Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 January, 2012

PPWS Daerah Simunjan adakan Program Motivasi di Kampung Kepayang, Simunjan

Caption: TAHNIAH...Nancy menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memasak Laksa Sarawak sambil disaksikan oleh Sa’aniah (sebelah kanan beliau) pada majlis berkenaan.

SIMUNJAN, Isnin (9 Jan) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Simunjan dengan kerjasama pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan Program Motivasi, Inovasi dan Kreativiti di Balai Raya, Kampung Kepayang ,Simunjan baru-baru ini.

Program selama sehari yang melibatkan sejumlah 22 buah cawangan PPWS Daerah Simunjan itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Hajah Shukri, merangkap Pengerusi PPWS Negeri..

Nancy ketika berucap merasmikan majlis tersebut telah mengucapkan tahniah kepada pihak PPWS Daerah Simunjan kerana berjaya menganjurkan program seperti itu di kawasan luar bandar.

“Saya amat terharu melihat penglibatan dan kerjasama yang diberikan oleh semua ahli PPWS Daerah Simunjan bagi menjayakan Program Motivasi, Inovasi dan Kreativiti di Kampung Kepayang, Simunjan ini.

“Usaha seperti ini sekaligus membuktikan wujudnya semangat kerja berkumpulan dalam PPWS Daerah Simunjan ditambahi lagi dengan sokongan yang diberikan oleh penduduk di situ,” katanya.

Nancy turut menambah bahawa Program Motivasi, Inovasi dan Kreativiti berkenaan secara tidak langsung akan dapat mendedahkan bidang keusahawanan terhadap para wanita di kawasan luar bandar.

Menerusi gerai yang disediakan oleh pihak FAMA, kaum wanita kata beliau boleh menjual hasil kraftangan kepada para pengunjung bagi mendidik mereka untuk lebih berdikari dalam bidang keusahawanan selepas ini.

Sementara itu Pengerusi PPWS Daerah Simunjan, Sa’aniah Haji Kahar ketika berucap pula merakamkan ucapan terima kasih kepada Nancy atas sokongan terhadap program tersebut yang merupakan cetusan ilham daripada beliau sendiri.

Beliau menerusi majlis itu juga mengucapkan rasa terima kasih terhadap pihak PPWS Negeri memandangkan PPWS Daerah Simunjan akan berpindah ke bangunan operasi baru yang kini hampir siap dibina.

Terdahulu beberapa aktiviti telah diadakan untuk memeriahkan program terbabit seperti pertandingan karaoke, ceramah motivasi keusahawanan, pertandingan memasak Laksa Sarawak, persembahan kebudayaan, pertandingan Pakaian 1Malaysia dan jualan beraneka produk dan hasil kraftangan.

Hadir sama ialah Temenggong Anthony Nipa, Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Saidah binti Saibi, para pegawai kanan kerajaan, para pengerusi PPWS Cawangan, para ketua kaum dan ketua cawangan parti politk Barisan Nasional (BN) di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment