Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 January, 2012

Ruangan Khas Utusan Sarawak : Keluarga Bada Umpek dari Kesindu, Simunjan dihimpit kemiskinan







Caption:

1. DAIF...Bada bersama isteri, Liana dan dua orang anaknya iaitu Cassidy dan Albert ketika bergambar dihadapan pondok usang mereka di Kampung Kesindu.

2. TIADA RUANG...Keempat-empat orang beranak ini terpaksa tidur di ruang tamu memandangkan ketiadaan bilik di dalam pondok usang yang mereka bina selama ini.

3. KOTOR...Kedaifan hidup keluarga Bada nyata boleh digambarkan menerusi ruang dapur di kediaman mereka.

4. SERBA KEKURANGAN...Bada menunjukkan kolam takungan air di belakang rumahnya yang digunakan untuk tujuan mandi, membasuh pakaian, air minum dan membasuh pinggan mangkuk selama ini.

5. SALING MEMBANTU...Bada sedang membantu isterinya mengemas dapur ketika berlangsungnya rutin kehidupan harian mereka di pondok usang berkenaan.

6. BEKERJA...Bada sedang menjemur biji buah betik untuk ditanam di kawasan belakang pondok usangnya ketika ditemui Utusan Sarawak.

7. PERLU BANTUAN...Gambar menunjukkan keadaan pondok usang yang didiami oleh Bada bersama isteri dan anaknya semenjak lima tahun lepas.

SIMUNJAN, Isnin (2 Jan) – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah kesempitan hidup yang boleh digambarkan terhadap keluarga Bada anak Umpek dari Rumah Gana Jampong, Kesindu, Simunjan.

Dengan usia meniti 55 tahun, Bada bersama isterinya iaitu Liana Bahol, 53, tinggal di sebuah pondok usang bersama dengan dua orang anak lelakinya iaitu Remmy Casidy, 13, dan Henry Albert, 12 tahun.

“Kami empat beranak hanya mampu menyaksikan kebanyakkan keluarga bahagia di Kampung Kesindu meraikan sambutan tahun baru dengan penuh meriah dari pondok usang ini,” ujar beliau dengan penuh sedih ketika ditemui Utusan Sarawak kelmarin.

Hanya disebabkan faktor umur meniti 50 tahun pada tahun 2006 lepas, Bada dianggap tidak mampu lagi bekerja oleh pihak majikannya di Kuching hingga memaksa beliau dan keluarganya pulang ke Kampung Kesindu selepas itu.

Bermula dari saat itulah keluarga miskin terbabit terpaksa mengharungi suasana kehidupan miskin dan hanya mampu membina sebuah pondok usang tidak jauh dari penempatan utama penduduk dalam kampung berkenaan.

Ketiadaan sumber pendapatan berasaskan getah dan lada menyebabkan beliau menempuh hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan mengambil upah bekerja dengan orang lain.

“Saya dan isteri tidak mempunyai getah atau lada. Atas sebab ini saya terpaksa mengambil upah bekerja dengan orang untuk meraih pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan.

“Hampir kesemua hasil pendapatan ini saya dan isteri gunakan untuk tujuan persekolahan anak-anak. Sedikit sahaja daripada jumlah pendapatan ini kami empat beranak gunakan untuk membeli makanan seharian,” katanya.

Beliau bersama keluarga terpaksa tidur di ruang tamu memandangkan ketiadaan bilik, memasak di ruang dapur dalam keadaan ruang yang kotor dan mandi di kolam takungan air di kawasan terbuka belakang rumah pada setiap hari.

Jika mahu menonton televisyen pun keempat – empat orang beranak ini terpaksa berkunjung di rumah saudara-mara mereka tidak jauh dari situ sebelum pulang pondok dengan meredah kawasan bersemak-samun pada waktu malam.

“Saya dan isteri juga mempunyai tujuh orang anak yang lain bermula dari yang paling tua iaitu Flora (35), Romeo (32), Jackson (30), Martini (28), Zamri (23), Mohd Faiz (20) dan Nor Katika (14).

“Faiz dan Kartika sudah diambil orang sebagai anak angkat manakala Flora, Romeo dan Martini pun sudah berkahwin dengan Jackson dan Zamri masih bujang. Pendapatan mereka juga amat kurang dan tidak mampu membantu kami empat beranak,” katanya.

Kesempitan hidup selama ini telah memaksa Bada dan isteri cuba memohon bantuan khas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ditolak oleh pihak berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

“Kononya ada orang tertentu yang melapor kepada pihak JKM bahawa kami sekeluarga sudah pun berpindah semula ke Kuching. Ia merupakan satu fitnah dan saya berharap agar pihak terbabit insaf terhadap perbuatan mereka selepas ini,” dakwa beliau.

Bada di akhir perbualan bersama Utusan Sarawak nyata mengimpikan sebuah rumah baru yang sederhana dengan segala-galanya cukup untuk keselesaan keluarganya termasuk bilik, ruang dapur serta bilik.

“Amat memadai buat kami sekeluarga untuk memperoleh sebuah rumah baru yang diberi menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT. Justeru saya berharap agar kerajaan menerusi agensinya memberi belas kasihan terhadap kami selepas ini,” katanya.

Utusan Sarawak turut difahamkan bahawa adik beliau iaitu Lebat anak Umpek turut mengharungi kehidupan yang penuh daif bersama isteri dan lapan orang anaknya disebuah rumah usang dalam kampung berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment