Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 January, 2012

Tinjauan hari pertama kelas Tadika SJK Chung Hua Pantu

Caption: BERMULA...Kaum ibu dilihat sedang menemani anak masing-masing ketika bermulanya sesi hari pertama pra sekolah di SJK Chung Hua Pantu kelmarin.

PANTU, Khamis (5 Jan) – Gelagat anak-anak berusia lima tahun yang mahu melangkah masuk ke alam pra sekolah sememangnya paling mencuri tumpuan ketika bermula sesi persekolahan bagi tahun 2012.

Ia dianggap amat berbeza berbanding kemasukan anak-anak ke alam pembelajaran Tahun Satu memandangkan kanak-kanak berusia lima tahun kebanyakkannya dianggap amat ‘liat’ untuk digalak menyertai sesi pembelajaran buat kali pertama di Tadika.

Justeru Utusan Sarawak telah mengambil kesempatan untuk meninjau suasana terbabit di kelas pra sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu ketika sesi persekolahan bagi tahun 2012 bermula serentak di seluruh negara kelmarin.

Hasil tinjauan mendapati suasana dalam dan luar kelas pra sekolah SJK Chung Hua Pantu dipenuhi oleh ramai golongan ibu terutama sekali bagi mereka yang buat pertama kali menghantar anak-anak memasuki kelas berkenaan bermula jam 7 pagi.

Ada di antara mereka yang dilihat menangis kerana tidak mahu bersekolah, cerewet menuntut lebih banyak gula-gula atau keropok dibelikan untuk mereka dan juga mahu si ibu menemani mereka dalam kelas berkenaan.

Sambil kaum ibu menemani anak-anak mereka di dalam kelas, kaum bapa pula dilihat hanya mampu menjenguk dari luar tangkap kelas terbabit dengan kaum ibu diberi penghormatan untuk menyelesaikan urusan terbabit di situ.

“Urusan anak-anak di kelas tadika ini biarlah diserahkan kepada kaum ibu,” kata Donny iaitu bapa kepada salah seorang kanak-kanak yang baru melangkah masuk ke kelas pra sekolah berkenaan iaitu Aldrian.

Terdahulu Utusan Sarawak difahamkan bahawa sejumlah 25 orang kanak-kanak berusia enam dan lima tahun memulakan sesi pembelajaran mereka di kelas pra sekolah SJK Chung Hua Pantu bagi tahun ini.

Dengan kelas tadika satu dimansuhkan untuk tahun ini, maka kanak-kanak berusia lima tahun akan diajar secara bersama dengan kanak-kanak berusia enam tahun bagi sesi kelas pra sekolah SJK Chung Hua Pantu berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment