Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 February, 2012

PPWS Kampung Tengah adakan Hari Keluarga 2012

Caption: UNTUK ALBUM...Nur Khatijah (kiri sekali) ketika mengetuai penghakiman acara Memasak Pulut Kuning bersempena dengan program tersebut baru-baru ini.


MELUDAM, Jumaat (3 Feb) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Tengah, Meludam telah menganjurkan Hari Keluarga 2012 bertempat di bangunan pertubuhan berkenaan baru-baru ini.

Pengerusi PPWS Kampung Tengah, Jamayah Ambi ketika berucap pada majlis itu berkata program berkenaan bertujuan untuk menjalin hubungan kekeluargaan di antara para ahli PPWS.

“Program Hari Keluarga anjuran PPWS Kampung Tengah, Meludam ini adalah merupakan aktiviti pertama bagi tahun ini yang melibatkan sembilan buah cawangan PPWS dari sekitar kawasan Meludam.

“Justeru kita berharap agar Program Hari Keluarga PPWS Kampung Tengah Meludam ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat dan kemahiran kesemua para ahli menerusi pelbagai acara yang dianjurkan,” katanya.

Sementara ituPengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Nur Khatijah Abdullah menerusi ucapan perasmiannya telah memuji usaha ditunjukkan oleh PPWS Kampung Tengah Meludam dalam melaksanakan program itu.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana program ini turut melibatkan penyertaan kanak-kanak yang secara tidak langsung dapat menyemai minat mereka terhadap aktiviti anjuran pihak persatuan selepas ini.

Terdahulu program selama dua hari itu telah diselitkan dengan pelbagai acara menarik iaitu Pertandingan Gubahan Bahan Terbuang, Gubahan Buah Nanas, Gubahan Memasak Pulut Kuning, Membuat Kuih Jala dan Membingkai Atap Daun Nipah.

Kemuncak program ini ialah acara Mengail Ramak (sejenis ketam) dan Pertandingan Bertandak Melayu yang melibatkan kanak-kanak sekolah rendah di sekitar kampung tersebut.

Program yang dihadiri sekitar 500 orang penduduk kampung telah dihadiri oleh Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman Saidah Saibi, Naib Pengerusi PPWS Daerah Saratok, Sayang  Salleh, Penghulu Kampung Meludam, Awang Karim Awang Damit, para pengerusi cawangan dan ketua kaum di sini.

Tamat. 

No comments:

Post a Comment