Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 February, 2012

Sri Aman sesak kerana BR1M


Caption: SESAK...Gambar pada hari Rabu lepas menunjukkan kawasan perkarangan luar pejabat LHDN Sri Aman dibanjiri oleh penduduk yang mahu memeriksa status permohonan BR1M masing-masing.

SRI AMAN, Ahad (5 Feb) - Keadaan trafik dalam kawasan Bandar Sri Aman telah menjadi sesak berbanding biasa bermula dari hari Rabu hingga Jumaat lepas hanya disebabkan oleh faktor Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M.

Bermula jam 7.30 pagi, tempat parkir kenderaan di bangunan Lot 916, Jalan Hospital mula dipenuhi oleh kenderaan milik penduduk yang mahu menyemak keputusan permohonan BR1M di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri berdekatan kawasan tersebut.

Begitu juga dengan kawasan bangunan Pejabat Daerah dan Pejabat Residen Sri Aman yang turut dibanjiri oleh kenderaan penduduk yang juga mengetahui nasib permohonan BR1M masing-masing.

Namun begitu tinjauan media lebih tertumpu terhadap ragam ratusan orang pemohon BR1M yang membanjiri kawasan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam bandar ini semenjak hari Rabu lepas.

Dengan ketidakupayaan pejabat LHDN menampung jumlah kehadiran ratusan orang pemohon, pengendali BR1M dilihat terpaksa berdiri di atas kenderaan pacuan empat roda untuk mengumumkan nama para pemohon di bawah panas terik matahari berhubung urusan bantuan itu.

Keadaan seperti itu berterusan sehingga hari Khamis sebelum pihak pejabat LHDN bertindak mendirikan kanopi bagi memberi perlindungan terhadap ratusan orang pemohon yang hadir bagi memeriksa status permohonan mereka pada hari Jumaat.

"Saya tidak rela memandu keluar dari tempat parkir bermula dari hari itu (Rabu). Jika saya keluar maka saya tidak akan memperoleh tempat parkir sehingga jam 5 petang," kata seorang penghuni bangunan Lot 916, Jalan Hospital.

Katanya lorong jalan di kawasan bangunan Lot 916 mula menjadi sesak dengan kenderaan yang parkir dan lalu-lalang milik pemohon BR1M yang mahu berurusan di pejabat tersebut.

Sambil menyifatkan ia hanya masalah sementara, masalah kesesakan tempat parkir yang disebabkan oleh BR1M kata beliau sememangnya tidak dielakkan bermula dari hari Rabu hingga Jumaat lepas.

"Cuma hari Sabtu dan hari ini (Ahad) sahajalah laluan lorong di sini mula tenang memandangkan pejabat kerajaan tersebut ditutup pada cuti umum. Namun saya yakin senario yang sama akan berulang bermula hari Isnin hingga Jumaat kelak," katanya.

Pemerhatian pihak media juga mendapati bahawa terdapat individu yang bijak memanfaatkan keadaan ini dengan mengambil peluang untuk menjual air minuman terhadap pemohon BR1M di situ.

Tamat







No comments:

Post a Comment