Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 January, 2012

RELA Sri Aman jayakan kempen derma darah seluruh negara

Caption: SABAR...Para anggota RELA sedang berbaris untuk mendaftar diri masing-masing sebagai penderma darah ketika berlangsungnya program itu hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (28 Jan) – Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman nyata ketinggalan untuk menjayakan Program Derma Darah Perdana 2012 yang dianjurkan serentak di seluruh negara bermula jam 8 pagi hingga 2 petang hari ini.

Tinjauan Utusan Sarawak sekitar awal pagi hari ini mendapati bahawa kawasan Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman (sebelah Balai Polis Sri Aman) dibanjiri para anggota RELA yang mahu menderma darah di situ.

Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu sejumlah 81 orang anggota RELA sudah mendaftar diri untuk menderma darah menerusi kempen ini bermula dari jam 8 hingga 9.30 pagi.

“Pihak kami menjangkakan kehadiran seramai 200 orang anggota RELA Daerah Sri Aman dengan sasaran seramai 100 orang akan mendaftarkan bagi menderma darah masing-masing menerusi program ini.

“Pasukan RELA Daerah Sri Aman yakin akan dapat mencapai sasaran ini dengan 81 orang anggota sudah pun mendaftar diri masing-masing untuk menderma darah pada jam 9.30 pagi,” katanya.

Sementara itu Penolong Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Mejar (RELA) Joshua Ijau ketika ditemui berharap agar program ini dapat membantu pasukan RELA Malaysia untuk mencipta rekod baru dalam Malaysian Gunniess Book Of Record.

Program Derma Darah Perdana 2012 ini katanya akan mengumpul jumlah penyertaan teramai anggota RELA dalam sehari di seluruh negara yang mengambil bahagian pada program itu serentak pada hari ini.

“Selain itu Program Derma Darah Perdana 2012 ini juga membolehkan anggota RELA berbakti terhadap masyarakat dengan membantu menyumbang darah bagi keperluan Bank Darah.

“Justeru kita berharap agar pembabitan anggota RELA Daerah Sri Aman dalam program ini akan dapat membantu RELA Malaysia mencipta rekod baru dalam Malaysian Gunniess Book Of Record pada hari ini,” katanya.

Tamat. 

Harden buat kunjungan TBC ke Lingga


Caption: TERIMALAH...Harden menyerahkan cek kepada Ong sambil disaksikan oleh tetamu yang lain ketika berlangsung program kunjungan perayaan Tahun Baru Cina di Pekan Lingga kelmarin.

LINGGA, Sabtu (28 Jan) – Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis masih meneruskan kunjungan perayaan sambutan Tahun Baru Cina di Pekan Lingga kelmarin.

Beliau bersama rombongan telah mengadakan kunjungan perayaan ke kediaman ketua kaum Cina dan ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di Pekan Lingga itu bermula jam 9.30 pagi.

Sambil ditemani oleh isteri beliau iaitu Datin Simba Nalang, Harden dan rombongan berkesempatan untuk beramah-mesra dengan penduduk-penduduk di Pekan Lingga sambil berkunjung ke kediaman ketua kaum di situ.

Beliau juga turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 kepada Kesatuan Bonevolent Soon Heng yang diterima oleh pengerusinya iaitu Wong Yew Ong.

Harden ketika ditemui memberitahu kunjungan perayaan kali ini nyata amat bermakna demi mengeratkan lagi hubungan antara ahli SUPP cawangan Lingga dan juga cawangan Simanggang.

“Selain itu kunjungan perayaan ini juga amat penting bagi mengeratkan semangat muhibah dikalangan ahli SUPP peringkat cawangan dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing terhadap pembangunan hidup rakyat.

“Justeru saya berharap agar kunjungan perayaan seperti ini dapat mewujudkan semangat kekitaan dikalangan ahli parti SUPP cawangan Simanggang dan Lingga pada masa akan datang,” katanya.

Turut menyertai kunjungan perayaan Tahun Baru Cina di Pekan Lingga ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang iaitu Vincent Roy Muda.

Tamat.

Buah issu kuasai Pasar Tamu


Caption:

1. MUSIM ISSU...Seorang wanita sedang menunggu pelanggan ketika menjual buah issu berkenaan di Pasar Tamu minggu lepas.

2. MENARIK...Buah issu mempunyai bulu kulit yang runcing serta panjang berbanding dengan buah durian yang mempunyai kulit bulu lebih pendek..

SRI AMAN, Sabtu (28 Jan) – Sebut sahaja nama buah issu sudah tentunya penduduk khasnya mereka yang datang dari luar bandar tergambar rupa buah terbabit yang seakan-akan menyamai Raja Buah iaitu durian.

Juga turut dikenali sebagai ‘rian laki’ di kawasan Sri Aman, buah issu ini mempunyai isi yang kental dan berwarna kuning (atau jingga dan merah bagi sesetengah buah) dengan bulu kulitnya yang lebih runcing serta tajam.

“Bulu kulit buah durian pula pendek. Inilah perbezaan ketara di antara bulu kulit buah issu dan durian,” kata seorang penjual buah issu ketika ditemui Utusan Sarawak di Pasar Tamu, Sri Aman pada minggu lepas.

Tanpa memperkenalkan namanya kepada Utusan Sarawak, penjual wanita itu memberitahu bahawa buah issu yang beliau jual di Pasar Tamu telah pun dibawa dari kawasan Skrang, Engkilili.

Dengan harga jualannya mencecah RM10 bagi empat biji buah, penjual wanita berkenaan memberitahu bahawa buah issu mempunyai keistimewaannya tersendiri berbanding buah durian.

“Tidak ramai penduduk yang mempunyai dusun buah issu. Atas sebab inilah adalah sukar untuk peminat buah issu mendapatkan buah terbabit berbanding lain-lain buah di Sri Aman.

“Sesetengah orang berkata bau buah ini seperti bawang. Namun saya percaya bahawa sebab utama buah issu amat digemari penduduk ialah kerana bau buahnya yang kurang kuat berbanding dengan durian,” menurut beliau.

Beliau juga turut memberitahu bahawa kawasan Skrang, Engkilili sudah pun mula dikuasai oleh buah issu semenjak dua minggu lepas dengan pemiliknya mengambil kesempatan untuk menjual buah itu pada masa sekarang.

