Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 February, 2012

YB Mong tinjau 4 keluarga miskin di Entulang Jalai, Sri Aman


Caption: PRIHATIN...Mong (tengah) bersama rombongan ketika bergambar kenangan bersama keluarga miskin di Entulang Jalai, Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Isnin (6 Feb) - Masalah kekurangan kemudahan asas dan perhubungan yang dihadapi oleh empat buah keluarga miskin dari kampung Entulang Jalai, Sri Aman telah mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.

Ia terbukti apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan merangkap Menteri Muda Permodenan Pertanian iaitu Datuk Mong Dagang melakukan lawatan ke kediaman keluarga miskin tersebut pada hari ini.

Disebabkan ketiadaan kemudahan jalan raya, Mong bersama rombongannya telah berjalan kaki dengan meredah kawasan kebun getah selama 10 minit demi menemui keluarga miskin berkenaan.

Hasil tinjauan beliau mendapati bahawa empat buah keluarga yang terdiri 20 orang penduduk ini juga masih belum mengecapi kemudahan elektrik disamping tinggal dalam rumah yang sudah usang.

“Mereka terdiri daripada orang berkeupayaan dan Warga Emas. Ketiadaan elektrik dan jalan raya menyebabkan kesemua empat buah keluarga tersebut hidup dalam keadaan daif hingga sekarang.

“Atas sebab ini saya akan meminta pihak Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi perhatian serius terhadap nasib keluarga miskin itu dengan memperbaiki rumah mereka selepas ini,” katanya kepada pemberita.

Selain itu Mong juga berharap agar kemudahan jalan raya dapat dibina menuju ke rumah keluarga berkenaan memandangkan golongan Warga Emas berdepan dengan masalah ketika merentasi kebun getah untuk kawasan jalan raya utama.

Justeru beliau akan terus mengikuti perkembangan tindakan bantuan agensi kerajaan khasnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam membantu mengurangkan masalah empat buah keluarga tersebut dari masa ke semasa.

Terdahulu Mong menerusi sesi lawatan berkenaan telah menyerahkan wang bantuan bernilai RM4,000 bagi tujuan pembelian enjin janakuasa elektrik yang akan dikongsi bersama oleh empat buah keluarga tersebut.

Tamat.


No comments:

Post a Comment