Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

24 January, 2012

Pencuri motor kena kejar tak tukar plet


SRI AMAN, Sabtu (21 Jan) – Satu episod kejar-mengejar menggunakan motorsikal antara saspek pencuri dan orang awam telah dilaporkan berlaku dalam kawasan Bandar Sri Aman sekitar jam 10 malam kelmarin.

Sumber memberitahu kisah bermula apabila motorsikal dipercayai milik seorang kakitangan kerajaan hilang dicuri pada waktu malam di luar kawasan rumahnya sendiri kira-kira tiga hari lepas.

“Si pemilik motorsikal berkenaan terus membuat laporan polis sambil menghubungi rakan-rakan dan sanak-saudaranya untuk memantau sekitar kawasan Sri Aman bagi mencari motorsikal terbabit,” kata sumber.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila seorang rakan mangsa terserempak dengan sebuah motorsikal dipercayai milik mangsa yang sedang ditunggang oleh seorang lelaki dalam kawasan bandar ini malam kelmarin.

Kata sumber, rakan mangsa menjadi semakin syak apabila nombor plat pendaftaran dan jenis motorsikal yang digunakan oleh lelaki itu kelihatan sama seperti motorsikal milik mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Dari situ bermulalah adegan kejar-mengejar dengan motorsikal dalam bandar ini antara rakan mangsa dan lelaki yang dipercayai telah mencuri motorsikal milik mangsa berkenaan.

“Adegan kejar-mengejar ini telah berlarutan sehingga ke kawasan Pasir Panas sehingga lelaki tersebut bertindak merebahkan motorsikal terbabit dan seterusnya melarikan diri ke kawasan timbunan pasir di situ,” kata sumber.

Rakan-rakan mangsa kemudiannya bertindak mencari lelaki yang dipercayai telah mencuri motorsikal berkenaan namun gagal memandangkan kejadian itu berlaku pada waktu malam.

“Mungkin saspek melarikan diri ke kawasan sawah atau paya pada malam itu. Bagaimanapun keberanian lelaki terbabit menunggang motorsikal curi itu menjadi tanda tanya dikalangan rakan mangsa.

“Pencuri biasanya menanggalkan atau menukar plat pendaftaran motorsikal yang baru dicuri. Namun individu ini nyata masih berani menunggang motorsikal curi ini dikawasan pasar tanpa mengubahsuai motorsikal berkenaan,” kata sumber.

Tamat.








No comments:

Post a Comment