“Ia umpama durian runtuh untuk kami semua.  Musim buah issu nyata memberi rezeki tambahan untuk kami semua khasnya penduduk dari kawasan luar bandar pada masa sekarang,” tambah beliau.

Tamat.

Kelab rakan masjid dari Samarahan anjur Program Seminar Bersama

Caption: UNTUK ALBUM...Barisan ahli KRRMKSB bergambar kenangan ketika berlangsungnya program motivasi terbabit baru-baru ini.

SRI AMAN, Jumaat (27 Jan) - Kelab Remaja Rakan Masjid Kampung Sindang Baru (KRRMKSB) dari Samarahan telah mengadakan program motivasi bersama dengan barisan tabligh yang di ketuai oleh Ustaz Haji Afendi Julaihi baru-baru ini.

Siaran media kepada Utusan Sarawak kelmarin memberitahu tujuan program motivasi bersama anjuran KRRMKSB ini bertujuan untuk menaikkan semangat remaja bagi melaksanakan aktiviti bagi sepanjang tahun 2012.

Pengerusi KRRMKSB, Mohd Ali Ismail ketika berucap pada program motivasi berkenaan memberitahu kelab rakan masjid ini telah beroperasi selama tiga bulan semenjak bulan November tahun lepas.

“Kita telah mula mengembangkan kelab ini dengan menjadikan Ketua Tabung Baitulmal Sarawak Zon Selatan iaitu Samsul Bahri Manap sebagai penaung, Ustaz Ridzuandi Padil sebagai penasihat, Sukri Keram sebagai timbalan pengerusi, Casidy Jemat sebagai setiausaha, Aziz Sabu sebagai bendahari.

“Dengan barisan yang ada maka bermulalah perjuangan KRRMKSB untuk membentuk jati diri masing-masing menerusi didikan agama disamping membantu menjayakan aktiviti penduduk Kampung Sindang Baru secara sukarela,” katanya.

Bagaimanapun KRRMKSB kata Ali terpaksa bergantung kepada wang yang dikutip daripada para ahli untuk menghadapi masalah bajet ketika mahu menjalankan aktiviti dakwah, iqra dan ceramah selama ini.

Justeru mereka yang ingin membantu menyumbang dana atau menjadi ahli KRRMKSB menurut beliau boleh melayari laman facebook dengan menaip Kelab Remaja Rakan Masjid Kampung Sindang Baru selepas ini.

“Barisan ahli KRRMKSB mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang tampil membantu kami dari segi kewangan. Semoga bantuan tersebut membolehkan kita membentuk satu generasi unggul untuk masyarakat demi dapatlah mengurangkan masalah sosial di masa akan datang,” katanya.

Ahli pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dari kawasan Samarahan iaitu Haji Ismawi hadir sama bagi memberi ucapan untuk KRRMKSB sebagai tanda sokongan beliau terhadap program berkenaan.

Tamat.


               

Kerajaan masih usahakan perpindahan penduduk di Pangkalan Pantu

Caption: UNTUK ALBUM...Masir (belakang tengah) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu khas dan penerima bantuan selepas berlangsungnya majlis itu kelmarin.

PANTU, Jumaat (27 Jan) – Kerajaan akan terus berusaha untuk memindahkan lebih daripada 50 buah keluarga di Pangkalan Pantu yang terletak kira-kira 62 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman ke tapak penempatan baru selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata usaha permindahan terbabit bertujuan untuk mengurangkan masalah banjir yang sering melanda penduduk di Pangkalan Pantu selama ini.

“Kerajaan pernah memujuk kesemua keluarga di Pangkalan Pantu itu untuk berpindah ke tapak penempatan baru berdekatan dengan kawasan Marau, Pantu sekitar tahun 1990-an dahulu.

“Bagaimanapun mereka menolak atas sebab tertentu. Atas sebab ini kerajaan terpaksa menangguhkan pelan perpindahan kesemua keluarga terbabit ketika itu sebelum kita kembali berusaha untuk memindahkan mereka pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Banjir anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pejabat Daerah Kecil Pantu petang kelmarin.

Bagi menjayakan pelan cadangan perpindahan terbabit, Masir telah pun menasihatkan Pejabat Daerah dan Pejabat Residen Sri Aman untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara itu.

Beliau juga berharap agar pihak Jabatan Tanah Dan Survei mencari dan seterusnya meluluskan tapak tanah baru bagi memindahkan kesemua keluarga di Pangkalan Pantu menerusi pelan cadangan terbabit.

“Justeru saya berharap agar ketua kaum memainkan peranan untuk memujuk kesemua keluarga di Pangkalan Pantu untuk berpindah ke tapak penempatan baru sekiranya sudah diluluskan oleh kerajaan selepas ini,” katanya.

Terdahulu Masir telah menyampaikan wang bantuan bencana banjir berjumlah RM500 sekeluarga kepada 36 buah keluarga yang telah berdaftar sebagai ‘mangsa banjir yang berpindah’ menerusi majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh dan Timbalannya Haji Hamsien Atta, Pegawai MKN, Mejar Mohd Yusni, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Pengarah Penerangan Bahagian Sri Aman, Saini Bojeng, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Krisis SUPP tak akan jejaskan tugas saya - Harden


Caption: DARI BN...Harden (empat kiri) ketika bersama penerima MRP sebaik sahaja selesai majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (27 Jan) – Datuk Francis Harden Hollis menegaskan bahawa krisis dalaman Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tidak akan menjejaskan tugas beliau selaku wakil rakyat dan menteri kabinet dalam negeri ini.

Katanya tanggungjawab terhadap pembangunan hidup rakyat menjadi agenda utama dalam hidup beliau semenjak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Simanggang pada tahun 1995 dahulu.

“Saya mahu semua pihak khasnya para rakyat tahu bahawa saya masih lagi seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berkhidmat untuk mereka dari masa ke semasa.

“Masalah dalam SUPP tidak akan menganggu tugas saya. Selagi saya masih menjadi wakil rakyat saya akan terus berkhidmat dengan penuh bertanggungjawab untuk rakyat dalam DUN Simanggang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ringkas pada Majlis Penyampaian Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang berlangsung di Pejabat SUPP cawangan Simanggang hari ini.

Sementara itu Harden juga menasihatkan para penerima MRP agar menggunakan wang bantuan kerajaan itu dengan sebaik yang mungkin demi pembangunan hidup mereka selepas ini.

