Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 January, 2012

Pulang dari Brunei mahu kumpul durian

Caption: GEMBIRA...Jupong sedang menunjukkan buah durian yang diletakkan pada bakul atau empajang ketika bercuti di kampung halamannya tahun ini.

PANTU, Rabu (11 Jan) – Musim raja buah iaitu durian nyata belum berakhir di Sri Aman walaupun kebanyakkan pihak menyangka bahawa musim buah berkenaan hanya berlangsung pada bulan September dan Disember pada setiap tahun.

Ia terbukti apabila penduduk di Pantu dan lain-lain kawasan dalam Bahagian Sri Aman masih lagi meraih hasil buah durian dari dusun masing-masing walaupun musim buah tersebut sudah memasuki bulan Januari tahun ini.

Lanjutan musim raja buah ini secara tidak langsung telah memberi kesempatan kepada penduduk yang bekerja di perantauan orang untuk kembali ke kampung halaman masing-masing untuk mengambil peluang tersebut.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Jupong Anis, 53, dari Selantik Ili, Pantu telah mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman bagi menikmati hasil raja buah itu setelah bekerja di Brunei Darulsalam selama ini.

“Saya sebelum ini menyangka bahawa mungkin tidak akan berkesempatan untuk menikmati musim buah durian kerana terlalu sibuk bekerja di Brunei pada penghujung tahun lepas.

“Bagaimanapun adik-beradik saya di sini memaklumkan bahawa musim durian masih berlangsung. Justeru saya telah memohon daripada majikan untuk bercuti pulang ke kampung disebabkan oleh asalan ini,” katanya.

Selain itu beliau juga merasakan bahawa kepulangannya kali ini adalah cukup bertuah memandangkan musim buah kali juga turut diserikan dengan kehadiran buah langsat, duku, manggis dan banyak lagi.

Dengan kata lain kepulangan beliau ke Brunei Darulsalam pada minggu hadapan bukan hanya setakat membawa buah durian malah turut membawa pelbagai jenis buah untuk santapan seisi keluarganya di rumah.

“Pasar Tamu Sri Aman juga sedang dibanjiri oleh pelbagai jenis buah pada masa sekarang. Kesimpulan musim buah-buahan kali ini memberi ‘anugerah’ cukup bermakna kepada semua penduduk di kawasan luar bandar Sri Aman pada masa sekarang,” katanya.

Tamat.



No comments:

Post a Comment