Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 January, 2012

Penduduk Kampung Rapak Penyau, Pantu rayu kerajaan baiki jalan rosak


 Caption:

1. SUKAR DILALUI...Mana sedang menunjukkan laluan jalan rosak di Kampung Rapak Penyau Baru.

2. PERLU PERHATIAN...Gambar menunjukkan keadaan jalan berbecak yang sukar dilalui oleh penduduk kampung selama ini.

PANTU, Rabu (4 Jan) – Penduduk Kampung Rapak Penyau Baru, Pantu, Sri Aman merayu jasa baik daripada pihak berwajib untuk menaiktaraf jalan sedia ada di kawasan kampung mereka selepas ini.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang terbabit iaitu Mana Ramba memberitahu jalan yang sedia ada sekarang sudah berlubang dan berbecak semenjak tujuh tahun lepas.

“Kampung Rapak Penyau, Baru terletak tidak jauh dari kawasan Pasar Lachau. Atas sebab ini kami meminta jasa baik daripada pihak berwajib untuk memberi fokus terhadap permasalahan terbabit,” katanya.

Seorang ahli JKKKnya, Kinyang Andar berkata masalah terbabit lebih dirasai oleh ibubapa yang sering menghantar anak-anak ke sekolah menerusi jalan itu dan juga penduduk yang berulang-alik ke Pasar Lachau untuk menjual barang di situ selama ini.

Beliau turut menambah bahawa masalah itu menyebabkan penduduk tidak boleh tergesa-gesa menggunakan kenderaan untuk mendapatkan rawatan di hospital melalui jalan terbabit khasnya mereka yang menggunakan kenderaan kecil selama ini.

“Bagaimanapun kami, penduduk Kampung Rapak Penyau, Pantu berasa lega memandangkan sebahagian dari laluan jalan raya di kawasan rumah panjang kami akan disemin,” katanya.

Ketua kampung rumah panjang terbabit, Tuai Rumah Daji Empu pula memberitahu laluan jalan raya tersebut amat sukar dilalui ketika hari hujan memandangkan lubang jalan tidak akan kelihatan disebabkan oleh takungan air hujan tersebut.

Daji yang sering menghantar anaknya ke SJK Chung Hua Pantu dengan menggunakan motorsikal pada setiap hari mengingatkan pengguna motorsikal yang lain agar berhati-hati ketika menunggang di laluan jalan berkenaan pada waktu hujan.

Justeru Timbalan Pengerusi JKKK Rapak Penyau Baru iaitu Carrie Jangan berharap agar pihak berwajib mengambil langkah serius untuk menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya di kampung mereka selepas ini.

“Pihak kami pernah membuat permohonan untuk menaiktaraf jalan ini namun masih belum menerima sebarang tindak balas susulan hingga ke masa sekarang,” menurut beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment