Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 January, 2012

Nur Farhana dan Siti Asmah sudah dijumpai


SRI AMAN, Selasa (17 Jan) – Keluarga kepada remaja perempuan hilang dari rumah semenjak 11 Januari telah melahirkan lega setelah anak mereka berjaya dijumpai semula di kawasan Batu Kawa, Kuching hari ini.

Zulkipli Abdullah, bapa kepada salah seorang remaja perempuan yang hilang, Nur Farhana, 16, ketika dihubungi memberitahu anak perempuannya bersama sepupu iaitu Siti Asmah selamat ditemui sekitar jam 12.30 tengahari ini.

“Anak saya (Nur Farhana) tiba-tiba menghubungi telefon bimbit saya sambil menangis dan mengatakan bahawa kedua-dua mereka (termasuk Asmah) sedang bersembunyi di dalam hutan.

“Anak saya memberitahu bahawa dia dan rakannya telah ‘melarikan diri’.  Mereka sendiri tidak tahu lokasi tepat kedudukan mereka berada pada waktu itu walaupun sedar mereka berada di kawasan Kuching,” katanya.

Sebaik sahaja menghubungi beliau, anaknya dan Asmah dipercayai telah terlihat sebuah kereta yang melalui kawasan jalan berdekatan dengan tempat persembunyian mereka dalam hutan berkenaan.

Zulkipli turut memberitahu bahawa kedua-dua mereka bergegas keluar dari hutan untuk mendapatkan bantuan daripada pemilik kenderaan berkenaan yang kemudiannya bertindak menghantar mereka ke Balai Polis Batu Kawa, Kuching.

“Syukur kepada Tuhan kerana kedua-dua mereka telah berjaya ditemui semula. Bagi kami, tiada berita baik yang lebih baik berbanding dengan penemuan kedua-dua mereka pada hari ini,” katanya.

Terdahulu Nur Farhana dan Siti Asmah dilaporkan tidak pulang ke rumah semenjak 11 Januari lepas setelah kedua-dua mereka memberitahu mahu pergi ke perpustakaan di Bandar Sri Aman.

Kedudukan mereka dipercayai dikesan oleh orang ramai di Debak, Betong sejurus berita mengenai kehilangan mereka terbit dalam akhbar Mingguan Sarawak pada 15 Januari lepas.

Tamat.

No comments:

Post a Comment