“MRP yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi wakil rakyatnya adalah merupakan salah satu keadah kerajaan untuk menjayakan usaha membangunkan hidup rakyat di seluruh negeri ini.

“Justeru saya berharap agar para penerima MRP menghargai sumbangan yang mereka terima daripada kerajaan BN dengan melaksanakan sesuatu program demi kemajuan hidup rakyat dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu Harden pada majlis itu telah menyampaikan cek MRP yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM235,000 kepada 22 buah sekolah, JKKK, kelab, gereja dan persatuan dalam kawasan Sri Aman.

Tamat.




Masir serikan TBC di Pantu dan Lachau

Caption: SEMANGAT MUHIBAH...Masir (duduk tiga kiri) bersama Johnathan (kanan) dan rombongan ketika berkunjung ke kediaman Kapitan Lee (duduk dua kiri) bersempena dengan kunjungan Tahun Baru Cina di Pekan Pantu kelmarin.

PANTU, Jumaat (27 Jan) – Sambutan Tahun Baru Cina 2012 di kawasan Pantu telah diserikan dengan program kunjungan perayaan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat bersama rombongannya terhadap ketua kaum Cina kelmarin.

Sambil diiringi oleh Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Masir telah memulakan kunjungannnya ke kediaman keluarga Kapitan Lee Pin Jin di Pekan Pantu bermula jam 3 petang.

Di situ beliau dan rombongan telah berkesempatan untuk beramah-mesra bersama ahli keluarga Kapitan Lee sebelum berangkat ke kediaman Kapitan Lee Khin Onn di Kampung Munggu Ridan, Pantu sekitar jam 5 petang.

Setelah meluangkan masa selama setengah jam di kediaman Kapitan Lee Khin Onn, Masir bersama rombongannya berangkat ke kediaman Penghulu Lee Toh Seng di Pekan Lachau sekitar jam 7 malam.

Kunjungan terbabit merupakan satu penghormatan buat Penghulu Lee yang terkenal dengan hubungan rapat keluarganya terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin.

Masir dan rombong telah mengakhiri program terbabit dengan mengadakan kunjungan ke kediaman Kapitan Bong Teck Choi di Pekan Lachau sebelum berangkat pulang pada jam 8.30 malam.

Terdahulu beliau ketika ditemui memberitahu hubungan antara wakil rakyat dan ketua kaum perlu diperkukuhkan demi hala tuju pembangunan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Hubungan erat antara wakil rakyat dan ketua kaum adalah amat penting demi menjayakan pelbagai pelan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan Sri Aman selepas ini,” katanya.

Turut menyertai program kunjungan ini ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, pembantu khas kepada Masir iaitu Abah Unggie dan Nelson Gemong Jumtang serta Tuai Rumah dari Pangkalan Pantu iaitu Edwin Jawa Dundang.

Tamat.

Sambutan Perayaan Chap Goh Mei Peringkat Bahagian Sri Aman malam ini (30 Jan)

SRI AMAN, Jumaat (27 Jan) – Bandar Sri Aman bakal menjadi tumpuan ribuan orang pengunjung dengan adanya Sambutan Perayaan Chap Goh Mei Peringkat Bahagian Sri Aman Tahun 2012 bermula dari 30 Januari hingga 6 Februari ini.

Jurucakap dari Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sri Aman, Stanley Clarence Eddie menerusi siaran medianya memberitahu beberapa aktiviti menarik telah pun dirancang untuk menjayakan sambutan perayaan terbabit.

“Antara aktiviti terbabit ialah Majlis Perasmian Rumah Terbuka Chap Goh Mei 1 Malaysia yang berlangsung di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman bermula jam 7 malam pada 30 Januari ini.

“Turut diadakan juga ialah acara Perarakan Kereta Berhias yang akan berlangsung di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman bermula jam 6 petang pada 6 Februari,” menurut beliau.

Disamping itu, pihaknya kata Stanley bakal menganjurkan Pertandingan Perarakan Tanglung dan Pertandingan Kereta Berhias yang juga dijadualkan bermula dari jam 6 petang pada 6 Februari ini.

Pertandingan ini katanya terbuka kepada semua agensi Kerajaan Negeri, agensi Kerajaan Persekutuan, agensi Swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari kawasan Sri Aman dan Lubok Antu.

“Justeru mereka yang berminat untuk menyertai kedua-dua pertandingan berkenaan boleh mendapatkan borang masing-masing dari Pejabat Pelajaran Daerah mulai sekarang,” menurut beliau.

Tamat.

26 January, 2012

Part 1 - Sekitar sport check Skim Kawalan Harga sempena TBC di Sri Aman


Chief KPDKK Sri Aman, Wan Roslan (pegang kertas) : "Aik, buah getah pun jual ka? Tak pa lah tada masuk SKH,"



Earl dari Pejabat Kesihatan Sri Aman sedang mempromosi perut ketika berlangsung
kempen sport check itu


Tauke (baju putih) : "Mari tuan beli ini kobis. India mari punya,"


Wan Roslan (kiri) : "Kadam, dengar sini. Lepas ni i mau u check kedai jual itit, buaya, kelawar, unta dan ikan paus di sini...faham?

Kadam (kanan) : "Yes boss,"

Tuan Residen (tengah) :"INi kadam bagus,"

Saya masih ahli Parti SUPP - Harden

Mugsot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Khamis (26 Jan) – Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau telah keluar dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) sebelum ini.

Khabar angin ini dipercayai timbul setelah kumpulan pimpinan Dato Seri Wong Soon Koh yang disertai beliau bertindak memboikot Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) SUPP di Kuching pada akhir tahun lepas.

“Saya masih lagi seorang ahli SUPP, masih seorang wakil rakyat dan juga masih seorang menteri kabinet bermula dari dulu hingga sekarang.

“Khabar angin yang mengatakan saya sudah keluar dari SUPP adalah tidak benar. Justeru saya berharap agar semua pihak tidak mempercayai khabar angin tersebut selepas ini,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Mari – Mari Cafe, Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau bersama kumpulannya juga akan tetap menantikan keputusan pihak Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (ROS) berhubung krisis yang berlaku pada TDC parti SUPP lepas.

“Bagaimanapun kumpulan kami akan mengikut apa yang terbaik daripada pihak atas parti. Jika SUPP mahukan transformi maka kami akan ikut selagi ia memberi kebaikan kepada semua pihak,” katanya.

