Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 January, 2012

Pangkalan Pantu masih selamat dari banjir

Caption: MASIH NORMAL...Gambar yang dikirim kepada penulis menunjukkan keadaan paras air yang masih rendah di bawah rumah seorang penduduk di Pangkalan Pantu hari ini.

SRI AMAN, Selasa (10 Jan) – Keluarga dari kawasan penempatan Pangkalan Pantu yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Pusat Bandar Sri Aman masih boleh menarik nafas lega walaupun musim tengkujuh masih melanda negeri Sarawak pada masa sekarang.

Ini kerana penduduk di kawasan Pangkalan Pantu masih belum menghadapi masalah banjir seperti yang pernah dialami oleh mereka pada akhir tahun lepas walaupun hujan pernah turun tanpa henti selama tiga hari di situ pada awal tahun ini.

Apatah lagi kawasan Pangkalan Pantu yang menempatkan lebih dari 30 buah keluarga itu pernah ditimpa bencana banjir sebanyak dua kali iaitu pada 4 Disember dan 24 Disember tahun lepas.

Kejadian berkenaan menyebabkan kesemua mangsa banjir di kawasan Pangkalan Pantu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Bencana Banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kami sekeluarga pernah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya masalah banjir buat kali ke-3 apabila hujan turun tanpa henti selama tiga hari pada awal bulan ini.

“Namun mujurlah setakat ini kawasan penempatan kami tidak dinaiki air dari Sungai Batang Strap, Pantu,” kata seorang penduduk iaitu Genut ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Walaupun banjir tidak lagi melanda kawasan Pangkalan Pantu pada masa sekarang namun beliau bersama keluarganya akan tetap berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan itu sehingga berakhirnya musim tengkujuh pada bulan Mac ini.

“Lagipun saya ada mendengar saudara-mara memberitahu bahawa fenomena air pasang besar akan berlaku antara 8 hingga 16 Januari ini. Justeru saya berharap agar banjir besar tidak berlaku semula di sini dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Tamat.



No comments:

Post a Comment