadaan akan menjadi lebih serius sekiranya hujan lebat turun berterusan selama seminggu ditambahi pula dengan kejadian air pasang bah disebabkan oleh fenomena Benak di sungai berkeaan selepas ini.

“Justeru kami merayu kerajaan agar dapat mempertimbangkan segera bantuan bencana alam kepada penduduk kampung di sini,” katanya sambil menambah agar masalah terbabit dapat diselesaikan segera sebelum berlakunya kejadian tidak diingini selepas itu.

Terdahulu kerajaan sebelum ini telah pun mewujudkan pelan cadangan bagi membina benteng penghadang banjir bermula dari kawasan Kampung Hulu hingga ke Kampung Hilir Sri Aman yang menelan kos RM8 juta.

Tamat.

Masir minta pengundi Cina di Sri Aman turun mengundi pada PRU13 akan datang


Caption: RASMI...Masir (empat kanan) ketika bersama Rohani dan Harden menyempurnakan upacara memotong kek perayaan pada majlis itu malam kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (1 Feb)  – Penduduk berketurunan Cina dalam kawasan Parlimen Sri Aman diseru agar meluangkan masa selama sejam bagi untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata masa depan pembangunan kawasan Parlimen Sri Aman khasnya kawasan bandar bergantung kepada tindakan mereka ketika menjelang pilihan raya terbabit.

“Saya meminta penduduk Cina untuk turun mengundi pada PRU13 ini nanti. Saya rasa ia tidak menjadi masalah kepada mereka untuk meluangkan masa selama beberapa jam bagi menentukan masa depan Sri Aman bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Justeru saya berharap agar mereka menyokong sepenuhnya Barisan Nasional (BN) pada PRU13 ini nanti agar kawasan Sri Aman terus menikmati arus pembangunan semasa di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina serta Malam Kebudayaan Dan Keseniaan Cap Goh Mei 1 Malaysia sempena Pesta Cap Goh Mei Bahagian Sri Aman 2012 di Tokong Ciyun, Sri Aman malam kelmarin.

Sementara itu Masir juga memuji tindakan persatuan Cina di Sri Aman yang menganjurkan acara Perarakan Cap Goh Mei dan majlis rumah terbuka bersempena perayaan Tahun Baru Cina di sini pada setiap tahun.

“Saya menyokong sepenuhnya majlis dan acara seperti ini memandangkan ia secara tidak langsung dapat mewujudkan kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan penduduk berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman.

“Dengan kata lain program berkenaan dapat menjayakan lagi perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini,” katanya.

Masir menerusi majlis berkenaan telah menyampaikan cek peruntukan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM50,000 kepada beberapa buah persatuan Cina dalam kawasan Parlimen Sri Aman.

Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina serta Malam Kebudayaan Dan Keseniaan Cap Goh Mei 1 Malaysia ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim.
  
Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pengerusi pengelola majlis, Tay Yaw Ming, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

KRT Tanjung Engkabang sahut seruan 1 Malaysia

Caption: 1MALAYSIA...Ahli KRT Tanjung Engkabang bergambar kenangan ketika mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina di Taman Norita malam tadi.

SRI AMAN, Rabu (1 Februari) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Engkabang telah menyahut seruan 1 Malaysia apabila mereka mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung bersempena sambutan Tahun Baru Cina 2012 dalam Bandar Sri Aman malam tadi.

Rombongan sambutan Tahun Baru Cina 2012 yang disertai lebih daripada 15 orang ahli ini telah bermula sekitar jam 8 malam dan diketuai oleh Pengerusi KRT Tanjung Engkabang iaitu Mas Mashore Haji Maslem.

Beliau ketika ditemui memberitahu amalan kunjung-mengunjung seperti ini adalah amat penting demi mewujudkan semangat muhibbah dikalangan penduduk berbilang kaum dari masa ke semasa.

“KRT Tanjung Engkabang juga berfungsi sebagai salah satu platform untuk merapatkan lagi hubungan antara penduduk berketurunan Melayu, Iban dan Cina dalam kawasan Sri Aman.

“Justeru kita berharap agar amalan seperti ini akan dapat menjadi contoh kepada mana-mana KRT di kawasan Sri Aman dalam membantu kerajaan mewujudkan semangat perpaduan dikalangan penduduk pada masa akan datang,” katanya.

Mashore turut memberitahu bahawa amalan seperti ini akan dapat memperkukuhkan lagi semangat kekitaan di antara penduduk berbilang kaum di Sri Aman menerusi perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia.

Terdahulu rombongan KRT Tanjung Engkabang telah memulakan kunjungan Tahun Baru Cina ke kediaman seorang ketua kaum Cina dalam bandar ini iaitu Kapitan Kueh Aik Seng dan keluarga.

Mereka kemudiannya mengadakan kunjungan yang serupa ke kediaman rakan-rakan berketurunan Cina di Taman Norita selepas itu sebelum aktiviti mereka selesai menjelang jam 11 malam.

Tamat.

PBTM digesa rekrut ramai ahli - Harden

Caption: TERIMA KASIH...Nalang (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Harden (kanan) sambil disaksikan oleh Masir (dua kanan) dan tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu.

SRI AMAN, Isnin (30 Jan) – Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) digesa untuk merekrut lebih ramai pesara Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) ke dalam persatuan mereka selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata langkah ini penting agar golongan bekas tentera sedar manfaat yang bakal mereka perolehi dengan menyertai persatuan terbabit.

“Dengan menyertai PBTM di kawasan masing-masing, golongan bekas tentera akan dapat memohon bantuan hospital, sara idup, persekolahan untuk anak-anak, sumbangan untuk ahli keluarga bagi mendiang bekas tentera dan banyak lagi.

“Atas sebab ini jika ada PBTM di kawasan anda (bekas tentera) maka saya mengalakkan mereka agar segera mendaftarkan diri untuk menyertai persatuan terbabit demi kebaikan diri masing-masing selepas ini,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun Ke-36 Penubuhan PBTM cawangan Sri Aman di sini malam tadi.

Selain itu penyertaan bekas tentera dalam PBTM menurut beliau juga akan membolehkan suara mereka menjadi lebih lantang dan mudah menjadi perhatian pihak kerajaan dari masa ke semasa.

“Ingin saya ingatkan kepada semua bekas tentera bahawa PBTM adalah merupakan salah satu daripada 21 buah persatuan yang paling aktif dalam negeri Sarawak pada masa sekarang.

“Justeru penyertaan mereka dalam PBTM tidak akan sia-sia selepas ini apabila masalah yang mereka suarakan menerusi persatuan itu akan sering mendapat perhatian kerajaan selepas itu,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid, Pengerusi PBTM cawangan Sri Aman, Nalang Selingau, para barisan AJK dan Srikandi persatuan terbabit.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada PBTM cawangan Sri Aman dan RM3,000 kepada Srikandi persatuan itu dengan Masir juga turut mengumumkan jumlah peruntukan yang sama kepada kedua-dua pihak tersebut.

Majlis turut diserikan lagi dengan upacara memotong kek ulangtahun, penyampaian insentif kepada anak-anak ahli persatuan dan penyampaian cenderamata kepada wakil rakyat pada majlis itu.

Tamat.