Harden turut memberitahu pemberita bahawa beliau akan turun padang ke cawangan –cawangan parti SUPP di kawasan Sri Aman selepas ini untuk menjelaskan lebih lanjut tentang isu berkenaan.

Hadir sama bagi menyaksikan upacara penyerahan cek ini ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim dan ketua jabatan kerajaan di sini.


Tamat.





Belia Penempatan Kampung Pulau Seduku Lingga gotong-royong bina padang bola



Caption:

1. UNTUK ALBUM...Para belia sedang bergambar kenangan ketika berlangsungnya projek gotong-royong membina padang di Penempatan Baru Kampung Agropolitan Pulau Seduku kelmarin.

2. KERJASAMA...Para belia kelihatan sibuk membina padang bola di Penempatan Baru Kampung Agropolitan Pulau Seduku kelmarin.

LINGGA, Khamis (26 Jan) –Penduduk Penempatan Baru Kampung Agropolitan Pulau Seduku, Lingga mengadakan Program Gotong-Royong membina padang futsal dan padang bola sepak di situ kelmarin.

Jurucakap penganjur memberitahu gotong-royong membina padang di atas kawasan tanah paya itu adalah merupakan inisiatif JKKK Pulau Seduku yang di pengerusikan oleh Ketua Kampung Mohd. Salleh bin Jon dan setiausahanya Arip Abong.

Katanya Program Gotong-Royong membina padang futsal dan padang bola sepak ini telah disertai seramai 53 orang golongan belia dan remaja daripada penempatan berkenaan.

“Golongan belia dan remaja di Penempatan Baru Kampung Agropolitan Pulau Seduku, Lingga tidak mempunyai kawasan padang untuk tujuan riadah pada waktu lapang selama ini.

“Justeru atas sebab ini, golongan belia dan remaja telah bertindak untuk mengadakan aktiviti gotong-royong bagi membina kedua-dua jenis padang berkenaan bagi tujuan riadah selepas ini,” katanya.

Walaupun kerja membuang akar kayu atau ‘ugak’ kayu agak sukar namun ia katanya langsung tidak mematahkan semangat belia dan remaja yang mahu menyaksikan kewujudan padang berkenaan di penempatan mereka selepas ini.

Golongan belia sememangnya amat memerlukan padang futsal atau dewan serbaguna bagi tujuan riadah disamping menjalankan aktiviti sihat di Penempatan Baru Kampung Agropolitan Pulau Seduku, Lingga.

“Atas sebab ini golongan belia amat berharap agar Ahli Parlimen Batang Lupar iaitu Datuk Hajah Rohani Abdul Karim Ahli Parlimen Batang Lupar dapat menghulurkan bantuan bagi merealisasikan impian tersebut di masa akan datang,” katanya.

Golongan belia katanya juga mengucapkan jutaan terima kasih di atas sumbangan bernilai RM4,000 kepada golongan belia dan sumbangan tersebut akan digunakan oleh mereka dengan sebaik mungkin selepas ini.

“Ikrar belia Penempatan Baru Kampung Agropolitan Pulau Seduku, Lingga ialah "Belia Bersatu Berganding Bahu Memenangi Pilihanraya Parlimen Batng Lupar 2012, berdiri teguh di belakang YB Datuk,” katanya.

Tamat.

Harden agih RM71,000 kepada 16 JKKK, persatuan, sekolah dan surau di Sri Aman


Caption: TERIMALAH...Datuk Harden sedang menyerahkan cek MRP kepada Pengetua Cemerlang SMK Simanggang, Joseph Junting Resa ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Khamis (26 Jan) – Duit peruntukan Projek Kecil Luar Bandar atau MRP yang sering disalurkan kepada penduduk selama ini adalah merupakan milik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis mahu agar semua penduduk tidak menganggap duit MRP berkenaan adalah milik wakil rakyat BN selepas ini.

“MRP bukan datang daripada wakil rakyat sebaliknya daripada kerajaan BN itu sendiri. Kerajaan menyediakan peruntukan MRP kepada setiap wakil rakyat BN untuk disalurkan kepada penduduk dalam kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Mari- Mari Cafe, Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga mahu setiap persatuan atau Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mengumumkan perkara mengenai penerimaan MRP daripada kerajaan dikalangan anak buah masing-masing selepas itu.

“Ia penting agar anak buah masing-masing tahu bahawa JKKK atau persatuan mereka telah menerima peruntukan daripada kerajaan. Jika tidak penduduk akan mendakwa kerajaan tidak menghulurkan MRP kepada mereka di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu beliau telah menyampaikan cek MRP bagi tahun 2012 yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM71,000 kepada 16 buah JKKK, sekolah, persatuan dan surau menerusi majlis berkenaan.

Isteri beliau iaitu Datin Simba Nalang turut menyerahkan cek bantuan bernilai RM3,000 daripada pihak Persatuan Isteri-Isteri Menteri Sarawak atau SABATI kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bahagian Sri Aman.

Hadir sama bagi menyaksikan upacara penyerahan cek ini ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim dan ketua jabatan kerajaan di sini.

Tamat.

Fakir miskin dari Kampung Perpat, Saratok di bantu


Caption: PRIHATIN...Salim (kiri) menyerahkan bantuan kepada Jub (kanan) sambil disaksikan oleh Shamsul (kiri sekali) ketika berlangsungnya upacara itu baru-baru ini.

SARATOK (26 Jan) – Pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Pejabat Cawangan Sri Aman telah menghulurkan bantuan sara hidup kepada Jub bin Aron dalam Operasi Jejak Fakir (Ops JaKir) di sekitar Kampung Perpat, Saratok baru-baru ini.

Ops JaKir yang dilaksanakan tiga bulan sekali dalam tempoh setahun itu bertujuan untuk mengenalpasti golongan fakir yang hidup dalam kedaifan dan sukar untuk dikesan ekoran penempatan mereka yang jauh dari kawasan perhubungan darat.

Jub yang turut dibantu oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya tinggal sebatang kara selama ini juga telah menghabiskan sisa-sisa hidup tanpa bekalan air yang bersih dan elektrik.

Ketua Kampung Perpat, Kipli bin Tapa memberitahu Jub mempunyai sanak-saudara terdekat namun kebanyakannya hidup berhijrah di luar kampung dan pernah ditawarkan kepada beliau untuk tinggal bersama.

