Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 January, 2012

Wanita juga perlu aktif majukan kampung - Rayong


Caption: RASMI...Rayong sedang memotong reben sebagai simbolik kedatangan beliau ke kawasan rumah panjang berkenaan kelmarin.

ENGKILILI, Selasa (3 Jan) – Golongan wanita harus aktif memandangkan mereka juga boleh berfungsi sebagai pengerak utama Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) di rumah panjang masing-masing dari masa ke semasa.

Justeru wanita juga harus mendapat bantuan daripada kerajaan memandangkan golongan terbabit juga memainkan peranan yang sama dengan kaum lelaki bagi memajukan rumah panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Silai Silik, Skim Skrang, Engkilili kelmarin.

“Golongan wanita pada zaman sekarang juga sudah berjaya membuktikan keupayaan mereka dalam mengecapi pelbagai kejayaan dari segi bidang politik, ekonomi dan sosial yang bertaraf tinggi.

“Justeru saya tidak nampak sebarang alasan bahawa golongan wanita tidak boleh menyumbang tenaga untuk memajukan rumah panjang masing-masing dengan bantuan kaum lelaki selepas ini,” katanya.

Selain itu Rayong juga menasihatkan rakyat dalam kawasan Engkilili agar tidak mudah mendengar propaganda politik daripada pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini nanti.

Katanya penerimaan rakyat terhadap propaganda terbabit hanya akan menjejaskan usaha pembangunan yang sedang atau bakal dirancang di kawasan penempatan masing-masing selepas itu.

“Paling penting ialah rakyat dalam kawasan luar bandar khasnya di Engkilili menjalinkan hubungan kerjasama terhadap kerajaan dengan memastikan kemenangan BN pada PRU13 kelak,” katanya.

Rayong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK Rumah Silai dan RM5,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang itu sambil disaksikan oleh ketua kaum dan 17 Tuai Rumah dari kawasan Engkilili.

Tamat.



No comments:

Post a Comment