“Namun beliau menolak untuk tinggal bersama mereka. Atas sebab ini Jub masih meneruskan hidup dengan penuh kedaifan sebelum agensi kerajaan tampil turun padang untuk membantu mengurangkan bebanan beliau,” katanya.

Sementara itu Ketua Zon Selatan TBS, Shamsul Bahri Manap ketika mengetuai operasi tersebut memohon agar masyarakat setempat memaklumkan kepada pihak TBS sekiranya terdapat golongan yang benar-benar memerlukan bantuan di kawasan mereka selepas ini.

“Tindakan masyarakat setempat ini amat penting agar pihak kita dapat turun padang untuk membantu mengurangkan bebanan mereka dari segi keperluan asasi dan sebagainya selepas itu,” kata beliau.

Hadir sama bagi menyaksikan upacara penyerahan bantuan sara hidup kepada Jub bin Aron ialah Ketua Unit Kanan Wakaf, Salim bin Bujang dan Ketua Unit Wakaf, Wan Alamsyah bin Wan Senawi.

Tamat.

Harden meriahkan sambutan Tahun Baru Cina di Sri Aman



Caption:

1. SEDIA...Harden sedang membakar sumbu mercun sebagai simbolik sambutan Tahun Baru Cina ketika berkunjung ke kediaman Temenggong Sii Toh Peng kelmarin.

2. TERIMA KASIH...Kapitan Ted Bong Choi menyerahkan cenderamata kepada Harden ketika mengadakan kunjungan ke kediaman ketua kaum itu di Lachau, Pantu.

SRI AMAN, Rabu (25 Jan) – Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis telah mengadakan kunjungan Perayaan Tahun Baru 2012 bermula 23 Januari lalu hingga hari ini.

Bagi sambutan pertama perayaan Tahun Baru Cina, beliau bersama rombongan telah berkesempatan mengadakan kunjungan ke kediaman Temenggong Sii Toh Peng, Kapitan Kiew Si Ted dan Kapitan Kueh Aik Seng.

Menerusi kunjungan itu Harden dan rombongan mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan ketua kaum terbabit dan juga ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang di sini.

Pada sambutan kedua perayaan Tahun Baru Cina pula, Harden bersama rombongan telah mengadakan kunjungan ke kediaman ketua kaum dan ahli SUPP di kawasan Lachau, Pantu.

Beliau telah meluangkan masa selama empat jam untuk melawat dan beramah mesra bersama ketua kaum dan ahli SUPP di kawasan Lachau, Pantu sebelum berangkat pulang ke Sri Aman.

Kunjungan Harden dan rombongan sempena perayaan Tahun Baru Cina 2012 nyata belum tamat apabila beliau telah berkunjung ke Pekan Lingga untuk mengunjungi ketua kaum Cina dan ahli parti SUPP pada hari ini.

Beliau ketika ditemui kelmarin berharap agar penduduk berbilang kaum di Sri Aman mengamalkan budaya ziarah-menziarahi antara satu sama lain ketika berlangsungnya perayaan utama di negeri ini.

“Budaya seperti ini secara tidak langsung akan menjayakan perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi menyatu-padukan semua penduduk

“Saya juga yakin budaya seperti ini akan membantu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju hasil perpaduan antara semua penduduk berbilang kaum pada masa akan datang,” katanya.

Justeru Harden berharap agar penduduk berbilang kaum di Sri Aman tidak mudah terjerumus dalam pelbagai isu yang membabitkan sentimen perkauman demi kesejahteraan hidup mereka selepas ini.

Tamat.



Singkir sikap perkauman - Nyalau


Caption: CERIA...Nyalau dan Rayong (tengah) ketika bersama ketua kaum Iban di rumah Kanselor Lai bersempena sambutan Tahun Baru Cina di Engkilili kelmarin.

ENGKILILI, Rabu (25 Jan) – Sikap perkauman perlu disingkirkan dalam diri setiap penduduk berbilang kaum dalam negeri ini demikian menurut nasihat Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Sikap seperti itu kata Nyalau hanya akan melebarkan lagi jurang perpaduan di antara penduduk berbilang kaum dan seterusnya mampu menganggu kestabilan politik dalam negeri ini.

“Sebab itulah Gagasan 1 Malaysia diperkenalkan demi membolehkan semua kaum bernaung di bawah satu bangsa Malaysia yakni memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan di antara mereka selepas itu.

“Perpaduan di bawah nama bangsa Malaysia ini secara tidak langsung akan mewujudkan satu platform politik yang stabil demi memajukan lagi negara kita khasnya negeri Sarawak pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu beliau juga mahu penduduk sedar bahawa keamanan yang dikecapi oleh mereka pada masa sekarang adalah disebabkan oleh kebijaksanaan para pemimpinnya dalam menyatu-padukan hidup mereka selama ini.

Perlaksanaan pelbagai program bercorak perpaduan menerusi media massa dan ‘atas padang’ kata Nyalau nyata menyumbang kepada faktor kemajuan negeri yang dihasilkan menerusi usaha tersebut.

“Justeru saya berharap agar lebih banyak persatuan turun padang untuk menjayakan perlaksanaan program perpaduan oleh pihak kerajaan di kawasan masing-masing selepas ini,” katanya.

Terdahulu beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa dan ketua kaum Iban telah mengadakan kunjungan perayaan Tahun Baru Cina di kediaman Kanselor Lai Chaw Soon di Jelukong, Engkilili, kelmarin.

Beliau bersama Rayong dan rombongan yang lain telah meluangkan masa selama sejam di kediaman Kanselor Lai sebelum berangkat untuk mengadakan kunjungan yang sama di kediaman penduduk Cina yang lain.

Tamat.




24 January, 2012

Jangan abaikan perpaduan - Masir


Caption: UNTUK ALBUM...Masir (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama ketua kaum Iban dan Cina di kediaman Temenggung Sii Toh Peng kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (24 Jan) – Rakyat berbilang kaum di negeri ini tidak harus mengabaikan betapa pentingnya aspek perpaduan yang diterapkan dalam kehidupan diri masing-masing selama ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata hubungan perpaduan yang kukuh dikalangan rakyat berbilang kaum akan mewujudkan kestabilan politik negara khasnya dalam negeri Sarawak dari masa ke semasa.

“Atas sebab inilah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sering mengalakkan semua rakyat berbilang kaum di negeri ini untuk saling bersatu-padu dan hidup dalam satu rumpun bangsa demi mengeratkan hubungan perpaduan dikalangan mereka.

“Saya yakin kestabilan politik yang wujud hasil daripada hubungan perpaduan ini akan dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara khasnya negeri Sarawak pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu Masir juga berharap agar rakyat berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman untuk mengutamakan kepentingan pembangunan hidup daripada kepentingan peribadi masing-masing.

Dengan kata lain rakyat berbilang kaum kata beliau perlu terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) demi menjamin masa depan pembangunan hidup mereka selepas ini.

“Kerajaan BN dapat menjamin masa depan hidup rakyat dalam negara ini termasuk Sarawak dari segi pelbagai aspek sekiranya terus mendapat sokongan daripada mereka pada PRU13 akan datang.

“Justeru saya berharap agar sokongan rakyat terhadap Kerajaan BN tidak diganggu oleh kepentingan peribadi masing-masing berbanding pembangunan pada PRU13 ini nanti,” menurut beliau.

Terdahulu Masir bersama isteri serta ketua kaum dalam kawasan Sri Aman telah meluangkan masa untuk berkunjung ke Rumah Terbuka Temenggong Sii Toh Peng bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina kelmarin.

Utusan Sarawak turut difahamkan bahawa Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden Hollis turut melakukan kunjungan ke rumah ketua kaum Cina di Sri Aman bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina.

Tamat 

Tuai Rumah perlu nyatakan jumlah MRP yang diterima daripada kerajaan kepada rakyat

Caption: SELAMAT DATANG...Nyalau (hadapan) bersama Rayong (belakang) ketika diringi penduduk sebaik sahaja tiba di Rumah Panjang Merindun Skim kelmarin.

ENGKILILI, Selasa (24 Jan) – Tuai Rumah harus jujur memberitahu anak buahnya tentang jumlah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang disalurkan oleh kerajaan menerusi wakil rakyat untuk rumah panjang mereka selepas ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata ia penting agar penduduk yang berada di bawah pentadbiran rumah panjang itu mengetahui jumlah MRP yang disalur bagi tujuan pembangunan rumah panjang masing-masing.

“Kita tidak mahu timbul perbalahan berhubung jumlah sebenar peruntukan MRP oleh kerajaan dikalangan penduduk rumah panjang terbabit disebabkan oleh kegagalan oleh Tuai Rumah menjelaskan perkara itu kepada mereka.

“Justeru Tuai Rumah perlu bertindak segera mengadakan mesyuarat dengan penduduk di bawah jagaan mereka untuk menerangkan jumlah peruntukan MRP yang telah diterima daripada kerajaan selepas itu,” katanya.

Beliau menyampaikan nasihat ini berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Irak, Merindun Skim dalam kawasan daerah kecil Engkilili kelmarin.

Selain itu Nyalau juga menasihatkan penduduk khasnya dalam kawasan Lubok Antu untuk menolak segala pembohongan yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang di kawasan mereka.

“Berilah sokongan kepada saya sekiranya saya dipilih semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang demi masa pembangunan kawasan kita,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas bagi Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja Maba Ricky dan ketua kaum di sini.

Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan MRP bernilai RM7,000 kepada JKKK Tuai Rumah Irak dan RM3,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Tamat…




Syarikat Lian Huat Enterprise sponsor baju untuk perarakan Cap Goh Mei di Engkilili


Caption: TERIMALAH...Kuang Hang (dua kiri) menyampaikan sumbangan bentuk baju 1Malaysia kepada Nyalau dalam majlis itu.

ENGKILILI, Selasa (24 Jan)  – Sambutan Perayaan Cap Goh Mei yang akan berlangsung di Pekan Engkilili pada 1Februari ini nanti nyata telah diserikan lagi sumbangan baju bagi tujuan perayaan itu oleh Syarikat Lian Huat Enterprise.

Syarikat Lian Huat Enterprise menerusi pengurusnya Sing Kuang Hang telah menyumbang sejumlah 200 helai baju kepada Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak menerusi majlis ringkas di Tepekong Cina Engkilili kelmarin.

“Kesemua baju ini akan digunakan oleh para barisan ketua kaum dan penduduk tempatan yang akan menyertai perarakan bersempena dengan sambutan Perayaan Cap Goh Mei di Pekan Engkilili kelak.

“Justeru Syarikat Lian Huat Enterprise berharap agar sumbangan ini secara tidak langsung akan dapat menghimpunkan kesemua penduduk berbilang kaum dalam suatu perayaan utama selepas ini,” katanya.

Terdahulu Perayaan Cap Goh Meh disambut pada setiap tahun di Pekan Engkilili setelah berakhirnya sambutan Perayaan Tahun Baru Cina yang disambut oleh masyarakat Cina di di situ.

Majlis sambutan Perayaan Cap Goh Mei yang bakal diselitkan dengan perarakan Juntoi dengan ribuan orang penduduk hadir bagi menyaksikan acara itu nanti di Pekan Engkilili akan dirasmikan oleh William Nyalau.

Tamat….



Rohani kunjung rumah Ketua Kaum Cina sempena TBC 2012


Pix by Kapitan Yap Kuat Kee

SATU MALAYSIA... Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim (duduk tengah empat kanan) sedang merakamkan gambar kenangan ketika mengadakan kunjungan perayaan Tahun Baru Cina 2012 di kediaman Kapitan Kuek Aik Seng dan isteri, Alice Wee (tengah) di Bandar Sri Aman pagi kelmarin. Rohani pada majlis itu turut menyampaikan ang pau kepada tiga orang Warga Emas di kediaman Kuek. Selain mengadakan kunjungan ke kediaman Kuek, beliau juga turut mengambil kesempatan untuk mengadakan kunjungan ke kediaman Temenggong Sii Toh Peng dan ketua kaum Cina yang lain dalam bandar Sri Aman. Hadir sama ialah Pemanca Mas Shamsiah Haji Maslem dan Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Bakthiar Haji Matan. 

Happy Chinese New Year 2012 my friend

Harap ini Tahun Naga ada kasi kita simua sinang lenang manyak harta masyok ooo... Happy TBC

YB Rayong anjur majlis makan malam bersama media dan ketua kaum

Caption: UNTUK ALBUM...Rayong (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenangan  bersama ketua kaum dan pemberita ketika berlangsungnya majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (21 Jan) – Peranan media massa dan ketua kaum dalam menyebarkan dasar pembangunan kerajaan dikalangan rakyat nyata dihargai oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Ia terbukti apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa menganjurkan Majlis Makan Malam sempena Penghargaan Media Massa Dan Ketua Kaum di sebuah restoran dalam bandar ini malam tadi.

Rayong ketika ditemui berkata para ketua kaum dan media massa memainkan peranan dalam mengajak rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan BN dalam membangunkan kawasan mereka selama ini.

“Media massa menyalurkan segala maklumat daripada kerajaan BN menerusi akhbar, radio atau televisyen kepada para rakyat manakala ketua kaum turun pula padang untuk memberitahu mereka mengenai dasar itu.

“Dasar yang disampaikan kepada rakyat secara tidak langsung menyakinkan mereka untuk terus memberi komitmen dan kerjasama kepada kerajaan BN dalam membangunkan kawasan penempatan masing-masing selepas itu,” katanya.

Selain itu beliau juga berharap agar rakyat terus menyokong kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang demi meneruskan agenda pembangunan di kawasan mereka.

Rakyat kata Rayong perlu maklum bahawa kerajaan BN mempunyai rekod perancangan pembangunan yang cemerlang disamping berpengalaman dalam mewujudkan kestabilan politik di negeri ini.

“Justeru rakyat khasnya dari kawasan luar bandar perlulah mengekalkan kerajaan yang sedia ada pada masa sekarang demi memastikan kemenangan BN pada PRU13 akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba, Pegawai JASA DUN Batang Ai, Lindalyn Kawi, Pegawai JASA DUN Engkilili, Edwin Ancheh, wakil RTM Sri Aman, Edwin Nanggah, para pemberita dan ketua kaum di sini.

Tamat.

Guru jangan kecewakan harapan ibubapa kata Rayong

Caption: TERIMA KASIH...Rayong sedang menerima cenderamata daripada Burong sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

ENGKIILILI, Sabtu (21 Jan) – Para guru dinasihatkan agar tidak mengecewakan harapan ibubapa khasnya dari kawasan pendalaman yang mahu melihat anak mereka berjaya dalam bidang akademik selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata kejayaan anak-anak dalam bidang akademik bakal mengubah masa depan hidup mereka selepas itu.

“Sebab itulah ibubapa meletakkan harapan yang tinggi di bahu para guru yang menjadi pengasuh dan ‘ibubapa kedua’ kepada anak-anak ketika menimba ilmu pelajaran di sekolah.

“Atas sebab ini para guru perlu komited dan bertanggungjawab ketika mendidik anak-anak dan memastikan mereka terus berjaya hingga ke puncak menara gading pada masa akan datang,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menyambut Kedatangan Dan Perpisahan Kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Engkilili No.1 di dewan makan sekolah tersebut hari ini.

Selain itu beliau juga meminta para guru khas dari sekolah kawasan pendalaman untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

“Para guru berkhidmat untuk kerajaan yang menaungi mereka. Justeru para guru wajar menyokong kerajaan BN demi memastikan kesinambungan pelan pembangunan di kawasan mereka,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Lubok Antu, Baba Minggu, Guru Besar SK Engkilili No.1, Burong anak Beti dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Dan Guru SK Engkilili No.1, Melor Agan.

Tamat.

Pencuri motor kena kejar tak tukar plet


SRI AMAN, Sabtu (21 Jan) – Satu episod kejar-mengejar menggunakan motorsikal antara saspek pencuri dan orang awam telah dilaporkan berlaku dalam kawasan Bandar Sri Aman sekitar jam 10 malam kelmarin.

Sumber memberitahu kisah bermula apabila motorsikal dipercayai milik seorang kakitangan kerajaan hilang dicuri pada waktu malam di luar kawasan rumahnya sendiri kira-kira tiga hari lepas.

“Si pemilik motorsikal berkenaan terus membuat laporan polis sambil menghubungi rakan-rakan dan sanak-saudaranya untuk memantau sekitar kawasan Sri Aman bagi mencari motorsikal terbabit,” kata sumber.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila seorang rakan mangsa terserempak dengan sebuah motorsikal dipercayai milik mangsa yang sedang ditunggang oleh seorang lelaki dalam kawasan bandar ini malam kelmarin.

Kata sumber, rakan mangsa menjadi semakin syak apabila nombor plat pendaftaran dan jenis motorsikal yang digunakan oleh lelaki itu kelihatan sama seperti motorsikal milik mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Dari situ bermulalah adegan kejar-mengejar dengan motorsikal dalam bandar ini antara rakan mangsa dan lelaki yang dipercayai telah mencuri motorsikal milik mangsa berkenaan.

“Adegan kejar-mengejar ini telah berlarutan sehingga ke kawasan Pasir Panas sehingga lelaki tersebut bertindak merebahkan motorsikal terbabit dan seterusnya melarikan diri ke kawasan timbunan pasir di situ,” kata sumber.

Rakan-rakan mangsa kemudiannya bertindak mencari lelaki yang dipercayai telah mencuri motorsikal berkenaan namun gagal memandangkan kejadian itu berlaku pada waktu malam.

“Mungkin saspek melarikan diri ke kawasan sawah atau paya pada malam itu. Bagaimanapun keberanian lelaki terbabit menunggang motorsikal curi itu menjadi tanda tanya dikalangan rakan mangsa.

“Pencuri biasanya menanggalkan atau menukar plat pendaftaran motorsikal yang baru dicuri. Namun individu ini nyata masih berani menunggang motorsikal curi ini dikawasan pasar tanpa mengubahsuai motorsikal berkenaan,” kata sumber.

Tamat.








20 January, 2012

Loji perawatan air RM49 juta dibina di Lubok Antu

Caption: RASMI...Entrie sedang menyempurnakan simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh (dari kanan) Cassidy, Nyalau, Mussen, Rayong dan Johnathan di sini hari ini.

LUBOK ANTU, Jumaat (20 Jan) – Masalah kekurangan bekalan air di kalangan penduduk Lubok Antu dijangka bakal selesai pada tahun hadapan dengan adanya projek pembinaan Loji Perawatan Air di sini.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan berkata projek yang menelan kos sebanyak RM49 juta itu akan mengambil tempoh selama 18 bulan untuk disiapkan.

“Sejumlah 20,000 orang penduduk dari lapan buah rumah panjang atau kampung bakal mendapat manfaat dengan adanya perlaksanaan Loji Perawatan Air Lubok Antu terbabit yang dijangka siap pada 12 April tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Muda Kemudahan Awam, Datuk Sylvester Entrie Muran ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Lubok Antu di Wong Entungan, Jalan Batu Kaya di sini hari ini.

Selain itu Loji Perawatan Air Lubok Antu yang baru ini nanti akan mampu membekalkan sejumlah 7.5 juta liter air sehari berbanding Loji Perawatan Air di Sungai Lemanak yang hanya mampu membekalkan sejumlah 3.0 liter juta air sehari.

Loji Perawatan Air di Sungai Lemanak itu kata Awang hanya mampu membekalkan air terawat kepada 7,500 orang penduduk dalam kawasan Lubok Antu jika mengikut statistik yang dikeluarkan oleh loji berkenaan.

“Disebabkan oleh perkara ini maka sejumlah 14,770 orang penduduk di Lubok Antu masih bergantung kepada air sungai, air hujan, telaga dan sebagainya untuk tujuan keperluan asas masing-masing.

“Justeru kita berharap agar projek terbaru ini akan mampu memberi kemudahan kepada semua penduduk Lubok Antu selaras dengan hasrat kita untuk memberikan kemudahan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Loji Perawatan Air terbaru ini nanti akan dapat membekalkan bekalan air ke rumah panjang sepanjang kawasan Nanga Bulo hingga ke jalan Lubok Antu dan juga dari Nanga Kesit ke Merindun.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pegawai daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat dan Jurutera JKR Bahagian Sri Aman, Cassidy morris.

Tamat.

Kumpulan SPDP5 belum fikir mahu tubuh parti baru - Entrie


LUBOK ANTU, Jumaat (20 Jan) – Kumpulan SPDP5 masih belum mempunyai sebarang hasrat untuk menubuhkan sebuah parti baru semenjak keahlian mereka dalam Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) diberhentikan sebelum ini.

Lima anggota kumpulan SPDP5 ini ialah ADUN Marudi, Datuk Sylvester Entrie Muran, ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian, Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe, ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan  ADUN Bekenu, Rosey Yunus.

“Kami berlima masih belum memikirkan perkara itu...namun kita tunggu dan lihat sajalah,” kata Sylvester ketika ditanya oleh pemberita mengenai hasrat mereka untuk penubuhan parti baru selepas dipecat dari SPDP.

Kumpulan SPDP5 ini tambah beliau masih lagi kekal sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memandangkan mereka telah dipilih oleh rakyat (menerusi tiket BN) pada pilihan raya umum lepas.

Atas sebab ini kumpulan SPDP5 kata Entrie akan tetap meneruskan tugas sebagai wakil rakyat di dalam kawasan DUN atau Parlimen masing-masing walaupun tidak bersama SPDP.

“Soal sama ada kami berlima di dalam atau di luar parti itu (SDPD) adalah tidak penting. Paling penting sekali ialah kelima-lima kami perlulah terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing dari masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu keputusan percalonan semula Datuk Tiki Lafe di Parlimen Mas Gading pada pilihan raya umum akan datang tegas beliau sebenarnya bergantung kepada pihak pemimpin atasan BN iaitu Ketua Menteri dan Perdana Menteri.

Tiki menurut Slyvester masih kerap turun padang menemui rakyat di dalam kawasan parlimennya selama ini walaupun kerja yang beliau lakukan tidak diketahui oleh ramai pihak.

“Mungkin ia disebabkan oleh kekurangan publisiti daripada pihak media. Justeru mereka yang mengatakan Tiki kurang turun padang selama ini adalah merupakan cerita rekaan daripada ahli-ahli SPDP yang tidak senang terhadap beliau,” katanya.

Slyvester yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam juga yakin bahawa Tiki adalah merupakan calon yang boleh menang di kerusi Parlimen Mas Gading sekiranya beliau diberi kepercayaan untuk bertanding semula di situ pada pilihan raya umum nanti.

Terdahulu beliau telah mewakili Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan bagi merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Lubok Antu di Wong Entungan, Jalan Batu Kaya di sini hari ini.

Tamat.

Hormati SKH Tahun Baru Cina - Johnathan Lugoh


Caption: SEDIA...Johnathan (lima kanan) bersama Roslan (kiri) ketika bersama kakitangan pemantau SKH di Pasar Tamu Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Khamis (19 Jan) – Peniaga dalam kawasan Sri Aman dinasihatkan untuk mematuhi perlaksanaan Skim Kawalan Harga (SKH) Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 yang berkuatkuasa mulai 19 hingga 30 Januari ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh berkata demikian kepada pemberita ketika berlangsungnya sesi Pemeriksaan Perlaksanaan SKH Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Tamu Sri Aman hari ini.

Walaupun tanpa kehadiran pihak penguatkuasa SKH di tapak perniagaan, para peniaga kata beliau perlulah mengamalkan sikap bertanggungjawab untuk mematuhi perlaksanaan skim itu dari masa ke semasa.

“Permintaan penduduk terhadap pelbagai barangan sememangnya akan meningkat mendadak berbanding hari biasa lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya musim perayaan dalam negeri ini.

“Akan ada peniaga yang cuba menaikkan harga barang berdasarkan faktor ini. Justeru SKH diperkenalkan bagi membendung kenaikan harga barang ini dengan kesemua peniaga perlu menghormati skim itu sehingga ia tamat pada hujung bulan ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berkhemah ketika berbelanja menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.

Terdahulu seramai 10 orang kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Sri Aman, empat kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman, empat orang pelajar dan seorang Pegawai Hal Ehwal Pengguna telah turun padang bagi menjayakan sesi pemeriksaan SKH itu.

Sesi pemeriksaan SKH yang bermula jam 9 pagi di Pasar Tamu dan beberapa buah premis perniagaan dalam bandar ini telah diketuai Johnathan dan Ketua Pejabat KPDNKK Bahagian Sri Aman iaitu Wan Roslan Esmanto Wan Johari.

Sejumlah 12 buah barang disenarai dalam SKH Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 antaranya ialah Ayam Hidup, Ayam Standart, Ayam Super, Telur Ayam Gred A, B, C, Kubis Bulat Import, Bawang Putih (China), Ikan Bawal Putih Besar, Udang Putih Besarm Daging Babi (perut) dan Daging Babi (daging dan lemak).

Tamat.